09 April 2014

Sumbang Saran Pendidikan Khas - mengatasi kegagalan akademik calon Pekak

Saya rasa saya tidak layak untuk memberikan komen mengenai kegagalan besar keputusan peperiksaan awam calon Pekak dari Sekolah Pendidikan Khas yang dibentangkan tadi. Ini adalah kerana sebagai orang luar, saya tidak mengetahui apa yang berlaku dalam kelas dan sekolah. Saya sememangnya menaruh kepercayaan kepada para pendidik yang diamanahkan untuk membimbing pelajar pekak dan saya tahu mereka tahu akan tanggungjawab mereka.

Apabila saya menerima laporan keputusan tersebut, yang mendedahkan majoriti calon Pekak gagal dalam peperiksaan awam, sebagai orang Pekak saya tersentak dan terasa. Saya tidak tahu apakah pihak sekolah juga terasa seperti saya dan dalam hati saya bertanya bagaimana perkara tersebut boleh berlaku?

Jika ingin mendapatkan pandangan saya bagaimana hendak menangani isu kegagalan tersebut, terlebih dahulu ingin saya mengajukan soalan apakah sistem pendidikan khas untuk murid pekak iaitu kaedah Komunikasi Menyeluruh yang kita gunapakai sejak tahun 70an iaitu berjaya mencapai matlamatnya? Apakah kegagalan murid Pekak dalam peperiksaan awam ada hubungkait dengan tidak keberkesanan kaedah Komunikasi Menyeluruh? Bagi pendidikan arus perdana telah beberapa kali membuat perubahan tetapi tidak untuk pendidikan khas.

Bagi negara maju, mereka telah lama meninggalkan kaedah Komunikasi Menyeluruh dan beralih kepada kaedah bilingual and bicultural. Walau pun telah diterangkan apa maksudnya bilingual, kebanyakan guru dan pegawai pendidikan tidak memahami konsepnya. Mengikut kefahaman mereka bilingual atau dwibahasa ialah penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pertama dan English sebagai bahasa kedua. 

Sebenarnya, bilingual bagi orang Pekak ialah bahasa isyarat sebagai bahasa pertama dan bahasa pertuturan iaitu Bahasa Melayu atau English sebagai bahasa kedua.

Penggunaan bahasa isyarat nasional dalam pendidikan telah lama termaktub seperti dalam UNESCO The Salamanca Framework of Action dan juga dikuatkan dalam dokumen UNCRPD.

Malangnya di negera kita masih menggunakan BMKT iaitu bukan bahasa, BMKT sehingga kini masih tidak berubah iaitu sebuah buku yang tidak mencukupi memenuhi keperluan 10,000 kosa kata Bahasa Melayu.

Juga BMKT bukannya subjek yang wajib lulus untuk bakal guru diperingkat universiti, kemungkinan di universiti tiada tenaga pakar yang bertauliah untuk mengajar subjek BMKT dan paling malang ialah jika tiada ahli panel yang menilaikan kemahiran guru berBMKT.

Kedua kemungkinan permasalahan dengan P&P di kelas sekolah Pekak kerana mereka dibimbing dengan kurikulum pendidikan khas yang tidak selari dengan kurikulum arus perdana. Peperiksaan awam adalah berteraskan kurikulum perdana dan ianya boleh menjadi punca kegagalan calon Pekak.

Kanak-kanak tidak mengira pekak atau bukan adalah mempunyai potentasi, mengikut laporan ada calon Pekak mendapat 7A peringkat SPM tahun 2013 dan ianya menjadi bukti orang Pekak boleh berjaya jika dibimbing dengan cara yang betul.


Akhirkata, untuk mengelakkan perkara tersebut tadi berulang, pihak kami mencadangkan supaya diadakan persidangan pendidikan khas dan menjemput guru pakar dalam negara serta pakar dari luar untuk mendapatkan informasi terbaru serta berkongsi ilmu dan maklumat bagi mempertingkatkan sistem pendidikan khas untuk sekolah Pekak di negara kita.

Sumbang saran ini adalah rekod saya semasa menghadiri mesyuarat di BPK Putrajaya pada 8 April 2014.

4 comments:

Teh's said...

Kegagalan kebanyakan calon pekak sebenarnya berpunca daripada faktor yang sama iaitu mereka terlalu lewat mula BERBAHASA. Sebelum memasuki sekolah, mereka tidak terdedah kepada persekitaran BERBAHASA. Calon pekak begini tidak ada perkembangan bahasa pada peringkat awal justeru tidak mempunyai asas bahasa yang kukuh. Calon 7A dari SMPKP itu memperoleh gred A dalam BM. Pelajar ini sebenarnya berpeluang hadir di kelas awal di YMCA Pulau Pinang semasa berusia 3 tahun. Kesungguhan ibunya membawanya berulang alik dari Seberang Perai ke Pulau Pinang untuk menghadiri kelas membolehkan perkembangan bahasa dan intelek pada peringkat awal. Pelajar ini menggunakan bahasa isyarat yang lebih dekat kepada KTBM. Jadi, masalah ialah pendidikan orang pekak mesti bermula lebih awal. JKM, KPM dan NGO perlu bekerjasama memastikan pendidikan awal dan pendedahan awal kepada persekitaran BERBAHASA diberi kepada kanak-kanak pekak dan tiada yang tercicir.

Lim Heng Tuck said...

helo

Lim Heng Tuck said...

Kegagalan peljar pekak bukan kerana masalah komunikasi dengan BIM atau KTBM. Seorang calon SPM berjaya atau tidak bergantung kepada IQ, usaha, motivasi, kerjasama ibubapa, kepakaran guru, kerajinan dll....kurang satupun akan mempengaruhi keputusannya. malasalah komunikasi ini adalah perkara kecil halangan dalam pembelajaran sahaja. tidak menjadi faktor utama kegagalan seseorang pelajar.murid pekak yang cerdik dapat keputusan yang cemerlang walaupun di tempat di sekolah biasa tanpa jbi.....
Murid normal juga ada yang tidak tahu menulis dan membaca selepas 11 tahun disekolah.. nak salahkan siapa pula?
Kerajinan dan usaha seorang murid dengan motivasi yang tinggi akan menetukan kecemerlangan dalam pepriksaaan. murid pekak rata-rata kurang motivasi dan tidak berrasa keputusan spm penting untuk masa hadapan mereka.
Mereka belajar untuk belajar sahaja bukan untuk lulus dan cemerlangan dalam ujian, maka inilah majoriti tak berjaya. Kita tidak boleh salahkan seluruh sistem pendidikan khas atau KTBM kerana kegagalan murid... persekitaran hidup mereka yang akan menentukan halatujuan hidup mereka. Kegagalan dalam ujian SPM tak bermakna murid itu gagal. Mungkin mereka ada kemahiran yang lain yang kita tidak dapat tunjukkan melalui sistem periksaan.

nik hassan said...

Kegagalan dan kejayaan anak-anak pekak ini sebenarnya banyak berkait rapat dengan keluarga dan guru di sekolah. Peranan ibu bapa adalah penting apabila mengetahui anak2ya mengalami kecacatan perlu berusaha memberi input bahasa sebaik mungkin. Kemana sahaja ibu bapa pergi makan di situ lah anak-anak itu perlu ada dan di situ diajar setiap vocab khususnya bagi ibu bapa yang ada kemahiran bahasa Isyarat. Ini diakui sendiri oleh Penolong Kanan PK Khas yang mengalami anak yang cacat pendengaran tapi memperoleh result 9A dalam PMR, pengalaman ini diluahkan oleh beliau sendiri, KTBM sebenar satu bentuk medium komunikasi guru bersama pelajar di sekolah tapi ia akan hilang setelah pelajar bersama rakan atau berpersatuan, yang dominan bagi mereka adalah BIM. Memang agak sedih melihat murid-murid pekak walaupun sudah berada di tingkatan 5 tetapi masih mengalami masalah kemahiran bahasa, kurang vocab.Komitmen guru dan ibu bapa adalah penting,,,malah ada pelajar pekak yang pekak sepenuhnya boleh menguasai BMKT dengan baik dan menjadi guru Bahasa Melayu.Sistem penilaian dan kurikulum untuk peringkat menengah perlu dimoderasi mengikut kemampuan pelajar pekak.