12 November 2009

Niat dan cita-cita.

YM Tengku Razaleigh Hamzah ahli politik veteren pernah berkata, ‘‘Sebagai seorang ahli politik kita memang kena ada cita-cita, kalau tidak ada cita-cita, baik tidak payah jadi ahli politik.”

Saya ambil ungkapan tersebut untuk dijadikan panduan kepada para pemimpin Pekak yang diamanahkan dalam perjuangan komuniti kita. Pemimpin Pekak adalah sangat penting kepada kita kerana tiada orang lain melainkan orang Pekak sendiri yang memahami keperluan kita sendiri. Untuk mendapatkan hidup yang samarata dengan orang lain di negara ini, kita sendiri hendaklah berusaha. Pemimpin Pekak ialah orang yang kita harapkan untuk mempertengahkan keperluan kita, hak asasi kita untuk mendapatkan perhatian dan sokongan.

Berbanding sebelum tahun 90an, hidup orang Pekak selepas itu adalah lebih baik kerana pembangunan negara kita yang rancak telah membuka peluang kepada kita menceburi dalam semua bidang pendidikan dan pekerjaan. Kita tidak perlu mengemis atau menggunakan kecacatan kita untuk mendapat pekerjaan kerana masa itu peluang adalah dimana-mana.

Bila kita ada kerja, kita ada wang dan kita mampu mengubahkan hidup kita lebih baik lagi. Orang Pekak sudah ada rumah, kereta, motorsikal dan sebaginya yang menjadi pengukur kejayaan dalam hidup masing-masing.

Bagaimana itu boleh berlaku? Ianya adalah kerana kita mempunyai kerajaan yang baik. Kerajaan yang baik adalah di pimpin oleh orang yang baik. Orang yang baik tersebut mempunyai niat dan cita-cita yang baik. Sebagai contoh, Kementerian Kewangan menjemput kita menghadiri dialog belanjawan atau bajet negara; di sebalik jemputan itu adalah niat yang baik iaitu untuk mengagihkan kemakmuran negara kita kepada orang yang memerlukan.

Dalam agama juga mengajar kita supaya bersikap adil dan membantu semua orang; sebab itu untuk menjadi pemimpin kita mesti mempunyai cita-cita dan niat yang baik.

Oleh itu apabila kita dilantik sebagai pemimpin janganlah kita salah guna kuasa yang diamanah oleh orang Pekak untuk kepentingan diri sendiri. Jangan lah kita menjadi pemimpin hanya sebab mahu glamour, dapat keluar negara, dapat mempunyai kuasa untuk menentukan tender bagi mengayakan syarikat sendiri atau pun semata-mata untuk membalas dendam dan menjatuhkan orang lain.

Saya pernah mendapat suntikan daripada Allahyarham Prof Datuk Ismail Salleh, Ivan Ho, mendiang HRM Storey, Datuk Ghazali, Puan Khatijah, Tan Sri Majid, Datuk Sayed, Mikall Chong dan ramai lagi pemimpin NGO yang mengajar saya mengenali erti pemimpin yang baik.

Semua mempunyai nada yang sama, kita yang dilantik sebagai pemimpin mesti mempunyai niat yang baik. Kata mereka kalau kita ambil duit OKU, kita akan kaya hari ini tetapi esok kita akan gagal sepanjang masa.

Kita memerlukan pemimpin yang jujur bagi memperjuangkan keperluan kita yang masih belum lengkap.

No comments: