20 May 2010

Halangan yang perlu di hapuskan.

Laporan Terbaru dari utara yang terdapat di www.mstar.com.my

Published: Khamis Mei 20, 2010 MYT 2:48:00 PM

Remaja Pekak Cemerlang Kecewa Permohonan Ke Maktab Perguruan Ditolak

PULAU PINANG: Seorang remaja yang mengalami cacat pendengaran sejak berusia enam tahun kecewa selepas permohonannya untuk melanjutkan pelajaran bagi kursus Pendidikan Khas Masalah Pendengaran Pendidikan Rendah di maktab perguruan ditolak baru-baru ini.

Muhammad Affan Ghazali, 20, memperoleh keputusan cemerlang dalam kalangan pelajar pekak iaitu 2A dan 3B dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2009 dan telah memenuhi syarat yang diperlukan dalam kursus dipohonnya itu.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Pendidikan Khas Persekutuan Pulau Pinang di sini berharap Kementerian Pelajaran dapat menimbang semula permohanannya itu kerana bercita-cita untuk menjadi seorang pendidik.

"Saya sangat kecewa kerana permohonan untuk ke Institusi Pengajian Tinggai juga ditolak," katanya pada sidang akhbar di sini pada Khamis.

Beliau dibantu penterjemah Siti Zubaidah Mohd Lani, 28, untuk berkomunikasi dengan media pada sidang akhbar itu.

Muhammad Affan, anak kedua daripada empat beradik dan berasal dari Jitra, Kedah, berkata beliau dilahirkan sempurna seperti adik beradiknya yang lain tetapi mengalami masalah pendengaran selepas dijangkiti demam panas yang teruk.

"Dengan kekurangan ini (pekak), saya nekad untuk belajar bersungguh-sungguh kerana ingin berjaya dan meneruskan cita-cita menjadi guru. Bagaimanapun saya bimbang kegagalan saya ke maktab akan memberi kesan kepada pelajar-pelajar senasib dengan saya yang akan beranggapan OKU (Orang Kelainan Upaya) yang cemerlang tidak berpeluang untuk meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi," kata anak pasangan anggota polis dan surirumah itu.

Presiden Persatuan Orang Pekak Pulau Pinang Chung Kim Cheong yang turut hadir pada sidang akhbar berkenaan berkata pihaknya mendapati Muhammad Affan merupakan calon yang sesuai dan berpotensi dipupuk menjadi seorang guru pendidikan khas masalah pendengaran.

Beliau sangat berharap Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat campur tangan agar Muhammad Affan akan diterima menyertai kursus perguruan khas itu demi kepentingan murid-murid pekak.

"Untuk memboleh OKU mempunyai keupayaan bersaing, mereka harus diberi peluang. Latihan perguruan merupakan satu daripada peluang yang membolehkan mereka mencapai kerjaya yang lebih memuaskan," katanya. - BERNAMA


Nampaknya masih banyak halangan untuk kita walaupun kita telah mencuba. Apabila Kementerian Pelajaran meletakkan syarat mesti ada kepujian itu dan ini untuk menyambung pelajaran di peringkat tinggi, kita berusaha dan kita berjaya kerana kepekakan itu bukan penghalang.

Tapi kalau pihak Kementerian letak syarat minima umur calon ke IPTA, itu bukan salah calon Pekak kalau gagal mendapat tempat. Kementerian sendiri yang letak syarat pelajar Pekak mesti tambah 2 tahun belajar di sekolah rendah dan akibatnya pelajar Pekak tamat sekolah menengah berumur 20 tahun dan mereka jadi mangsa keadaan.

Siapa yang pandai? Siapa yang rugi?

No comments: