07 September 2014

Nothing About Us Without Us

Saya amat tertarik dengan beberapa pembentang kertas kerja di satu persidangan berkaitan dengan anak OKU yang diadakan di ibukota baru-baru ini. Beliau menyatakan bahawa kita OKU memberikan rezeki kepada beratus-ratus orang guru yang mengajar di sekolah khas. 

Maksudnya ialah jika tiada OKU maka tiadalah orang akan bekerja sebagai guru untuk mendidik OKU. Menjadi guru juga akan menerima gaji serta elaun yang halal bagi digunakan untuk menyara keluarga.

Ayat beliau bukan sesuatu yang baru, ianya telah menjadi tema bagi Tahun OKU Antarabangsa 2004 iaitu Nothing About Us Without Us.  Ianya memberikan maksud iaitu penyertaan OKU adalah diwajibkan dalam apa sahaja usaha untuk pembangunan komuniti mereka kerana mereka lebih arif akan keperluan diri mereka. Untuk mengetahui maksud ayat ini boleh didapati dari pada disini.

Kita OKU tidak minta dilahir ke dunia, namun kuasa Allah menjadikan kita OKU. Kita pasrah dan lalui kehidupan sebagai OKU dan menikmati asam garam kehidupan ini. OKU menyambut segala usaha untuk "membantu" mereka tetapi sebaik-baiknya "pertolongan" tersebut dibincang dan dipersetujui dahulu secara bersama-sama. 

Firman Allah yang bermaksud : "Serulah ke jalan tuhanmu wahai Muhammad dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berdebatlah sesama mereka dengan baik." (An-Nahl : 125)

Janganlah dizalimkan OKU dengan perbuatan atau keputusan yang tidak diterima oleh mereka.

Masyarakat di negara kita masih belum sedar dan menerima kehadiran OKU, sebagai bukti sehingga hari ini terdapatnya kecelaruan dalam memberikan nama yang sesuai untuk kumpulan ini. 

Sebagai contoh ada pembentang kertaskerja memberikan nama Orang Kelainan Upaya dan nama yang lain seperti anak istimewa kepada OKU. Nama-nama tersebut tidak selari dengan nama-nama yang terkandung didalam Akta 685 atau Akta Orang Kurang Upaya 2008 mahupun dokumen antarabangsa iaitu UNCRPD - United Nation Convention for the Right of People with Disabilities. Apakah mereka tidak sedar akan kewujudan Akta OKU 2008 atau mengabaikannya?

Walaupun ada apa pada nama tapi diharapkan para penceramah patutnya lebih berhati-hati dalam menggunakan perkataan yang tertuju kepada OKU agar tidak menyinggung perasaan mereka dan orang lain. Sebagai contoh melabelkan OKU sebagai golongan tidak bernasib baik boleh disalah tafsir. 

Siapakah yang menyebabkan kami OKU menjadi tidak bernasib baik? Jika kami OKU tidak dapat bersekolah oleh kerana kemudahan untuk OKU tidak disediakan; apakah kami dilabelkan tidak bernasib baik? 

Apabila adanya cerita penderitaan ibubapa yang mempunyai anak OKU mengalami kepayahan membesarkan anaknya, apakah ibubapa di label sebagai ibubapa yang tidak bernasib baik?

Oleh itu, jika kita hendak mencapai matlamat untuk memberikan kehidupan yang lebih baik lagi kepada OKU, wajar sekali kita memberikan ayat yang positif dan motivasi.

Zaman sekarang melalui internet, OKU menerima banyak informasi dan mereka juga mempunyai mata dan telinga. Mereka boleh menilai. Kita tidak boleh menyembunyikan sesuatu lagi. Apa-apa sahaja pun, keperluan mereka wajar dipenuhi kerana mereka juga tertakluk kepada qada dan qadar walau berpotentasi menjadi ahli syurga.