17 September 2010

Apakah pemimpin Pekak Cina pupus?

Selepas AGM KLSD saya ada menerima cerita di kalangan orang Pekak dari KL mengenai pemimpin Pekak Cina pupus di KLSD. Josie Koo, isteri Kim Huat ahli KLSD yang bekerja di Pusat Majudiri Y ada menulis mengenai kepupusan itu dalam status di YMnya dan saya telah menegur Josie bagi mengelakkan salah faham. Maksudnya ialah tiada lagi orang Pekak Cina memegang jawatan EXCO di KLSD

Semasa AGM KLSD baru-baru ini tiada orang Pekak Cina berjaya memegang jawatan dalam EXCO KLSD bagi tahun 2010 - 2012. Saya telah dilantik mempengerusikan pemilihan EXCO KLSD dan menyaksikan Lim Anuar menarik diri, juga ada yang tidak layak kerana peraturan KLSD melarang calon yang masih menuntut di IPT. Ahli KLSD juga telah memberikan peluang kepada Yong Yit Sin dan Yip Chee Kean untuk bertanding pada saat terakhir walaupun penamaan telah di tutup.

Malangnya, jumlah kehadiran ahli KLSD keturunan Cina yang amat sedikit telah menggagalkan usaha untuk memberi peluang kepada Yong dan Yip memegang jawatan sebab kedua mereka kurang aktif dalam program KLSD.

Seorang calon wanita Pekak Cina yang menerima pencalonan terbanyak tetapi tidak hadir di saat terakhir kerana masalah kesihatan juga telah tewas di hukum oleh ahli. Ada berapa pemimpin seperti Hisham Khailani juga tewas dalam undian.

Namun 4 orang Pekak keturunan India berjaya memegang jawatan di dalam EXCO KLSD yang sejumlah 11 orang.

Kepupusan kepimpinan orang Pekak Cina di KLSD juga berlaku di Kelab Pekak YMCA Kuala Lumpur. Hymasutan merupakan Presiden Kelab Pekak YMCA KL berbangsa India yang pertama dalam sejarah, beliau mempunyai pengalam luas iaitu pernah mewakili MFD ke WFD Youth Camp di Madrid, EXCO Unit Belia Pekak Malaysia, bekas EXCO KLSD dan meletak jawatan untuk merebut jawatan Presiden di POCPS tetapi gagal.

Sekarang terdapat 3 orang bangsa Melayu dalam JK Kelab Pekak YMCA KL dan kepupusan kepimpinan Pekak Cina mulai tidak dinafikan.

Benarkah di negara kita mengalami kepupusan pemimpin orang Pekak Cina? Jika benar mengapa ianya berlaku?

Kelab Pekak YMCA KL bukannya sebuah kelab baru dan ingusan kerana akan menyambut ulangtahun ke "38". Program kepimpinan kerap di laksanakan oleh Kelab Pekak tetapi jika kepupusan itu berlaku bermakna program yang dilaksanakan kurang mempunyai impak?

Walaubagaimana pun jika adanya program antarabangsa, majoriti orang Pekak Cina akan menyertainya kerana kekuatan kewangan mereka tetapi sukar memberikan khidmat kepada komuniti sekembali ke negara melainkan kepada kumpulan mereka sendiri.

Amir Hamidi sebelum ini ada membentangkan kertas kerja mengaitkan kepupusan pemimpin dengan dinosaur. Saya faham apa yang tersirat oleh beliau. Pada saya "dinosaur" itu memang saling berbunuhan untuk survival dan saya tidak nampak berlakunya di KLSD atau mana-mana Ahli Gabungan MFD. Saya kagum kerana orang Pekak di KLSD kerana tidak lagi "memakai cawat" dan berfikir seperti orang zaman purba.

09 September 2010

Ucapan Selamat Hari Raya Aidil Fitri 1431

Saya masih ingat pada tahun 1996 Sdr Aqlam Jafri yang pulang untuk membuat latihan industri dengan KLSD telah membangunkan laman web KLSD iaitu laman web OKU yang pertama di negara ini. Web tersebut di rasmikan oleh Datuk Dr. Mohamad Awang Lah, MIMOS di Damansara.

Selepas itu kita tidak memandang ke belakang dengan memperkenalkan ICT kepada orang Pekak di seluruh negara iaitu penggunaan alat pager, memperkenalkan The Hub iaitu server cross-operator untuk sms, projek celik ICT iaitu e-Pekak v1 dan v2 dan terakhir MySign Community.

Hasilnya orang Pekak telah sebati dengan ICT, mereka mempunyai PC atau laptop untuk berkomunikasi antara satu sama lain menggunakan web chat dan handphone untuk menghantar dan menerima sms atau menggunakan komunikasi 2 hala iaitu 3G. Juga ada yang menggunakan Blackberry termasuk saya sendiri.

Alatan tersebut dibeli oleh orang Pekak dengan wang sendiri berkat dari kemakmuran negara kita yang membuka peluang pekerjaan. Kita juga membayar perkhidmatan menggunakan broadband, internet dan sebagainya kepada telco dan secara tidak langsung orang Pekak merancakkan ekonomi negara.

Tahun ini saya terima banyak ucapan selamat hari raya dari sahabat handai Pekak melalui ICT iaitu Facebook, SMS, MMS dan emel.

Alhamdullilah, projek ICT yang kita usahakan telah berjaya. Antara banyak ucapan yang saya terima dan saya mencari kata-kata yang sesuai untuk membalas sebagai pengganti diri.

Melayari laman web tetangga kita saya mengambil ucapan yang saya rasa terbaik dan mudah di faham iaitu....

jabat erat jemari
hilangkan dendam di hati
sambut hari nan suci
Selamat Aidil Fitri

Minal Aidin, Wal Fiadzin
Maaf Zahir dan Batin

Jika HATI sejernih AIR, jangan biarkan IA keruh,
Jika HATI seputih AWAN, jangan biarkan dia mendung,
Jika HATI seindah BULAN, hiasi IA dengan IMAN.
Mohon Maaf lahir Dan batin

Saya dan keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua sahabat dimana juga anda berada.....

Maaf Zahir dan Batin

07 September 2010

Berita rogol dan jurubahasa isyarat

Saya telah membaca laporan berita mengenai seorang Pekak telah dijatuhkan hukuman kerana merogol.

Undang-undang tidak mengenal sesiapa. Hukuman tetap di jatuhkan, kecacatan diri bukan alasan untuk mendapatkan simpati bagi melepaskan diri. Harap berita ini akan menjadi pengajaran kepada generasi kita supaya menghormati undang-undang, juga kepada ibubapa dan guru dan ustaz atau ustazah dan juga teman agar membantu membimbing generasi kita untuk mengawal nafsu.

Namun keadilan undang-undang tersebut ada juga ruang untuk di pertikaikan, kita semua tahu ada laporan dalam akhbar tempatan mengenai pelajar Pekak di perkosa atau dicabul kehormatan oleh guru sendiri atau orang “normal” tetapi terlepas dari hukuman.

Sedih sungguh kerana guru memangnya orang berilmu kerana mempunyai ijazah dan dikurniakan akal oleh tuhan tetapi gagal memegang amanah untuk membimbing generasi kita. Juga orang "normal" yang buta hati mengambil kesempatan terhadap orang Pekak yang difikir tidak akan melawan. Tahukah perbuatan tersebut mengakibatkan ingatan yang buruk kepada mangsa dan harga diri yang jatuh kerana di ceritakan oleh teman, keluarga dan masyarakat sekeliling. Sudah lah mangsa itu pekak kini jatuh tertimpa tangga.

Apakah mereka yang berilmu dan “normal” tidak boleh berfikir sempurna? Jika tidak, jangan persalahkan kami orang Pekak yang selalu di labelkan sebagai kumpulan yang malas berfikir.

Isu terlepas hukuman ada berkaitan dengan proses pembicaraan di mahkamah. Hanya orang yang arif sahaja yang mampu mengikuti proses pembicaraan tersebut. Oleh itu, peranan guru pendidikan khas menjadi “jurubahasa isyarat” dalam kes berat di mahkamah yang melibatkan orang Pekak juga perlu di ambil kira. Apakah kelayakan dan tauliah guru tersebut sebagai “jurubahasa isyarat” untuk orang Pekak di kes mahkamah? Apakah isyarat “jurubahasa isyarat” itu difahami oleh pesalah atau klien pekak dan apakah “jurubahasa isyarat” tersebut faham apa yang diisyarat oleh pesalah atau klien pekak sebelum di terjemah kepada percakapan di mahkamah?

Elakkan anggapan menjadi penterjemah di mahkamah merupakan satu kerja yang kacang. Janganlah hanya untuk mendapatkan merit atau penghargaan tetapi ingatlah dosa yang bakal tertimpa kerana yang menjadi mangsanya ialah orang Pekak yang belum diketahui bersalah.

Di negara kita ada seorang dua yang diiktirafkan oleh mahkamah untuk berkhidmat sebagai jurubahasa isyarat dan juga MFD ada menyediakan jurubahasa isyarat yang berkelayakan dan terlatih dalam kes mahkamah.

Kasih sayang


Saya telah menerima gambar yang membawa seribu makna. Gambar seorang abang juga masih kecil, tetap memikul tanggungjawab untuk melindung adiknya; memberikan kasih sayang; kehangatan dan makan minum yang sepatutnya di pikul oleh ibubapa.

Gambar ini menunjukkan ianya berlaku di sebuah negara yang jauh tetapi bukan semakmur Malaysia. Namun di sini, negara ku yang makmur menjadi tempat membuang bayi yang tak berdosa.

03 September 2010

Buang bayi dan wanita Pekak.

Buang bayi adalah satu perbuatan yang amat kejam. Bayi ialah insan yang bernyawa seperti kita dan mempunyai hak untuk hidup. Perbuatan buang bayi sehingga mengakibatkan kematian adalah perbuatan yang sama dengan membunuh.

Cubalah kita melemaskan diri dalam air atau menutup saluran penafasan kita, apakah kita rasa? Kesakitan dan ketakutan. Kita rasa lega kerana dapat bernafas. Kita syukur dan sayangkan nyawa kita. Kita mengelakkan perbuatan yang bodoh seperti mencederakan diri atau membunuh diri. Hidup ini adalah terlalu indah untuk kita tinggalkan. Namun bagi pembuang bayi, manakah perginya rasa perikemanusiaan mereka? Apakah mereka tidak mempunyai otak dan perasaan?

Mengapa individu memberi peluang bayi membesar dalam kandungan dan memberikan nyawa tetapi selepas bayi itu dilahirkan kemudian di buang. Apakah faktornya?

Adakah orang Pekak terlibat dengan buang bayi?

Terdapatnya 3 kes yang di laporkan kepada saya, dua kes saya juga telah terlibat untuk menyelamatkan bayi. Kes pertama sebab cetek agama, seorang wanita Pekak telah mengandung tanpa ikatan perkahwinan. Saya mengenali lelaki Pekak yang melakukannya iaitu bekas anak murid saya semasa mengajar di sekolah rendah.

Wanita pekak itu menerima tekanan dari keluarga dan bapanya menyuruh wanita tersebut membuang bayi kerana tidak mahu mengaibkan keluarga. Bapanya seorang alim dan ahli parti agama. Tergamakkah beliau berbuat demikian? Apakah Islam mengajar kita membuang bayi demi hanya menjaga air muka keluarga?

Nasib baik ada insan wanita Pekak bukan Islam yang baik hati, mereka telah menyewa rumah yang jauh dari ibubapa wanita yang sedang mengandung tersebut. Wanita bukan Islam tersebut telah keluar bekerja untuk menyaranya, menjaga keselamatan dan memberikan kasih sayang sehingga menghadapi masalah kewangan. Wanita bukan Islam itu telah berjumpa kami untuk mendapatkan bantuan dan bermulanya kami dari MFD membantu mereka.

Sebagai bekas anak murid saya, sesi kaunseling adalah berjaya dan juga ibubapa lelaki itu memberikan sokongan. Akhirnya mereka berdua berkahwin secara sah dan melahirkan anak yang sihat.

Kes kedua, seorang wanita Pekak Cina yang mengandung tanpa berkahwin dan beliau telah berjumpa saya untuk pertolongan. Saya di beritahu lelaki Pekak tersebut cuba melakukan berbagai perkara untuk membunuh anak yang dikandung. Adakala menumbuk perut wanita tersebut dan adakala menolak wanita tersebut jatuh sehingga di langgar kenderaan; tetapi tuhan maha kuasa dan apa sahaja keadaan anak tersebut selamat. Saya telah menasihat wanita tersebut dan berjumpa lelaki Pekak itu serta membincang dan memberikan nasihat. Akhirnya anak itu dilahirkan dan membesar dijaga oleh wanita Pekak itu, diberikan pelajaran dan sekarang sudah bekerja.

Kes ketiga berlaku di selatan negara, walaupun saya tidak terlibat tetapi usaha dari seorang kakitangan saya telah membantu menyelamatkan nyawa. Kami memberikan tempat perlindungan dan mendapatkan bantuan sehingga mampu berdikari. Kawan saya yang tidak mempunyai anak ada meminta wanita Pekak tersebut menyerahkan bayi untuk di jaga tetapi wanita Pekak itu enggan menyerahkannya.

Ada dua kes lain berkaitan dengan wanita Pekak melahirkan anak tanpa berkahwin tetapi ibubapa pihak wanita tersebut telah menerimanya dan menjaga bayi tersebut tanpa menyerah ke rumah kebajikan atau orang lain.

Kesimpulannya, walaupun tuhan memberikan dugaan kepada orang Pekak dengan mencabut deria pendengaran kita, namun sifat perikemanusiaan kita masih belum di cabut. Syukur kerana sampai sekarang tiada wanita Pekak membuang bayi yang dilahirkan tanpa ikatan perkahwinan yang sah. Kehidupan kita tempuhi sekarang ada banyak kekurangannya, sebagai contoh pendidikan kita tidak berjaya, ajaran agama tidak sampai kepada kita, hidup kita penuh diskriminasi dan dipandang negatif oleh masyarakat sekeliling tetapi kita tidak sekejam sampai membuang bayi.

Juga ada beberapa ibu tunggal Pekak namun mereka tetap berusaha untuk mencari rezeki yang halal, mereka tidak terlibat dengan perbuatan yang melanggar undang-undang demi survial anak mereka. Ini adalah satu kekuatan orang Pekak yang saya saksikan sehingga kini.

Sepatutnya masyarakat sekeliling mempelajari kes yang dihadapi oleh orang Pekak. Ibubapa dan masyarakat sekeliling perlu memainkan peranan penting dalam mengelakkan buang bayi dengan memberikan nasihat dan motivasi. Menerima dengan pasrah akan berlakunya jika anak sendiri mengandung tanpa perkahwinan. Anggaplah itu kejadian yang diturunkan oleh tuhan sebagai peringatan sepertimana tuhan menjadikan kita menjadi Pekak. Bukannya kita mengugut, menyuruh buang bayi demi maruah kerana bayi itu adalah terjadi hasil daripada pertemuan 2 darah (AlQuran). Membunuh itu juga berdosa. Masyarakat sekeliling juga wajar jangan memendang serong, mengumpat dan sebagainya kerana perbuatan itu akan mengaibkan individu sehingga berlakunya buang bayi untuk menutup malu. 2 pihak yang terlibat perlu diperbetulkan dan bukannya meletakkan kesalahan kepada perempuan sahaja.

Berita buang bayi yang berluasa masa ini menjadi pengajaran kepada kita, kita wajar berusaha untuk mengelakkannya daripada berlaku. Pemimpin Pekak akan diberikan taklimat dan mempelbagaikan informasi bagi mencegahkan perbuatan yang kejam ini.

02 September 2010

Masalah Sosial Wanita Pekak

Saya terkejut dengan laporan mengenai masalah sosial yang melanda wanita Pekak di negara ini.

Di antara laporan ialah terdapatnya rakaman video telefon bimbit mempaparkan aksi panas wanita Pekak dengan pasangannya tanpa segan silu. Hal ini telah lama berlaku dengan banyak tetapi saya baru menerimanya.

Laporan berikutnya ialah peningkatan jumlah penceraian di kalangan orang Pekak. Kebanyakan kes adalah permohonan daripada wanita Pekak yang menfail untuk bercerai atas sebab campur tangan keluarga, tidak mendapat nafkah atau masalah lain-lain.

Wanita Pekak yang bercerai tersebut tidak berfikir panjang dan membuat keputusan yang bijak kerana mereka masih mempunyai anak yang kecil. Anak kecil tersebut akan menjadi mangsa dan bakal menghadapi trauma kerana hidup tanpa kasih dan sayang ibu atau bapa.

Majoriti penceraian adalah dikalangan orang Melayu dan juga ada kes di kalangan orang Pekak Cina. Yang mengejutkan mereka yang bakal bercerai sudah mempunyai 'back up' iaitu mempunyai pasangan masing-masing.

Kesimpulannya permasalah tersebut adalah berkaitan dengan cetek ugama di kalangan orang Pekak. Oleh itu, program ugama yang sedia ada perlu dikaji semula dan memulakan dari asas. Maksud saya bukannya terus mengajar agama, menghukum, menakutkan dengan dosa dan azab neraka kerana ianya tidak memberikan kesan. Tetapi kita hendaklah mulakan dengan menerangkan apa itu agama dan mengapa kita mesti mempunyai agama, menerangkan apakah itu tuhan dengan memberikan contoh kejadian yang dicipta oleh tuhan supaya mereka akan faham dan mempercayai kewujudan tuhan.

Janganlah terlalu abstrak dalam menyampaikan ajaran agama kerana orang Pekak yang lemah bahasanya akan kurang memahami atau lambat menangkap apakan yang cuba di sampaikan.

Perkara ini adalah tiada kaitan dengan orang pekak lembab berfikir, tak adil untuk menjatuhkan hukuman kepada golongan ini kerana sebenarnya mereka ini tiada mempunyai asas bahasa yang kukuh kerana tiada usaha di buat seawalnya. Apabila tiada bahasa yang kukuh ianya menyukarkan komunikasi dalam bentuk bahasa isyarat atau bahasa pertuturan. Tidak hairan orang Pekak juga lemah dalam berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat.

Orang Pekak memang ketertinggalan dalam mendapat bimbingan agama. Sejak lahir hingga masuk sekolah, tiada program pendidikan agama peringkat awal seperti KAFA untuk anak Pekak kita. Malahan tiada usaha memberikan bimbingan agama di rumah kerana ibubapa yang melahirkan anak Pekak sendiri tidak mengambil berat kepentingan komunikasi menggunakan bahasa isyarat untuk mengajar anak sendiri akan agama.

Adalah lumrah ibubapa akan menyerahkan bulat-bulat anak mereka untuk dibimbing oleh guru agama di sekolah-sekolah, sekiranya berlaku masalah sosial tersebut seperti diatas menunjukkan orang Pekak gagal memahami ajaran agama dan mempunyai hubung kait dengan kemahiran berbahasa isyarat guru agama tersebut serta kurikulumnya.

Tidak dinafikan ketiadaan ajaran agama telah membentuk penyakit peringkat awal kanak-kanak Pekak dan mula membiak di sekolah rendah dan terus menjadi kritikal apabila memasuki sekolah menengah yang mana alam remaja di habiskan di situ. Ianya akan menjadi kronik seperti yang terdapat sekarang.

Juga faktor sekeliling yang mana masyarakat kita secara tidak sedari telah membina tembok Yahudi yang kejam memisah rakyat Palestin yang tidak berdosa iaitu menyekat orang Pekak mendapatkan bimbingan agama setiap hari setiap saat; sebagai contoh rancangan keagamaan yang di siarkan di TV memberikan pengajaran, bimbingan dan kesedaran tetapi tidak dapat diikuti oleh orang Pekak.

Saya pernah menonton rancangan talk show TV berkaitan dengan rumah tangga dan perhubungan suami isteri dengan bantuan penterjemahan jurubahasa isyarat, rancangan tersebut adalah sangat menarik dan berguna. Lagipun soaljawab adalah secara santai yang mudah di fahami oleh orang Pekak. Alangkah baiknya rancangan tersebut dimasukkan sarikata atau sisipan bahasa isyarat supaya dapat dihayati oleh penonton Pekak.

Wanita Pekak yang bersuami ramai tidak bekerja kerana menguruskan rumah dan mempunyai banyak peluang untuk memperbaiki diri melalui menonton rancangan tersebut. Kalau tidak berbuat sesuatu akan menyebabkan situasi akan bertambah parah.

Apakah tindakan yang perlu dilakukan bagi mengurangkan masalah sosial di kalangan wanita Pekak?