18 August 2009

Bahasa Isyarat Malaysia dan Bahasa Melayu

Saya telah membaca tulisan Firdaus, Amir Hamidi dan jawapan Puan Saadiah Ahmad mengenai BIM/BMKT/KTBM.

Saya perlu menjelaskan kepada semua supaya tulisan mereka tidak mengelirukan banyak pihak kerana ianya akan menjejaskan perjuangan kita agar BIM digunakan di sekolah-sekolah.

BIM di haramkan di sekolah-sekolah Pekak.

Hakikatnya adalah benar dan saya bagikan beberapa contoh :

Semasa saya hadir ke program anjuran JPK berkaitan dengan BIM/KTBM, terdengar (melalui jurubahasa isyarat) arahan pegawai JPK supaya peserta jangan ambil peduli apa yang saya cakap sebab dasar Pendidikan Khas iaitu KTBM adalah sudah jelas.

Wawancana Permaufakatan di Hotel Plaza Kuala Lumpur anjuran JPK pada tahun 2004 yang dihadiri oleh pegawai JPN, guru khas seluruh negara, ibubapa telah mengeluarkan resolusi mengiktiraf BIM. Tapi hari ini resolusi itu entah kemana.

Juga Bengkel Pemurnian KTBM di Melaka mencadangkan kerjasama MFD/JPK untuk mengeluarkan isyarat baru kerana isyarat tersebut kepunyaan orang Pekak tetapi cadangan tersebut hilang sampai hari ini.

Kedua perkara tersebut tidak juga dibentang ke mesyuarat tertinggi iaitu Majlis Penasihat Pendidikan Khas yang mana saya sendiri sebagai JKnya, walaupun dipengerusikan oleh KP atau TKP. Saya ada membangkitkan isu tetapi seperti Cikgu Teh ianya dipandang sepi.

Saya tidak nafikan BIM di gunakan oleh guru-guru secara sembunyi atau secara terang kerana tiada pegawai JPK atau pengetua atau guru besar yang faham berisyarat untuk menghalang penggunaannya.

BIM serpihan BMKT/KTBM?

Ada ayat dalam kitab Injil Perjanjian Lama dan Baru, kitab orang Yahudi Talmund yang mengatakan kewujudan orang Pekak dan isyarat.

Ahli falasafah Socrates ada menulis mengenai orang Pekak dan isyaratnya. Juga dalam AlQuran ada menyatakan orang Pekak dan isyarat dalam surahnya. Orang pekak beribu-ribu tahun sudah ada bahasa isyarat untuk berkomunikasi antara mereka dan masyarakat sekeliling.

Di negara kita sejak zaman Parameswara atau sebelumnya ada menyatakan orang Pekak, ianya boleh didapati dalam Hikayat Melayu Lama yang menyebut 'orang pekak tertanya-tanya'. Saya percaya kita sudah mempunyai cara komunikasi tersendiri tetapi tiada kajian dibuat.

Di awal FSD, kanak-kanak Pekak menggunakan isyarat tempatan yang digunakan semasa berkomunikasi di rumah untuk berkomunikasi dengan rakan sebaya di FSD.

BMKT berasal dari ASL, BMKT tidak memberikan ruang kepada isyarat tempatan sebab tiada organisasi yang memperjuangkan identiti orang Pekak pada masa itu. Tiada bijak pandai orang Pekak pada masa itu untuk memperbetulkan keadaan.

Apabila kita menggunakan BMKT yang berasaskan ASL, orang Pekak luar melihat kita tiada identiti sendiri kerana menggunakan bahasa ASL.

Pada tahun 2000 organisasi kita bangga kerana telah berjaya mengumpulkan isyarat tempatan, mencipta isyarat baru dan mengambil isyarat luar dan dijadikan sebagai isyarat nasional iaitu BIM.

Apabila BIM dibukukan, ramai yang kata BIM ada persamaan dengan BMKT/KTBM dan saya bersimpati jika ada orang Pekak sendiri menuduh BIM sebagai serpihan BMKT.

Sebenarnya semasa mesyuarat panel BIM yang terdiri dari perwakilan orang Pekak daripada seluruh negara bertempat di MAKPEM Sentul tahun 1999 telah setuju supaya isyarat ASL yang ada dalam BMKT di gunakan dalam BIM supaya tidak mengelirukan kanak-kanak Pekak kita serta menyatukan komuniti kita dengan pihak sekolah.

Tak salah kalau kita meminjam bahasa asing, Bahasa Melayu juga mempunyai bahasa asing. ASL juga diambil dari Bahasa Isyarat Perancis.

Bolehkah BIM membantu orang Pekak menguasai Bahasa Melayu?

Jawapannya BOLEH - tiada yang mustahil. Di USA menggunakan ASL untuk mengajar English, di UK menggunakan BSL untuk mengajar English, di Australia menggunakan Auslan untuk mengajar English. Ketiga-tiga bahasa isyarat tersebut adalah tidak sama, namun orang Pekak di situ mampu menguasai English dan belajar sehingga universiti serta memegang jawatan tinggi.

Ramai pemimpin di WFD/Deaflympic juga mahir dalam English yang dipelajari melalui bahasa isyarat negara mereka.

Janganlah memperlekehkan BIM. Hati-hati membuat kenyataan.

Buka matalah, pemimpin kita Tun Mahatir, Tun Abdullah juga lahir sebagai orang Melayu. Bahasa Melayu mereka membantu mereka menguasai English dan mereka mendapat tempat di arena antarabangsa.

Oleh itu BIM boleh membantu generasi Pekak kita menguasai Bahasa Melayu.

2 comments:

Al-Firdausi said...

pandangan dan penjelasan saya terhadap artikel ini telahpun diterbitkan dalam blog saya..

Wassalam...

al-firdausi.blogspot.com

Saadiah Ahmad said...

Assalamualaikum En. Sazali,
Saya hanya ingin membetulkan keadaan tentang penguasaan Bahasa Inggeris Tun Mahathir dan Tun Ahmad Badawi. Seperti mereka, saya juga dilahirkan sebelum merdeka dan saya juga ke sekolah di zaman yang sama mereka iaitu zaman British. Pada masa itu penyampaian pendidikan adalah dalam bahasa Inggeris. Bahasa Melayu adalah satu subjek dalam kurikulum sahaja.Tidak ramai guru yang boleh berbahasa Melayu pada masa itu...Saya bernasib baik sebab di sekolah saya ada seorang guru Melayu, mengajar bahasa Melayu.Semua matapelajaran diajar dalam bahasa Inggeris.."direct-method"digunakan dan bukan "translation method". Sama ada seseorang itu faham atau tidak Bahasa Inggeris pada mulanya,mereka akan berusaha sendiri untuk memahaminya,sama ada bertanya atau menggunakan kamus..pada masa itu kamus bahasa Inggeris/Melayu belum dihasilkan seperti sekarang.Dengan kebolehan memahami bahasa Inggeris yang mudah kami dapat memahami apa yang terdapat sebagai erti sesuatu perkataan atau ayat.Kami tidak pernah mendengar bahasa Melayu di sekolah-sekolah Inggeris yang biasanya adalah sekolah"missionary" dan dikuasai oleh guru-guru yang bukan Melayu.Di sekolah saya pada masa itu terdapat hanya seorang guru Melayu dan seorang guru India yang mengajar matematiks.Yang lain adalah guru-guru dari U.K.
Saya percaya 100% bahawa kedua-dua mantan perdana menteri juga melalui pendidikan yang sama...Ini bererti pendapat Encik Sazali bahawa Bahasa Melayu membantu kedua-dua mantan menteri belajar bahasa Inggeris adalah tidak berasas.Ramai pelajar-pelajar Melayu di sekolah-sekolah Inggeris di KL pada masa itu terpaksa menghadiri kelas-kelas bahasa Melayu di Kg. Baru.

Sekian dan harap maklum.....