25 November 2009

Selamat Hari Raya Aidil Adha

Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Haji merupakan perayaan terbesar di dalam Islam selain Hari Raya Aidilfitri. Ianya di raikan oleh umat Islam di seluruh dunia.

Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan ke-sabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.

Tahun ini, saya dan keluarga tak kemana-mana kerana akan bersama-sama terlibat dengan ahli masjid tempat saya untuk program korban. Mengikut laporan ada 15 ekor korban akan diadakan di masjid tempat saya. Seperti tahun-tahun yang lalu saya akan membantu dalam kerja-kerja pemyembelihan, menyiat kulit, memotong daging atau apa-apa yang diperlukan.

Selamat Hari Raya Aidiladha.

17 November 2009

Mee Udang Kuala Sepetang




Hari Ahad yang lalu 15hb November saya ke Ipoh dan Taiping untuk meninjau bakal PUSKOM Perak.

Mengikut informasi seorang sahabat lama, saya ke Kuala Sepetang (Port Weld) untuk menikmati mee udang kegemaran saya. Hujan turun di sepanjang petang itu hingga ke malam dan bekalan letrik putus sebahagian dari bandar warisan Taiping sehingga ke Kuala Sepetang.

Nasib saya baik, merendah kegelapan dan hujan, selepas Matang terdapatnya bekalan letrik di kawasan itu dan saya singgah ke sebuah gerai mee udang yang ramai pelangggan. Di tepi jalan kereta beratur panjang dan terdapat juga sebuah bas pelancung.

Saya menunggu berapa minit untuk mendapatkan ruang letak kereta yang berdekatan gerai kerana luar masih hujan. Selepas itu kami melabuhkan badan yang kepenatan di kerusi gerai yang usang.

Seorang gadis dengan senyumannya melayan kami, sebelum memesan makanan dia menerangkan jenis hidangan dan harga, iaitu mee udang laut RM 10 semangkuk, mee udang kolam RM 8 semangkuk, laksa udang pun ada dan memberitahu kami bahawa bagaimana ianya di hidangkan.

Terdapat juga sate udang iaitu udang bbq yang aromanya membuat kami bertambah lapar di kesejukan malam. Kami memesan 2 mangkuk mee udang laut dan nasi udang tumis pedas berserta 2 gelas air limau bagi membantu mencuci kolestrol yang tinggi.

Di saat menunggu tempahan dihidangkan, munculnya seorang lelaki tua memberikan salam dan memohon maaf kerana mengganggu situsai kami. Dia mengeluarkan ubat sapu dan menyuruh saya mencubanya. Kebetulan lutut saya sakit dan sapuan ubat yang panas meredakan kesakitan lagipun suasana sejuk di sebabkan hujan. Saya membeli sebotol.

Orang tua itu bernama Haji Osman dari Matang berbual dengan jurubahasa saya dan adakalanya dia cuba berkomunikasi dengan saya dalam isyarat. Kami memenuhi masa yang terluang sementara menunggu mee udang dihidang.

Selepas Haji Osman meninggalkan kami dengan motorsikalnya dalam kehujanan, jurubahasa saya menceritakan apa yang mereka berdua dibualkan sementara saya dengan dunia saya sendiri.

Haji Osman ada menanya jurubahasa saya sama ada mengenali seorang pemimpin pekak peringkat kebangsaan yang selalu keluar negara untuk mesyuarat, bertemu dengan orang besar dan menteri. Pemimpin pekak itu pernah keluar dalam TV yang menayangkan membawa motorsikal berkuasa tinggi. Beliau lupa nama pemimpin pekak itu, tetapi nama bapanya ialah Haji Shaari yang berjiran dengannya. Pemimpin itu asal dari Matang, orang sini katanya. Bangganya menceritakan apa yang dia tahu pasal pemimpin pekak itu dan asal kampungnya Matang.

Haji Osman tidak mengenali saya, bapa saya ialah Haji Shaari pegawai renjer yang dia katakan. Ya, Matang sebuah pekan kecil konsep 1 Malaysia, berjiran Cina dan India, suasana harmoni serta sebuah rumah dua tingkat yang mempunyai banyak nostalgia kepada saya.

Mee udang Kuala Sepetang,
Singgah sebentar di Matang,
Dari sana asal ku datang.

12 November 2009

Niat dan cita-cita.

YM Tengku Razaleigh Hamzah ahli politik veteren pernah berkata, ‘‘Sebagai seorang ahli politik kita memang kena ada cita-cita, kalau tidak ada cita-cita, baik tidak payah jadi ahli politik.”

Saya ambil ungkapan tersebut untuk dijadikan panduan kepada para pemimpin Pekak yang diamanahkan dalam perjuangan komuniti kita. Pemimpin Pekak adalah sangat penting kepada kita kerana tiada orang lain melainkan orang Pekak sendiri yang memahami keperluan kita sendiri. Untuk mendapatkan hidup yang samarata dengan orang lain di negara ini, kita sendiri hendaklah berusaha. Pemimpin Pekak ialah orang yang kita harapkan untuk mempertengahkan keperluan kita, hak asasi kita untuk mendapatkan perhatian dan sokongan.

Berbanding sebelum tahun 90an, hidup orang Pekak selepas itu adalah lebih baik kerana pembangunan negara kita yang rancak telah membuka peluang kepada kita menceburi dalam semua bidang pendidikan dan pekerjaan. Kita tidak perlu mengemis atau menggunakan kecacatan kita untuk mendapat pekerjaan kerana masa itu peluang adalah dimana-mana.

Bila kita ada kerja, kita ada wang dan kita mampu mengubahkan hidup kita lebih baik lagi. Orang Pekak sudah ada rumah, kereta, motorsikal dan sebaginya yang menjadi pengukur kejayaan dalam hidup masing-masing.

Bagaimana itu boleh berlaku? Ianya adalah kerana kita mempunyai kerajaan yang baik. Kerajaan yang baik adalah di pimpin oleh orang yang baik. Orang yang baik tersebut mempunyai niat dan cita-cita yang baik. Sebagai contoh, Kementerian Kewangan menjemput kita menghadiri dialog belanjawan atau bajet negara; di sebalik jemputan itu adalah niat yang baik iaitu untuk mengagihkan kemakmuran negara kita kepada orang yang memerlukan.

Dalam agama juga mengajar kita supaya bersikap adil dan membantu semua orang; sebab itu untuk menjadi pemimpin kita mesti mempunyai cita-cita dan niat yang baik.

Oleh itu apabila kita dilantik sebagai pemimpin janganlah kita salah guna kuasa yang diamanah oleh orang Pekak untuk kepentingan diri sendiri. Jangan lah kita menjadi pemimpin hanya sebab mahu glamour, dapat keluar negara, dapat mempunyai kuasa untuk menentukan tender bagi mengayakan syarikat sendiri atau pun semata-mata untuk membalas dendam dan menjatuhkan orang lain.

Saya pernah mendapat suntikan daripada Allahyarham Prof Datuk Ismail Salleh, Ivan Ho, mendiang HRM Storey, Datuk Ghazali, Puan Khatijah, Tan Sri Majid, Datuk Sayed, Mikall Chong dan ramai lagi pemimpin NGO yang mengajar saya mengenali erti pemimpin yang baik.

Semua mempunyai nada yang sama, kita yang dilantik sebagai pemimpin mesti mempunyai niat yang baik. Kata mereka kalau kita ambil duit OKU, kita akan kaya hari ini tetapi esok kita akan gagal sepanjang masa.

Kita memerlukan pemimpin yang jujur bagi memperjuangkan keperluan kita yang masih belum lengkap.

07 November 2009

Khutbah Jumaat Untuk Orang Pekak.

Solat Jumaat ialah solat fardu (dua rakaat) yang dilakukan pada hari Jumaat menggantikan solat Zohor, dan ia dilakukan secara berjemaah selepas mendengar khutbah.

Orang Pekak beragama Islam adalah wajib mengerjakan solat Jumaat dan mengikuti khutbah yang disampaikan oleh imam yang berdiri atas mimbar.

Namun kepekakan kita bukan menghalang untuk mengikuti khutbah Jumaat kerana terdapatnya teknoloji yang membantu kita mengikutinya. Bermula pada tahun 2005, MFD telah mengusahakan khutbah Jumaat di terjemahkan dalam BIM (Bahasa Isyarat Malaysia) di Masjid Negeri Selangor, Shah Alam.

Pada masa itu hanya ada jurubahasa isyarat perempuan dan terpaksa membuat terjemahan di dalam bilik imam dan disambung kepada TV LCD di ruang solat. Orang Pekak yang bersolat di masjid tersebut dapat mengikuti penyampaian khutbah secara langsung.

Ini merupakan projek perintis dan kesedaran pentingnya khutbah Jumaat dalam BIM di sampaikan kepada orang pekak di terima oleh pegawai agama dan masyarakat sekeliling.

Kemudian sisipan bahasa isyarat di siarkan dalam siaran langsung khutbah Jumaat di TV1 RTM yang diusahakan oleh JAKIM tetapi tidak dapat di ikuti oleh orang Pekak yang berada di dalam masjid.

Terdapatnya 2 buah masjid di Malaysia yang saya bersolat mempunyai perkhidmatan jurubahasa isyarat semasa khutbah Jumaat iaitu di sebuah masjid di Seksen 17 berdekatan SMV Khas Shah Alam yang mana guru sekolah menjadi jurubahasa bagi membolehkan pelajar Pekak mengikut khutbah tersebut.

Sebuah lagi di Kuala Terengganu yang mana MFD telah menyediakan jurubahasa isyarat melalui PKPT dan berkhidmat semasa solat Jumaat.

MFD tidak dapat membekalkan jurubahasa isyarat berkhidmat di masjid di seluruh negara tetapi saya amat bersyukur kerana ada beberapa buah masjid yang saya bersolat tanpa sedari membantu orang Pekak mengikut khutbah Jumaat. Masjid tersebut menggunakan powerpoint isi yang dibacakan dalam khutbah dan ditayangkan menggunakan LCD projektor.

Baru semalam semasa saya bersolat Jumaat di Kelana Jaya berdekatan dengan SSD, masjid itu menayangkan isi khutbah Jumaat dengan menggunakan 3 buah projector LCD kerana ruang masjid tersebut adalah luas.

Alhamdullilah.

01 November 2009

Apakah kita punya perasaan?

Tuhan mencipta kita sebagai manusia yang lengkap, walaupun kita tiada deria pendengaran namun kita masih dikurniakan akal dan juga perasaan.

Kepekakan kita bukan penghalang kita untuk menjadi insan yang berjaya dan bertanggungjawab kerana akal yang dikurniakan telah membantu kita mengharungi hidup dengan penuh penghormatan. Maksud saya, kita orang Pekak tidak perlu menjadi pengemis, perompak atau pembunuh untuk meneruskan kehidupan walaupun ada banyak halangan serta diskriminasi disekeliling kita; sebagai orang Pekak yang berakal kita faham akan harga diri dan tahap kemampuan kita. Kita menerima dan pasrah tanpa keluh kisah.

Akal mempunyai hubungkait dengan perasaan. Kedua-duanya bekerjasama dan saling bantu membantu. Apabila kita mahukan sesuatu kita akan berfikir baik atau buruknya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

Akal itu tidak semestinya membuat keputusan yang terbaik jika tidak diberikan input terlebih dahulu. Orang Pekak dilahir sememangnya mempunyai akal tetapi ianya bermula dengan kosong. Yang mengisinya ialah ibubapa, keluarga, sahabat, guru dan masyarakat sekeliling; mereka ini merupakan yang membentuk orang Pekak menjadi insan yang menggunakan akal. Baiknya orang Pekak itu baiknya sekeliling, buruknya orang Pekak itu buruknya pembentuk sekeliling. Ambil contoh yang mudah, jika seseorang itu masuk kedalam kolam lumpur, dia akan keluar dengan lumpur di seluruh badan.

Tulisan saya kali ini berkaitan dengan pengalaman, kejadian yang di lalui seharian bagaimana orang Pekak mempunyai perasan atau tidak. Semasa mengikuti aktiviti di selatan negara, adanya pemimpin disana memperjelaskan bencana yang menimpa di negara jiran dan sahabat Pekak menjadi mangsa di sana; orang Pekak yang hadir menyedari tanggungjawab dan menghulurkan sumbangan yang termampu.

Juga semasa hari raya saya dan keluarga melawati sahabat isteri saya yang lumpuh di utara negara dan telah meninggal dunia baru-baru ini, orang Pekak bertali arus menzairah dan menghebahkan berita tersebut. Mereka yang hadir melihat sendiri penderitaan dan mengeluarkan sumbangan walaupun tak seberapa. Sumbangan mereka adalah ikhlas, walaupun mereka bekerja kampung atau buruh kasar tetapi mereka mempunyai perasaan.

Berbeza dengan orang Pekak yang terkongkong, mereka ini memandang kosong masa depan kerana mereka tidak berpeluang untuk melihat kesusahan orang lain serta bertukar informasi bagi menilaikan baik buruknya sesuatu kerana diprogram untuk menerima keputusan dan arahan orang lain.

Di bandar besar, persaingan hebat telah mematikan perasaan orang Pekak dan menyebabkan mereka ini menjadi pentingkan diri. Apabila orang lain lebih baik daripada mereka, mereka akan berusaha untuk melebihi mereka yang lebih baik.

Jika dibiarkan perkara ini akan menyebabkan komuniti kita tidak bersatu dan menjadi lemah kerana semangat keakuan yang menebal.

Oleh itu, persatuan orang Pekak wajar memainkan peranan yang pro aktif bagi mengelakkan komuniti kita ke ambang pepecahan dan keruntuhan moral.