20 August 2010

Cerita Bulan Puasa

Tahun ini seperti biasa saya berbuka puasa dengan keluarga dengan sedikit kelainan. Awal sebelum bulan puasa, isteri saya telah jatuh motorsikal semasa menghantar seorang pelajar Pekak pulang ke rumahnya. Akibatnya kaki kiri kena di simen dan membataskan pergerakannya.

Saya dan anak-anak saya mengambil alih tugas isteri saya. Kami berkongsi kerja bergilir-gilir dari memandikan isteri, membasuh pakaian, membersih rumah, memasak, menghantar anak ke sekolah dan berbagai kerja rumah.

Anak perempuan pertama saya Asiah, telah mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan telah membantu meringankan beban saya. Saya juga mengambil cuti seminggu untuk menguruskan kerja rumah. Jam 12.00 hantar anak lelaki ke sekolah di Kg. Baru dan jam 6.00 mengambilnya pulang.

Bulan puasa, saya dan Aminah anak perempuan kedua saya bertanggungjawab untuk menyediakan makanan untuk bersahur, saya bangun jam 4.00 pagi memasak apa yang saya hafal semasa saya kecil dahulu. Lepas itu jam 7.00 am pergi hantar anak ke sekolah dan terus ke pejabat.

Perjalanan pulang ke rumah adalah satu penyiksaan, ianya mengambil masa 2 jam untuk sampai ke rumah selepas mengharungi kesesakan di KL. Ada banyak laluan yang saya ambil namun masih terperangkap juga.

Sampai ke rumah keletihan yang amat, saya tiada masa untuk menyediakan makanan atau membeli untuk berbuka puasa. Anak saya yang mengambil tugas menyediakan makanan atau membeli makanan di luar. Makanan di luar adalah tidak menyelerakan berbandingkan dengan masakan isteri saya.

Idris dan Iskandar anak lelaki saya juga menunjukkan kebolehan memasak, walau pun masih bersekolah Tahun 5 dan Tahun 2 namun mereka mempunyai bakat yang di waris oleh emak mereka. Alia yang bongsu akan membasuh pingan mangkuk yang kotor. Lucunya mereka.

Asiah tiba-tiba jatuh sakit dan menjadi lemah, dia tidak lagi mampu menghantar adik ke sekolah dan terpaksalah saya mengambil tugasnya dan membuat kerja rumah bersama Aminah. Nasib baik ada teman isteri saya yang memahami situasi dan suaminya membantu untuk menghantar dan mengambil Iskandar anak Pekak saya dari sekolah.

Dari pengalaman itu menyedarkan diri saya betapa sukarnya tanggungjawab sebagai seorang isteri. Saya bersyukur kerana mempunyai anak yang boleh bekerjasama dan berkongsi tugas tanpa di arah. Walau nakal atau degil pun mereka, namun boleh diharapkan membantu dalam situasi yang sukar. Ianya telah mengeratkan hubungan kami.

Semalam ada jemputan untuk Asiah dan Aminah untuk berbuka puasa di luar, kata yang pertama dari Asiah ialah bagaimana emak dan adik-adik nak makan kalau kami berdua keluar?

Ahamdullilah.

No comments: