21 August 2010

Cerita Di Zaman Kanak-kanak

Emak saya Hajjah Rajaah bte Bahauddin (allahyarham), seorang ibu tunggal dan bekerja sebagai bidan kerajaan. Saya masih ingat kami berpindah ke dua tempat iaitu pertama di Batu 8, Lekir, Perak dan kemudian berpindah ke Kelinik Bidan Batu 10, Lekir yang baru di buka. Di situ saya membesar dan menyaksikan banyak perubahan di kampung tersebut.

Orang kampung panggil emak saya Tok Bidan dan orang akan memperkenalkan saya anak Tok Bidan. Masa kami berpindah ke Kelinik Batu 10, di situ tiada air paip dan api. Ada telaga yang sediakan oleh kerajaan di belakang rumah. Kami mandi, membasuh dan sebagainya. Untuk air minum kami menapis air telaga atau air hujan menggunakan tin minyak tanah yang di lapis dengan pasir halus, kasar, batu, dan sabut kelapa.

Air telaga rumah kami jernih dan sejuk, mandi pagi menggigil. Apabila musim kemarau, telaga rumah kami tidak kering dan ramai orang kampung sampai Sg. Tiram akan datang mengambil air dari telaga itu. Ada juga makcik datang membasuh pakaian dengan diteman oleh anak dara mereka. Mereka membawa air pulang dengan menjunjung timba atas kepala dan ada yang menggunakan tin bekas kerosen (minyak tanah). Dulu kita guna minyak tanah untuk memasak, lampu geslen untuk menerangi rumah. Kami membeli minyak tanah dalam tin dan tin kosong itu boleh digunakan semula untuk mengisi minyak tanah (recyle) dan juga untuk mengisi air bersih.

Saya masih ingat rumah kami berkembar dengan kelinik, hanya ada satu bilik tidur dan emak membuat ubah suai menambah bilik untuk saya dan Andak, bapa saudara saya. Dalam rumah bahagian dapur, ada tempat memasak menggunakan kayu api. Saya selalu di suruh emak mencari kayu api, ada kala kami membeli kayu api dari lori yang datang. Saya dan Andak akan bergilir membelah kayu api dengan kapak.

Apabila rumah kami di masuk air paip, kami tidak lagi minum air telaga. Namun orang kampung pendalaman dari Sg, Tiram dan Parit Perak akan datang beratur untuk mendapat air paip dari rumah kami. Adakala mereka beri kami 20 sen bagi setin adakala emak tak mahu terima. Kesedaran mengambil air bersih dan menggunakan jamban tarik pun sudah bermula.

Kelinik Bidan Batu 10 berdekatan dengan Pekan Batu 10. Ada 2 buah kedai runcit Cina iaitu Kim Sooi dan Tek Heng. Yang lain-lain kedai orang Melayu termasuk sebuah kedai gunting. Setiap malam kecuali hujan atau siak cuti Pekan Batu 10 tidak pernah gelap kerana di terangi oleh lampu geslen yang dipasang oleh siak masjid. Kekadang saya juga membantu siak mengisi minyak tanah, mengepam angin dan membawa lampu geslen ke tiang untuk digantung. Jarak rumah kami dengan masjid adalah dekat sahaja.

Mak saya selalu membeli barang keperluan dapur secara berhutang dengan kedai Tek Heng, setiap bulan apabila dapat gaji emak saya akan melunaskan hutang. Kedai itu juga membuat barter trade dan membeli hasil kampung seperti pisang, kelapa kering, pinang kering dan juga telur ayam kampung.

Saya selalu berkawan dengan anak Kim Sooi iaitu Ah Cheng, juga anak Tek Heng iaitu Ah Hooi. Kami bermain badminton atau ping pong di Dewan Orang Ramai Batu 10. Hubungan kami adalah erat. Anak Tek Heng semua yang berjaya dalam pelajaran, ada yang keluar negara dan ada yang menjadi pilot SIA.

Pada tahun 1969, perintah berkurung juga meliputi kampung kami, kami secara mencuri-curi membeli barang makanan ikut pintu belakang kedai Kim Sooi.

Setiap pagi Sabtu ada Pekan Sabtu dan banyak hasil kampung dan masakan kampung di jual. Saya pernah menjual tikar mengkuang, tudung saji di Pekan Sabtu dan dari itu saya belajar menjadi peniaga. Ada banyak makanan yang di jual di hari itu dan saya amat menggemari kuih puttu dan pecal yang di jual oleh Hajjah Rainah (allahyarham) bomoh kampung kami. Kadang-kadang ada orang jual ubat dan silap mata datang ke Pekan Sabtu.

Saya melihat sendiri kemiskinan orang kampung saya, budak kecil berkudis, berhingus dan perut buncit sebab cacing kata emak saya. Mereka tidak pakai kasut dan pakaian pun buruk. Kemiskinan menyebabkan orang kampung saya tidak mampu membeli makanan yang berzat.

Di kampung saya belum masuk api, kami menggunakan lampu geslen dan ada yang mampu membeli generator. Untuk hiburan kami tengok TV hitam putih 12 inci cerita Melayu malam Sabtu, atau Mission Impossible atau Samurai di Kedai Piee. Sekali tengok bayar 10 sen. Kadang-kadang saya menonton TV di rumah Haji Yassin depan rumah kami. Sebulan sekali Jabatan Penerangan datang dan tayang cerita Melayu. Malam itu ramai anak dara keluar dan teruna akan mengambil kesempatan untuk mengorat.

Tak lama kemudian api masuk ke kampung saya, dari sebuah rumah ke sebuah rumah di pasang api. Seronok bukan main. Walaupun rumah kami baru sahaja di pasang wayar tetapi belum masuk api, emak sudah beli TV Singer 24 inci. Besonya. Orang kampung tanya mengapa besar sangat? Emak menjawab untuk Sazali supaya boleh membaca sarikata.

Emak saya selalu menggalakkan saya membaca, setiap bulan balik rumah setelah mengambil gaji emak akan bawa pulang 2 barang iaitu mee goreng mamak dan majalah Wanita; saya terlebih dahulu akan mengambil majalah Wanita dan membaca siri novel Dr. Haslinda. Emak tak lokek berikan saya wang untuk membeli Beano dan Dandy, komik dari England.

Saya bukan dilahirkan pekak, saya masih ingat baru berapa bulan saya memasuki sekolah darjah satu di ACS Kg. Koh saya di serang demam panas. Panasnya bukan main, saya pernah merayu emak mandikan saya dan selimutkan saya dengan selimut basah. Lama-lama kemudian pendengaran saya mulai menurun dan terus hilang. Yang saya masih ingat ialah gema kelunakan suara emak, suara P. Ramlee dan Saloma yang nyaring termasuk suara Elvis yang akhiran is.. is.. is.. dan Nat King Cole.

Apabila sembuh dari demam panas yang panjang, 3 bulan kata emak, saya menyambung persekolahan. Saya masih ingat emak memberitahu Ms. Wong guru kelas keadaan saya dan juga masih ingat rakan sekelas amat gembira menyambut saya pulang. Hari itu juga, seperti biasa saya di suruh oleh Ms. Wong membaca kuat, saya bangun dan membaca, habis membaca saya melihat mata rakan saya dan Ms. Wong tertumpu kepada saya dan semua kelas sepi. Saya tidak faham apa yang berlaku. Kemudian kawan saya Nor Esah yang selalu berbaju lelaki, memberitahu saya yang saya membaca salah!

Saya tidak faham. Sekarang baru saya faham sebutan saya salah sebab saya tidak mendengar suara saya sendiri.

No comments: