29 December 2009

Sampai bila nasib kita terbela?

Mesyuarat Ahli Majlis OKU pada 21hb Disember 2009 yang lalu yang di pengerusikan oleh YB Datuk Seri Senator Shahrizat Abdul Jalil merupakan mesyuarat penutup bagi tahun 2009.

Mesyuarat kali ini saya ingin mendengar keputusan berkaitan dengan status BIM dari wakil KPM berkaitan dengan penggunaan BIM di sekolah-sekolah selari dengan Akta OKU 2008 yang dibangkitkan.

Malang sekali tiada pegawai atasan mewakil KPM kerana bercuti pada hari yang sama. Saya sedih kerana tidak dapat membahaskan isu tersebut kerana pegawai yang mewakili BPK merupakan pegawai picisan yang tidak tahu apa-apa berkaitan dengan isu tersebut.

Dalam hati saya berkata, mereka tidak serius dan tidak mengambil berat walhal sudah maklum bahawa mesyuarat tersebut diadakan. YB Menteri juga terkilan kerana ada agensi kerajaan memperlekehkan mesyuarat Ahli Majlis OKU kerana menghantar orang yang salah. Hal tersebut mendedahkan sikap sebenar pegawai BPK yang memandang remeh dengan mesyuarat Ahli Majlis OKU dan usaha-usaha untuk mempertingkatkan pendidikan bagi OKU.

Benarkah?

Para pegawai akan dengan gahnya mengumumkan bahawa mereka pakar dalam bidang orang Pekak dan idea mereka semua mesti betul, tetapi mereka memejamkan mata dan memekakkan telinga apabila setiap tahun keputusan peperiksaan awam pelajar pekak adalah amat mendukacitakan. Juga pelajar pekak tak tau membaca dan menulis pun tiada usaha untuk dibuat.

Mereka juga dengan tidak segan silu memberitahu BMKT/KTBM adalah kaedah sesuai untuk P&P di sekolah kerana bimbang penggunaan BIM akan menyebabkan pelajar menulis BM dengan lintang pukang tetapi sampai hari ini berapa ramai orang Pekak boleh menulis dengan teratur menggunakan kaedah BMKT/KTBM?

Adanya juga mereka menabik dada sebagai pakar BMKT/KTBM tetapi apabila di cabar menggunakan BMKT dalam mesyuarat mereka menikus.

Apa perlu bimbang atau malu kalau pelajar Pekak jadi bodoh atau tak tahu menulis serta membaca, kerana gaji tetap jalan dan semoga Allah halalkan rezeki.

Namun ada juga sekerat dua guru yang dedikasi membimbing pelajar Pekak dan pihak MFD amat menghargainya. Juga ada juga guru yang mahir dalam pendidikan Pekak di campak ke pendidikan buta atau bermasalah pelajaran. Terdapatnya guru lulusan universiti yang tiada kemahiran berBMKT/KTBM di tempatkan sekolah pekak dan belajar berisyarat dari Pelajar Pekak. Siapa guru, dia atau orang Pekak? Sistem pendidikan bagi pelajar pekak bagai caca marba?

Sikap mereka tak mahu hadir ke mesyuarat Ahli Majlis, tak ubah macam Ahli Parlimen BN yang tak mengambil berat akan saat genting meluluskan Bajet 2010 yang hampir menumbangkan Kerajaan BN.

YAB DSNajib mencadangkan KPI, kita sebagai NGO Pekak memang boleh menghantar aduan, memorandum, surat dan sebagainya kepada YB Menteri tetapi apakah YB Menteri akan di lucut jawatannya, pegawai yang tidak membuat kerja dengan baik akan di ambil tindakan?

Mengapa saya bising dalam hal ini? Jawapannya ialah pendidikan merupakan kunci utama pembangunan sosio-ekonomi orang Pekak. Berjayanya orang Pekak dalam pendidikan akan berjaya dalam kerjaya dan kehidupan. Negara kita memerlukan rakyat yang berilmu untuk bersama-sama membangunkan negara, kita orang Pekak juga tidak berkecuali.

Sampai bila nasib kita terbela?

28 December 2009

Mengapa mesti memperbodohkan orang Pekak?

Saya terbaca tulisan mengenai kata-kata Presiden (Amerika Syarikat), Abraham Lincoln, “Kamu boleh memperbodohkan orang sesekali sahaja, tetapi kamu tidak boleh memperbodohkan orang sepanjang masa." Lalu saya mengajak semua orang berfikir....

Apakah anda semua tahu setiap tahun majoriti pelajar Pekak gagal dalam akademik, gagal dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM serta tidak tahu membaca dan menulis?

Apakah anda tahu apabila orang Pekak gagal dalam peperiksaan telah menyusahkan mereka untuk mendapat pekerjaan yang lebih baik bagi mendapatkan kehidupan yang selesa?

Apakah anda tahu apabila orang pekak tidak pandai membaca dan menulis akan menyukarkan membantu anak mereka yang bukan Pekak dalam pelajaran, kerja-kerja sekolah, pendidikan agama?

Apakah anda tahu apabila orang Pekak yang rendah pendidikannya akan senang menjadi mangsa penipuan, diperbodohkan dan di pergunakan oleh orang lain untuk kepentingan sendiri?

Akibat ilmu pengetahuan tidak sampai kepada orang Pekak dan orang Pekak lambat untuk menilaikan baik buruknya sesuatu.

Mereka menjadi bodoh walau pun mereka bukan dilahirkan untuk menjadi bodoh.

Orang yang menjadi penyebab orang Pekak menjadi bodoh bukan orang yang pandai.

Orang yang mengambil kesempatan akan kebodohan orang Pekak adalah bukan orang yang bijak.

Anda boleh memperbodohkan mereka hari ini tetapi esok anda akan menerima akibatnya.

Untuk sesiapa yang berkenaan,ibubapa, keluarga, guru, para pemimpin marilah kita menghayati kata-kata tersebut. Kita hendaklah mempunyai niat yang jujur. Orang Pekak di negara kita memerlukan pembelaaan bukan di perbodohkan.

09 December 2009

Hari OKU 2009

Hari Orang Kurang Upaya di raikan seluruh dunia pada 3hb Disember setiap tahun. Sambutan tersebut bertujuan untuk mempromosikan kejayaan, kebolehan dan keperluan OKU.

Tahun ini sambutan Hari OKU di adakan pada 5hb Disember 2009 bertempat di Kompleks MAB, Brickfields, Kuala Lumpur. YB Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Menteri WKPM telah hadir untuk merasmikan serta menyampaikan anugerah. Sambutan kali ini adalah berbeza kerana dibuat di yang lapang tempat berbanding dengan tahun sebelumnya di buat di tempat tertutup seperti Times Square atau PWTC.

Saya telah mendapat maklum balas dari OKU bahawa sambutan kali ini masih belum mencapai matlamatnya kerana kumpulan sasar adalah masih kepada OKU, keluarga dan pekerja berkaitan dalam perkhidmatan OKU.

Beliau mencadangkan supaya sambutan Hari OKU di buat di tempat ramai orang awam datang contohnya di KLCC kerana dengan cara ini dapat menyampaikan kesedaran berkaitan OKU kepada orang awam.

Saya masih ingat pada tahun 98 MFD telah menganjurkan Hari Orang Pekak Antarabangsa di KLCC yang di rasmikan oleh YBhg Datuk Thurai, KSU Kempadu pada masa itu. Ramai pengunjung telah melawat ke gerai MFD termasuk belajar BIM, menonton persembahan orang Pekak, face painting dan kutipan derma.

Tahun ini Hari OKU telah menyampaikan anugerah OKU Cemerlang kepada 4 kategori kecacatan iaitu Buta, Anggota, Mental dan Pendengaran. Saya amat gembira kerana cadangan saya sejak bertahun-tahun kebelakang telah berhasil kerana saya mahu semua OKU mendapat peluang yang saksama. Ini adalah kerana anugerah Tokoh OKU yang sedia ada mempunyai syarat yang ketat dan akan menyukarkan sahabat OKU daripada kategori mental memenanginya.

Anugerah OKU Cemerlang di berikan kepada pemenang bersama trofi, sijil dan wang tunai sebanyak RM 3,000. Manakala untuk Tokoh OKU menerima wang tunai RM 10,000. Saya menerima anugerah Tokoh OKU pada tahun 2002 daripada YAB Tun Abdullah Badawi, Timbalan Perdana Menteri tetapi wang tunai pada masa itu ialah RM 800 sahaja.

Dengan adanya anugerah tersebut akan menaikkan semangat OKU supaya melibatkan diri dalam kerja pembangunan komuniti OKU peringkat negeri dan antarabangsa, berjaya dalam akademik dan mempunyai pekerjaan yang baik kerana ianya merupakan syarat penting untuk menerima anugerah tersebut.

Terdapat juga anugerah Pekerja OKU Terbaik di bawah Kementerian Sumber Manusia sempena Hari Pekerja dan juga ada lagi anugerah yang dikhaskan untuk OKU berjaya dalam pendidikan, agama dan sebagainya.

Jelas sekali negara kita tidak mengabaikan OKU dan cuba berbuat terbaik untuk mempertingkatkan taraf hidup kita supaya bersama-sama membangunkan negara.

Pemenang Anugerah OKU Cemerlang kategori pendengaran tahun ini ialah Encik Razani Ramli, Presiden Persatuan Orang Pekak Kelantan juga Timbalan Presiden MFD; beliau juga tuanpunya syarikat Razani Capital iaitu syarikat pembuatan perabot yang mengajikan pekerja OKU.

25 November 2009

Selamat Hari Raya Aidil Adha

Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Haji merupakan perayaan terbesar di dalam Islam selain Hari Raya Aidilfitri. Ianya di raikan oleh umat Islam di seluruh dunia.

Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan ke-sabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.

Tahun ini, saya dan keluarga tak kemana-mana kerana akan bersama-sama terlibat dengan ahli masjid tempat saya untuk program korban. Mengikut laporan ada 15 ekor korban akan diadakan di masjid tempat saya. Seperti tahun-tahun yang lalu saya akan membantu dalam kerja-kerja pemyembelihan, menyiat kulit, memotong daging atau apa-apa yang diperlukan.

Selamat Hari Raya Aidiladha.

17 November 2009

Mee Udang Kuala Sepetang




Hari Ahad yang lalu 15hb November saya ke Ipoh dan Taiping untuk meninjau bakal PUSKOM Perak.

Mengikut informasi seorang sahabat lama, saya ke Kuala Sepetang (Port Weld) untuk menikmati mee udang kegemaran saya. Hujan turun di sepanjang petang itu hingga ke malam dan bekalan letrik putus sebahagian dari bandar warisan Taiping sehingga ke Kuala Sepetang.

Nasib saya baik, merendah kegelapan dan hujan, selepas Matang terdapatnya bekalan letrik di kawasan itu dan saya singgah ke sebuah gerai mee udang yang ramai pelangggan. Di tepi jalan kereta beratur panjang dan terdapat juga sebuah bas pelancung.

Saya menunggu berapa minit untuk mendapatkan ruang letak kereta yang berdekatan gerai kerana luar masih hujan. Selepas itu kami melabuhkan badan yang kepenatan di kerusi gerai yang usang.

Seorang gadis dengan senyumannya melayan kami, sebelum memesan makanan dia menerangkan jenis hidangan dan harga, iaitu mee udang laut RM 10 semangkuk, mee udang kolam RM 8 semangkuk, laksa udang pun ada dan memberitahu kami bahawa bagaimana ianya di hidangkan.

Terdapat juga sate udang iaitu udang bbq yang aromanya membuat kami bertambah lapar di kesejukan malam. Kami memesan 2 mangkuk mee udang laut dan nasi udang tumis pedas berserta 2 gelas air limau bagi membantu mencuci kolestrol yang tinggi.

Di saat menunggu tempahan dihidangkan, munculnya seorang lelaki tua memberikan salam dan memohon maaf kerana mengganggu situsai kami. Dia mengeluarkan ubat sapu dan menyuruh saya mencubanya. Kebetulan lutut saya sakit dan sapuan ubat yang panas meredakan kesakitan lagipun suasana sejuk di sebabkan hujan. Saya membeli sebotol.

Orang tua itu bernama Haji Osman dari Matang berbual dengan jurubahasa saya dan adakalanya dia cuba berkomunikasi dengan saya dalam isyarat. Kami memenuhi masa yang terluang sementara menunggu mee udang dihidang.

Selepas Haji Osman meninggalkan kami dengan motorsikalnya dalam kehujanan, jurubahasa saya menceritakan apa yang mereka berdua dibualkan sementara saya dengan dunia saya sendiri.

Haji Osman ada menanya jurubahasa saya sama ada mengenali seorang pemimpin pekak peringkat kebangsaan yang selalu keluar negara untuk mesyuarat, bertemu dengan orang besar dan menteri. Pemimpin pekak itu pernah keluar dalam TV yang menayangkan membawa motorsikal berkuasa tinggi. Beliau lupa nama pemimpin pekak itu, tetapi nama bapanya ialah Haji Shaari yang berjiran dengannya. Pemimpin itu asal dari Matang, orang sini katanya. Bangganya menceritakan apa yang dia tahu pasal pemimpin pekak itu dan asal kampungnya Matang.

Haji Osman tidak mengenali saya, bapa saya ialah Haji Shaari pegawai renjer yang dia katakan. Ya, Matang sebuah pekan kecil konsep 1 Malaysia, berjiran Cina dan India, suasana harmoni serta sebuah rumah dua tingkat yang mempunyai banyak nostalgia kepada saya.

Mee udang Kuala Sepetang,
Singgah sebentar di Matang,
Dari sana asal ku datang.

12 November 2009

Niat dan cita-cita.

YM Tengku Razaleigh Hamzah ahli politik veteren pernah berkata, ‘‘Sebagai seorang ahli politik kita memang kena ada cita-cita, kalau tidak ada cita-cita, baik tidak payah jadi ahli politik.”

Saya ambil ungkapan tersebut untuk dijadikan panduan kepada para pemimpin Pekak yang diamanahkan dalam perjuangan komuniti kita. Pemimpin Pekak adalah sangat penting kepada kita kerana tiada orang lain melainkan orang Pekak sendiri yang memahami keperluan kita sendiri. Untuk mendapatkan hidup yang samarata dengan orang lain di negara ini, kita sendiri hendaklah berusaha. Pemimpin Pekak ialah orang yang kita harapkan untuk mempertengahkan keperluan kita, hak asasi kita untuk mendapatkan perhatian dan sokongan.

Berbanding sebelum tahun 90an, hidup orang Pekak selepas itu adalah lebih baik kerana pembangunan negara kita yang rancak telah membuka peluang kepada kita menceburi dalam semua bidang pendidikan dan pekerjaan. Kita tidak perlu mengemis atau menggunakan kecacatan kita untuk mendapat pekerjaan kerana masa itu peluang adalah dimana-mana.

Bila kita ada kerja, kita ada wang dan kita mampu mengubahkan hidup kita lebih baik lagi. Orang Pekak sudah ada rumah, kereta, motorsikal dan sebaginya yang menjadi pengukur kejayaan dalam hidup masing-masing.

Bagaimana itu boleh berlaku? Ianya adalah kerana kita mempunyai kerajaan yang baik. Kerajaan yang baik adalah di pimpin oleh orang yang baik. Orang yang baik tersebut mempunyai niat dan cita-cita yang baik. Sebagai contoh, Kementerian Kewangan menjemput kita menghadiri dialog belanjawan atau bajet negara; di sebalik jemputan itu adalah niat yang baik iaitu untuk mengagihkan kemakmuran negara kita kepada orang yang memerlukan.

Dalam agama juga mengajar kita supaya bersikap adil dan membantu semua orang; sebab itu untuk menjadi pemimpin kita mesti mempunyai cita-cita dan niat yang baik.

Oleh itu apabila kita dilantik sebagai pemimpin janganlah kita salah guna kuasa yang diamanah oleh orang Pekak untuk kepentingan diri sendiri. Jangan lah kita menjadi pemimpin hanya sebab mahu glamour, dapat keluar negara, dapat mempunyai kuasa untuk menentukan tender bagi mengayakan syarikat sendiri atau pun semata-mata untuk membalas dendam dan menjatuhkan orang lain.

Saya pernah mendapat suntikan daripada Allahyarham Prof Datuk Ismail Salleh, Ivan Ho, mendiang HRM Storey, Datuk Ghazali, Puan Khatijah, Tan Sri Majid, Datuk Sayed, Mikall Chong dan ramai lagi pemimpin NGO yang mengajar saya mengenali erti pemimpin yang baik.

Semua mempunyai nada yang sama, kita yang dilantik sebagai pemimpin mesti mempunyai niat yang baik. Kata mereka kalau kita ambil duit OKU, kita akan kaya hari ini tetapi esok kita akan gagal sepanjang masa.

Kita memerlukan pemimpin yang jujur bagi memperjuangkan keperluan kita yang masih belum lengkap.

07 November 2009

Khutbah Jumaat Untuk Orang Pekak.

Solat Jumaat ialah solat fardu (dua rakaat) yang dilakukan pada hari Jumaat menggantikan solat Zohor, dan ia dilakukan secara berjemaah selepas mendengar khutbah.

Orang Pekak beragama Islam adalah wajib mengerjakan solat Jumaat dan mengikuti khutbah yang disampaikan oleh imam yang berdiri atas mimbar.

Namun kepekakan kita bukan menghalang untuk mengikuti khutbah Jumaat kerana terdapatnya teknoloji yang membantu kita mengikutinya. Bermula pada tahun 2005, MFD telah mengusahakan khutbah Jumaat di terjemahkan dalam BIM (Bahasa Isyarat Malaysia) di Masjid Negeri Selangor, Shah Alam.

Pada masa itu hanya ada jurubahasa isyarat perempuan dan terpaksa membuat terjemahan di dalam bilik imam dan disambung kepada TV LCD di ruang solat. Orang Pekak yang bersolat di masjid tersebut dapat mengikuti penyampaian khutbah secara langsung.

Ini merupakan projek perintis dan kesedaran pentingnya khutbah Jumaat dalam BIM di sampaikan kepada orang pekak di terima oleh pegawai agama dan masyarakat sekeliling.

Kemudian sisipan bahasa isyarat di siarkan dalam siaran langsung khutbah Jumaat di TV1 RTM yang diusahakan oleh JAKIM tetapi tidak dapat di ikuti oleh orang Pekak yang berada di dalam masjid.

Terdapatnya 2 buah masjid di Malaysia yang saya bersolat mempunyai perkhidmatan jurubahasa isyarat semasa khutbah Jumaat iaitu di sebuah masjid di Seksen 17 berdekatan SMV Khas Shah Alam yang mana guru sekolah menjadi jurubahasa bagi membolehkan pelajar Pekak mengikut khutbah tersebut.

Sebuah lagi di Kuala Terengganu yang mana MFD telah menyediakan jurubahasa isyarat melalui PKPT dan berkhidmat semasa solat Jumaat.

MFD tidak dapat membekalkan jurubahasa isyarat berkhidmat di masjid di seluruh negara tetapi saya amat bersyukur kerana ada beberapa buah masjid yang saya bersolat tanpa sedari membantu orang Pekak mengikut khutbah Jumaat. Masjid tersebut menggunakan powerpoint isi yang dibacakan dalam khutbah dan ditayangkan menggunakan LCD projektor.

Baru semalam semasa saya bersolat Jumaat di Kelana Jaya berdekatan dengan SSD, masjid itu menayangkan isi khutbah Jumaat dengan menggunakan 3 buah projector LCD kerana ruang masjid tersebut adalah luas.

Alhamdullilah.

01 November 2009

Apakah kita punya perasaan?

Tuhan mencipta kita sebagai manusia yang lengkap, walaupun kita tiada deria pendengaran namun kita masih dikurniakan akal dan juga perasaan.

Kepekakan kita bukan penghalang kita untuk menjadi insan yang berjaya dan bertanggungjawab kerana akal yang dikurniakan telah membantu kita mengharungi hidup dengan penuh penghormatan. Maksud saya, kita orang Pekak tidak perlu menjadi pengemis, perompak atau pembunuh untuk meneruskan kehidupan walaupun ada banyak halangan serta diskriminasi disekeliling kita; sebagai orang Pekak yang berakal kita faham akan harga diri dan tahap kemampuan kita. Kita menerima dan pasrah tanpa keluh kisah.

Akal mempunyai hubungkait dengan perasaan. Kedua-duanya bekerjasama dan saling bantu membantu. Apabila kita mahukan sesuatu kita akan berfikir baik atau buruknya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

Akal itu tidak semestinya membuat keputusan yang terbaik jika tidak diberikan input terlebih dahulu. Orang Pekak dilahir sememangnya mempunyai akal tetapi ianya bermula dengan kosong. Yang mengisinya ialah ibubapa, keluarga, sahabat, guru dan masyarakat sekeliling; mereka ini merupakan yang membentuk orang Pekak menjadi insan yang menggunakan akal. Baiknya orang Pekak itu baiknya sekeliling, buruknya orang Pekak itu buruknya pembentuk sekeliling. Ambil contoh yang mudah, jika seseorang itu masuk kedalam kolam lumpur, dia akan keluar dengan lumpur di seluruh badan.

Tulisan saya kali ini berkaitan dengan pengalaman, kejadian yang di lalui seharian bagaimana orang Pekak mempunyai perasan atau tidak. Semasa mengikuti aktiviti di selatan negara, adanya pemimpin disana memperjelaskan bencana yang menimpa di negara jiran dan sahabat Pekak menjadi mangsa di sana; orang Pekak yang hadir menyedari tanggungjawab dan menghulurkan sumbangan yang termampu.

Juga semasa hari raya saya dan keluarga melawati sahabat isteri saya yang lumpuh di utara negara dan telah meninggal dunia baru-baru ini, orang Pekak bertali arus menzairah dan menghebahkan berita tersebut. Mereka yang hadir melihat sendiri penderitaan dan mengeluarkan sumbangan walaupun tak seberapa. Sumbangan mereka adalah ikhlas, walaupun mereka bekerja kampung atau buruh kasar tetapi mereka mempunyai perasaan.

Berbeza dengan orang Pekak yang terkongkong, mereka ini memandang kosong masa depan kerana mereka tidak berpeluang untuk melihat kesusahan orang lain serta bertukar informasi bagi menilaikan baik buruknya sesuatu kerana diprogram untuk menerima keputusan dan arahan orang lain.

Di bandar besar, persaingan hebat telah mematikan perasaan orang Pekak dan menyebabkan mereka ini menjadi pentingkan diri. Apabila orang lain lebih baik daripada mereka, mereka akan berusaha untuk melebihi mereka yang lebih baik.

Jika dibiarkan perkara ini akan menyebabkan komuniti kita tidak bersatu dan menjadi lemah kerana semangat keakuan yang menebal.

Oleh itu, persatuan orang Pekak wajar memainkan peranan yang pro aktif bagi mengelakkan komuniti kita ke ambang pepecahan dan keruntuhan moral.

15 October 2009

CODA kepentingannya komunikasi.

Majoriti orang Pekak berkahwin sesama orang Pekak dan mempunyai anak yang bukan Pekak. Anak bukan Pekak dari pasangan Pekak dipanggil CODA atau Childern of Deaf Adult.

Orang Pekak lebih gembira kerana mempunyai anak bukan Pekak kerana mereka diharap akan membantu komunikasi, menjaga mereka di hari tua nanti.

Tetapi kita terkejut kerana membaca berita mengenai CODA membunuh ibu kandungan sendiri yang Pekak (laporan Bernama dibawah ini).

Oleh itu, penting sekali kita mengkukuhkan komunikasi dengan CODA kerana cara hidup mereka adalah berbeza dengan kita. Semasa anak CODA kita kecil memang mereka adalah sangat comel dan mudah dijaga tetapi apabila mereka memasuki alam remaja dan dewasa adalah berbeza. Persekitaran yang baik membentuk personaliti CODA yang baik dan komunikasi merupakan kunci utama.

Jangan abaikan anak CODA kita, jangan menjadikan mereka mangsa kepekakan kita kerana bom jangka akan meledak tanpa diduga.


Surirumah pekak, bisu ditemui mati dibunuh
06/10/2009 6:03pm


JOHOR BAHRU 6 Okt. — Seorang surirumah yang pekak dan bisu ditemui mati dibunuh di rumahnya di Kampung MIC, Ulu Tiram, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supt. Roslan Zainuddin berkata, mayat K.Malina, 47, ditemui di dalam beg kembara yang disorok di bawah sinki dapur rumahnya itu kira-kira pukul 7.30 pagi ini.

“Polis menemui mayat dalam beg berkenaan dengan keadaan separuh badan berlipat manakala tangannya diikat menggunakan kabel telefon,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini. - Bernama

09 October 2009

Bencana dan Orang Pekak

Dunia kita tidak lari dari di timpa bencana alam semulajadi. Baru-baru pelbagai bencana telah menimpa di Asia Pasifik. Bermula dengan selsema babi, gempabumi, tsunami, hujan dan taufan. Di Padang, Indonesia gempa bumi telah menyebabkan kemusnahan besar dan kematian. Di Filipina, taufan telah menyerang kepulauan tersebut dan mengakibatkan banjir besar.

Malaysia terletak di tengah Filipina dan Indonesia dan kita bernasib baik kerana dua negara tersebut menjadi benteng melindungi kita dari bencana.

Kita tidak pernah mengalami kesusahan, keperitan di timpa bencana kecuali banjir. Sistem bantuan bencana di negara kita adalah baik, apabila berlakunya bencana seperti banjir pertolongan akan mencurah masuk sehingga tak tahu apa nak buat dengan bantuan yang terlampau banyak.

MFD juga pernah melibatkan kerja sukarela membantu mangsa banjir di Johor iaitu menjadi sukarelawan di Bilik Gerakan, mencari sumbangan, pembungkusan dan jurubahasa isyarat bagi mangsa banjir.

Baru-baru ini gempa bumi di Padang, saya telah menerima SMS dari individu tidak ketahui memohon bantuan bagi pihak komuniti orang Pekak di sana. Saya sedang berurusan dengan pihak Geraktin untuk mendapat maklumat lanjut.

Di Manila, Presiden PFD memaklumkan bahawa ramai orang Pekak menjadi mangsa banjir. Saya ada menerima emel daripada sahabatnya bahawa pada 26 September, topan Ondoy menyebabkan banjir besar. Rumah mereka telah ditenggelam banjir setinggi 7 kaki dan kehilangan bumbung. Paling malang barangan dan file penting PFD yang ditumpang di rumah telah rosak. PFD belum mempunyai pejabat dan terpaksa menumpang barang penting di rumah orang Pekak.

Kawan saya menceritakan beliau dan keluarga terperangkap di tingkat 2 rumah mereka dari jam 1 petang 26 September hingga jam 4 pagi 27 September apabila banjir surut.

Mereka mengharapkan bantuan untuk memulakan hidup baru.

Oleh itu semua blogger, orang Pekak, komuniti kita yang tidak pernah mengalami kesusahan di timpa bencana; marilah kita menghulurkan sumbangan dan berkongsi kesusahan sahabat kita. Kita syukur kerana kita tidak ditimpa bencana, tetapi ingatkan bahawa kita juga mempunyai tanggungjawab untuk membantu mereka yang memerlukan. Anda semua boleh mengutip derma kilat di majlis rumah terbuka hari raya dan wang yang dikumpul akan di dermakan kepada sahabat kita di Padang dan Manila.

Sumbangan ikhlas anda akan di berkati oleh tuhan.

06 October 2009

Mesyuarat Yang Menuju Kejayaan

Semalam saya dan Sariah Ibrahim telah mewakili MFD ke Mesyuarat Penyelarasan Perlaksanaan BIM-KTBM anjuran BPK di Putrajaya. Encik Bong selaku Pengarah BPK menjadi pengerusi mesyuarat dan dihadiri oleh 2 penceramah iaitu Cikgu Lah Pekak, Puan Sadiah Ahmad, wakil JKMM, guru-guru pakar termasuk Cikgu Teh dan juga Encik Tan Chin Guan wakil NSD yang juga pro pertuturan kiu.

Mesyuarat tersebut bertujuan untuk mendapatkan kata putus pendirian KPM terhadap BIM sebagai bahasa rasmi orang Pekak dalam Akta OKU 2008 yang saya bangkitkan dalam mesyuarat Majlis OKU yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Ini adalah kerana di sekolah menggunakan BMKT/KTBM dan tidak selari dengan kehendak Akta OKU 2008. Juga dokumen antarabangsa seperti UN Convention on the Right for Disabled Person, Salamanca Framework of Action UNESCO, BMF dan sebagainya menekankan penggunaan isyarat kebangsaan untuk pendidikan di sesebuah negera itu.

Kedua penceramah telah membentangkan kertas kerja masing-masing dan memberikan sokongan kepada BIM iaitu bahasa orang Pekak dan diikuti oleh para guru pakar iaitu Cikgu Kong, Cikgu Rahman, Cikgu Teh yang memaklumkan bahawa BIM sememangnya digunakan di sekolah-sekolah sejak lama bagi membantu P&P kerana kekurangan kosa isyarat dalam BMKT/KTBM.

Cikgu Kong juga telah memaklumkan dalam mesyuarat ini bahawa beliau telah membuat kajian mengenai BIM dan didapati BIM lebih baik berbanding BMKI/KTBM dan Cikgu Teh seorang guru pekak juga menyokong BIM dan BMKT/KTBM disatukan dan membangunkan isyarat-isyarat yang mempunyai maksud tertentu.

Mesyuarat ini telah membongkar di hadapan bos mereka bagaimana warga pendidikan khas secara tidak rasmi menggunakan BIM untuk membantu murid pekak kepada penguasaan Bahasa Melayu dan subjek lain dalam kelas walaupun mengikut dasar KPM kaedah yang digunakan untuk pendidikan khas ialah BMKT/KTBM.

Rumusan mesyuarat, ahli mesyuarat bersetuju menerima penggabungan BIM-BMKT/KTBM dan akan membentangkan kertas kerja yang lengkap berserta dokumen yang menyokong permohonan ke mesyuarat Bahagian Pengurusan yang di pengerusikan oleh Tan Sri KP KPM.

Apabila mesyuarat tersebut meluluskan permohonan kita, JK akan ditubuhkan untuk tujuan tersebut iaitu menambah, memurnikan isyarat, membangunkan modul dan sebagainya. Melibatkan orang Pekak dalam pembangunan isyarat juga diwajibkan sebab bahasa itu adalah kepunyaan mereka dan mereka mempunyai hak untuk membuat keputusan yang terbaik.

Bagi saya, mesyuarat ini adalah terbaik sekali dari siri mesyuarat-mesyuarat berkaitan dengan bahasa isyarat dan pendidikan khas dari sejak zaman Puan Hajjah Wan Khalthom, Pengarah Bahagian Sekolah sehingga sekarang. Encik Bong telah menunjukkan keprofesionalismnya dalam isu ini walaupun beliau bukan berlatarbelakang pendidikan khas.

Saya setuju dengan keputusan beliau dan seperti Cikgu Rahman, saya juga mahu keputusan mesyuarat ini di rekodkan sebab sebelumnya mesyuarat penting JPK tiada direkodkan atau menghantar minit mesyuarat kepada kami dan menyukarkan kami membuat rujukan atau susulan.

Ini merupakan langkah-langkah MFD memperjuangkan BIM; sebab BIM adalah bahasa yang yang menyatukan kita semua tanpa mengira keturunan dan agama.

28 September 2009

Cerita Hari Raya 1.

Hari Sabtu 19hb September jam 3.00 petang saya dan keluarga bertolak menaiki kereta dari KL ke Sg. Tiang, Kedah. Sebelum itu saya sms kepada sahabat saya untuk mengetahui pergerakan trafik di PLUS dan dimaklumkan bahawa kesedakan dari Tapah ke Ipoh.

Dalam perjalanan selepas Tg. Malim, beberapa meter dihadapan saya tiba-tiba sebuah Proton Saga meluru keluar dari lorong laju masuk terus ke parit kecil dan terbalik 2 kali seperti filem Hollywood.

Saya memberhentikan kereta untuk membantu, seorang pemuda keluar terhoyong-hayang dan berdarah sedikit di hudung, dia selamat kerana beg udara dan tali keselamatan membantu. Harap semua kereta di negara ini diwajibkan mempunyai beg udara kerana ianya membantu mengurangkan kecederaan parah.

Kami meneruskan perjalanan dan berhenti di R&R Bukit Gantang untuk berbuka puasa dengan memakan buah-buahan kerana terlalu ramai orang di situ. Di Butterworth, jalan sesak dan kami mengambil jalan pintas melalui lebuhraya baru ke Sg. Dua. Berhenti makan char kuey tiau, yong tau foo, minum lin chee kang di R&R dekat Sg. Dua dan menyambungkan perjalananan.

Sebelum perjalanan seperti kebiasaan saya mengisi setengah tangki minyak (RM 55)supaya tidak terlalu berat dan memandu secara relaks iaitu dari 90 - 100 kmh. Walau pun meter jarak menunjukkan 300km tetapi masih ada minyak lagi iaitu tinggal 5% sahaja, kemudian saya keluar ke Sg. Petani (S) untuk mengisi minyak dan terus memandu ke Pendang dan sampai ke Sg. Tiang dengan selamat.

Semasa memandu dengan 3 anak bawah 11 tahun memerlukan perancangan supaya mereka tidak bosan, tidak selesa dan membuat hal. Kami sering berbicara cara memandu dengan selamat dan mengambil contoh kemalangan yang kami lihat. Juga kereta kami Honda CRV mempunyai pemain DVD dan cerita Tom and Jerry, Madagascar 2 membuat mereka tidak menjadi bosan.

Berbanding sebelum itu semasa bujang, saya balik kampung naik keretapi mel malam dan duduk atas lantai atau atas tangga. Sampai di Ipoh jam 2 pagi dan tidur di bangku yang penuh pijat di setesen semantara menunggu bas pertama ke Lumut jam 7.00 pagi di Medan Kidd.

Apabila saya berkahwin anak satu, kami pulang ke kampung menaiki bas Mara, sampai ke Alor Setar jam 4 - 5 pagi. Mau tak mahu terpaksa sambung naik teksi sapu ke Sg. Tiang habis RM 60 sekali perjalanan.

Sekarang, kemakmuran negara kita ini dapat di kongsi oleh semua termasuk OKU seperti saya. Walaupun bekerja bersama dengan NGO, namun masih dimurahkan rezeki serta dapat memberikan keselesaan kepada anak kami.

Terima kasih kerajaan Malaysia, jangan cakap saya mudah lupa.

18 September 2009

Dua Cerita.

Semalam saya cari akhbar yang menyiarkan berita gembira wira Deaflympic kita yang selamat pulang ke tanah air membawa pingat. Tak ada. Saya tanya kawan-kawan saya samaada berita tersebut keluar dalam tv atau akhbar. Jawapannya tak ada.

Saya masih ingat apabila ahli sukan cacat Malaysia yang pulang membawa pingat dari Paralimpic Beijing mendapat liputan di akhbar, tv. Ada VVIP tunggu mereka di KLIA.

Dua cerita yang berbeza. Nampaknya komuniti kita wajar bersatu, bekerja kuat supaya orang akan memandang, menghormati dan menyanjungi kita.

Tahniah wira Malaysia.

15 September 2009

Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Teman saya bertanya, “Li, ko balik kampung tak?”

“ Raya kat mana?”

“Aku nak datang ke rumah ko untuk raya boleh tak?”

“Li, Selamat Hari Raya. Maaf Zahir dan Batin”

Pabila raya menjelma, gurau senda mengungkap ayat seperti di atas, inilah agama ku indahnya menyatukan umat tanpa mengira warna di muka bumi ini.

Sebulan kita berpuasa, sebulan kita menahan diri menghadapi dugaan tetapi betapa indahnya sebulan kita dapat mengeratkan tali persaudaraan melalui sembahyang tarawikh dan program Ehya Ramadhan. Kita saling bertukar dari kad raya, sms, mms dan emel mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin dan hubungan kita bertambah erat lagi.

Tahun ini, bagi menghormati suara majoriti anak-anak saya, keluarga saya akan beraya di Sg. Tiang Kedah rumah isteri saya. Lepas itu kami akan ke Pulau Langkawi dan kemudian pulang ke KL selepas singgah di Sitiawan Perak kerana seorang anak perempuan saya akan menduduki PMR dan seorang lagi SPM.

“Selamat Hari Raya”

“Banyak buat kueh raya ke?”

“Ko masak apa raya ni?”

Selamat Hari Raya semua, maaf zahir dan batin.

14 September 2009

Pingat Kedua Malaysia

Pemain veteren Malaysia Thomas Teh dan Yeo Kok Fang telah kalah kepada pasangan Russia dalam pertandingan akhir badminton beregu dan memenangi pingat perak di Deaflympic 2009.

Kedudukan Malaysia naik ke tangga 40 dari 84 negara yang menyertai dengan memenangi 1 pingat perak dan 1 gangsa.

Pemain kita berjaya membawa balik pingat dari Deaflympic iaitu sukan yang teringgi bagi orang Pekak dan berjaya menaikkan nama negara. Tahniah.

Habuan (hadiah wang tunai) akan menunggu mereka sekembali ke Malaysia nanti dan harap tidak berlaku lagi peristiwa pemenang kita kempunan habuan daripada kerajaan Malaysia walaupun memenangi pingat dari Deaflympic Melbourne.

Informasi : P1 Wimax

Jumlah orang Pekak di Malaysia menggunakan webchat adalah tinggi, mereka menggunakan camfrog atau skype untuk berhubung satu sama lain. Namun talian broadband di negara kita adalah masih perlahan dan gambar webchat selalunya kabur atau pecah-pecah.

Untuk makluman, P1 wimax menyediakan perkhidmatan khas untuk OKU bagi menggunakan broadband. Dengan menggunakan wimax kita dapat melayari internet dengan lebih pantas dan juga menggunakan webchat dengan lebih jelas.

Jika berminat, anda perlu mendaftar terus di P1 P@ddock dan P1 PITSTOP yang berdekatan, sila tunjukkan IC dan Kad OKU. Pakej yang ditetapkan ialah RM 40 sebulan bagi 24 bulan kontrak dengan kelajuan muat turun 1.2mbbps dan muat naik 500 kbps.

Sebelum mendaftar sila dapatkan informasi samaada tempat anda di dalam rangkaian wimax. Jika tidak dalam rangkaian wimax, jangan melangganinya.

11 September 2009

Perkhidmatan Jurubahasa Isyarat : Dulu dan kini..

1. Orang Pekak berkomunikasi menggunakan bahasa non verbal iaitu bahasa isyarat. Bahasa Isyarat Malaysia atau nama ringkasnya BIM telah menjadi bahasa rasmi orang Pekak di negara kita seperti yang termaktub dalam Akta OKU 2008.

2. Untuk intergrasi ke dalam masyarakat kita memerlukan jambatan komunikasi iaitu jurubahasa isyarat. Fungsi jurubahasa isyarat ialah menterjemahkan apa yang di cakapkan oleh orang mendengar ke bahasa isyarat dan apabila kita menjawab dalam bahasa isyarat, jurubahasa tersebut akan menterjemah isyarat kita kepada bahasa pertuturan. Dengan cara tersebut komunikasi dua hala dapat diwujudkan.

3.Siapakah jurubahasa isyarat yang pertama di negara kita? Tiada rekod yang mengesahkan individu menjadi jurubahasa isyarat yang pertama di Malaysia. Namun kita percaya apabila adanya orang Pekak, ibubapa, keluarga atau saudara mara atau sahabat handai orang Pekak bertindak sebagai jurubahasa isyarat atu penterjemah yang tidak bertauliah bagi membantu komunikasi orang Pekak tersebut dengan masyarkat sekeliling.

4. Pada awal tahun 1960 an, Encik Tan Yap seorang ahli farmasi dari Johor melibatkan diri dalam dunia orang Pekak dan menjadi jurubahasa isyarat di mahkamah. Beliau banyak membantu program Kelab Belia Orang Pekak yang dipimpin oleh Low Poh Wing sebagai jurubahasa isyarat. Tan Yap menguasai Bahasa Isyarat Amerika atau ASL yang dipelajari dari Gallaudet University dan mendapat lesen sebagai jurubahasa isyarat daripada Registry of Interpreter for the Deaf (RID), Amerika Syarikat.

5. Pada tahun 80an, semasa saya menjadi pemimpin di Kelab Pekak Kuala Lumpur yang beroperasi di YMCA Brickfields; Eddie Yuen Tong Ming, sahabat karib saya bertindak sebagai jurubahasa isyarat dan melalui perkhidmatan beliau saya dapat merancangkan pelbagai program Kelab Pekak Kuala Lumpur seperti Perlawanan Persahabatan Malaysia-Singapura di Singapura, Kem Kepimpinan Belia Pekak di PD yang pertama dan sebagainya. Perkhidmatan jurubahasa telah memudahkan perlaksanaan program komuniti Pekak, berkomunikasi dengan pihak atasan YMCA iaitu Encik Andy Chin, Programme Executive pada masa itu bagi mendapatkan sokongan.

6. Bagi kes polis dan mahkamah yang melibatkan orang Pekak, guru sekolah khas Pekak akan dijemput oleh polis atau makhamah untuk menjadi jurubahasa isyarat sebab tiada jurubahasa isyarat bertauliah pada masa itu. Sijil perguruan dan bekerja di sekolah Pekak telah menjadi lesen untuk menjadi jurubahasa bagi kes tersebut. Namun berlakunya masalah komunikasi dengan pesalah pekak yang tidak pernah bersekolah kerana ia menggunakan isyarat yang berbeza daripada yang digunakan oleh guru di sekolah iatu BMKT/KTBM.

7. Saya pernah menjadi jurubahasa isyarat kepada pesalah pekak yang tidak pernah bersekolah di kes polis dan mahkamah, cabaran berat ialah untuk membuat pesalah pekak tersebut memahami apa yang di dakwa terhadapnya.

8. Pada masa itu, ramai yang tidak faham fungsi jurubahasa isyarat dan kepentingannya untuk orang Pekak. Tiada latihan jurubahasa isyarat di anjurkan dan badan yang mentauliahkannya. Oleh itu sesiapa sahaja yang boleh menguasai isyarat akan menjadi jurubahasa isyarat tidak rasmi bagi kes-kes tertentu yang dipohon oleh orang Pekak. Namun jumlah mereka yang mampu berisyarat dan menjadi jurubahasa adalah kurang.
Kekurangan jurubahasa isyarat juga telah memaksa orang Pekak berurus dengan masyarakat melalui tulisan, membaca gerak bibir dan mimik. Kadang-kadang salah komunikasi menyebabkan menjadi bahan ketawa, perbudakkan dan bahan simpati.

9. Saya masih ingat, semasa saya berurusan tanpa jurubahasa, saya mempergunakan kebolehan pertuturan saya dan adakalanya saya dapat membaca rautmuka orang yang saya berbincang berkerut untuk memahami ungkapan saya kerana suara saya tidak bagitu jelas.

10. Saya pernah menggunakan kaedah bertulis tetapi bukan semua menunjukkan minat untuk berurusan cara ini sebab kesibukan mereka. Bahasa badan mereka dapat saya fahami, komunikasi tulisan adalah amat terhad dan merimaskan.

11. Apabila saya menggunakan perkhidmatan jurubahasa isyarat, komunikasi kelihatan lancar kerana saya dapat mengikuti perbincangan tetapi kesukaran tetap ada iaitu apabila saya ingin mentuturkan pendapat atau maklumbalas saya.

12. Oleh itu, jurubahasa isyarat bukan hanya menterjemahkan suara kepada isyarat tetapi juga menterjemahkan isyarat ke suara. Ini memerlukan kepakaran yang tinggi.

13. Kebetulan semasa saya menerajui Kelab Pekak pada awal tahun 80an, tiada program keagamaan untuk orang Pekak beragama Islam, terdapatnya orang Pekak mengikut ajaran bukan Islam di YMCA kerana kekosongan jiwa serta sikap ingin tahu. Aura kebangkitan Islam pada masa itu mulai sampai kepada orang Pekak sehingga adanya orang Pekak mengikuti ajaran Kumpuan Al-Aqram. Mereka pula pandai menimbulkan isu halal-haram kerana saya sebagai orang Islam dipertikaikan kerana beroperasi di tempat bukan Islam iaitu YMCA.

14. Bagi mengelakkan perkara buruk berlaku, saya terjumpa Syed dan isterinya Sharifah (bukan Pekak) di program Kelab Pekak. Beliau telah mendengar isu yang saya bangkitkan dengan minat dan kemudian membawa saya berjumpa Datuk Hamid Othman dan kemudian Datuk Yusoff Noor yang merupakan Pengarah Puat Islam pada masa itu. Kesempatan tersebut saya gunakan untuk memaklumkan keperluan orang Pekak mendapatkan ajaran agama Islam dan mereka bersetuju untuk menyokong memulakan program Kelas Bimbingan tersebut.

15. Tan Lee Bee akan diingati sebagai jurubahasa isyarat di Kelas Bimbingan Agama Islam Untuk Orang Pekak yang di Pusat Islam Malaysia pada awal 80an. Walaupun Lee Bee bukan orang Islam, namun pihak kita terpaksa menerimanya sebagai jurubahasa isyarat bagi membantu ustaz menyampaikan dakwah sehingga Khairunissa Kho mengambil alih. Isu jurubahasa isyarat dan isyarat yang tak sesuai untuk agama Islam pernah menjadi isu hangat dalam akhbar dan mendapat teguran daripada DYAM Sultan Selangor.

16. Sampai sekarang program tersebut masih di laksanakan, berkembang di seluruh negara dan aktiviti bertambah termasuk adanya jurubahasa isyarat.

17. Saya telah dilantik memimpin SHIMA sekarang KLSD pada tahun 1987, saya terpaksa mendapatkan bantuan guru sekolah Selangor School for the Deaf (SSD) sebagai jurubahasa isyarat. Mereka ialah Rose Ng, Tan Lee Bee, Khairunisa Khoo dan lain-lain untuk membantu saya dalam urusan rasmi selepas waktu sekolah atau waktu mereka yang terluang. Saya tidk mahu menggunakan tenaga mereka di waktu pagi kerana tidak mahu mengganggu tugas mereka menyampai ilmu kepada kanak-kanak Pekak.

18. Semasa saya menjadi guru sandaran di SRPK Kg Baru, Kuala Lumpur, Cikgu Hafizah menjadi jurubahasa dalam program XPCD Gunung Tahan dengan kerjasama Persatuan Mendaki Malaysia pada tahun 1989. Program tersebut adalah amat berjaya tetapi selepas itu hubungan kami terputus.

19. Bagi program antarabangsa, saya dilantik menjadi wakil WFD ke mesyuarat UNESCO Rantau Asia Pasifik pada tahun 1993 di Hanoi, Vietnam dan saya membawa Lucy Lim sebagai jurubahasa. Mesyuarat peringkat antarabangsa adalah menggunakan English yang tinggi dan saya menyuruh Lucy Lim menterjemahkannya ke Bahasa Melayu tetapi tidak dapat dibuat. Lucy Lim adalah masih baru dalam bidang ini dan bekerja di Pusat Maju Diri Y setelah bekerja dengan SSD.

20. Tidak dinafikan perkhidmatan jurubahasa isyarat telah banyak membantu komuniti kita untuk mendapatkan apa yang kita mahukan serta menjadi telinga dan suara kita.
Ketiadaan latihan telah menyebabkan salahlaku etika yang mengakibatkan keresahan dan tidak puashati orang Pekak, salah faham, permusuhan dan perkara yang luar batasan. Paling menydihkan timbul pula isu “tanpa jurubahasa orang pekak tak mampu maju”
Namun orang Pekak terpaksa bersabar atau menebalkan muka kerana keperluan komunikasi adalah penting bagi mereka.

21. Dari pengalaman buruk orang Pekak itu, KLSD merintis usaha menyediakan perkhidmatan jurubahasa isyarat untuk orang Pekak secara sepenuh masa pada tahun 1996. Norijan Yahya ialah jurubahasa isyarat pertama yang diambil bekerja dengan KLSD dan diikuti oleh Hafidah Awaluddin, Wan Zuraidah dan Tan Lee Bee.

22. Perkhidmatan yang di sediakan oleh KLSD telah menjadi popular kerana tidak mengenakan bayaran iaitu dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang hari kerja. Bagi perkhidmatan yang luar masa yang ditetapkan dan tempat yang melebihi 10 km dari pejabat KLSD, klien hendaklah bertanggungjawab untuk membayar kos pengangkutan dan juga token untuk jurubahasa isyarat.

23. Pelatih baru iaitu Siti Zubaidah, Rosmadi Darus, Hisham Alwi, Lydiawati, Jo Ong , Goh Soon Leng dan berapa orang lagi yang saya lupa namanya telah diterima bagi meramaikan perkhidmatan untuk orang Pekak.

24. Ambilan jurubahasa isyarat yang ramai tersebut telah memberikan implikasi kewangan kepada organisasi kami, oleh itu kami terpaksa turun padang untuk mencari dana membayar gaji. Pelbagai cara yang kami lakukan untuk mencari dana seperti menghantar surat memohon derma dari rumah kerumah sehingga pernah di kejar anjing, mengutip derma, jualan pakaian dan barang terpakai dan sebagainya.

25. Saya pernah memohon peruntukan daripada kerajaan tetapi mereka masih kurang jelas akan keperluan ini. Juga tiada skim jurubahasa isyarat dan dasar Jabatan Kebajikan Masyarakat hanya membantu OKU dan jurubahasa isyarat bukannya OKU. Hanya dapat sedikit sahaja.

26. Maka kita terpaksa berusaha sendiri, kita ke sana ke mari dan turun naik mencari sokongan dan bantuan. Kita terus mempromosikan jurubahasa isyarat dan menceritakan kesedihan komuniti kita tanpa komunikasi. Kita adakalanya terpaksa “main kotor” dengan menimbukan dasar-dasar kerajaan yang sedia ada yang tidak sampai kepada komuniti kita.

27. Alhamdulilah, perjuangan ikhlas kita berjaya juga akhirnya. Kita sekarang sudah mempunyai jurubahasa isyarat yang terlatih dan beretika, latihan sudah sampai peringkat diploma di sebuah universiti, IPTA di negara kita sudah mempunyai ‘in-house’ jurubahasa isyarat, hampir seluruh negara sudah mempunyai perkhidmatan tersebut. Walau masih banyak perkara yang perlu di bereskan seperti menubuhkan badan pentauliahan yang akan membuat penilaian atau pentaksiran kemahiran jurubahasa isyarat kita dan sebagainya, namun saya percaya menjelang 2020 komunikasi tanpa halangan akan menjadi kenyataan. Insyallah.

09 September 2009

Deaflympic 2009 : Pingat Pertama Malaysia

Semalam saya menerima sms dari sahabat memaklumkan bahawa Malaysia telah mengutip pingat gangsa dalam acara bowling perseorangan. Saya membuka laman web dan telah mengesahkan bahawa Zaidi Awang pemain dari Kelantan telah menduduki tempat ketiga di belakang pemain USA dan Korea.

Tahniah Zaidi, saya masih ingat dia merupakan seorang Pekak yang pertama terpilih sebagai pemain remaja yang mewakili negara di kejohanan dalam dan luar negara pada tahun 80an.

Zaidi telah menyertai 2 edisi Deaflympic iaitu di Rom dan Melbourne tetapi gagal membawa pulang pingat.

Kejayaan Zaidi memenangi pingat untuk negara di Deaflympic 2009, merupakan satu contoh semangat tinggi beliau yang tidak kenal putus asa.

Tahniah.

Malaysia Boleh.

01 September 2009

Terima kasih 2.

Jam 3.45 saya baru menghantar posting bertajuk Merdeka. Kaunter pelawat blog saya ialah 5,000 hit. Terima kasih para pembaca.

Selamat berpuasa.

Merdeka!

Apakah orang Pekak memahami apakah maksud merdeka?

52 tahun negara kita merdeka, kita bangga kerana menjadi rakyat Malaysia kerana sekarang banyak yang orang Pekak perolehi.

Kita mempunyai Akta OKU 2008 dan Bahasa Isyarat Malaysia telah menjadi bahasa rasmi orang Pekak. Kita mempunyai Senator OKU, Ahli Majlis OKU untuk memastikan peruntukan dalam Akta OKU tersebut dipenuhi.

Kerajaan kita juga telah menubuhkan Jabatan Pembangunan OKU dibawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia serta menyediakan dasar dan pelan tindakan pembangunan OKU.

Sekarang peluang adalah terbuka luas, OKU boleh mendapatkan pendidikan tinggi di mana-mana universiti, kolej dan sebagainya. Bagi pelajar Pekak yang belajar disana, perkhidmatan jurubahasa isyarat juga disediakan.

Sekolah khas rendah adalah terbaik di rantau ini, ramai pelawat yang saya bawa melawat sekolah tersebut melahirkan rasa amat kagum dengan infrastrukturnya. Bagitu juga sekolah menengah vokasional kita. Kita juga mempunyai guru Pekak sendiri yang memikul tanggungjawab untuk mendidik generasi Pekak kita.

Peluang pekerjaan untuk orang Pekak boleh didapati di mana-mana, sama ada di sektor awam atau swasta. Jika kita mempunyai kelayakan kita bernasib baik mendapat pekerjaan yang baik dan sesuai untuk menjamin masa hadapan kita dan keluarga. Kita juga boleh menjadi peniaga yang berjaya.

Ramai orang Pekak juga mempunyai motorsikal, kereta, rumah, peralatan ICT dan harta. Makan dan pakaian pun berkualiti. Kita mempunyai wang dan pergi bercuti di luar dan dalam negara.

Apa yang kita peroleh adalah kerana kita tinggal di negara yang merdeka.

Terima kasih Malaysia.

25 August 2009

Deaflympic 2009

1. Deaflympic edisi ke 21 akan berlangsung dari 5 hingga 15hb Sebtember 2009 ini di Taipei, Taiwan. Deaflympic atau Sukan Olimpik Untuk Orang Pekak adalah khusus untuk orang Pekak yang mempunyai tahap pendengaran sekurang-kurangnya 55 desible (3-tone frequency average at 500, 1000 and 2000 Hertz, ISO 1969 Standard).

2. Sehingga posting ini saya dimaklumkan bahawa Deaflympic 2009 telah mencipta rekod baru iaitu lebih 4,200 atlit dari 85 negara telah mengesahkan penyertaan mereka. Terdapatnya 12 acara yang dipertandingkan di sana.

3. Malaysia akan menghantar 6 orang atlit mengambil bahagian dalam acara badminton dan bowling ke Deaflympic 2009.

4. Semasa saya bekerja di KLSD pada tahun 1993, buat kali pertama dalam sejarah komuniti orang Pekak di Malaysia saya telah menghantar kontinjen Malaysia ke World Games for the Deaf (nama sebelum Deaflympic) ke 17 di Sofia, Bulgaria. Kontinjen kita mengandungi 5 orang atlit dan 5 pegawai.

5. Kontinjen kita mendapat tajaan RM 10,000 daripada Majlis Sukan Orang Cacat Malaysia (sekarang Majlis Paralimpik) dan selebihnya kita cari sumbangan dari syarikat swasta. Untuk menaikkan imej negara kita, kita mengeluarkan wang sendiri sebanyak RM 300 untuk membeli kot yang akan dipakai semasa lintas hormat.

6. Pasukan kita telah berjaya membawa balik 2 pingat perak dari acara badminton dan daripada itu telah menaikkan semangat memulakan pembangunan sukan orang Pekak di negara kita.

7. Pada tahun 1996, KLSD anjurkan Sukan Orang Pekak Asia Pasifik dan kemudian MSFD mengganti KLSD dalam pembangunan sukan orang Pekak telah menganjurkan kejohan Badminton Asia Pasifik buat pertama kali. Dari itu aktiviti sukan untuk orang Pekak di Malaysia diiktiraf dan mendapat tempat.

8. Tahun 2000, sebagai penasihat MSFD saya membantu MSFD untuk mendapatkan peruntukan penuh dari kerajaan Malaysia menghantar kontinjen ke Sukan Orang Pekak Asia Pacific di Taipei dan menjadi permulaan bagi komuniti kita tidak lagi mengeluarkan wang sesen dari poket sendiri untuk menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa.

9. Sebagai contoh penyertaan kita ke Deaflympik di Rome pada tahun 2001 juga telah mendapat tajaan penuh daripada Kerajaan Malaysia dan saya mencadangkan Kamarzaman Harun Presiden MSFD sekarang menguruskan persiapan kontinjen walaupun mendapat tentangan. Walaupun saya sibuk dan bukan dalam MSFD, saya telah diberikan penghormatan untuk bersama-sama ke Rome.

10. Bagi Deaflympic Melbourne 2004, terdapatnya masalah kewangan di saat terakhir walaupun kontinjen Malaysia mendapat tajaan daripada Mel Bridge. Mel Bridge hanya menyumbang tiket kapal terbang dan hotel tetapi tidak makan minum semasa di Melbourne.

11. 5 hari sebelum kontinjen berlepas ke Melbourne, Syed Osman ada berjumpa saya dan memohon bantuan. Saya berjaya mendapatkan RM 10,000 tunai daripada MPM sebagai wang saku para atlit sahaja.

12. Untuk menyertai Deaflympik bukan satu yang mudah kerana ianya memerlukan peruntukan yang banyak. Saya terbaca berita dari UK bahawa orang Pekak di sana menurunkan tandatangan petisyen memohon peruntukan untuk kontinjen Britain ke Deaflympic 2009. Badan penyelaras sukan UK Sports telah membuat keputusan pada Mac 2008 menolak permohonan orang Pekak kerana UK Sports meletakkan keutamaan kepada sukan Olimpik dan Paralimpik dan atlit.

Nasib orang Pekak di UK dan Malaysia adalah berbeza.

21 August 2009

Selamat Berpuasa

Esok puasa.

Saya masih ingat semasa saya kecil emak saya menulis nota niat puasa untuk malam pertama iaitu "Sahaja aku puasa sebulan Ramadhan kerana Allahtaala" iaitu niat permulaan bagi bulan Ramahdan.

Kemudian hari kedua emak saya menulis lagi nota "Sahaja aku puasa esok hari bulan Ramadhan kerana Allahtaala".

Sebagai orang Pekak saya kesukaran untuk mengingat niat dalam Bahasa Arab bermula dengan "nawaitu......" namun saya percaya niat dalam Bahasa Melayu dan amalan yang di tuntut dalam bulan puasa adalah penting.

Oleh itu kepada semua pembaca yang beragama Islam, saya ucapkan Selamat Berpuasa.

18 August 2009

Bahasa Isyarat Malaysia dan Bahasa Melayu

Saya telah membaca tulisan Firdaus, Amir Hamidi dan jawapan Puan Saadiah Ahmad mengenai BIM/BMKT/KTBM.

Saya perlu menjelaskan kepada semua supaya tulisan mereka tidak mengelirukan banyak pihak kerana ianya akan menjejaskan perjuangan kita agar BIM digunakan di sekolah-sekolah.

BIM di haramkan di sekolah-sekolah Pekak.

Hakikatnya adalah benar dan saya bagikan beberapa contoh :

Semasa saya hadir ke program anjuran JPK berkaitan dengan BIM/KTBM, terdengar (melalui jurubahasa isyarat) arahan pegawai JPK supaya peserta jangan ambil peduli apa yang saya cakap sebab dasar Pendidikan Khas iaitu KTBM adalah sudah jelas.

Wawancana Permaufakatan di Hotel Plaza Kuala Lumpur anjuran JPK pada tahun 2004 yang dihadiri oleh pegawai JPN, guru khas seluruh negara, ibubapa telah mengeluarkan resolusi mengiktiraf BIM. Tapi hari ini resolusi itu entah kemana.

Juga Bengkel Pemurnian KTBM di Melaka mencadangkan kerjasama MFD/JPK untuk mengeluarkan isyarat baru kerana isyarat tersebut kepunyaan orang Pekak tetapi cadangan tersebut hilang sampai hari ini.

Kedua perkara tersebut tidak juga dibentang ke mesyuarat tertinggi iaitu Majlis Penasihat Pendidikan Khas yang mana saya sendiri sebagai JKnya, walaupun dipengerusikan oleh KP atau TKP. Saya ada membangkitkan isu tetapi seperti Cikgu Teh ianya dipandang sepi.

Saya tidak nafikan BIM di gunakan oleh guru-guru secara sembunyi atau secara terang kerana tiada pegawai JPK atau pengetua atau guru besar yang faham berisyarat untuk menghalang penggunaannya.

BIM serpihan BMKT/KTBM?

Ada ayat dalam kitab Injil Perjanjian Lama dan Baru, kitab orang Yahudi Talmund yang mengatakan kewujudan orang Pekak dan isyarat.

Ahli falasafah Socrates ada menulis mengenai orang Pekak dan isyaratnya. Juga dalam AlQuran ada menyatakan orang Pekak dan isyarat dalam surahnya. Orang pekak beribu-ribu tahun sudah ada bahasa isyarat untuk berkomunikasi antara mereka dan masyarakat sekeliling.

Di negara kita sejak zaman Parameswara atau sebelumnya ada menyatakan orang Pekak, ianya boleh didapati dalam Hikayat Melayu Lama yang menyebut 'orang pekak tertanya-tanya'. Saya percaya kita sudah mempunyai cara komunikasi tersendiri tetapi tiada kajian dibuat.

Di awal FSD, kanak-kanak Pekak menggunakan isyarat tempatan yang digunakan semasa berkomunikasi di rumah untuk berkomunikasi dengan rakan sebaya di FSD.

BMKT berasal dari ASL, BMKT tidak memberikan ruang kepada isyarat tempatan sebab tiada organisasi yang memperjuangkan identiti orang Pekak pada masa itu. Tiada bijak pandai orang Pekak pada masa itu untuk memperbetulkan keadaan.

Apabila kita menggunakan BMKT yang berasaskan ASL, orang Pekak luar melihat kita tiada identiti sendiri kerana menggunakan bahasa ASL.

Pada tahun 2000 organisasi kita bangga kerana telah berjaya mengumpulkan isyarat tempatan, mencipta isyarat baru dan mengambil isyarat luar dan dijadikan sebagai isyarat nasional iaitu BIM.

Apabila BIM dibukukan, ramai yang kata BIM ada persamaan dengan BMKT/KTBM dan saya bersimpati jika ada orang Pekak sendiri menuduh BIM sebagai serpihan BMKT.

Sebenarnya semasa mesyuarat panel BIM yang terdiri dari perwakilan orang Pekak daripada seluruh negara bertempat di MAKPEM Sentul tahun 1999 telah setuju supaya isyarat ASL yang ada dalam BMKT di gunakan dalam BIM supaya tidak mengelirukan kanak-kanak Pekak kita serta menyatukan komuniti kita dengan pihak sekolah.

Tak salah kalau kita meminjam bahasa asing, Bahasa Melayu juga mempunyai bahasa asing. ASL juga diambil dari Bahasa Isyarat Perancis.

Bolehkah BIM membantu orang Pekak menguasai Bahasa Melayu?

Jawapannya BOLEH - tiada yang mustahil. Di USA menggunakan ASL untuk mengajar English, di UK menggunakan BSL untuk mengajar English, di Australia menggunakan Auslan untuk mengajar English. Ketiga-tiga bahasa isyarat tersebut adalah tidak sama, namun orang Pekak di situ mampu menguasai English dan belajar sehingga universiti serta memegang jawatan tinggi.

Ramai pemimpin di WFD/Deaflympic juga mahir dalam English yang dipelajari melalui bahasa isyarat negara mereka.

Janganlah memperlekehkan BIM. Hati-hati membuat kenyataan.

Buka matalah, pemimpin kita Tun Mahatir, Tun Abdullah juga lahir sebagai orang Melayu. Bahasa Melayu mereka membantu mereka menguasai English dan mereka mendapat tempat di arena antarabangsa.

Oleh itu BIM boleh membantu generasi Pekak kita menguasai Bahasa Melayu.

17 August 2009

Diskriminasi Terhadap Pelajar Pekak : Kerajaan di hukum

Saya telah menerima berita daripada WFD berkaitan dengan Kerajaan Flemish di Belgium yang dihukum kerana diskriminasi terhadap pelajar Pekak. Pelajar tersebut tidak dapat mengikuti sepenuhnya pembelajaran di kelas kerana kekurangan perkhidmatan jurubahasa isyarat.

4 orang ibubapa anak Pekak telah membawa perkara tersebut di mahkamah dan mengakibatkan kerajaan di hukum.

Berita tersebut adalah dalam English. Selamat membaca.


Press release

Milestone for equal educational opportunities for deaf students: Flemish government sentenced for discrimination.

The court in Ghent has sentenced the Flemish government for refusal of reasonable accommodations for persons with disabilities – a legal form of discrimination. With this sentence, the demands of three deaf students and their parents are granted. The Flemish Deaf Association is very pleased with this outcome.

In March 2009, four parents submitted a formal complaint against the Flemish minister of Education and several Flemish schools to claim the right to accessible inclusive education for their deaf children. The parents were witnessing how their children, due to a huge shortage of interpreting service hours in the classroom, are denied communication and access to education during more than half of their teaching time. The children concerned can only use the service of a Flemish Sign Language Interpreter for an average of 7 out of 30 teaching hours. Also, the procedure for applying for these interpreting services was not meeting the minimal demands of transparency and objectivity.

The court of Ghent has indeed found the Flemish government guilty of discrimination, because the current amount of interpreting service hours of the deaf students is a refusal of reasonable accommodations for persons with disabilities.

Fevlado is very pleased with this fundamental sentence of the Ghent court and calls this an important milestone for equal educational opportunities for deaf students. After more than 10 years (when for the first time, a Flemish deaf student could use an interpreter in education) the right of all deaf children and young people for equal educational opportunities is now finally recognized. This is all the more important since Flemish deaf schools can’t grant diplomas. So if deaf students want to have access to higher education and to the labour market, they have no other choice than to go to mainstream hearing schools. This is only possible for them if these hearing schools are fully accessible by means of Flemish Sign Language interpreters.

Fevlado hopes that the new Flemish minister of Education and Equal Opportunities will provide the necessary reasonable accommodations –not only for the three students concerned, but for all deaf children, young people and adults in secondary, higher en adult education now and in the future.

This is the link for the full press release: http://www.fevlado.be/nieuws/media/Pressrelease2029July2009.pdf

For more information you can contact Fevlado: belangenverdediging@fevlado.be

05 August 2009

Mesyuarat Yang Hampir Tak Berjaya

1. Pada 31 Julai 2009, saya telah hadir mewakili MFD ke Mesyuarat Kaedah Penyampaian Pengajaran dan Pembelajaran anjuran Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran yang lalu. Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh pegawai Bahagian Pendidikan Khas, JPN, Pensyarah USM termasuk Guru Pakar iaitu Cikgu Teh dari FSD dan duduk di sebelah saya berkongsi jurubahasa isyarat dari MFD.

2. Mesyuarat tersebut telah bertukar kepada perbahasan yang hangat mengenai BIM, KTBM dan BMKT.

3. Sebenarnya tujuan mesyuarat tersebut ialah untuk memberikan nama yang sesuai subjek baru ‘bahasa isyarat’ yang akan di masukkan dalam jadual pembelajaran di sekolah-sekolah khas. Saya menyokong usaha ini kerana ianya adalah peluang terbaik untuk orang Pekak mempelajari bahasa ibunda (bahasa pertama) di peringkat awal.

4. Dalam jangka masa panjang, orang Pekak akan mendapat manfaat dari projek ini kerana kita akan menjadi tenaga pengajar ‘bahasa isyarat’ sebab kita adalah orang yang paling sesuai mengajarnya. Untuk menjadi seorang guru perlu mempunyai kelulusan khusus, oleh itu ‘bahasa isyarat’ akan menjadi subjek di universiti.

5. Terbayang saya tertubuhnya fakulti ‘bahasa isyarat’ di universiti dan orang Pekak menjadi pensyarah kepada bakal guru-guru ‘bahasa isyarat’, serta pegawai Pekak yang berkhidmat di LPM untuk membangunkan kertas peperiksaan di peringkat UPSR, PMR, SMP, STPM dan seterusnya.

6. Namun saya masih tidak faham mengapa pihak disana masih tidak mahu menerima BIM untuk di namakan sebagai subjek tersebut walhal BIM telah diluluskan di Parlimen Malaysia sebagai bahasa rasmi orang Pekak di Malaysia dalam Akta OKU 2008 juga telah mendapat perkenan DiRaja serta di wartakan?

7. Jawapanya ialah mereka tak yakin dengan kemampuan BIM yang membolehkan orang Pekak menulis BM dengan baik. Jadi apakah kaedah yang sesuai pada pendapat mereka? Cikgu Teh seorang guru pakar, pemegang Sarjana dan sebagai seorang Pekak sendiri memaklumkan bahawa BMKT/KTBM tidak sesuai dan telah gagal membantu untuk menguasai BM tetapi kenyataan beliau di pandang sepi.

8. Sekarang timbul pula jenama baru iaitu ‘Bahasa Isyarat : Mode Komunikasi Menyeluruh’.... walahulalam.

31 July 2009

Mesyuarat Yang Berjaya.

Gallaudet University meletakkan sasaran untuk menubuhkan 4 buah cawangan antarabangsa mereka di seluruh dunia menjelang 2015. Semasa mesyuarat di Pulau Pinang, USM telah menawarkan diri untuk menjadi rakan Gallaudet University.

Mesyuarat khas di MFD pada 29hb Julai 2009 adalah sangat berjaya, pihak MOHE telah menyambut baik cadangan tersebut juga MOE dan JKMM. Ahli Majlis MFD juga sebelumnya sudah meluluskan untuk menyokong cadangan kerjasama dengan Gallaudet University tersebut.

Wakil Gallaudet University amat kagum dengan kita yang bersungguh-sungguh untuk menjadikan Malaysia sebagai hub pendidikan tinggi orang Pekak. Mereka akan melaporkan berita baik kepada pihak atasan mereka dan kita masih perlu berdoa supaya akan menjadi kenyataan.

Terima kasih semua. MOHE, MOE, JKMM, USM, Ahli Majlis MFD, staf MFD dan semua yang terlibat.

28 July 2009

Kelas Bahasa Isyarat Malaysia di Pulau Pinang

Ahli Gabungan MFD iaitu PDA telah menganjurkan Kelas BIM untuk 40 orang kakitangan kerajaan dari pelbagai agensi bertempat di Tingkat 29, Bangunan Komtar. Kelas tersebut adalah dengan kerjasama SUK Negeri Pulau Pinang dan JKMNPP dan akan berlangsung dari 28 hingga 31 hb Julai 2009.

Tenaga pengajar Kelas tersebut ialah Mohd Yazid Bain, Sariah Ibrahim dan Chung Khim Cheong.

Dr. Jay Innes dan Dr. Asiah Mason juga hadir meninjau kelas tersebut pada jam 2:00 petang iaitu sesi Pengenalan BIM yang akan disampaikan oleh saya sendiri pada 28 Julai 2008.

Tahniah PDA

Mesyuarat Bersama Gallaudet University dan USM


1. Saya berada di Pulau Pinang sejak hari Ahad 26 Julai kerana dijemput oleh Gallaudet University untuk bermesyuarat dengan pihak USM.

2. Gallaudet University dalam proses untuk mengembangkan sayapnya luar Amerika Syarikat. Mereka telah membuat penyelidikan berapa buah negara seperti China, Hong Kong, Vietnam dan India untuk mencari tempat yang sesuai dalam usaha untuk membuka peluang kepada orang Pekak mengikuti pengajian tinggi.

3. Wakil mereka di ketuai oleh Dr. Jay Innes seorang Pekak yang bertugas sebagai Dekan di University tersebut dan Dr. Asian Mason, Pengarah Bahagian Outreach.

4. Mesyuarat dilangsung pada jam 2:00 petang pada 27 Julai di Bilik Mesyuarat Chancellory, USM dan di pengerusikan oleh Prof Lim Koon Ong. Turut hadir ialah para pegawai tinggi USM, wakil JPN, FSD, Datuk Saleena dan Lucy Lim jurubahasa bebas.

5. Dr. Jay menekan untuk menwujudkan kollaborasi antara dua universiti tersebut hendaklah melibatkan juga organisasi kebangsaan orang Pekak iaitu MFD. Pihak saya terkejut dengan pengumuman tersebut dan ianya adalah sangat tepat kerana MFD memahami keperluan komuniti orang Pekak.

6. Pihak USM tidak beberapa mengenali MFD dan saya telah mengambil kesempatan untuk menerangkan MFD sebagai organisasi terbesar orang Pekak di negara ini serta projek-projek yang dilaksanakan.

7. Banyak perkara yang kami bincangkan di mesyuarat tersebut iaitu berkaitan dengan jurubahasa isyarat, BIM, program intervensi awal, pendidikan guru yang mana pihak Gallaudet Universiti telah menunjukkan kesediaan untuk mengeksportkan kepakaran kerana mereka sudah lama dalam bidang tersebut. Pihak USM telah menunjukkan kesungguhan untuk menawarkan diri dalam projek ini dan wakil Gallaudet University akan memaklumkan kepada pihak atasan mereka untuk membuat keputusan akhir.

8. Mesyuarat pusingan kedua akan di adakan pada 29hb Julai di MFD dan akan dihadiri oleh wakil MOHE, MOE, JKMM, MOH dan Ahli Majlis MFD. Saya akan berusaha untuk menjadikan Malaysia sebagai hub pendidikan tinggi bagi orang Pekak di rantau ini. Insyallah. Marilah kita bersama-sama berdoa.

20 July 2009

Diskriminasi Masih Ujud

Saya ada menerima emel dari Tuan Haji Mohd Nadzri, Presiden PESIBA (Persatuan Ibubapa dan Penjaga Anak-anak Pekak Kuala Lumpur) bertajuk Diskriminasi Masih Ujud iaitu mengenai anak Pekak yang berkelayakan tetapi tidak dapat mengikuti kursus perguruan kerana masalah umur yang melebihi syarat.

Saya amat kagum kerana PESIBA telah mempunyai blog sendiri iaitu http://pesibakualalumpur.blogspot.com, mereka telah mempergunakan kemajuan ICT untuk berkongsi pengalaman, rintihan dan informasi dengan semua. Untuk makluman, PESIBA juga salah satu dari peserta ePekak yang di usahkan oleh MFD.

Pada akhir tahun 2008, PESIBA telah berdikari sepenuhnya dan mereka mempunyai tempat beroperasi dan aktiviti sendiri.Tahniah diucapkan.

Tuan Haji Md. Nadzri merupakan satu pemimpin ibubapa anak Pekak yang perlu dicontohi. Melalui artikel yang ditulis oleh beliau telah menunjukkan kepimpinan organisasi yang sebenar kerana tugasan pemimpin bukan hanya tertumpu kepada aktiviti tetapi juga untuk membela kepentingan anak-anak Pekak dan membuka mata sekelilingan.

Tulisan beliau seperti dibawah ini :

Nik Farena Camylia, adalah remaja OKU pendengaran dan juga adalah salah seorang calon yang berkelayakkan untuk menjadi seorang pendidik. beliau telah mempunyai syarat-syarat kelayakkan akademik dan ko-kurikulum untuk memasuki Maktab Perguruan. Malangnya keputusan yang diambil oleh pihak-pihak yang berkenaan menolak permohonannya atas faktor umur yang melebihi had kelayakkan telah menjejaskan peluang untuk memenuhi cita-citanya.

Untuk pengetahuan, pada sekitar tahun duapuluhan (2001) anak-anak kurang upaya pendengaran disaran dan diwajibkan berada dan belajar di sekolah rendah selama lapan tahun. Iaitu satu tahun lebih berada di tahun satu dan dua tahun di tahun enam dan kemudiannya ke sekolah menegah. Selepas SPM anak-anak ini telah mencapai umur 20 tahun.

Masalah teknikal dan prosedur seperti ini adalah salah satu sebab mengapa Nik Farena telah ditolak permohonannya. Kes seperti ini juga terjadi kepada anak saya ketika memohon memasuki Maktab Perguruan 3 tahun dahulu. Dan berkemugkinan lagi perkara seperti ini akan berulang pada setiap tahun dan ini adalah satu diskriminasi terhadap oku cacat pendegaran yang berkelayakkan.

Pokoknya kita tidak perlu memberitahu rakyat Malaysia, bahawasanya kerajaan amat perihatin kepada golongan orang kurang upaya. Berilah sedikit kelonggaran kepada mereka kerana mereka amat tersiksa semasa di alam persekolahan, menduduki setiap peperiksaan seperti UPSR , PMR dan SPM dengan menghadapi kertas peperiksan yang sama tarafnya dengan pelajar-pelajar normal.

Kita pasti akan merasa kerugian kerana mereka mempunyai kelayakkan tetapi faktor umur telah membantut cita-cita mereka untuk menjadi seorang pendidik. Hak-hak mereka telah disekat disebabkan masalah yang kecil lagi remeh. Berilah peluang kepada mereka kerana mereka juga ingin berbakti kepada masyarakat dan negara. Semuga kes ini mendapat perhatian daripada Kementerian-Kementerian yang berkenaan.

10 July 2009

PPSMI di mansuhkan : Kerugian Untuk Kita?

1. Akhirnya PPSMI di mansuhkan pada tahun 2012. Terdapatnya banyak pro dan kontra mengenai PPSMI, banyak pihak mempertikaikannya tetapi bagi saya yang rugi adalah kita termasuk komuniti orang Pekak.

2. Melalui pengalaman saya menerajui MFD, tidak dinafikan bahawa penguasaan English adalah kunci kepada kejayaan besar di MFD.

3. Ramai yang bertanya saya apakah saya tahu English? Sebenarnya saya bersekolah aliran English di ACS Sitiawan dan saya menduduki MCE pada tahun 1975, semua matapelajaran peperiksaan ialah dalam English kecuali Bahasa Melayu, Sastera Melayu dan Agama.

4. Melalui aliran tersebut telah membantu saya menguasai English dan saya mampu pergi jauh dalam dunia NGO kerana ramai orang NGO yang saya temui adalah English speaking dan kami selalu berbincang, bertukar fikiran untuk mempertingkatkan organisi kami dalam English.

5. Dengan adanya penguasaan English saya juga mampu melibatkan diri dalam aktiviti antarabangsa sehingga saya pernah dilantik sebagai Panel of Expert UN Standard Rules in Equalization of Opportunities for People With Disabilities dan juga pernah dilantik sebagai President Commission for Developing Countries, World Federation of the Deaf.

6. Majoriti mesyuarat, komunikasi dan dokumen antarabangsa seperti UN Convention, Biwako Framework of Action, Salamanca Framework dan lain-lain dokumen yang berkaitan dengan hak asasi OKU yang di gunakan oleh NGO OKU adalah dalam English. Pemimpin OKU seperti Ivan Ho (mentor saya), Prof Dr. Ismail Salleh, Godfrey Ooi, Mah Hassan, Naziaty, Christine Lee, Harvinder Kaur, Anthony Arioka dan sebagainya mempunyai penguasaan bahasa yang baik dan berjaya membawa organisasi mereka ke puncak kejayaan.

7. Untuk mendapatkan sokongan kewangan daripada syarikat besar juga adalah dalam English. Ini adalah kerana CEO, pegawai CSR, tokoh korporat dan sebagainya sekarang adalah dari luar negara dan menggunakan English.

8. Oleh itu untuk menguasai English hendaklah bermula awal, tenaga pengajarnya hendaklah betul-betul berkelayakan seperti guru-guru saya di ACS Sitiwaan tahun 70an dahulu. Mereka berkomunikasi, bercerita, bergurau dalam English sebelum mengajar kami subjek mereka dan hasilnya ramai berjaya dalam hidup.....

06 July 2009

Mengapakah Orang Pekak Tidak Boleh Menguasai Bahasa Melayu?

1. Majoriti orang Pekak tidak menguasai Bahasa Melayu. Kegagalan menguasai Bahasa Melayu menyebabkan pelajar Pekak gagal dalam akademik. Kegagalan menguasai Bahasa Melayu juga menyukarkan orang Pekak mendapat pekerjaan yang baik serta naik pangkat. Tanpa memahami Bahasa Melayu akan menyukarkan perjuangan hak komuniti Pekak kerana dokumen penting adalah dalam Bahasa Melayu. Paling menakutkan ialah kegagalan menguasai Bahasa Melayu akan menyukar orang Pekak membimbing anak sendiri untuk menguasai Bahasa Melayu yang merupakan mata pelajaran wajib dalam peperiksaan awam seperti UPSR, PMR dan SPM. Masa hadapan keluarga dan negara akan bertambah suram.

2. Mengapa kita gagal menguasai Bahasa Melayu?

3. Sistem pendidikan kita menggunakan Komunikasi Menyeluruh dan KTBM secara rasmi sebagai kaedah utama dalam P&P di sekolah khas untuk orang Pekak. KTBM itu adalah kod Bahasa Melayu yang menurut asas-asas tatabahasa dari prinsip-prinsip Bahasa Melayu sebagaimana yang didengar, ditutur, ditulis, dibaca dan difahami oleh pengguna-pengguna Bahasa Melayu.

4. Komunikasi Menyeluruh dan KTBM telah digunakan selama 30 tahun tetapi pelajar Pekak kita masih gagal menguasai Bahasa Melayu. Pelajar Pekak kita juga di tambah masa 2 tahun belajar di sekolah rendah tetapi masih tak berjaya juga.

5. Jika kegagalan pelajar Malaysia menguasai English melalui program PSMI menjadi isu nasional dan dibahaskan hingga di Parlimen; mengapa pula kegagalan orang Pekak menguasai Bahasa Melayu sampai hari ini tiada tindakan di ambil?

6. Jawapan pihak atasan pendidikan adalah sama iaitu jika menggunakan BIM dan diturunkan ke tulisan Bahasa Melayu, akan menjadi ayat lintang pukang dan YB Menteri tidak akan faham membaca surat dari orang Pekak dan penggunaan BIM akan menyebabkan anak-anak Pekak gagal dalam Peperiksaan Awam.

7. Mengapa mesti menyalahkan BIM? BIM tidak pernah masuk ke sekolah, malahan di HARAMkan, tetapi orang Pekak tetap GAGAL dalam peperiksaan kerana menggunakan KTBM.

Sampai bila komuniti kita di bentuk menjadi orang yang gagal?

02 July 2009

One Deaf One Malaysia

1. Kerajaan di bawah pimpinan DSNajib telah memperkenalkan 1Malaysia. Hampir serupa dengan slogan kita One Deaf One Community tetapi untuk mencapai kedua-dua matlamat tersebut adalah masih jauh lagi.

2. Kita perlu bekerja lebih kuat dan bersama-sama dalam satu pasukan. Kita patut meninggalkan perkara yang remeh kerana ianya akan menggagalkan perjuangan kita. Saban hari mendapat berita iaitu ada persatuan pekak di jatuhkan denda, ada persatuan pekak yang tak menghantar laporan tahunan dan diletakkan sebagai persatuan yang tak berfungsi, ada juga persatuan yang menolak persatuan perpaduan dan juga ada pula yang hilang ke'pekak'annya sebab di tadbir oleh orang bukan Pekak di belakang.

3. Perkara tersebut akan menunjukkan komuniti kita belum kuat dan menyukarkan untuk mendapatkan agihan 1Malaysia seperti yang dilaungkan oleh DSNajib.

4. Sekarang tiba masa kita perjuangkan kekuatan komuniti kita : jika kita mahu menjadi satu masyarakat yang kuat; kita perlukan barisan orang pekak yang berjaya dalam bidang pendidikan. Ini adalah kerana sesuatu negara yang berjaya adalah disebabkan rakyatnya yang menguasai ilmu. Kalau tak menguasai ilmu, negara tersebut akan menjadi lemah dan tak terurus.

5. Pendidikan orang Pekak mulai menuju kepada keruntuhan kerana pencapaian akademik yang menyayukan setiap tahun. Tiada tindakan dibuat kecuali menyalahkan pelajar pekak yang tak tahu menulis dengan betul walhal sistem yang digunakan oleh pihak tersebut adalah masih sama 30 tahun yang lalu. Hal ini menyebabkan komuniti kita lemah.

6. Kekurangan ilmu pada orang Pekak juga menyebabkan kita gagal menguruskan persatuan dengan baik. Pemimpin tak tahu berpidato, pemimpin tak tahu membuat laporan atau menulis minit mesyuarat, pemimpin tak tahu membuat keputusan dan macam-macam lagi.

7. Perkara ini akan mendedahkan kita kepada penipuan, penindasan oleh orang yang berilmu. Ada juga pemimpin Pekak yang berilmu yang kita harapkan tetapi lain yang kita dapat kerana komuniti kita tidak tahu apakah fungsi persatuan dan kepemimpinan.

8. Oleh kerana kita tak tahu berpersatuan juga menyebabkan suara dan keperluan kita tidak sampai kepada pihak yang sepatutnyan sebab kita sibuk dengan perkara yang remeh temeh.

9. Perkara tersebut akan menyebabkan kita ketertinggalan dalam mendapat agihan 1Malaysia.

29 June 2009

Kejohanan Futsal Belia Pekak Malaysia Ke 2, 2009



1. Belia kita sangat perlukan aktiviti tidak kira sesiapa yang menganjurkannya. Terbukti pada 28 Jun 2009 di Melaka 38 pasukan dari seluruh negara menyertai Kejohanan Futsal Belia Pekak Malaysia ke 2 di Klebang, Melaka.

2. Kejohanan tersebut di anjurkan oleh Unit Belia Pekak Malaysia yang di ketuai oleh Mohd Yazid Bain, hos Kejohanan tersebut ialah Unit Belia Pekak Negeri Melaka.

3. Walaupun Kejohanan tersebut adalah untuk ahli gabungan MFD sahaja namun terdapatnya bukan ahli gabungan MFD turut serta atas tiket persatuan ahli gabungan MFD. Semangat orang pekak bersatu adalah masih kukuh walaupun pemimpin yang mempunyai kata pemutus menolakkan idea persatuan perpaduan.


4. MFD telah menaja Majlis Makan Malam di Hotel Formosa Garden yang dihadiri oleh lebih 400 orang Pekak yang terdiri daripada pemain Futsal dan penyokong serta ahli POPNM.

5. Majlis Makan malam tersebut di serikan dengan persembahan khas oleh artis popular Pekak, A. Rahman dan tayangan filem pendek yang di keluarkan oleh Unit Kreatif MFD yang di ketuai oleh Zaine Bujal.

6. Filem pendek tersebut adalah baik serta lucu dan ramai yang ingin membelinya.

7. Kejayaan penganjuran tersebut membuktikan bahawa belia Pekak kita akan menjadi pemimpin yang besar di masa hadapan.

TAHNIAH UBPM.

25 June 2009

Kegagalan Pelajar Pekak Dalam Akademik

1. Saya telah mendapat keputusan menyeluruh pelajar Pekak yang menduduki peperiksaan awam iaitu UPSR, PMR dan SPM bagi tahun 2007 daripada Lembaga Peperiksaan Malaysia. Ianya mengumumkan keputusan tinggi calun Pekak gagal dalam banyak mata pelajaran yang diduduki.

2. Keputusan tersebut adalah menakutkan dan menyedihkan bagi saya sebagai pemimpin orang Pekak.

3. Saya tidak tahu apakah reaksi atau perasaan ibubapa, guru, guru besar, pengetua, pegawai Jabatan Pendidikan Negeri dan Bahagian Pendidikan Khas yang dibayar gaji dan diamanahkan mengenai pencapaian yang buruk tersebut.

4. Saya amat bersyukur kerana di MFD, Ahli Majlis selalu membincangkan isu tersebut sebab organisasi kita merupakan tempat yang terakhir orang Pekak mendapatkan bantuan, menyertai aktiviti, pembangunan sosio-ekonomi dan lain-lain. Kita menghadapi pelbagai masalah dalam menguruskan produk dari sekolah-sekolah dan terpaksa menyelesaikannya kerana tiada tempat lain mereka hendak pergi keculai kepada kita.

5. Apakah punca kegagalan pelajar Pekak kita?

6. Apakah sistem pendidikan untuk Pelajar Pekak tidak relevan lagi?

7. Orang Pekak adalah manusia ciptaan tuhan. Semuanya sama, pekak atau bukan pekak juga di bekalkan otak untuk menerima ilmu. Ilmu di sampaikan oleh ibubapa, guru, kawan dan masyarakat sekeliling.

8. Tidak dinafikan rumah merupakan sekolah yang paling awal untuk orang Pekak dan gurunya ialah kedua ibubapa dan keluarga. Untuk itu, kedua ibubapa wajar mempelajari kemahiran membimbing anak pekak dan pihak berkuasa hendaklah bertanggungjawab memberikan gambaran yang tepat dan jelas, bukan menakut-nakutkan ibubapa bagi melariskan program atau produk mereka.

9. Di sekolah adalah masa yang kritikal bagi menyampaikan ilmu kepada orang Pekak sebab otak kanak-kanak tersebut adalah masih lembut dan menerima input yang berharga. Kunci untuk menyampaikan ilmu kepada kanak-kanak Pekak ialah kemahiran komunikasi, sebab ilmu di sampaikan kepada kanak-kanak melalui komunikasi. Komunikasi adalah dalam banyak bentuk dan yang paling penting ialah komunikasi dua hala - guru ajar murid pekak faham, murid pekak tanya guru jawab.

10. Sebab itu, institiut perguruan di wujudkan bagi melatih para guru pendekatan mengajar dan kurikulum telah di bangunkan sebagai panduan. Semua itu sudah jelas dan termaktub.

11. Masuk 30 tahun kaedah Komunikasi Menyeluruh di perkenalkan selepas keluar zaman gelap oralisma yang bermula pada tahun 1880 tapi pelajar Pekak di Malaysia masih gagal juga.

12. Dulu kelas Pekak terletak di sudut terpencil di belakang sekolah, bawah tangga dekat tandas tapi sekarang kita bangga punyai sekolah Pekak yang terbaik di rantau ini.

Mau ke depan atau gostan balik ke belakang? Lu fikir-fikirlah sendiri sebab lu ada SPM.

24 June 2009

Terima kasih.

Pada jam 9.19 malam jumlah pelawat blog saya mencecah 1,000 sejak saya mendaftarkan kaunter pelawat pada 28hb Mei 2009 pada blog ini.

Terima kasih kerana menyokong blog saya dan ia menaikkan semangat untuk menulis.

Terima kasih daun keladi, kalau ada masa sila lawati blog saya lagi.

22 June 2009

Peluang Pekerjaan Untuk Orang Pekak Dengan Kerajaan.

1. Berkat perjuangan MFD, peluang untuk orang Pekak untuk bekerja dengan kerajaan bagi menjamin masa depan yang lebih baik adalah terbuka. Ianya adalah berdasarkan laporan setiap kali organisasi kita menerima permohonan daripada orang Pekak mendapatkan perkhidmatan jurubahasa isyarat di sesi temuduga dengan agensi kerajaan.

2. Selalunya selepas temuduga mereka diterima ke jawatan mengikut kelulusan atau kemampuan mereka. Sekiranya seorang pencari kerja Pekak mempunyai kelulusan baik, kemahiran komunikasi, ketrampilan, kepantasan menaip akan memudahkan diterima menjadi kakitangan kerajaan.

3. Bagaimanakan mereka berjaya di panggil untuk temuduga? Saya dimaklumkan bahawa mereka mendaftar secara online di web SPOKU http://jcs.mohr.gov.my/oku/signon.jsp atau JobsMalaysia http://www.jobsmalaysia.gov.my atau di JPA.

4. Oleh itu, silalah mendaftar, anda boleh ke PUSKOM dan memohon tunjuk ajar dari penyelaras PUSKOM untuk membantu anda mengisi borang secara online.

BIM Masih Belum Di Iktiraf

1. Baru-baru ini pada 17 Jun, satu mesyuarat bagi membincangkan pengiktirafan BIM seperti dalam Akta OKU 2008 anjuran JKMM telah diadakan. Dari MFD diketuai oleh saya, Sariah dan Yazid berserta 3 orang jurubahasa isyarat, turut hadir ialah wakil Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pelajaran Tinggi.

2. Mesyuarat tersebut adalah tidak berjaya kerana wakil penting daripada kementerian tersebut tidak hadir kerana pada masa yang sama terdapatnya satu persidangan pendidikan peringkat negara Komanwel berlangsung di ibunegara.

3. Saya membangkitkan laporan LPM kegagalan pencapaian orang Pekak dalam akademik di peringkat UPSR, PMR dan SPM. Pencapaian buruk itu akan menyebabkan orang Pekak akan sukar bersaing untuk merebut peluang yang ada di negara kita.

4. Kegagalan orang Pekak dalam akademik adalah berkaitan dengan kelemahan menguasai bahasa iaitu Bahasa Melayu. Sekiranya KTBM itu ialah alat penting untuk menguasai Bahasa Melayu, mengapakah sehingga hari ini sejak KTMB di perkenalkan pada tahun 70an KTBM masih gagal untuk membantu kita menguasai Bahasa Melayu?

5. BIM yang diperjuang oleh MFD tidak dibenarkan masuk ke sekolah-sekolah atas sebab dasar KP menggunakan KTBM, oleh itu mana boleh mempersalahkan BIM menjadi penyebab pelajar kita gagal.

6. Mesyuarat setuju memberikan saya peluang untuk membentangkan BIM di mesyuarat Ahli Majlis OKU pada 30 Jun 2009 ini.

09 June 2009

Kerajaan Perpaduan, Persatuan Perpaduan


1. Baru-baru ini Presiden PAS telah mencadangkan kerajaan perpaduan, saya masih kabur apakah jenis perpaduan yang dinyatakan. Bertambah keliru apabila sahabat PAS dalam Pakatan Rakyat (PR) telah meminta penjelasan dari PAS, mungkin mereka takut PAS keluar PR dan PR akan menghadapi masalah kekurangan majoriti. Ini merupakan perkara biasa dalam politik?

2. Bagi saya kerajaan perpaduan itu ada baiknya kerana akan bersama-sama menyatukan negara untuk pembangunan. Kita elakkan pecahbelah dalam negara kita, kita bersama-sama bertangungjawab untuk membawa negara kita mencapai wawasan tanpa mengira warna kulit atau kefahaman.

3. Macam apa yang saya baca akhbar berlaku di USA, Republican dan Demokrat berperang untuk mendapatkan sokongan bagi calun Presiden mereka. Apabila keputusan keluar ianya di terima dan Republican dan Demokrat bersatu kembali sebagai rakyat USA untuk membangunkan negera mereka.

4. Juga di Australia, saya berbual dengan orang tempatan mengenai politik, mereka mengelak menjawab pertanyaan saya bagai tidak meminatinya.

5. Tetapi di negara kita Malaysia ianya adalah berlainan.

6. Politik orang Pekak juga macam politik orang bukan Pekak iaitu BN dan PR tetapi tak seteruk mereka. Untuk mencapai Persatuan Perpaduan adalah masih jauh walaupun pada asalnya pelopor persatuan mahukan orang Pekak bersatupadu dibawah satu persatuan dan satu logo. Macam logo UMNO, PAS, DAP dan sebagainya di gunakan seluruh negara.

7. Isu logo persatuan orang Pekak yang seragam sudah lama di bincangkan dan diluluskan semasa AGM MFD, roadshow menerangkan perlunya penyeragaman logo telah dibuat ke seluruh negara dan persatuan gabungan MFD telah menukarkan logo mereka ke logo seragam MFD melalui AGM masing-masing.

8. Untuk mencapai matlamat Persatuan Perpaduan bukannya mudah, ada suara yang menentang.

9. Pada tahun 2008/2009 ini, tiga buah persatuan iaitu PDA (Pulau Pinang), POPNMelaka dan POPTerengganu telah menukarkan logo mereka kepada logo yang seragam dengan MFD dan ahli gabungan yang lain. Laluan 3 persatuan untuk menukar logo tersebut adalah sukar dan wujudnya permainan kotor. Tapi syukur alhamdullilah, niat baik di berkati tuhan.

10. Hanya tinggal Perak dan Kedah yang belum menunjukkan kesungguhan untuk menwujudkan Persatuan Perpaduan. Semua mata memandang kepada pemimpin sana apakah mereka akan menyokong Persatuan Perpaduan?

08 June 2009

BIM dan Pertuturan Kiu

1. Saya menerima komen dari pembaca dan menyoal saya mengenai pertuturan kiu (pk). Jawapan saya di sini ialah pk merupakan alat untuk mempelajari bahasa pertuturan samaada BM, English, Tamil dan sebagainya. Caranya ialah mentuturkan satu perkataan mengikut sukukatanya dengan bantuan kod kiu.

2. Sebagai seorang Pekak saya tak mendengar kelancaran penggunaan pertuturan kiu untuk memberikan komen. Walaupun saya mampu bertutur dalam BM dan English, sebutan saya masih salah dan ada kala boleh diketawai oleh pendengar; juga kadangkala sebutan saya tidak difahami oleh pendengar saya.

3. Saya selesa menggunakan bahasa isyarat atau bahasa non verbal walau pun menggunakan bahasa pertuturan sehingga umur 21 tahun sejak menjadi pekak umur 7 tahun.

4. BIM ialah bahasa rasmi orang Pekak seperti di dalam Akta OKU 2008 yang diperjuang oleh MFD. Namun ada para pendidik tidak memahami BIM akan mempertikaikan BIM kerana mengikut penghayatan mereka apabila BIM diturunkan dalam bentuk tulisan BM akan menjadi lintang pukang. Mereka lupa kalau ayat BM ini "jalan-jalan makan angin" di tuliskan terus dalam English akan menjadi "walk-walk eat air". Oleh itu satu bahasa tidak boleh diterjemah secara langsung tetapi hendaklah mengikut urutan bahasa tersebut. BIM bukannya BM atau English, namun untuk berjaya di Malaysia kita diperlukan menguasai 2 bahasa tersebut.

5. Saya tidak sekali mempertikaikan cara lain untuk menguasai BM, sekira orang itu mahir dalam pk untuk menguasai BM itu sudah baik, juga seorang itu menggunakan auditory verbal untuk menguasai English saya tidak menghalang. Namun janganlah menakut-nakutkan orang bahawa berkomunikasi dengan BIM akan mengelapkan masa hadapan.

6. Tengoklah beberapa orang Pekak pengguna BIM seperti Koon Wei, Anthony Chong, Amir Hamidi, Law dan ramai orang Pekak lain yang dilahirkan Pekak yang tidak mampu bertutur dengan jelas tetapi berjaya dalam akademik dan hidup.

7. Janganlah adanya orang Pekak mahir bertutur tetapi tak memahami maksudnya macam mengaji AlQuran tetapi tak tahu maksudnya.

Kursus Asas BIM di PKK

1. Kursus Asas BIM untuk warga PKK telah selamat dilaksanakan dan ditangguhkan pada jam 12.00 hari Jumaat. Sebagai tambahan, 2 sessi interaksi sosial bersama warga Pekak KK juga telah diaturkan iaitu malam Rabu di PKK dan malam Khamis di Tg Aru Beach. Program tersebut sedikit sebanyak membantu kelancaran warga PKK berkomunikasi dengan kumpulan sasar mereka secara lansung serta memperlihatkan kelemahan yang perlu diperbaiki.

2. Menurut pegawai PKK pada 26/6 akan disambung dengan sessi bersama guru pendidikan khas yang dibawa dari FSD atas aturan KPT. Adalah baiknya kemahiran anak tempatan dari KK iaitu warga pendidikan khas di SM Peter Monjuntin digunakan kerana mereka lebih memahami situasi pelajar dari Sabah yang bakal menjadi pelajar di PKK.


3. Selepas kursus tersebut ditutupkan kami bergegas ke Hotel untuk checkout. Kami makan tengahari bersama Presiden SSD dan Encik Patrick Chin dan memaklumkan laporan kursus PKK kepada mereka atas dasar SSD ialah ahli gabungan MFD. Lepas itu kami terus ke KK untuk membeli ole-ole (buah tangan). Yang kami beli ialah biskut cincin yang terkenal dari Sabah, udang kering, baju t dan batu-batu aksesori hiasan.

4. Kami menumpang mandi di rumah Zamzuri seorang sahabat lama di Shangrila Height dan kemudian menaiki AirAsia jam 8.00 pm untuk pulang ke Semenanjung. AirAsia sekarang ada peningkatan, tiada lagi berebut-rebut mendapat tempat duduk kerana penumpang di bekalkan no tempat duduk masing-masing.


Terima kasih PKK.

03 June 2009

Kursus Asas BIM di Kota Kinabalu



1. Masuk 2 hari kami berada di Politeknik Kota Kinabalu untuk membimbing warga sana kepada BIM. PKK terletak jauh luar kota iaitu di Menggatal. Jalan ke sana dari bandar KK akan dapat melihat Yayasan Sabah, Bangunan Persekutuan Sabah yang baru, UMS, 1Borneo iatu kompleks membeli belah dan kawasan perumahan baru. Trafik jam berlaku seperti di KL iaitu di waktu pagi dan selepas kerja. Ianya melambangkan pembangunan yang pesat di sini. Sebelum itu untuk ke PKK akan melalui hutan yang menakutkan dan tiada teksi yang mahu ke sana. Kita juga dapat melihat Gunung Kinabalu dari PKK.

2. Peserta PKK di ketuai oleh Encik Dullah, Timbalan Pengarah Khidmat Sokongan dan Puan Ngah, Ketua Jabatan bahagian hospitaliti dan katering bersama-sama para pensyarah, kaunselor, librarian, pengajian Islam, pendaftar pelajar telah mengikuti kursus ini.

3. Mereka telah menunjukkan komiten yang tinggi untuk mempelajari BIM sebagai persediaan menerima pelajar Pekak yang pertama walaupun di dera dengan pelbagai aktiviti oleh tenaga pengajar MFD dari jam 8.00 pagi hingga 4.30 petang.

01 June 2009

Kursus Asas Bahasa Isyarat Malaysia di Politeknik Kota Kinabalu

1. Saya menulis post ini di dalam bilik 204 White Lodge, Politeknik Kota Kinabalu (PKK) Sabah.

2. PKK akan mengambil pelajar Pekak buat pertama kali pada bulan Julai 2009 ini. PKK ialah politeknik yang ke 4 selepas PUO, PSA dan PJB membuka pintu kepada pelajar Pekak melanjutkan pelajaran dalam bidang hospitaliti dan katering. Menurut laporan, sebuah politeknik di Perlis juga akan berbuat demikian sedikit masa lagi.

3. Sebagai persediaan menerima ambilan pertama pelajar Pekak, PKK telah mengundang MFD untuk mengajar BIM kepada para pensyarah dan warga PKK bagi memudahkan komunikasi dan P&P. Team MFD iaitu Yazid, Zuraidah dan saya akan berada di PKK dari 1hingga 5hb Jun 2009 ini.

4. Dasar kerajaan serius memberi peluang dan hak samarata kepada kita adalah disambut baik dan MFD akan terus berjuang untuk memastikan orang Pekak mempunyai masa depan yang lebih baik lagi.

28 May 2009

Telefon Bimbit Yang Sesuai Untuk Orang Pekak?

1. Saya masih ingat sebelum projek ePekak kebanyakan orang Pekak tidak memahami kepentingan ICT, rata-rata kata ianya mahal tak mampu nak beli dan tak tahu gunakan nya kerana tak mahir BM atau English.

2. Melalui usaha MFD memperkenalkan ICT iaitu pager, SMS dan memulakan idea 'cross operator' antara telco (syarikat telefon) yang membolehkan orang Pekak dari 019 menghantar SMS ke 012 seperti sekarang, serta projek ePekak; majoriti orang Pekak mulai memahami keperluan komunikasi tanpa halangan.

3. Sekarang hampir setiap orang Pekak yang saya jumpa mempunyai telefon bimbit termasuk menggunakan 3G. Mereka juga mempunyai emel, akaun di webchat, punyai blog sendiri dan sebagainya. Ramai orang Pekak meningkat penguasaan BM dan English. ICT telah membawa pembaharuan kepada orang Pekak. Syukur projek MFD berjaya.

4. Dibawah peruntukan projek MySign Community saya telah diberikan handphone untuk kajian kesesuaiannya dengan projek tersebut. Bermula dengan telefon canggih iaitu E90Communicator buatan Nokia, saya dapat berkomunikasi menggunakan sms, mms, emel serta melayari internet di tempat yang ada wifi, membuat urusan MFD di mana-mana tanpa membawa laptop. Saya juga dapat berkomunikasi dengan 3G tanpa masalah, letak E90 sahaja di mana-mana dan berisyarat tanpa memegangnya.

5. E90 adalah lengkap kerana jika anda berkomunikasi dengan orang Pekak yang tak mahir dengan BM atau English anda boleh gunakan 3G. Tetapi gambar 3G adalah tidak jelas kerana talian di negara kita adalah masih tidak kuat (perlahan). Gambar juga adalah kecil dan tidak dapat mengikuti dengan penuh, jika dipegang sebelah tangan akan jadi tak stabil dan sukar untuk memahami isyarat.

6. Oleh itu sms adalah terbaik dan dapat berkomunikasi dengan lebih jelas. Namun sms tidak dapat berkomunikasi secara 2 hala. Kadang-kadang tak menjawab sms untuk seberapa lama mengakibatkan tekanan kerana ingin menyampaikan perkara yang penting.

7. 3G adalah sesuai untuk orang Pekak yang tidak mahir dalam BM atau English dan sms adalah sesuai untuk orang yang menguasai BM dan English.

8. Baru-baru ini, saya menggunakan Blackberry Storm dengan pakej Celcom RM 148 sebulan. Saya dapat melayari internet di mana-mana tanpa mencari tempat yang ada wifi, saya menghantar dan membalas emel dimana-mana dan bila-bila masa. Paling baik ialah saya dapat berkomunikasi 2 hala menggunakan YM dan MSN di mana-mana, sebab itu anda akan dapati saya online di sepanjang masa. Hidup anda boleh dikatakan lengkap sekiranya menggunakan Blackberry tanpa tertekan menunggu jawapan sms dan mencari wifi. Blackberry Storm luas skrinnya dan sesuai untuk melayari internet tetapi tiada 3G.

9. Bagi pengguna baru Blackberry Storm akan merasa tertekan kerana tidak biasa menggunakan skrin sesentuh atau touch screen. Anda akan mengambil masa 2 minggu atau lebih untuk menyesuaikan diri menggunakan Blackberry.

26 May 2009

Projek Latihan Jurubahasa Isyarat : Bahagian 1

Semua orang tahu MFD menerima sebanyak RM 12.1 juta di bawah peruntukan Bajet 2007 Kementerian Kewangan Malaysia untuk melaksanakan satu projek nasional. Saya amat bersyukur kerana MFD diberikan kepercayaan untuk memikul satu tanggungjawab yang sangat berat.

Ada suara yang mempertikaikan, mampukah orang Pekak membuat projek? Tahukah orang Pekak membuat Projek besar? Tahukah orang Pekak menjaga wang yang banyak? Namun saya ada menerima ucapan tahniah dari sebilang NGO dan pegawai kerajaan.

Saya ingin berkongsi dengan semua orang bagaimana kita boleh berjaya mendapatkan projek ini. Ianya bermula dengan usul dari ahli gabungan MFD semasa sesi brainstorming di Terengganu pada tahun 2003.

Ahli gabungan MFD merupakan kuasa tertinggi dalam MFD, mereka membayar yuran dan mempunyai hak untuk mencadang, melulus dan mengarahkan pentadbiran MFD membuat kerja. Staf MFD termasuk saya sendiri tak boleh buat kerja suka hati, ikut kepala sendiri. Pernah satu kali saya ditegur oleh ahli gabungan MFD dari pantai timur kerana membuat projek tanpa kelulusan ahli gabungan terlebih dahulu dan dianggap sebagai projek haram.

Oleh itu semasa brainstroming di Terengganu, para perwakilan membincang masalah yang dihadapi oleh persatuan mereka masing-masing dan mencadangkan usul. Majoriti perwakilan membangkitkan isu tidak ada jurubahasa isyarat, staf pentadbiran, tak cukup wang, tiada tempat beraktiviti dan telah mengeluarkan resolusi selepas bengkel. Resolusi tersebut telah dibawa ke di AGM MFD kemudian diluluskan dan menjadi tindakan. Dari resolusi tersebut, staf MFD yang dibayar gaji mencari idea untuk memenuhi resolusi tersebut.

Pada tahun 2004, MFD telah menerima panggilan daripada Annie Ling dari REDtone Communication menjemput kita untuk memberikan satu cadangan kepada mereka. Kesempatan tersebut diambil dan kumpulan saya iaitu Zuraidah, Soo Leng dan Hafidah telah mengadakan satu perjumpaan dengan Encik Wei Chuan Beng CEO REDtone dan Encik Peter Yeow pegawai kewangannya di pejabat mereka.

Saya masih ingat detik bersejarah perjumpaan tersebut kerana Encik Chuan Beng amat positif dengan cadangan kami dan beliau mencabar MFD untuk mengeluarkan 100 orang jurubahasa isyarat dalam masa 5 tahun. Dia juga telah meluluskan peruntukkan sebanyak RM 1.8 juta dibawah Tan Sri Yeop Othman-Redtone Communication Trust Fund untuk menubuhkan pusat latihan, membiayai kursus dan elaun.

Beliau juga membenarkan MFD menggunakan tiga suku ruang kepunyaan syarikatnya seluas 1,000 kaki persegi di Tingkat 6, Menara KLH untuk tujuan tersebut secara percuma.

Dari itu, MFD terus menyiapkan infrastruktur pusat latihan, menyediakan modul latihan dan juga membuat ambilan pertama. Kumpulan kami telah memohon tunjuk ajar daripada Puan Saadiah Ahmad, Puan Hadsuria Che Omar dari USM, Encik Razif dari ITNM dan Mejar Sazali Abdul Hamid dari LPM untuk membangunkan program tersebut. Walaubagaimana pun, kami sudah mempunyai program tersendiri yang dibangunkan melalui bengkel-bengkel jurubahasa isyarat sebelumnya. Program tersebut bermula pada 1hb Mac 2005 dengan peserta pertama seramai 20 orang.

Kami membuat latihan secara in-house kerana mengikut undang-undang adalah satu kesalahan jika tidak mendaftar kursus yang melebihi 3 bulan dengan pihak berkuasa. Kami membuat kursus tersebut selama 6 bulan peringkat persijilan dan 6 bulan membuat latihan pratikum dengan persatuan negeri.

Pada masa itu juga pihak Yayasan Maju Diri Y juga menubuhkan kursus jurubahasa isyarat peringkat Diploma dengan kerjasama dengan ITNM dan UM. Walaubagaimana pun kursus tersebut tidak dilaksanakan sehingga blog ini saya tulis.

Pada Julai 2006, MFD telah menganjurkan Seminar Jurubahasa Isyarat Nasional (NASLI) pertama yang dirasmikan oleh YB Dr. Ng Yen Yen, Timbalan Menteri Kewangan II di Hotel De Palma, Ampang. YB Dr Ng kagum dengan usaha yang dilaksanakan oleh MFD dan REDtone sebagai penyumbang utama. Beliau telah mengarahkan saya mengemukakan kertaskerja cadangan di sesi Bajet 2007 dan berikan saya tempoh 1 minggu.

Saya bertungkus lumus siang malam untuk menyiapkan kertaskerja cadangan tersebut dan cuba membuat bajet “1 to 1 RM” seperti yang diarahkan oleh YB Dr. Ng. Sangat sukar untuk membuat bajet yang rasional dan terperinci dan akhirnya kami telah melebihi sasaran menjadi berjumlah RM 8 juta. Kami kemudian menghantar permohonan ke Kementerian Kewangan 1 hari sebelum deadline (tarikh tutup. Saya juga tak berpeluang untuk membentangan di sesi Dialog Bajet 2007 seperti lazimnya.

Pada 1hb September 2006, Bajet 2007 diumumkan oleh YAB Tun Abdullah Badawi, Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan, seperti biasa kita orang Pekak lewat menerima berita sebab media letronik tidak dapat di akses oleh orang Pekak. Saya hanya mendapat berita melalui membaca akhbar esok hari dan saya mencari sama ada permohonan kita diluluskan.

Di para 96 Bajet 2007 tertulis iaitu “Terdapatnya kekurangan jurubahasa isyarat terlatih untuk membantu golongan kurang upaya pendengaran dan pertuturan berkomunikasi, program khusus akan diadakan untuk melatih lebih ramai lagi jurubahasa isyarat di sekolah pendidikan khas di bawah Kementerian Pelajaran”.

Saya amat terkejut dan kurang percaya dengan berita tersebut, saya membanding beberapa akhbar lain tetapi laporan adalah sama. Mengapa pulak melatih jurubahasa isyarat di sekolah pendidikan khas? Mengapa pulak jurubahasa isyarat digunakan untuk sekolah pendidikan khas kerana guru sendiri mampu berkomunikasi menggunakan KTBM? Saya tercari-cari jawapan, saya tak mahu berlaku seperti Bajet 2005 yang mana telah luluskan program ICT tetapi kita tak dapat apa-apa.

Saya terus mengutus surat kepada KSU Kementerian Pelajaran, memaklumkan kepada pihak mereka bahawa itu adalah projek kami dan memohon supaya mengadakan kerjasama untuk membuat latihan jurubahasa isyarat.

Saya juga ada menerima panggilan dari pegawai JPK untuk mendapatkan kertaskerja kami bagi melaksanakan projek latihan jurubahasa isyarat dibawah JPK. Berderau darah saya. Entah mengapa saya mendiamkan diri tidak memberikan respon kepadanya.

Nasib kita adalah baik, tak beberapa lama kemudian saya dijemput ke mesyuarat Majlis Penasihat Kebangsaan Pendidikan Khas dan saya membangkitkan isu latihan jurubahasa isyarat dibawah peruntukan Bajet 2007. Pengerusi mesyuarat tersebut memaklumkan bahawa itu bukanlah projek mereka dan memberikan restu kepada MFD untuk berhubung terus dengan MOF. Go ahead!

Dari itu saya terus mengorakkan langkah, kami bertemu dengan Datuk Dr. Irwan, Encik Yeoh, dan beberapa pegawai MOF. Datuk Dr Irwan telah memberikan masa 1 minggu kepada kami untuk menyediakan kertas kerja baru. Datuk Dr. Irwan juga telah mengarahkan kami supaya memasukkan kursus kemahiran BIM untuk pegawai kerajaan iaitu Pengetua, Guru Besar, Guru Kaunseling dan guru mata pelajaran dalam projek kertas kerja.
Dari itu, saya telah menjemput Mejar Sazali Abdul Hamid untuk membantu kami memurnikan kertaskerja kami mengikut format kerajaan.

Apabila siap kami telah membentangkan kertaskerja kami iaitu Menambah Bilangan dan Peningkatan Kualiti Perkhidmatan Jurubahasa Isyarat dan Peningkatan Penguasaan Bahasa Isyarat dengan kos sebanyak RM 12.1 juta di hadapan Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz bin Wan Abdullah, Timbalan KSU Menteri Kewangan. Saya menjemput Mejar Sazali bersama ke mesyuarat tersebut untuk menguatkan permohonan kami, namun apa yang saya pelajari dari protokol kerajaan mereka pegawai MOF lebih mendengar suara OKU.

Mesyuarat tersebut telah setuju mempertimbangkan permohonan kami dan menyuruh kami memulakan kerja. Mereka memberitahu kami bahawa apabila cek siap akan memaklumkan kepada kami dan menyuruh kami memulakan projek tersebut.

Bayangkanlah bagaimana nak mula tanpa duit? MFD tiada peruntukan wang yang besar untuk memulakan projek. Bagaimana nak sewa tempat untuk dijadikan pusat latihan? Membuat ubah suai? Membeli perabut? Bagaimana nak sewa apartmen untuk di jadikan asrama dan sebagainya.

Bersambung.