09 April 2014

Sumbang Saran Pendidikan Khas - mengatasi kegagalan akademik calon Pekak

Saya rasa saya tidak layak untuk memberikan komen mengenai kegagalan besar keputusan peperiksaan awam calon Pekak dari Sekolah Pendidikan Khas yang dibentangkan tadi. Ini adalah kerana sebagai orang luar, saya tidak mengetahui apa yang berlaku dalam kelas dan sekolah. Saya sememangnya menaruh kepercayaan kepada para pendidik yang diamanahkan untuk membimbing pelajar pekak dan saya tahu mereka tahu akan tanggungjawab mereka.

Apabila saya menerima laporan keputusan tersebut, yang mendedahkan majoriti calon Pekak gagal dalam peperiksaan awam, sebagai orang Pekak saya tersentak dan terasa. Saya tidak tahu apakah pihak sekolah juga terasa seperti saya dan dalam hati saya bertanya bagaimana perkara tersebut boleh berlaku?

Jika ingin mendapatkan pandangan saya bagaimana hendak menangani isu kegagalan tersebut, terlebih dahulu ingin saya mengajukan soalan apakah sistem pendidikan khas untuk murid pekak iaitu kaedah Komunikasi Menyeluruh yang kita gunapakai sejak tahun 70an iaitu berjaya mencapai matlamatnya? Apakah kegagalan murid Pekak dalam peperiksaan awam ada hubungkait dengan tidak keberkesanan kaedah Komunikasi Menyeluruh? Bagi pendidikan arus perdana telah beberapa kali membuat perubahan tetapi tidak untuk pendidikan khas.

Bagi negara maju, mereka telah lama meninggalkan kaedah Komunikasi Menyeluruh dan beralih kepada kaedah bilingual and bicultural. Walau pun telah diterangkan apa maksudnya bilingual, kebanyakan guru dan pegawai pendidikan tidak memahami konsepnya. Mengikut kefahaman mereka bilingual atau dwibahasa ialah penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pertama dan English sebagai bahasa kedua. 

Sebenarnya, bilingual bagi orang Pekak ialah bahasa isyarat sebagai bahasa pertama dan bahasa pertuturan iaitu Bahasa Melayu atau English sebagai bahasa kedua.

Penggunaan bahasa isyarat nasional dalam pendidikan telah lama termaktub seperti dalam UNESCO The Salamanca Framework of Action dan juga dikuatkan dalam dokumen UNCRPD.

Malangnya di negera kita masih menggunakan BMKT iaitu bukan bahasa, BMKT sehingga kini masih tidak berubah iaitu sebuah buku yang tidak mencukupi memenuhi keperluan 10,000 kosa kata Bahasa Melayu.

Juga BMKT bukannya subjek yang wajib lulus untuk bakal guru diperingkat universiti, kemungkinan di universiti tiada tenaga pakar yang bertauliah untuk mengajar subjek BMKT dan paling malang ialah jika tiada ahli panel yang menilaikan kemahiran guru berBMKT.

Kedua kemungkinan permasalahan dengan P&P di kelas sekolah Pekak kerana mereka dibimbing dengan kurikulum pendidikan khas yang tidak selari dengan kurikulum arus perdana. Peperiksaan awam adalah berteraskan kurikulum perdana dan ianya boleh menjadi punca kegagalan calon Pekak.

Kanak-kanak tidak mengira pekak atau bukan adalah mempunyai potentasi, mengikut laporan ada calon Pekak mendapat 7A peringkat SPM tahun 2013 dan ianya menjadi bukti orang Pekak boleh berjaya jika dibimbing dengan cara yang betul.


Akhirkata, untuk mengelakkan perkara tersebut tadi berulang, pihak kami mencadangkan supaya diadakan persidangan pendidikan khas dan menjemput guru pakar dalam negara serta pakar dari luar untuk mendapatkan informasi terbaru serta berkongsi ilmu dan maklumat bagi mempertingkatkan sistem pendidikan khas untuk sekolah Pekak di negara kita.

Sumbang saran ini adalah rekod saya semasa menghadiri mesyuarat di BPK Putrajaya pada 8 April 2014.

07 April 2014

Perginya Ikon Komuniti Orang Pekak

1. Fakhrul Azman Mat Zin

Cikgu Fakhrul nama yang disenangi oleh pelajar BIM telah meninggalkan kita pada 3 Mac 2014. Anak kelahiran Sg. Udang dan mendapat pendidikan dari FSD telah menyertai KLSD sebagai tenaga pengajar BIM pada tahun 1998. 

Beliau juga merupakan pelukis yang berbakat, pernah bekerja sebagai pelukis batik di Batik Sayang, Taman Tun Dr. Ismail. MFD kemudian mengambil beliau bekerja sebagai pelukis bagi buku BIM Jilid 1, beliau juga dilantik sebagai tenaga pengajar BIM dan kemudian menjawat sebagai Ketua Unit BIM sehingga menghembus nafas terakhir.

Arwah merupakan tenaga pengajar yang terbaik, ramai pelajarnya menyukai Cikgu Azman dan memberikan penilaian tertinggi kepada beliau. Cara pengajarannya adalah bersahaja, santai, jelas dan humor.

Arwah juga merupakan tutor BIM untuk kursus Diploma Jurubahasa Isyarat dan beliau juga telah menamatkan pengajian Diploma Jurubahasa Isyarat tetapi tidak kesampaian menerima diplomanya di majlis Konvokesyen IUCTT ke 11, 2014 baru-baru ini.


2. Tan Chin Guan

Saya tidak mengenali dia secara dekat tetapi saya mengenali isterinya Dr. Dora Tan yang selalu membuat program Sunday School iaitu kelas untuk orang Pekak mempelajari agama Kristian di YMCA KL.

Hubungan kami turun naik kerana saya sebagai orang Pekak memperjuangkan BIM dan beliau seorang oralist yang menggunakan kaedah Pertuturan Kiu. Encik Chin Guan seorang insan yang penyabar serta tidak mengenal erti kalah dalam memperjuangkan pertuturan kiu didalam pendidikan untuk kanak-kanak pekak.

Di mesyuarat peringkat Kementerian Pelajaran selalunya berlaku isu yang panas antara kami sehingga satu masa saya menarik diri dalam perbahasan kerana saya berpendirian mewakili orang pekak dan pengguna bahasa isyarat. 

Pada saya, kaedah kiu memang sesuai untuk mereka yang kurang pendengaran dengan bantuan alat pendengaran (mereka yang mempunyai sisa-sisa pendengaran istilah BPK) serta mempunyai suara. Saya ada memohon kepada beliau supaya jika memperjuangkan kaedah kiu elakkan menakut-nakutkan  orang Pekak yang menggunakan bahasa isyarat atau jika tidak boleh bertutur akan mempunyai masa depan yang gelap atau menjual agama Islam iaitu mengaji AlQuran.

Saya juga pernah memohon maaf dan memeluk beliau dan isterinya atas sebarang kekasaran dan kesilapan saya. Dari itu saya tidak lagi mendengar ugutan yang menakut-nakutkan orang Pekak.

Walaupun sebagai oralist tetapi jasa Tan Chin Guan tidak dilupakan kerana beliau juga orang penting dan pengasas pembukuan Bahasa Malaysia Kod Tangan (BMKT).

Beliau telah meninggalkan dunia pada 12 Mac 2014 jam 2.40 pagi berumur 94 tahun.

3. Tan Yap

Sehari selepas kematian Tan Chin Guan, komuniti orang Pekak juga terkejut dengan  kepergian Tan Yap pada 13 Mac 2014 berumur 98 tahun.

Saya mengenali Tan Yap buat pertama kalinya saya datang ke Kelab Pekak YMCA pada tahun 1979, pada masa itu saya hanya seorang budak kampung yang sedang mencuba nasib di ibukota. Tan Yap merupakan orang pertama memperkenalkan saya 3 isyarat iaitu "keretapi berjalan lambat" dan dari itu saya mengikuti kelas bahasa isyarat yang diajar olehnya dan juga curi-curi mengikuti Sunday School kelolaan Dr. Dora Tan di YMCA.

Tan Yap mempunyai karisma tersendiri, selain dari boleh berisyarat dia juga boleh menyebut ayat suci Islam dan dari itu ramai orang Melayu tertarik dan percaya dengan beliau. Tan Yap selalu mempromosikan beliau ialah orang pertama memperkenalkan bahasa isyarat, sebagai jurubahasa isyarat pertama di negera ini yang mempunyai tauliah dari RID - Registry of Interpreter for the Deaf, USA.

Tan Yap menubuhkan Sekolah Kanak-kanak Pekak Selangor - SSD bermula di Convent Bukit Nanas, Kuala Lumpur untuk memberi peluang kepada orang Pekak yang tertinggal mendapat pendidikan. SSD merupakan titik permulaan kemasyhuran Tan Yap yang juga memperjuangkan Bahasa Isyarat Amerika - ASL yang menyaingi BMKT dan perkhidmatan jurubahasa isyarat.

Saya pernah bekerja 2 tahun di SSD dan terlibat dalam memperjuangkan ASL bersama Rose Ng, Cincy Leong, Lee Bee.

Tan Yap juga telah memulakan kejohanan Piala Tan Yap yang mengambil idea dari kumpulan orang Pekak yang menganjurkan Inter Club. Piala Tan Yap mendapat sambutan kerana semuanya adalah percuma berbandingkan Inter Club terpaksa membayar penyertaannya. Lama-kelamaan komuniti orang Pekak telah menunjukkan perpaduan dan memboikot Piala Tan Yap. Kedah masih menyimpan piala tersebut kerana mereka menang piala tersebut 3 kali berturut-turut.

Tan Yap juga telah menerima kekuatan orang Pekak dan telah berhenti menganjurkan Piala tersebut serta menyerahkan amanah pembangunan bolasepak kepada KLSD.

SSD kemudian berpindah ke Kelana Jaya iaitu Bangunan Amanah Ainomichi yang dibina oleh dermawan Jepun, Sugiita. Bangunan Amanah itu seperti dalam dokumen amanah akan diserahkan kepada orang Pekak tetapi sehingga sekarang tidak diketahui.

Hubungan saya dengan Tan Yap adalah baik dan kami sama-sama ke Korea untuk membawa pasukan bolasepak negera menyertai 4th Asia Pacific Games for the Deaf 1992. Saya telah berjaya melobi Malaysia menjadi tuan rumah 5th Asia Pacific Deaf Games pada tahun 1996.

Tidak lama kemudian hubungan kami mulai renggang, saya sibuk dengan kerja saya dan beliau nampak tertekan dengan isu SSD dan SDSTF. Saya pernah dimarah oleh beliau dengan perkataan "bullshit" apabila KLSD memohon mendapatkan penjelasan mengenai penubuhan Deaf Community Center, KL yang kami lihat akan merosakkan perpaduan orang Pekak di KL.

Tan Yap pada masa hidupnya gagal mendapat gelaran Datuk kerana usaha beliau membangunkan komuniti orang Pekak KL, sebagai ganti Persatuan Untuk Orang Pekak Selangor dan Wilayah Persekutuan (SDSFT) telah memberikan gelaran Father of the Deaf.

Gelaran Father of the Deaf untuk Tan Yap adalah sangat popular dan mengalahkan usaha Datuk Saleena Yahya Isa yang pernah menjadi pengasas FSD tahun 1954. Tan Yap juga telah menerima anugerah daripada Edward Miner Gallaudet USA iaitu anugerah tertinggi kepada insan yang berbakti kepada orang Pekak.

Harimau mati meninggalkan belang. Manusia mati meninggalkan nama. Terima kasih kepada anda bertiga yang mewarnakan pergerakan komuniti kami.