01 September 2009

Merdeka!

Apakah orang Pekak memahami apakah maksud merdeka?

52 tahun negara kita merdeka, kita bangga kerana menjadi rakyat Malaysia kerana sekarang banyak yang orang Pekak perolehi.

Kita mempunyai Akta OKU 2008 dan Bahasa Isyarat Malaysia telah menjadi bahasa rasmi orang Pekak. Kita mempunyai Senator OKU, Ahli Majlis OKU untuk memastikan peruntukan dalam Akta OKU tersebut dipenuhi.

Kerajaan kita juga telah menubuhkan Jabatan Pembangunan OKU dibawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia serta menyediakan dasar dan pelan tindakan pembangunan OKU.

Sekarang peluang adalah terbuka luas, OKU boleh mendapatkan pendidikan tinggi di mana-mana universiti, kolej dan sebagainya. Bagi pelajar Pekak yang belajar disana, perkhidmatan jurubahasa isyarat juga disediakan.

Sekolah khas rendah adalah terbaik di rantau ini, ramai pelawat yang saya bawa melawat sekolah tersebut melahirkan rasa amat kagum dengan infrastrukturnya. Bagitu juga sekolah menengah vokasional kita. Kita juga mempunyai guru Pekak sendiri yang memikul tanggungjawab untuk mendidik generasi Pekak kita.

Peluang pekerjaan untuk orang Pekak boleh didapati di mana-mana, sama ada di sektor awam atau swasta. Jika kita mempunyai kelayakan kita bernasib baik mendapat pekerjaan yang baik dan sesuai untuk menjamin masa hadapan kita dan keluarga. Kita juga boleh menjadi peniaga yang berjaya.

Ramai orang Pekak juga mempunyai motorsikal, kereta, rumah, peralatan ICT dan harta. Makan dan pakaian pun berkualiti. Kita mempunyai wang dan pergi bercuti di luar dan dalam negara.

Apa yang kita peroleh adalah kerana kita tinggal di negara yang merdeka.

Terima kasih Malaysia.

No comments: