Tuhan mencipta kita sebagai manusia yang lengkap, walaupun kita tiada deria pendengaran namun kita masih dikurniakan akal dan juga perasaan.
Kepekakan kita bukan penghalang kita untuk menjadi insan yang berjaya dan bertanggungjawab kerana akal yang dikurniakan telah membantu kita mengharungi hidup dengan penuh penghormatan. Maksud saya, kita orang Pekak tidak perlu menjadi pengemis, perompak atau pembunuh untuk meneruskan kehidupan walaupun ada banyak halangan serta diskriminasi disekeliling kita; sebagai orang Pekak yang berakal kita faham akan harga diri dan tahap kemampuan kita. Kita menerima dan pasrah tanpa keluh kisah.
Akal mempunyai hubungkait dengan perasaan. Kedua-duanya bekerjasama dan saling bantu membantu. Apabila kita mahukan sesuatu kita akan berfikir baik atau buruknya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.
Akal itu tidak semestinya membuat keputusan yang terbaik jika tidak diberikan input terlebih dahulu. Orang Pekak dilahir sememangnya mempunyai akal tetapi ianya bermula dengan kosong. Yang mengisinya ialah ibubapa, keluarga, sahabat, guru dan masyarakat sekeliling; mereka ini merupakan yang membentuk orang Pekak menjadi insan yang menggunakan akal. Baiknya orang Pekak itu baiknya sekeliling, buruknya orang Pekak itu buruknya pembentuk sekeliling. Ambil contoh yang mudah, jika seseorang itu masuk kedalam kolam lumpur, dia akan keluar dengan lumpur di seluruh badan.
Tulisan saya kali ini berkaitan dengan pengalaman, kejadian yang di lalui seharian bagaimana orang Pekak mempunyai perasan atau tidak. Semasa mengikuti aktiviti di selatan negara, adanya pemimpin disana memperjelaskan bencana yang menimpa di negara jiran dan sahabat Pekak menjadi mangsa di sana; orang Pekak yang hadir menyedari tanggungjawab dan menghulurkan sumbangan yang termampu.
Juga semasa hari raya saya dan keluarga melawati sahabat isteri saya yang lumpuh di utara negara dan telah meninggal dunia baru-baru ini, orang Pekak bertali arus menzairah dan menghebahkan berita tersebut. Mereka yang hadir melihat sendiri penderitaan dan mengeluarkan sumbangan walaupun tak seberapa. Sumbangan mereka adalah ikhlas, walaupun mereka bekerja kampung atau buruh kasar tetapi mereka mempunyai perasaan.
Berbeza dengan orang Pekak yang terkongkong, mereka ini memandang kosong masa depan kerana mereka tidak berpeluang untuk melihat kesusahan orang lain serta bertukar informasi bagi menilaikan baik buruknya sesuatu kerana diprogram untuk menerima keputusan dan arahan orang lain.
Di bandar besar, persaingan hebat telah mematikan perasaan orang Pekak dan menyebabkan mereka ini menjadi pentingkan diri. Apabila orang lain lebih baik daripada mereka, mereka akan berusaha untuk melebihi mereka yang lebih baik.
Jika dibiarkan perkara ini akan menyebabkan komuniti kita tidak bersatu dan menjadi lemah kerana semangat keakuan yang menebal.
Oleh itu, persatuan orang Pekak wajar memainkan peranan yang pro aktif bagi mengelakkan komuniti kita ke ambang pepecahan dan keruntuhan moral.
No comments:
Post a Comment