11 June 2020

Apakah cara yang paling sesuai untuk orang Pekak membaca AlQuran? edited


1. Saya ingin membangkitkan isu berkaitan orang pekak membaca al-Quran kerana membaca al-Quran ialah salah satu daripada tuntutan agama. Sebagai contoh Allah memerintah Muhammad s.a.w membaca sepertimana dalam surah (al-'Alaq 96:1)  iaitu Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk).

2. Walaupun Muhammad SAW tidak tahu membaca tetapi malaikat membantu baginda membaca surah tersebut.
 
3. Ini membawa maksud  bahawa tanggungjawab masyarakat sekeliling untuk membantu  umat Allah termasuk orang Pekak untuk membaca al-Quran. Namun timbul pula persoalan bagaimana hendak mengajar orang Pekak mengaji al-Quran kerana mereka tak boleh mendengar.
 
4. Komuniti Pekak di Malaysia gembira dengan hadis “Abdullah bin Mas’ud radhiyallahu ‘anhu berkata: “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa yang membaca satu huruf dari al-Quran maka baginya satu kebaikan dengan bacaan tersebut, satu kebaikan akan digandakan 10 kebaikan dan aku tidak mengatakan alif laam miin الم))satu huruf akan tetapi alif satu huruf, laam satu huruf dan miim satu huruf.
 
5. Dari hadis itu sudah menjadi trend di kalangan orang Pekak pada masa kini iaitu membaca al-Quran dengan menggunakan ejaan jari hijaiyyah supaya mendapat keberkatan dan pahala tetapi persoalannya apakah benar begitu?

6. Jika mengikut Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-482: Hukum Membaca Al-Quran Dengan Bertajwid ada menerangkan bahawa Islam menuntut umatnya yang membaca al-Quran dengan bacaan yang baik lagi elok, dan boleh difahami dengan bertajwid.

7. Tajwid dari sudut bahasa ialah sesuatu itu menjadi baik dan elok (lawan kepada buruk). Manakala dari sudut istilah pula ia bermakna memberikan atau meletakkan setiap satu huruf apa yang patut baginya (haknya) dari segi sifat-sifat huruf seperti menyatakan atau membunyikan, dan juga apa yang dimestikan baginya dari segi apa yang terhasil daripada sifat-sifat itu seperti tebal, nipis dan sebagainya. (lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah; 10/177).

8. Selain dari itu dituntut juga supaya al-Quran dibaca dengan dengan betul seperti kata Surah al-Muzammil (4) yang bermaksud:

وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا ﴿٤
... dan bacalah al-Quran dengan "tartil".


9. Bacaan tartil  ialah  bacaan yang perlahan-lahan, tenang dan melafazkan setiap huruf daripada makhrajnya yang tepat mengikut hukum-hukum bacaan tajwid dengan sempurna, merenung makna, hukum dan pengajaran ayat.

10. Tingkatan bacaan ini biasanya bagi mereka yang sudah mengenal makhraj-makhraj huruf, sifat-sifat huruf dan hukum-hukum tajwid. Tingkatan bacaan ini adalah yang paling baik dan lebih diutamakan kerana telah sabit daripada firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Telah Kami (Allah) membacakannya (al-Quran) kepadamu (Muhammad) secara tartil” – Surah al-Furqan ayat 32.

11. Oleh itu dua nas atau ayat daripada Alquran tersebut sudah cukup untuk mengkukuhkan tuntutan yang bacaan al-Quran hendaklah bersuara serta memahami maksudnya (merenung makna, hukum dan pengajaran ayat).

12. Berbalik kepada persoalan orang Pekak yang tidak dapat mendengar serta menyebut bunyi huruf dan bertajwid, apakah cara yang paling sesuai bagi golongan ini membaca al-Quran?

13. Adakah membaca al-Quran dengan mengeja ejaan jari hijayyah boleh diterima walhal ayat al Quran di atas sudah menyatakan kepentingan membaca dengan tajwid dan tartil? 

14. Kita mesti sedar bahawa orang Pekak adalah dari pelbagai latar belakang, ada yang tidak boleh mendengar dengan baik atau dipanggil kurang pendengaran dan ada yang tidak boleh mendengar langsung yang dipanggil pekak (definasi DBP). Mereka ini juga dari latarbelakang pendidikan yang berbeza iaitu boleh membaca dan menulis dengan baik atau tak boleh membaca dan menulis langsung. Ada yang boleh bersuara dan ada yang tidak.

15. Pada masa ini ada yang mencadangkan orang Pekak membaca Al Quran melalui penggunaan bahasa isyarat tetapi pada pendapat saya, cara tersebut adalah satu kaedah yang terakhir dan paling sesuai untuk golongan orang Pekak tidak boleh membaca dan menulis langsung.

16. Ini adalah kerana bagi mereka yang boleh mambaca dan menulis dengan baik, tidak semestinya bergantung kepada membaca Al Quran dalam bahasa isyarat kerana mereka boleh membaca terjemahannya. Manakala orang Pekak dan Kurang Pendengaran yang mempunyai suara boleh dilatih membaca AlQuran dengan cara tajwid dan tartil.

17. Di negara kita belum mempunya bank isyarat bagi terminologi Islam yang lengkap, yang boleh membezakan perkataan digunakan seharian dengan bahasa Al Quran. Jika kita guna isyarat komunikasi seharian untuk menterjemahkan bahasa Al Quran akan berlakunya lari dari maksud. 

18. Oleh itu saya berharap adanya sesiapa boleh memberikan pandangan bagi merungkai cabaran dan permasalahan yang dihadapi oleh orang Pekak dalam membaca AlQuran mengikut hukum atau rukun yang ditetapkan.

No comments: