28 May 2009

Telefon Bimbit Yang Sesuai Untuk Orang Pekak?

1. Saya masih ingat sebelum projek ePekak kebanyakan orang Pekak tidak memahami kepentingan ICT, rata-rata kata ianya mahal tak mampu nak beli dan tak tahu gunakan nya kerana tak mahir BM atau English.

2. Melalui usaha MFD memperkenalkan ICT iaitu pager, SMS dan memulakan idea 'cross operator' antara telco (syarikat telefon) yang membolehkan orang Pekak dari 019 menghantar SMS ke 012 seperti sekarang, serta projek ePekak; majoriti orang Pekak mulai memahami keperluan komunikasi tanpa halangan.

3. Sekarang hampir setiap orang Pekak yang saya jumpa mempunyai telefon bimbit termasuk menggunakan 3G. Mereka juga mempunyai emel, akaun di webchat, punyai blog sendiri dan sebagainya. Ramai orang Pekak meningkat penguasaan BM dan English. ICT telah membawa pembaharuan kepada orang Pekak. Syukur projek MFD berjaya.

4. Dibawah peruntukan projek MySign Community saya telah diberikan handphone untuk kajian kesesuaiannya dengan projek tersebut. Bermula dengan telefon canggih iaitu E90Communicator buatan Nokia, saya dapat berkomunikasi menggunakan sms, mms, emel serta melayari internet di tempat yang ada wifi, membuat urusan MFD di mana-mana tanpa membawa laptop. Saya juga dapat berkomunikasi dengan 3G tanpa masalah, letak E90 sahaja di mana-mana dan berisyarat tanpa memegangnya.

5. E90 adalah lengkap kerana jika anda berkomunikasi dengan orang Pekak yang tak mahir dengan BM atau English anda boleh gunakan 3G. Tetapi gambar 3G adalah tidak jelas kerana talian di negara kita adalah masih tidak kuat (perlahan). Gambar juga adalah kecil dan tidak dapat mengikuti dengan penuh, jika dipegang sebelah tangan akan jadi tak stabil dan sukar untuk memahami isyarat.

6. Oleh itu sms adalah terbaik dan dapat berkomunikasi dengan lebih jelas. Namun sms tidak dapat berkomunikasi secara 2 hala. Kadang-kadang tak menjawab sms untuk seberapa lama mengakibatkan tekanan kerana ingin menyampaikan perkara yang penting.

7. 3G adalah sesuai untuk orang Pekak yang tidak mahir dalam BM atau English dan sms adalah sesuai untuk orang yang menguasai BM dan English.

8. Baru-baru ini, saya menggunakan Blackberry Storm dengan pakej Celcom RM 148 sebulan. Saya dapat melayari internet di mana-mana tanpa mencari tempat yang ada wifi, saya menghantar dan membalas emel dimana-mana dan bila-bila masa. Paling baik ialah saya dapat berkomunikasi 2 hala menggunakan YM dan MSN di mana-mana, sebab itu anda akan dapati saya online di sepanjang masa. Hidup anda boleh dikatakan lengkap sekiranya menggunakan Blackberry tanpa tertekan menunggu jawapan sms dan mencari wifi. Blackberry Storm luas skrinnya dan sesuai untuk melayari internet tetapi tiada 3G.

9. Bagi pengguna baru Blackberry Storm akan merasa tertekan kerana tidak biasa menggunakan skrin sesentuh atau touch screen. Anda akan mengambil masa 2 minggu atau lebih untuk menyesuaikan diri menggunakan Blackberry.

26 May 2009

Projek Latihan Jurubahasa Isyarat : Bahagian 1

Semua orang tahu MFD menerima sebanyak RM 12.1 juta di bawah peruntukan Bajet 2007 Kementerian Kewangan Malaysia untuk melaksanakan satu projek nasional. Saya amat bersyukur kerana MFD diberikan kepercayaan untuk memikul satu tanggungjawab yang sangat berat.

Ada suara yang mempertikaikan, mampukah orang Pekak membuat projek? Tahukah orang Pekak membuat Projek besar? Tahukah orang Pekak menjaga wang yang banyak? Namun saya ada menerima ucapan tahniah dari sebilang NGO dan pegawai kerajaan.

Saya ingin berkongsi dengan semua orang bagaimana kita boleh berjaya mendapatkan projek ini. Ianya bermula dengan usul dari ahli gabungan MFD semasa sesi brainstorming di Terengganu pada tahun 2003.

Ahli gabungan MFD merupakan kuasa tertinggi dalam MFD, mereka membayar yuran dan mempunyai hak untuk mencadang, melulus dan mengarahkan pentadbiran MFD membuat kerja. Staf MFD termasuk saya sendiri tak boleh buat kerja suka hati, ikut kepala sendiri. Pernah satu kali saya ditegur oleh ahli gabungan MFD dari pantai timur kerana membuat projek tanpa kelulusan ahli gabungan terlebih dahulu dan dianggap sebagai projek haram.

Oleh itu semasa brainstroming di Terengganu, para perwakilan membincang masalah yang dihadapi oleh persatuan mereka masing-masing dan mencadangkan usul. Majoriti perwakilan membangkitkan isu tidak ada jurubahasa isyarat, staf pentadbiran, tak cukup wang, tiada tempat beraktiviti dan telah mengeluarkan resolusi selepas bengkel. Resolusi tersebut telah dibawa ke di AGM MFD kemudian diluluskan dan menjadi tindakan. Dari resolusi tersebut, staf MFD yang dibayar gaji mencari idea untuk memenuhi resolusi tersebut.

Pada tahun 2004, MFD telah menerima panggilan daripada Annie Ling dari REDtone Communication menjemput kita untuk memberikan satu cadangan kepada mereka. Kesempatan tersebut diambil dan kumpulan saya iaitu Zuraidah, Soo Leng dan Hafidah telah mengadakan satu perjumpaan dengan Encik Wei Chuan Beng CEO REDtone dan Encik Peter Yeow pegawai kewangannya di pejabat mereka.

Saya masih ingat detik bersejarah perjumpaan tersebut kerana Encik Chuan Beng amat positif dengan cadangan kami dan beliau mencabar MFD untuk mengeluarkan 100 orang jurubahasa isyarat dalam masa 5 tahun. Dia juga telah meluluskan peruntukkan sebanyak RM 1.8 juta dibawah Tan Sri Yeop Othman-Redtone Communication Trust Fund untuk menubuhkan pusat latihan, membiayai kursus dan elaun.

Beliau juga membenarkan MFD menggunakan tiga suku ruang kepunyaan syarikatnya seluas 1,000 kaki persegi di Tingkat 6, Menara KLH untuk tujuan tersebut secara percuma.

Dari itu, MFD terus menyiapkan infrastruktur pusat latihan, menyediakan modul latihan dan juga membuat ambilan pertama. Kumpulan kami telah memohon tunjuk ajar daripada Puan Saadiah Ahmad, Puan Hadsuria Che Omar dari USM, Encik Razif dari ITNM dan Mejar Sazali Abdul Hamid dari LPM untuk membangunkan program tersebut. Walaubagaimana pun, kami sudah mempunyai program tersendiri yang dibangunkan melalui bengkel-bengkel jurubahasa isyarat sebelumnya. Program tersebut bermula pada 1hb Mac 2005 dengan peserta pertama seramai 20 orang.

Kami membuat latihan secara in-house kerana mengikut undang-undang adalah satu kesalahan jika tidak mendaftar kursus yang melebihi 3 bulan dengan pihak berkuasa. Kami membuat kursus tersebut selama 6 bulan peringkat persijilan dan 6 bulan membuat latihan pratikum dengan persatuan negeri.

Pada masa itu juga pihak Yayasan Maju Diri Y juga menubuhkan kursus jurubahasa isyarat peringkat Diploma dengan kerjasama dengan ITNM dan UM. Walaubagaimana pun kursus tersebut tidak dilaksanakan sehingga blog ini saya tulis.

Pada Julai 2006, MFD telah menganjurkan Seminar Jurubahasa Isyarat Nasional (NASLI) pertama yang dirasmikan oleh YB Dr. Ng Yen Yen, Timbalan Menteri Kewangan II di Hotel De Palma, Ampang. YB Dr Ng kagum dengan usaha yang dilaksanakan oleh MFD dan REDtone sebagai penyumbang utama. Beliau telah mengarahkan saya mengemukakan kertaskerja cadangan di sesi Bajet 2007 dan berikan saya tempoh 1 minggu.

Saya bertungkus lumus siang malam untuk menyiapkan kertaskerja cadangan tersebut dan cuba membuat bajet “1 to 1 RM” seperti yang diarahkan oleh YB Dr. Ng. Sangat sukar untuk membuat bajet yang rasional dan terperinci dan akhirnya kami telah melebihi sasaran menjadi berjumlah RM 8 juta. Kami kemudian menghantar permohonan ke Kementerian Kewangan 1 hari sebelum deadline (tarikh tutup. Saya juga tak berpeluang untuk membentangan di sesi Dialog Bajet 2007 seperti lazimnya.

Pada 1hb September 2006, Bajet 2007 diumumkan oleh YAB Tun Abdullah Badawi, Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan, seperti biasa kita orang Pekak lewat menerima berita sebab media letronik tidak dapat di akses oleh orang Pekak. Saya hanya mendapat berita melalui membaca akhbar esok hari dan saya mencari sama ada permohonan kita diluluskan.

Di para 96 Bajet 2007 tertulis iaitu “Terdapatnya kekurangan jurubahasa isyarat terlatih untuk membantu golongan kurang upaya pendengaran dan pertuturan berkomunikasi, program khusus akan diadakan untuk melatih lebih ramai lagi jurubahasa isyarat di sekolah pendidikan khas di bawah Kementerian Pelajaran”.

Saya amat terkejut dan kurang percaya dengan berita tersebut, saya membanding beberapa akhbar lain tetapi laporan adalah sama. Mengapa pulak melatih jurubahasa isyarat di sekolah pendidikan khas? Mengapa pulak jurubahasa isyarat digunakan untuk sekolah pendidikan khas kerana guru sendiri mampu berkomunikasi menggunakan KTBM? Saya tercari-cari jawapan, saya tak mahu berlaku seperti Bajet 2005 yang mana telah luluskan program ICT tetapi kita tak dapat apa-apa.

Saya terus mengutus surat kepada KSU Kementerian Pelajaran, memaklumkan kepada pihak mereka bahawa itu adalah projek kami dan memohon supaya mengadakan kerjasama untuk membuat latihan jurubahasa isyarat.

Saya juga ada menerima panggilan dari pegawai JPK untuk mendapatkan kertaskerja kami bagi melaksanakan projek latihan jurubahasa isyarat dibawah JPK. Berderau darah saya. Entah mengapa saya mendiamkan diri tidak memberikan respon kepadanya.

Nasib kita adalah baik, tak beberapa lama kemudian saya dijemput ke mesyuarat Majlis Penasihat Kebangsaan Pendidikan Khas dan saya membangkitkan isu latihan jurubahasa isyarat dibawah peruntukan Bajet 2007. Pengerusi mesyuarat tersebut memaklumkan bahawa itu bukanlah projek mereka dan memberikan restu kepada MFD untuk berhubung terus dengan MOF. Go ahead!

Dari itu saya terus mengorakkan langkah, kami bertemu dengan Datuk Dr. Irwan, Encik Yeoh, dan beberapa pegawai MOF. Datuk Dr Irwan telah memberikan masa 1 minggu kepada kami untuk menyediakan kertas kerja baru. Datuk Dr. Irwan juga telah mengarahkan kami supaya memasukkan kursus kemahiran BIM untuk pegawai kerajaan iaitu Pengetua, Guru Besar, Guru Kaunseling dan guru mata pelajaran dalam projek kertas kerja.
Dari itu, saya telah menjemput Mejar Sazali Abdul Hamid untuk membantu kami memurnikan kertaskerja kami mengikut format kerajaan.

Apabila siap kami telah membentangkan kertaskerja kami iaitu Menambah Bilangan dan Peningkatan Kualiti Perkhidmatan Jurubahasa Isyarat dan Peningkatan Penguasaan Bahasa Isyarat dengan kos sebanyak RM 12.1 juta di hadapan Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz bin Wan Abdullah, Timbalan KSU Menteri Kewangan. Saya menjemput Mejar Sazali bersama ke mesyuarat tersebut untuk menguatkan permohonan kami, namun apa yang saya pelajari dari protokol kerajaan mereka pegawai MOF lebih mendengar suara OKU.

Mesyuarat tersebut telah setuju mempertimbangkan permohonan kami dan menyuruh kami memulakan kerja. Mereka memberitahu kami bahawa apabila cek siap akan memaklumkan kepada kami dan menyuruh kami memulakan projek tersebut.

Bayangkanlah bagaimana nak mula tanpa duit? MFD tiada peruntukan wang yang besar untuk memulakan projek. Bagaimana nak sewa tempat untuk dijadikan pusat latihan? Membuat ubah suai? Membeli perabut? Bagaimana nak sewa apartmen untuk di jadikan asrama dan sebagainya.

Bersambung.