06 October 2017

Sekejab Dengan Pemandu UBER Pekak

Lee ialah sahabat lama saya. Kita lama tak berjumpa kerana kesibukan tugas. Takdir telah menemukan kita dan terus pergi pekena teh kat warong berdekatan.

Kita berbicara kisah lalu dan dia menceritakan bahawa sudah menjadi pemandu UBER selama 2 tahun. Dengan menggunakan Perodua Myvi dia bekerja sepenuh masa dan pendapatannya adalah lebih dari apa yang dia dapat semasa kerja di syarikat.
Saya mengorek cerita apakah cabarannya sebagai pemandu UBER Pekak.
Jawapannya adalah positif. Perlu kerja kuat, dedikasi dan bersabar. Hujan, panas, jem dan sebagainya perlu dilalui dengan sabar. Mencari rezeki bukannya senang katanya.
Ada orang panik bila mengetahui anda pemandu Pekak? Tanya saya.
Jawapannya tidak, sistem e-hailing UBER ada memaklumkan bahawa pemandu itu Pekak.
Komunikasi macamana? SMS dengan klien. Anda mesti menguasai BM dan English supaya tidak menjadi miscommunication.
Cabaran yang paling sukar? 2 kali membawa klien buta. Nak beritahu bahawa saya pemandu pekak tapi dia tak nampak bahasa isyarat saya. Nak tulis dia tak nampak tulisan saya. Jadi saya hantar dia sahaja ke lokasi yang diminta dan sampai di lokasi saya minta orang awam bantu menanya apakah lokasi itu betul? Phuuhhh..
Untuk mengambil orang buta pun masalah. Dah nampak dia tapi macamana nak panggil dia masuk kereta? Nak tanya, saya tak boleh bercakap. Jadi saya terus tepuk bahu dan pimpin masuk kereta. Nasib baik tak kena pukul dengan tongkat putih kerana mungkin tersalah orang... ingat saya nak culik dia... hahahaha.. cerita Lee.
Nasib baik saya sudah biasa dengan OKU dan tahu cara membantu mereka melalui program DRST - Disabled Related Service Training.
Untuk berkomunikasi dengan orang buta senang sahaja, sms atau whatsapp kepada orang buta guna smart phone or stupid phone. Mobile phone memang ada aplikasi teks ke voice dan orang buta juga boleh menulis mesej kerana dalam aplikasi itu juga ada voice to teks.
Senang bukan? Saya juga berpengalaman share room dengan orang buta dan kami berkomunikasi sambil bergurau melalui whatsapp.
Terima kasih kepada teknologi.
Nak cjadi pemandu UBER atau GRAB? Tiada halangan untuk anda untuk menambah pendapatan anda.

11 September 2016



Rentetan filem PEKAK, telah menjadikan perkataan pekak popular. Banyak dibicarakan dimedan sosial secara positif dan negatif.

Mengikut kamus DBP edisi sebelum 2008, pekak membawa erti tidak boleh mendengar dengan baik atau tidak boleh mendengar langsung. Erti tersebut jika menurut pandangan perubatan ia merangkum kepada kumpulan mempunyai pendengaran tahap moderate dan bagi tidak mendengar langsung ialah kumpulan dari serve ke profound.

Manakala dari segi pandangan sosial maksud yang diterangkan oleh DBP ialah 2 kumpulan iaitu kurang pendengaran dan pekak.

Namun edisi DBP terbaharu telah menambah maksud iaitu kumpulan yang tidak mahu mendengar atau degil.

Oleh itu pihak DBP terlebih dahulu menginaya kumpulan orang pekak dan mempengaruhi masyarakat sekeliling untuk melabelkan pekak sebagai satu yang negatif.

Hasilnya masyarakat tersebut termasuk para pemimpin politik tanpa rasa bersalah dengan emosi serta cetek akal menggunakan pekak, bisu atau buta untuk menyerang mereka yang tidak sehaluan.

Dari itu juga perkataan pekak telah menjadi popular dan lebih membawa maksud yang negatif.

Persoalannya, apakah pekak itu degil dan tak makan nasihat? Orang pekak itu sememangnya tak boleh mendengar apa yang anda tuturkan dan mereka tidak faham apa yang dituturkan. Apabila tidak faham dituturkan janganlah dichop orang pekak sebagai degil. Anda boleh membuat orang pekak faham jika berkomunikasi menggunakan bahasa mereka.

Bagi Bahasa Melayu kita ada 10,000 lebih kosa kata tapi adalah tidak bertamadun kalau mengambil perkataan pekak bagi membawa maksud degil. Ada banyak perkataan boleh digunakan dan janganlah merosakkan kumpulan minoriti ini.

Bagi filem PEKAK yang diperkatakan, itu adalah realitinya. Memang ada orang Pekak menjadi penagih dan pengedar dadah.

Mengapa berlaku? Masyarakat sekelilinglah yang menconteng corak hidup mereka samaada  baik atau buruk.

Sepatutnya pihak produksi filem dan penulis skrip mendapatkan pandangan dari tuan punya badan supaya dapat mengelakkan kontroversi.

Juga kepada para pembikin filem, sepatutnya memberikan kepada orang pekak membawa watak dan bukan menggunakan orang bukan pekak melakunkan watak itu.

14 April 2015

Rezeki dari Bahasa Isyarat Malaysia

Semasa MFD melaksanakan projek Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) pada awal tahun 1999 ada segelintir mereka yang dari komuniti orang Pekak memperkecilkan usaha kita. Ada yang kata kita orang Pekak mana tahu pasal  bahasa isyarat dan mana mampu buat projek lagi pun BMKT sudah ada. Kita buat projek ini dengan serba kekurangan dan berjalan dengan perlahan sampai dicop sebagai projek pekasam.

Akhirnya kita berjaya juga. Kita lancarkan BIM dan membuat roadshow ke seluruh negara. Untuk mengembangkannya, kita perlu mempunyai modul khusus untuk belajar BIM. Oleh itu, kita bangunkan modul Kursus Asas Bahasa Isyarat Malaysia atau nama ringkasnya KABIM.



Modul tersebut dinaik taraf beberapa kali. Kita melaburkan wang ringgit termasuk menjemput Dr. Don Bangs dari USA pada tahun 2006 untuk membimbing pembangunan modul kursus BIM. Kita mencuba modul baru tersebut dan hasilnya ada peningkatan dalam cara pengajaran kita.


Pada tahun 2007, modul KABIM digunakan untuk Diploma Jurubahasa isyarat dan juga Kursus Intensif Bahasa Isyarat Malaysia untuk para penjawat awam dan swasta di Hotel Selesa, Johor Bahru dan Pearl International Hotel, Kuala Lumpur. Projek tersebut adalah dibawah pembiayaan Kerajaan Malaysia sebanyak RM 12 juta untuk selama setahun.

Kehadiran dua sukarelawan JICA pada tahun 2008 telah memberikan input yang berharga kepada modul kursus tersebut. Lawatan saya ke Jepun untuk meninjau lebih dekat cara perlaksanaan kursus tersebut juga telah menghasilkan modul yang digunakan sehingga hari ini.

MFD tidak lokek untuk berkongsi ilmu dengan ahlinya. Beberapa siri bengkel untuk tenaga pengajar BIM diadakan dan menggunakan modul tersebut. MFD menekan kepada kualiti dan kemahiran mengajar BIM kerana para pelajarnya ialah terdiri daripada golongan profesional.

Dari itu, MFD telah mendapat banyak jemputan untuk mengadakan KABIM diseluruh Malaysia. MFD mengutip yuran profesional daripada peserta KABIM bagi membayar tenaga pengajar, peserta interaksi, buku, ujian, sijil dan lain-lain. 

Ahli Majlis MFD juga telah bersetuju supaya hasil bersih KABIM yang dilaksanakan di negeri Ahli Gabungan hendaklah dibahagikan 70% kepada Ahli Gabungan tersebut untuk membantu Ahli Gabung menambah dana bagi kegunaan operasi dan aktiviti.

MFD hanya menerima 30% untuk menganjur bengkel tenaga pengajar dan juga menambah buku BIM baharu.

KABIM merupakan periuk nasi MFD dan Ahli Gabungannya. Oleh itu ditekan supaya menjaga kerahsiaan modul tersebut bagi mengelakkan individu yang mengambil kesempatan. 

Alhamdulillah, konsep pembangunan dan pengembangan BIM telah berjaya. Melalui usaha MFD, telah membuka pintu rezeki kepada semua orang. Syukur alhamdulillah.




24 March 2015

Masuk Bakul Angkat Sendiri Je....

Hari ini 23 Mac 2015 genapnya 25 tahun perjuangan orang Pekak selepas Mesyuarat Ketua-ketua Orang Pekak Kebangsaan yang pertama kali diadakan pada 23 Mac 1990 bertempat di Pusat Belia Orang Pekak Antarabangsa, Cheras.


Mesyuarat tersebut dianjurkan oleh SHIMA KL atau sekarang KLSD dan saya merupakan Presidennya. Keputusan dari mesyuarat iaitu ialah menukar SHIMA KL menjadi persatuan kebangsaan supaya memberikan hak sama rata kepada orang Pekak di Malaysia dalam semua segi aktiviti. Percubaan pertama tersebut gagal kerana SHIMA KL mempunyai peraturan sebagai persatuan tanpa cawangan. 

Kegagalan itu tidak mematahkan semangat kami, SHIMA KL masih cuba menjadi persatuan kebangsaan dengan mengumpul keahlian dari seluruh negara dan menghantar permohonan kepada ROS sekali lagi tapi masih gagal juga. 

Oleh itu, ketua-ketua orang Pekak membuat keputusan untuk menubuhkan persatuan di setiap negeri dan bergabung menjadi persatuan kebangsaan. Saya telah diamanahkan untuk mengeliling negara membantu penubuhan persatuan peringkat negeri.

Apakah kita dapat dari mesyuarat ketua 1990? 

SHIMA KL atau KLSD menjadi 'role player' memainkan peranan yang penting kepada pembangunan orang Pekak kerana membantu menubuhkan persatuan peringkat negeri.

MFD ditubuhkan pada tahun 1997 dengan gabungan 8 buah persatuan orang Pekak peringkat negeri iaitu selepas 7 tahun dari mesyuarat ketua-ketua. 

MSFD juga ditubuhkan pada 1997, menggunakan nama persatuan orang Pekak negeri yang sama dengan MFD sebagai ahli gabungannya.

Komuniti kita berpandang jauh. Kita belajar cara penganjuran aktiviti berskala besar. KLSD menjadi penganjur 5th Asia Pacific Deaf Games pada tahun 1996, KLSD juga menukar nama daripada Asia Pacific Games for the Deaf kepada Asia Pacific Deaf Games. Saya menjadi co Chairman penganjuran tersebut.

KLSD juga menjadi hos WFD Board Meeting di Langkawi dan Bilingualism On Deaf Education di PWTC pada tahun 1996. 3 projek besar dalam satu tahun.

Kita berani berubah, contohnya melalui KLSD; telah memisahkan WFD RS AP dari bayang-bayang Asia Pacific Deaf Games supaya menjadi program yang tersendiri.

Untuk menwujudkan pemimpin muda, saya juga memberikan hak penganjuran 1st Asia Pacific Deaf Youth Camp pada tahun 1999 kepada KLSD. Camp ini telah menjadi acara dwi tahunan WFD RS AP. Tahun 2016 Kem ini akan diadakan di Singapura.

Untuk bidang pendidikan, melalui KLSD, saya  memperjuangkan orang Pekak menjadi guru. Masa itu orang Pekak tak dapat jadi guru kerana tak ada kredit dalam BM peringkat SPM. Cikgu Teh Kean Hoe ada memberikan input yang amat berharga iaitu terdapatnya kelonggaran kredit BM diberikan kepada calon Sabah Sarawak untuk melanjutkan pelajaran. 

Semasa mesyuarat khas Bahagian Sekolah-sekolah KPM yang diterajui oleh Puan Hajjah Wan Khaltom, saya membangkitkan dasar kelonggaran tersebut dan memohon supaya digunakan kelonggaran tersebut diberikan kepada calon Pekak. 

Semasa saya berada di Tokyo pada tahun 1991, saya mendapat berita bahawa calon pekak diterima untuk memasuki MPIK melalui dasar kelonggaran tersebut. Namun saya terlepas peluang jadi guru penuh walaupun saya memperjuangkan kelonggaran tersebut lagi pun pada masa itu saya jadi guru sandaran. Nasib baik bukan ambil kesempatan, tak ada rezeki je....

Melalui KLSD kita mulakan pembangunan ICT, KLSD merupakan organisasi pertama mempunyai laman web yang dibangunkan oleh Aqlam Jafri.

Lepas itu tahun 2000, MFD membangunkan projek epekak melalui skim DAGS yang bertujuan untuk melahirkan Celik IT dikalangan orang Pekak dan murid sekolah. Melalui itu kejayaan epekak, MFD telah mendapat bantuan kewangan dari Swiss Development Corporation untuk menyambungkan projek ICT yang dinamakan epekak2. Kita mendapat anugerah daripada UN Malaysia pada tahun 2002. Ramai orang pekak keluar dari belenggu buta huruf melalui program ini.

MFD juga memulakan projek BIM pada tahun 2000 dan sampai sekarang kita telah menerbit 13 buah buku. Modul belajar BIM juga dibangunkan dan Kursus Asas BIM atau KABIM menjadi produk MFD yang paling laris dan menjadi periuk nasi MFD. KABIM digunakan oleh semua orang walau pun secara terang dan ada juga ikut pintu belakang. BIM juga telah diterima sebagai bahasa rasmi orang Pekak di Malaysia dalam Akta OKU 2008.

Sekarang dunia persatuan orang Pekak di Malaysia berkembang, ianya menjadi satu tempat mencari rezeki, selain daripada Kursus Asas BIM yang menjadi rebutan; jurubahasa isyarat menjadi satu profession dan mempunyai gaji. Untuk memastikan orang Pekak mendapat peluang dalam semua aspek kehidupan iaitu informasi, aktiviti dan perkhidmatan, di setiap persatuan negeri mempunyai pegawai perhubungan orang Pekak yang bergaji bagi melaksanakan program. Pusat operasi persatuan juga dibantu oleh MFD sampai mereka mampu berdikari.

Melalui usaha itu, pemimpin Pekak dilahirkan dan mereka mengasah bakat dalam kepimpinan dan menunjukkan kemahiran mentadbir. Hasilnya ada mereka mendapat anugerah cemerlang dan juga pingat dari Sultan. Tapi saya masih tak dapat pingat kecuali panggilan  'datuk' dari kalangan staf saya....

Untuk pembangunan Islam bagi orang Pekak, saya memulakan usaha menwujudkan kelas kefahaman Islam di Pusat Islam pada tahun 1987 dan berkembang di seluruh negara. Dari itu juga PRISMA atau Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia dilahirkan supaya MFD tidak disalahfaham sebagai organisasi yang tertumpu kepada program Islam. MFD juga memulakan bengkel pendakwah Islam bagi melahirkan pendakwah orang Pekak. Kefahaman Islam mulai berkembang dikalangan orang Pekak.

Banyak lagi kejayaan yang telah dihasilkan dan jika kita tengok gambar tahun 1990, masih ada mereka yang berkhidmat sehingga hari ini. Sayang dan setianya mereka kepada komuniti ini...

Berkat dari mesyuarat ketua-ketua 1990, kita jadi begini. Terima kasih kepada semua yang mewarnawarnikan pembangunan komuniti kita. Semoga terus berjaya.









13 February 2015

Catatan Peristiwa Bulan Februari

7hb Februari 2015 - Mesyuarat Ahli Majlis MFD yang pertama bagi tahun 2015 untuk Ahli Majlis MFD baharu sessi 2014 - 2017 bertempat di Pulau Aman, Pulau Pinang.

9hb Februari 2015 - Endogram Test Hospital Serdang. Alhamdulillah, mendapat clean bill of health, hanya 20 - 30% blocked. Perlu jaga pemakanan dan selalu membuat senaman. Dapat cuti 7 hari.

10hb Februari 2015 - Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang Malaysia kalah dalam rayuannya atas tuduhan meliwat Saiful Bukhari dan dihukum penjara 5 tahun.

11hb Februari 2015 - Pasukan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia hadir ke MFD untuk membuat pemeriksaan audit berkaitan perbelanjaan MFD yang "tidak digunakan." Petang, parti tanpa makan untuk menyambut Hari Lahir saya yang dianjurkan oleh pelajar ILSP.

12hb Februari 2015 - Hadir ke JKMM untuk sessi bersama KSU bagi perbincangan pemulangan baki geran JKMM yang tidak tidak digunakan. Keputusan, terdapatnya salahfaham dan tiada isu, tiada pemulangan baki geran MFD. Menghadiri Hign Level Task Force meeting anjuran Kementerian Luar bagi menderafkan Asean Bluepring 2015, saya mendapat kesempatan untuk mempromosi Bali Declaration, UNCRPD dan Asean Disability Forum Conference dan terus dijemput ke Asean Civil Society meeting bulan April nanti.

Terima berita Dato' Hasbullah Awang, pengulas sukan yang seangkatan dengan Dato Rahim Razali meninggal dunia.

Sampai rumah jam 10.00 pm terima informasi bahawa Dato Nik Aziz, Tok Guru dan Ulama PAS, meninggal dunia kerana sakit barah prostat peringkat 4.