20 March 2013

Akses Kepada Komunikasi Tanpa Halangan.


Salam sejahtera, saya amat tertarik dengan posting Mohd Redza II di ruang Facebook berkaitan dengan sarikata di TV.

Tulisan beliau dan diskusi ahli Facebook yang meluahkan rasa tidak puashati dengan situasi yang berlaku di zaman moden ini menunjukkan kesedaran hak sebagai orang Pekak dalam mendapat informasi tanpa sekatan.

Untuk makluman, Persatuan Orang Pekak sudah lama memperjuangkan akses kepada informasi dan komunikasi iaitu hak orang pekak mendapatkan informasi dari TV dan komunikasi melalui telefon sejak awal tahun 80an.

Bermula sebelum itu, setiap rakyat Malaysia wajib mempunyai lesen radio dan tv dengan yuran tahunan sebanyak RM 24 dan jika tidak ada lesen adalah satu kesalahan yang boleh di hukum. 

Saya masih ingat apabila ada petugas membuat pemeriksaan lesen dari rumah ke rumah, orang kampung saya akan menghebahkan kepada jiran dari rumah ke rumah. Kebanyakan orang kampung saya adalah orang miskin dan tidak mampu membayar lesen, mereka akan menyorok tv atau radio mereka bawah katil atau bawah tilam atau selimut dan sebagainya.

Apabila saya melibatkan diri dalam persatuan saya ada membangkitkan isu lesen TV tersebut dan mencadangkan supaya di wajibkan ada sarikata di semua rancangan TV bersesuaian dengan harga lesen yang di bayar. Tidak lama kemudian lesen tv dan radio di mansuhkan, namun kepentingan sisipan sarikata di rancangan TV adalah masih tidak berubah.

Sehingga hari ini, jika kita menonton  rancangan TV percuma iaitu TV1, TV2, TV3, NTV, TV9, AlHijrah dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam, berapa peratuskah kita dapat mengikutinya? Berapakah jumlah rancangan yang mempunyai sarikata dan berapa jumlah rancangan yang tidak mempunyai sarikata?

Juga rancangan setesen TV berbayar iaitu Astro, HyppTv, apakah berbaloi dengan harga yang kita bayar?

Bagi kita orang Pekak, yang kita mahu bukannya wang ringgit tetapi hanya sarikata di setiap rancangan TV. Sarikata itu adalah dalam Bahasa Melayu bagi rancangan berBahasa Melayu dan sarikata Bahasa Inggeris bagi rancangan berBahasa Inggeris. 

Sarikata tersebut bukan sahaja akan memanfaat kepada orang Pekak, tetapi juga untuk orang bukan pekak kerana mereka akan dapat mengenal huruf atau ejaannya sambil mendengar dan menambah penguasaan bahasa mereka.

Yang paling berharga nilai sarikata tersebut ialah kepada kanak-kanak pekak dan juga bukan pekak dapat memulakan minat membaca di peringkat awal.

Di saat slogan Masyarakat Penyayang, apakah kita tidak sedar anak pekak kita yang terkapai-kapai untuk mengikuti rancangan Upin dan Ipin, Boboi Boy yang terkenal tersebut. Apakah tidak penting bagi kita orang Pekak mengikuti rancangan program Islam di negara Islam ini?

Apakah permintaan kita terlalu berat atau ketiadaan polisi bagi memenuhi keperluan kita? Bukankah  kita sudah ada Akta OKU 2008 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia yang mewajibkan menyediakan akses komunikasi tanpa halangan. Siapakah yang gagal melaksanakannya? Menteri? ahli politik atau pekerja di setesen TV itu?

MFD belum putus asa untuk memperjuangkan keperluan orang Pekak iaitu hak untuk mendapatkan komunikasi tanpa halangan. Kita masih belum mahu memukul gendang perang.