11 May 2010

Komunikasi Tanpa Halangan Untuk Orang Pekak 2


Dalam Akta OKU 2008 ada menyatakan keperluan komunikasi tanpa halangan untuk orang Pekak. Ianya membawa maksud menyediakan perkhidmatan jurubahasa isyarat bagi kemudahan komunikasi orang Pekak dalam urusan seharian.

Sekali lagi MFD memainkan peranan penting dalam menwujudkan perkhidmatan jurubahasa isyarat di negara ini, ianya bermula pada tahun 1996 di KLSD.

Perancangan kita di lakukan dengan sistematik dan ianya adalah amat berjaya. Pertama kita mulakan perkhidmatan jurubahasa isyarat sepenuh masa dan percuma secara kecilan di Kuala Lumpur, dari itu kita dapat tahu nilai pasaran keperluan jurubahasa isyarat dan kekekangannya.

Kedua, apabila MFD ditubuhkan pada tahun 1997, kita bangunkan Bahasa Isyarat Malaysia yang menjadi rujukan penting kepada jurubahasa isyarat.

Data yang kita perolehi dari jumlah perkhidmatan yang kita berikan, ianya digunakan untuk mendapat bantuan kewangan dari pihak JKM pada 1999.

Ketiga, kita juga menwujudkan 'in-house training' atau latihan dalaman rentetan dari pengalaman kekuatan dan kelemahan perkhidmatan untuk orang Pekak. Kita juga telah membuka peluang kepada orang baru yang berminat untuk melibatkan diri dalam komuniti kita.

Tahun 2005, kita mendapat bantuan dari REDtone Communication dan menubuhkan Pusat Latihan bagi mengeluarkan jurubahasa isyarat yang terlatih. Modul inhouse training di gunakan dan ianya berjaya membentuk jurubahasa isyarat yang mampu berkhidmat.

Tahun 2006, NASLI atau Persidangan Jurubahasa Isyarat Nasional di langsungkan dan mendapat perhatian yang meluas.

Kerajaan Malaysia melalui Bajet 2007 memberikan peruntukan kepada MFD untuk melatih 100 jurubahasa isyarat peringkat Diploma dengan kerjasama IUCTT. Pelajar tamat latihan pada tahun 2009 dan Diploma tersebut mendapat pengiktirafan dari MQA.

Keempat, untuk memastikan perkhidmatan jurubahasa isyarat menjadi satu perkhidmatan yang wajib dan Bahasa Isyarat Malaysia sebagai bahasa komunikasi orang Pekak di Malaysia, MFD memperjuangkannya sehingga ke Parlimen sehingga termaktub dalam Akta OKU 2008.

Tahun 2010 ini YAB Perdana Menteri memberikan peruntukan kepada perkhidmatan jurubahasa isyarat sementara menunggu menjadi jawatan hakiki di bawah JPA. Dengan bantuan YAB Perdana Menteri sekarang terdapatnya jurubahasa isyarat berkhidmat untuk pelajar Pekak di IPTA seperti Universiti Kebangsaan Malaysia, IPIK, Politeknik JB, Shah Alam, Perlis, Ipoh, Kota Kinabalu dan Kolej Komuniti Selayang.

Jurubahasa isyarat juga di ambil berkhidmat dengan MFD dan dihantar berkhidmat di PUSKOM - Pusat Komunikasi Orang Pekak di Johor Bharu, Kuala Lumpur, Penang, Temerloh, Kota Bahru, Kuala Terengganu.

Sementara blog ini ditulis, kita sedang menunggu kelulusan Kementerian Pelajaran untuk menempatkan jurubahasa isyarat di sekolah intergrasi.

Inilah ringkasan kejayaan MFD. Ingatan saya kepada semua orang termasuk orang Pekak yang memohon dan mendapatkan perkhidmatan jurubahasa isyarat, jurubahasa isyarat telah dilatih mengikut etika tetapi mereka juga manusia.

MFD telah menyerahkan jurubahasa isyarat kepada ahli gabungan MFD dan diharap dapat memikul amanah menjaga mereka bagi melancarkan memberikan perkhidmatan untuk orang Pekak di negeri masing-masing.

Memahami tugas dan menghormati jurubahasa isyarat adalah penting kerana jika kita membuat sesuatu yang di luar batasan akan memberikan kesan buruk kepada komuniti kita.

Kerjasama antara 2 pihak adalah kunci kejayaan.

No comments: