06 September 2012

Bahasa isyarat yang lapuk dan tidak efektif....

Saya amat teruja akan penglibatan orang Pekak membahaskan artikel akhbar terlaris di Malaysia iaitu Harian Metro 4 September 2012 yang membangkitkan isu ".......bahasa isyarat lapuk dan tidak efektif". 

Mereka bangkit menentang artikel tersebut dengan tertib dan mempertahankan bahasa isyarat iaitu bahasa yang digunakan oleh orang Pekak. 

Ini adalah apa yang kita mahukan jika ingin orang lain menghormati kita. Kita orang pekak bukannya bodoh dan tidak boleh berfikir serta menilai sesuatu yang baik atau buruk. Namun tetapi kita belum tahap sampai merusuh di jalanan, membakar buku, menunjuk punggung dan memijak gambar  atau meruntuh jambatan sepertimana yang berlaku di luar sana.

Memang artikel tersebut adalah tidak wajar dan mengelirukan, ianya mempunyai unsur fitnah dan boleh di ambil tindakan di bawah Akta Hasutan 1948

Umum sudah tahu Akta OKU 2008 mengiktiraf BIM sebagai bahasa rasmi orang Pekak di negara ini, kerajaan Malaysia juga sudah menurunkan tandatangan menyokong UNCRPD yang menegaskan bahasa isyarat kebangsaan sebagai bahasa komunikasi orang Pekak dan di gunakan dalam pendidikan. 

Artikel tersebut menunjukkan betapa ceteknya pengetahuan pemberita mengenai komuniti orang pekak, bahasa isyarat dan pendidikan khas dan sepatutnya boleh dielakkan sekiranya Puan Roslina selaku guru besar lebih berhati-hati memberikan input kepada wartawan itu. 

Saya mengenali Puan Roslina dan saya tahu beliau tahu membezakan apa itu bahasa isyarat dan Kod Tangan Bahasa Malaysia (KTBM) yang di gunakan di sekolah khas. Malahan beliau ada menghantar pelajar beliau mempelajari BIM di MFD bagi menyediakan pelajar tersebut memasuki Tingkatan 1.

Saya dan dia ialah orang NGO, sebagai NGO kita berlumba mempromosikan success story untuk mendapat perhatian masyarakat sekeliling serta mengharap bantuan kewangan. Namun disebalik keghairahan mempromosikan wajar mengingati batas dan sempadan. Jangan sampai alpa dan menggunakan kelemahan dan kekurangan orang lain tanpa mengetahui kebenarannya. Menjaja agama dan Alquran juga wajar di elakkan kerana bukan tuntutan dalam agama kita.

Sekarang kerosakan itu sudah berlaku, pemimpin di MFD bukan dayus, goyang kaki dan mencari glamour tetapi dalam situasi yang tercabar.