07 November 2009

Khutbah Jumaat Untuk Orang Pekak.

Solat Jumaat ialah solat fardu (dua rakaat) yang dilakukan pada hari Jumaat menggantikan solat Zohor, dan ia dilakukan secara berjemaah selepas mendengar khutbah.

Orang Pekak beragama Islam adalah wajib mengerjakan solat Jumaat dan mengikuti khutbah yang disampaikan oleh imam yang berdiri atas mimbar.

Namun kepekakan kita bukan menghalang untuk mengikuti khutbah Jumaat kerana terdapatnya teknoloji yang membantu kita mengikutinya. Bermula pada tahun 2005, MFD telah mengusahakan khutbah Jumaat di terjemahkan dalam BIM (Bahasa Isyarat Malaysia) di Masjid Negeri Selangor, Shah Alam.

Pada masa itu hanya ada jurubahasa isyarat perempuan dan terpaksa membuat terjemahan di dalam bilik imam dan disambung kepada TV LCD di ruang solat. Orang Pekak yang bersolat di masjid tersebut dapat mengikuti penyampaian khutbah secara langsung.

Ini merupakan projek perintis dan kesedaran pentingnya khutbah Jumaat dalam BIM di sampaikan kepada orang pekak di terima oleh pegawai agama dan masyarakat sekeliling.

Kemudian sisipan bahasa isyarat di siarkan dalam siaran langsung khutbah Jumaat di TV1 RTM yang diusahakan oleh JAKIM tetapi tidak dapat di ikuti oleh orang Pekak yang berada di dalam masjid.

Terdapatnya 2 buah masjid di Malaysia yang saya bersolat mempunyai perkhidmatan jurubahasa isyarat semasa khutbah Jumaat iaitu di sebuah masjid di Seksen 17 berdekatan SMV Khas Shah Alam yang mana guru sekolah menjadi jurubahasa bagi membolehkan pelajar Pekak mengikut khutbah tersebut.

Sebuah lagi di Kuala Terengganu yang mana MFD telah menyediakan jurubahasa isyarat melalui PKPT dan berkhidmat semasa solat Jumaat.

MFD tidak dapat membekalkan jurubahasa isyarat berkhidmat di masjid di seluruh negara tetapi saya amat bersyukur kerana ada beberapa buah masjid yang saya bersolat tanpa sedari membantu orang Pekak mengikut khutbah Jumaat. Masjid tersebut menggunakan powerpoint isi yang dibacakan dalam khutbah dan ditayangkan menggunakan LCD projektor.

Baru semalam semasa saya bersolat Jumaat di Kelana Jaya berdekatan dengan SSD, masjid itu menayangkan isi khutbah Jumaat dengan menggunakan 3 buah projector LCD kerana ruang masjid tersebut adalah luas.

Alhamdullilah.

No comments: