11 June 2013

Apakah orang Pekak tidak perlu bersolat?

Isu orang pekak tidak perlu bersolat hangat di bincang di laman sosial Facebook dan badan yang menjaga hal ehwal agama Islam orang Pekak, PRISMA atau Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia telah menganjurkan satu forum khas bagi membincangkan isu tersebut di Auditorium Perpustakaan KL pada 9hb Jun 2013.

Saya mengikuti program tersebut sehingga tamat. Ahli panel tersebut menceritakan kepentingan solat, siapa yang wajib bersolat dan hukum tidak bersolat. Memang solat itu wajib kerana dalam Rukun Islam no 2 ialah sembahyang 5 waktu sehari semalam. Pekak atau bukan semua orang beragama Islam adalah wajib bersolat.

Selepas forum tersebut saya berjumpa dengan ahli panel dan membangkitkan isu berkaitan dengan 13 rukun solat iaitu no. 3 semasa takbir boleh membaca dalam bahasa Arab atau bahasa terjemahan jika tidak mampu berbahasa Arab tetapi rukun no. 4 menwajibkan membaca surah Alfatihah dalam bahasa Arab tanpa kesalahan serta melarang berlagu.

Tidak dinafikan majoriti orang Pekak tidak dapat membaca Alfatihah dalam bahasa Arab dan solat mereka adalah boleh dipertikaikan.

Terdapatnya pandangan iaitu orang Pekak dikecualikan membaca Alfatihah atas alasan tidak dapat mendengar dan tidak boleh berbahasa Arab dan juga membaca huruf jawi. Semasa solat orang Pekak hanya perlu mendiamkan diri kerana Allah maha mengetahui.

Namun di negara Arab atau mana-mana negara yang menggunakan tulisan jawi (Arab), orang Pekak beruntung dapat membaca Alquran dan boleh membaca doa dalam solat. 

Di akhir perbincangan, mereka setuju dengan saranan saya bahawa semasa solat orang Pekak boleh membaca dalam hati maksud atau terjemahan dalam bahasa Melayu atau BIM. Semasa solat jangan menyebut dalam bahasa Melayu kerana ianya akan membatalkan sembahyang, jangan berisyarat semasa solat, hanya berisyarat atau membaca terjemahan dalam bahasa Melayu dalam hati supaya menwujudkan satu komunikasi dengan tuhan.

Saya juga mendapat maklumat dari laman sosial mengenai program mengaji Alquran dalam bahasa isyarat dan mendapatkan pandangan dari orang lain. Mereka tidak bersetuju kerana ianya adalah berbentuk mengeja dan bukannya sebutan kerana mengaji Alquran memerlukan sebutan. Saya belum melihat dan menyelidik kaedah mengaji Alquran dalam bahasa isyarat tersebut namun saya masih berharap orang Pekak dapat di bimbing dengan cara yang betul.

Cabaran sekarang ialah PRISMA dan mereka yang berkaitan dengan melaksanakan ajaran agama Islam membimbing orang Pekak dalam memenuhi 13 Rukun Solat tersebut. 

Tiada alasan bagi orang Pekak mengelakkan diri dari menghafal doa-doa solat dalam bahasa isyarat sepertimana mereka mampu menghafal bahasa yang digunakan di Facebook dan sebagainya. Allah berikan kita akal, oleh itu pergunakanlah.