30 August 2010

MERDEKA

Esok kita menyambut hari kemerdekaan negara kita yang tercinta. MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

53 tahun Malaysia merdeka dan membebaskan diri dari penjajah. Tahukah anda semasa kita di jajah hasil mahsyul dari negara kita yang kaya telah di ragut untuk membina empayar mereka, berapa kerat yang kita dapat? Ketidak adilan berlaku. Tahukah anda semasa kita di jajah kita terpaksa tunduk kepada orang asing yang memandang rendah kepada kita. Penindasan berlaku.

Hari ini, rakyat Malaysia yang Merdeka telah membuktikan bahawa kita mampu membangunkan negara mengikut acuan sendiri. Kita berjaya mencipta kemakmuran dan kekayaan yang dikongsi dengan semua, sehingga nama Malaysia gah di arena antarabangsa.

OKU juga menikmati kemerdekaan, kita mendapat pendidikan tanpa halangan, pekerjaan yang tersedia mengikut kelayakan membolehkan kita membina keluarga bahagia dan mempunyai hartabenda. Perkhidmatan dan bantuan datang mencurah. Syukur alhamdullilah.

Apakah orang Pekak faham erti merdeka?

Merdekakah kita jikalau bahasa kita yang sudah diiktiraf sebagai bahasa rasmi dalam Akta OKU 2008 masih tidak di terima sepenuhnya?

Merdekakah kita jika masih ada orang memperlekehkan bahasa kita?

Merdekakah kita jika masih ada para pencacai pekak yang memperhambakan diri kepada orang bukan pekak yang tidak menyokong perjuangan orang pekak sendiri?

Merdeka bukan sekadar sebuah jeritan.

24 August 2010

Cerita puasa di masa dulu

Hari Ahad yang lepas, jiran sebelah rumah saya menghantar juadah berbuka puasa, sup tulang yang enak serta aroma yang harum. Saya memohon maaf kerana tidak dapat bertukar hantaran kerana dapor kami kekadang sahaja berasap sejak isteri saya di timpa kemalangan dan jiran saya memahami situasi kami.

Teringat masa dulu-dulu, bulan puasa di zaman kanak-kanak. Emak walau pun dalam kesibukan tugas kerana menerima panggilan untuk menyambut bayi yang tidak kira masa; akan menyediakan juadah berpuasa untuk kami sekeluarga. Selalunya saya yang mencadang apa yang hendak di makan tetapi emak selalu mengingatkan kalau saya puasa penuh baru lah dia boleh sediakan. Kata-kata emak menjadi motivasi untuk saya.

Emak ambil Chu (allahyarham)adik bongsu emak menjaga saya, selalunya Chu akan memasak apabila emak tak ada di rumah.

Apabila siap di masak saya akan meminta sedikit untuk bertukar juadah dengan Pak Basiron sebelah rumah atau Haji Yassin depan rumah.

Rumah jiran kami berdekatan, setiap kali memasak kita akan boleh menghidu aroma masakan masing-masing dan juga mendengar bunyi ikan di goreng dan periuk belangga berhantukan. Hubungan kita amat rapat. Kalau tak cukup garam , gula, kunyit atau beras kita boleh pinjam meminjam.

Apabila dapat tahu sebuah rumah memasak juadah yang harum baunya, saya akan mencari apa saja juadah yang telah dimasak di rumah untuk bertukar. Masa itu anak Tok Bidan punya hal siapa boleh tolak.

Kampung kita belum masuk api, nak minum sejuk kena beli ais batu di Kg. Koh iaitu 8 batu dari kampung kami. Kilang ais itu kepunyaan taukeh Cina yang terletak di sebelah pasar Kg. Koh.

4 - 5 orang kawan saya akan menjadi 'usahawan air batu', mereka akan berbasikal ke kilang ais pada petang. Tidak terlalu awal sebab nanti ais akan cair atau tidak terlalu lewat sebab ais batu akan habis. Saya akan membantu Salleh anak Pak Basiron menjual ais batu.

Ais batu itu akan di potong mengikut saiz. Harga ais batu kecil seketul sekupang dan besar dua kupang. Orang kampung saya kata dua kupang bermaksud 20 sen. Ais batu di balut dengan habuk kayu dan kertas surat khabar. Mesti bungkus elok-elok dan habuk kayu itu juga hendaklah tebal sebab pembeli datang dari jauh Batu 9 hingga Batu 11 dan Sg. Tiram; kalau tidak cair cepat dan sampai rumah jadi kecik. Balutan ais itu akan di ikat dengan tali daun pisang yang sudah di keringkan.

Nak potong ais batu mesti ada skill, kalau tidak tak elok dan tak standard besarnya. Saya selalu harap tersalah potong supaya saya dapat yang besar sikit. Yang kecik-kecik juga saya kutip dan dikumpul jadi banyak.

Bila hujan ais susah nak laku, masa dulu bila hujan di kampung yang di keliling hutan memang sejuk mengiggil.

Dulu tak ramai orang kampung ada jam atau radio. Untuk mengumumkan waktu buka puasa, siak masjid akan pukul kerontong (kerantung), tak ada orang berbuka di masjid dn siak akan balik berbuka dengan keluarga. Masuk isyak baru dia kembali ke masjid dan orang kampung bertarawih.

Biasanya selepas buka puasa saya ke masjid bukan nak sembahyang tetapi memukul kerontong bersama rakan sebaya. Kita buat berbagai bunyian sehingga isyak, orang kampung tak marah.

Sekarang semua itu tinggal kenangan.

21 August 2010

Cerita Di Zaman Kanak-kanak

Emak saya Hajjah Rajaah bte Bahauddin (allahyarham), seorang ibu tunggal dan bekerja sebagai bidan kerajaan. Saya masih ingat kami berpindah ke dua tempat iaitu pertama di Batu 8, Lekir, Perak dan kemudian berpindah ke Kelinik Bidan Batu 10, Lekir yang baru di buka. Di situ saya membesar dan menyaksikan banyak perubahan di kampung tersebut.

Orang kampung panggil emak saya Tok Bidan dan orang akan memperkenalkan saya anak Tok Bidan. Masa kami berpindah ke Kelinik Batu 10, di situ tiada air paip dan api. Ada telaga yang sediakan oleh kerajaan di belakang rumah. Kami mandi, membasuh dan sebagainya. Untuk air minum kami menapis air telaga atau air hujan menggunakan tin minyak tanah yang di lapis dengan pasir halus, kasar, batu, dan sabut kelapa.

Air telaga rumah kami jernih dan sejuk, mandi pagi menggigil. Apabila musim kemarau, telaga rumah kami tidak kering dan ramai orang kampung sampai Sg. Tiram akan datang mengambil air dari telaga itu. Ada juga makcik datang membasuh pakaian dengan diteman oleh anak dara mereka. Mereka membawa air pulang dengan menjunjung timba atas kepala dan ada yang menggunakan tin bekas kerosen (minyak tanah). Dulu kita guna minyak tanah untuk memasak, lampu geslen untuk menerangi rumah. Kami membeli minyak tanah dalam tin dan tin kosong itu boleh digunakan semula untuk mengisi minyak tanah (recyle) dan juga untuk mengisi air bersih.

Saya masih ingat rumah kami berkembar dengan kelinik, hanya ada satu bilik tidur dan emak membuat ubah suai menambah bilik untuk saya dan Andak, bapa saudara saya. Dalam rumah bahagian dapur, ada tempat memasak menggunakan kayu api. Saya selalu di suruh emak mencari kayu api, ada kala kami membeli kayu api dari lori yang datang. Saya dan Andak akan bergilir membelah kayu api dengan kapak.

Apabila rumah kami di masuk air paip, kami tidak lagi minum air telaga. Namun orang kampung pendalaman dari Sg, Tiram dan Parit Perak akan datang beratur untuk mendapat air paip dari rumah kami. Adakala mereka beri kami 20 sen bagi setin adakala emak tak mahu terima. Kesedaran mengambil air bersih dan menggunakan jamban tarik pun sudah bermula.

Kelinik Bidan Batu 10 berdekatan dengan Pekan Batu 10. Ada 2 buah kedai runcit Cina iaitu Kim Sooi dan Tek Heng. Yang lain-lain kedai orang Melayu termasuk sebuah kedai gunting. Setiap malam kecuali hujan atau siak cuti Pekan Batu 10 tidak pernah gelap kerana di terangi oleh lampu geslen yang dipasang oleh siak masjid. Kekadang saya juga membantu siak mengisi minyak tanah, mengepam angin dan membawa lampu geslen ke tiang untuk digantung. Jarak rumah kami dengan masjid adalah dekat sahaja.

Mak saya selalu membeli barang keperluan dapur secara berhutang dengan kedai Tek Heng, setiap bulan apabila dapat gaji emak saya akan melunaskan hutang. Kedai itu juga membuat barter trade dan membeli hasil kampung seperti pisang, kelapa kering, pinang kering dan juga telur ayam kampung.

Saya selalu berkawan dengan anak Kim Sooi iaitu Ah Cheng, juga anak Tek Heng iaitu Ah Hooi. Kami bermain badminton atau ping pong di Dewan Orang Ramai Batu 10. Hubungan kami adalah erat. Anak Tek Heng semua yang berjaya dalam pelajaran, ada yang keluar negara dan ada yang menjadi pilot SIA.

Pada tahun 1969, perintah berkurung juga meliputi kampung kami, kami secara mencuri-curi membeli barang makanan ikut pintu belakang kedai Kim Sooi.

Setiap pagi Sabtu ada Pekan Sabtu dan banyak hasil kampung dan masakan kampung di jual. Saya pernah menjual tikar mengkuang, tudung saji di Pekan Sabtu dan dari itu saya belajar menjadi peniaga. Ada banyak makanan yang di jual di hari itu dan saya amat menggemari kuih puttu dan pecal yang di jual oleh Hajjah Rainah (allahyarham) bomoh kampung kami. Kadang-kadang ada orang jual ubat dan silap mata datang ke Pekan Sabtu.

Saya melihat sendiri kemiskinan orang kampung saya, budak kecil berkudis, berhingus dan perut buncit sebab cacing kata emak saya. Mereka tidak pakai kasut dan pakaian pun buruk. Kemiskinan menyebabkan orang kampung saya tidak mampu membeli makanan yang berzat.

Di kampung saya belum masuk api, kami menggunakan lampu geslen dan ada yang mampu membeli generator. Untuk hiburan kami tengok TV hitam putih 12 inci cerita Melayu malam Sabtu, atau Mission Impossible atau Samurai di Kedai Piee. Sekali tengok bayar 10 sen. Kadang-kadang saya menonton TV di rumah Haji Yassin depan rumah kami. Sebulan sekali Jabatan Penerangan datang dan tayang cerita Melayu. Malam itu ramai anak dara keluar dan teruna akan mengambil kesempatan untuk mengorat.

Tak lama kemudian api masuk ke kampung saya, dari sebuah rumah ke sebuah rumah di pasang api. Seronok bukan main. Walaupun rumah kami baru sahaja di pasang wayar tetapi belum masuk api, emak sudah beli TV Singer 24 inci. Besonya. Orang kampung tanya mengapa besar sangat? Emak menjawab untuk Sazali supaya boleh membaca sarikata.

Emak saya selalu menggalakkan saya membaca, setiap bulan balik rumah setelah mengambil gaji emak akan bawa pulang 2 barang iaitu mee goreng mamak dan majalah Wanita; saya terlebih dahulu akan mengambil majalah Wanita dan membaca siri novel Dr. Haslinda. Emak tak lokek berikan saya wang untuk membeli Beano dan Dandy, komik dari England.

Saya bukan dilahirkan pekak, saya masih ingat baru berapa bulan saya memasuki sekolah darjah satu di ACS Kg. Koh saya di serang demam panas. Panasnya bukan main, saya pernah merayu emak mandikan saya dan selimutkan saya dengan selimut basah. Lama-lama kemudian pendengaran saya mulai menurun dan terus hilang. Yang saya masih ingat ialah gema kelunakan suara emak, suara P. Ramlee dan Saloma yang nyaring termasuk suara Elvis yang akhiran is.. is.. is.. dan Nat King Cole.

Apabila sembuh dari demam panas yang panjang, 3 bulan kata emak, saya menyambung persekolahan. Saya masih ingat emak memberitahu Ms. Wong guru kelas keadaan saya dan juga masih ingat rakan sekelas amat gembira menyambut saya pulang. Hari itu juga, seperti biasa saya di suruh oleh Ms. Wong membaca kuat, saya bangun dan membaca, habis membaca saya melihat mata rakan saya dan Ms. Wong tertumpu kepada saya dan semua kelas sepi. Saya tidak faham apa yang berlaku. Kemudian kawan saya Nor Esah yang selalu berbaju lelaki, memberitahu saya yang saya membaca salah!

Saya tidak faham. Sekarang baru saya faham sebutan saya salah sebab saya tidak mendengar suara saya sendiri.

20 August 2010

Cerita Bulan Puasa

Tahun ini seperti biasa saya berbuka puasa dengan keluarga dengan sedikit kelainan. Awal sebelum bulan puasa, isteri saya telah jatuh motorsikal semasa menghantar seorang pelajar Pekak pulang ke rumahnya. Akibatnya kaki kiri kena di simen dan membataskan pergerakannya.

Saya dan anak-anak saya mengambil alih tugas isteri saya. Kami berkongsi kerja bergilir-gilir dari memandikan isteri, membasuh pakaian, membersih rumah, memasak, menghantar anak ke sekolah dan berbagai kerja rumah.

Anak perempuan pertama saya Asiah, telah mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan telah membantu meringankan beban saya. Saya juga mengambil cuti seminggu untuk menguruskan kerja rumah. Jam 12.00 hantar anak lelaki ke sekolah di Kg. Baru dan jam 6.00 mengambilnya pulang.

Bulan puasa, saya dan Aminah anak perempuan kedua saya bertanggungjawab untuk menyediakan makanan untuk bersahur, saya bangun jam 4.00 pagi memasak apa yang saya hafal semasa saya kecil dahulu. Lepas itu jam 7.00 am pergi hantar anak ke sekolah dan terus ke pejabat.

Perjalanan pulang ke rumah adalah satu penyiksaan, ianya mengambil masa 2 jam untuk sampai ke rumah selepas mengharungi kesesakan di KL. Ada banyak laluan yang saya ambil namun masih terperangkap juga.

Sampai ke rumah keletihan yang amat, saya tiada masa untuk menyediakan makanan atau membeli untuk berbuka puasa. Anak saya yang mengambil tugas menyediakan makanan atau membeli makanan di luar. Makanan di luar adalah tidak menyelerakan berbandingkan dengan masakan isteri saya.

Idris dan Iskandar anak lelaki saya juga menunjukkan kebolehan memasak, walau pun masih bersekolah Tahun 5 dan Tahun 2 namun mereka mempunyai bakat yang di waris oleh emak mereka. Alia yang bongsu akan membasuh pingan mangkuk yang kotor. Lucunya mereka.

Asiah tiba-tiba jatuh sakit dan menjadi lemah, dia tidak lagi mampu menghantar adik ke sekolah dan terpaksalah saya mengambil tugasnya dan membuat kerja rumah bersama Aminah. Nasib baik ada teman isteri saya yang memahami situasi dan suaminya membantu untuk menghantar dan mengambil Iskandar anak Pekak saya dari sekolah.

Dari pengalaman itu menyedarkan diri saya betapa sukarnya tanggungjawab sebagai seorang isteri. Saya bersyukur kerana mempunyai anak yang boleh bekerjasama dan berkongsi tugas tanpa di arah. Walau nakal atau degil pun mereka, namun boleh diharapkan membantu dalam situasi yang sukar. Ianya telah mengeratkan hubungan kami.

Semalam ada jemputan untuk Asiah dan Aminah untuk berbuka puasa di luar, kata yang pertama dari Asiah ialah bagaimana emak dan adik-adik nak makan kalau kami berdua keluar?

Ahamdullilah.

14 August 2010

Niat Puasa

Sudah masuk 4 hari kita berpuasa. Persoalannya apakah orang Pekak memahami erti puasa dan niat puasa?

Saya telah bertemu dengan beberapa orang Pekak Islam yang hadir ke ceramah khas oleh Datuk Haji Fadillah Kamsah di LPPKN, Jalan Raja Laut Kuala Lumpur hari ini dan membuat tinjauan.

Dari 6 orang pekak yang berumur dalam 20an yang saya soal, kesemuanya tidak boleh membaca niat dengan baik walaupun melalui bahasa isyarat. Alasan mereka ialah lupa, ibubapa tidak ajar mereka niat tersebut dan ada yang menjawab tidak tahu.

Program agama Islam untuk orang Pekak masih belum mencapai matlamatnya. Persatuan orang Pekak perlu mempertingkatkan usaha untuk membimbing orang Pekak beragama Islam.

Pihak MFD telah memasukkan niat berpuasa dalam Bahasa Isyarat Malaysia di laman web www.mfd.org.my untuk kemudahan orang Pekak.

11 August 2010

Selamat Berpuasa

Ramadhan datang lagi. Saya ucapkan Selamat Berpuasa kepada orang Pekak beragama Islam di Malaysia dan luar negara. Selamat beribadah di sempena bulan yang mulia ini.