14 July 2008

Pengalaman Mengurus Kematian 1

Entry for May 26, 2006

Semalam malam Jumaat lebih kurang 10:30, saya menerima SMS dari Zuraida memaklumkan bahawa ibunya telah meninggal dunia. Saya segera menghantar sms kepada rakan terdekat mengenai berita tersebut. Saya berasa salah kerana tidak terus pergi menghulurkan bantuan seperti mana Zuraidah dan kakaknya telah memandu 6 jam merendah malam untuk menzairah ibu saya yang meninggal dunia di Kg. Teluk Pencalang, Sitiawan, Perak.

Pagi tadi saya terus ke rumahnya dan diikuti oleh staff MFD termasuk Puan Saadiah Ahmad, Penasihat Pendidikan MFD. Tiada apa yang saya dapat buat kerana Zuraidah mempunyai keluarga yang besar. Kaum keluarga, jiran dan sahabat handai semua berbicara dan saya tidak dapat mengikutinya; dunia disana penuh komunikasi yang tidak dapat saya fahami.

Yang menarik ialah suasana orang Islam menzairah dan bersalaman dan berkomunikasi walaupun tidak mengenali satu sama lain. Dari itu keindahan pegangan agama kita adalah terserlah.

Jenazah ibu Zuraidah setelah dimandikan, di letakkan ke dalam keranda putih dan diselimuti kain bertulis ayat suci AlKuran. Saya yang terdekat mendapat ruang untuk meletakkan keranda ke bahu saya sebelum di usung masuk ke dalam van jenazah.

Sebelum bergerak 3 langkah, ada seorang membaca sesuatu yang tidak saya fahami. Itu adalah cara tertib mengusung jenazah kata hati kecil saya. Sepatutnya ada juru bahasa isyarat menterjemahkan bagi saya memahami apa yang sedang berlaku. Malangnya CT di belakang saya tidak peka pada saat saya memerlukannya.

Jenazah dibawa ke Masjid Taman Maluri dan diletakkan di hadapan saf pertama. Selepas sembahyang Jumaat tamat, berduyun-duyun ahli jamaah ke hadapan jenazah bagi sembahyang jenazah. Ramainya mereka ke hadapan tanpa paksa-paksa, rela hati dan ikhlas. Merinding bulu roma serta menitis air mata saya menyaksikannya, teringat saya semasa sembahyang jenazah ibu saya. Suasana yang berlainan. Itu adalah satu kerberkatan bagi sesiapa yang meninggal dunia pada malam Jumaat.

Saripah Esah nama emak Zuraidah sememangnya wajar sekali menerima keberkatan tersebut. Beliau telah melahirkan anak-anak yang baik serta berguna kepada masyarakat. Betapa tidak, MFD amat menghargai Siti Sariah yang merupakan seorang sukarelawan berhati besar, beliau anak pertama Saripah dan telah berbakti cara diam kepada kita, beliau membantu MFD mencari dana untuk membolehkan MFD memberikan perkhidmatan kepada komuniti kita.
Juga Noraini yang disokongi oleh suaminya Ismail yang merupakan insan berhati mulia yang menyumbang, membenarkan apa yang ada pada mereka dan keluarga mereka demi MFD.
Bagi Zuraidah sendiri mengabadikan diri kepada komuniti kita, siang dan malam, hujan dan panas, segalanya ada pada dirinya adalah untuk MFD dan kita semua tahu.

Bakti kepada orang Pekak bukan terhad dipikul oleh anak Saripah Esah tetapi turuti dan dijiwai oleh cucu-cucunya seperti Ras Adiba, Alita, Iqbal, Ida dan Ifa; saudara-saudara mereka seperti Pak Ngah sekeluarga juga teman terdekat iaitu Rahmah dan Dr. Kahar. Semua mereka adalah satu keluarga besar MFD.

Saya mengingati ajaran ibu saya semasa hidup.. bacalah alfatihah dan ku-lahul-lullah dan sedekahkan kepada si mati dengan doa berbunyi seperti ini :

"Ya Allah, Ya tuhan ku, aku sedekahkan alfatihan dan ku-lahul-lullah kepada Saripah Esah. Cucuri rahmat kepada rohnya. Ampunkan dosanya. Lapangkan kuburnya dan tempatilah dia di sisi orang yang soleh."

No comments: