14 July 2008

Iskandar Mohamad Sazali


Entry for 20 April 2007

29 April 2007 ialah tarikh ulang tahun ke 5 Iskandar Mohamad Sazali anak ke5 saya. Iskandar telah disahkan profound deaf dan sedang mengikut program pra sekolah di SK Pendidikan Khas, Kg. Baru, KL.

Ramai yang terkejut apabila mendapat khabar anak saya Pekak dan apabila saya menemui rakan-rakan Pekak saya, mereka akan melafazkan rasa simpati terhadap saya serta menyuruh saya bersabar dan redha kerana mempunyai anak Pekak.

Pada saya mendapat anak Pekak adalah sama sahaja mendapat anak bukan pekak, anak tersebut adalah kurniaan Allah swt. Saya diamanah untuk membimbing anak saya menjadi anak yang soleh seperti dituntut oleh agama.

Mempunyai anak pekak memberikan erti yang maha besar kepada saya, saya amat bersyukur kerana kami tidak terputus komunikasi. Bahasa isyarat merupakan wajib digunakan setiap masa dan dimana-mana; tidak kira di rumah atau di luar. Tiada pengecualian untuk keluarga kami supaya tidak ada diskriminasi komunikasi kepada Iskandar dan semua kakak dan abangnya termasuk saya dan isteri yang juga Pekak. Apa yang kami buat adalah untuk kebaikan bersama dan juga kepada Iskandar agar terdedah kepada bahasa.

Hasilnya walaupun berumur 4 tahun, Iskandar mampu berkomunikasi dengan keluarga dan kenalan, dia boleh meluahkan perasaan dan dia boleh menyoal soalan yang menyentuh perasaan.

Selalunya saya menghantar Iskandar dengan abangnya ke keluarga Ismail Ashaari di TTDI sebagai pendedahan. Saya telah diberitahu oleh isteri Ismail Ashaari bahawa semasa berkereta ke rumah kawan di puncak bukit, Iskandar Dengan isyarat yang spontan, Iskandar memberitahu isteri Ismail Ashaari bahawa rumah besar di sana cantik. Beliau telah meluahkan rasa kagumnya akan keindahan rumah-rumah besar di kawasan elit di situ.

Iskandar memang kuat bertanya, dan kami dengan sabar akan menjawab serta memberikan penerangan sehingga dia faham. Tidak kira gambar yang terdapat di dalam akhbar atau di TV, semua yang melahir rasa ingin tahu akan menanya saya.

Kakak saya pernah menangis kerana soalan Iskandar menyentuh perasaannya. Iskandar yang melihat komunikasi pertuturan antara kakak dan abang telah bertanya kepada isteri saya apa yang mereka bualkan. Iskandar menanya isteri saya mengapa dia tak boleh mendengar kerana tak dapat mengikuti perbualan tersebut.

Nasib baik isteri saya berikan jawapan yang positif dengan membereitahu bahawa ayah juga tak boleh mendengar tetapi boleh bekerja dan mendapat hidup yang baik. Airmata kakak saya bercucuran dengan babak itu.

Mengapa saya mesti bersedih atau keciwa apabila Iskandar disahkan Pekak? Dia tetap anak saya. Kekurangan yang ada adalah tanggungjawab kami untuk memenuhinya.

Orang Pekak di negara kita telah melalui zaman kesukaran, penderitaan dan pengabaian yang mana tiada komunikasi di rumah, di sekolah, di luar sana dan dimana-mana jua mereka berada.
Akibatnya mereka tidak inginkan anak mereka Pekak bagi mengelakkan pengalaman yang sama kerana pada masa dulu adalah berlain dari apa yang ada masa sekarang.

Sebab itu orang Pekak tidak dapat menerima hakikat walau pun mereka sendiri Pekak.

Namun itu, tanpa sedari membesarkan anak bukan Pekak juga bukan satu yang senang. Bagaimana kita nak membimbing anak dalam kerja sekolah yang menggunakan bahasa Inggeris, bagaimana nak kita bimbing anak kita mengaji dan bersolat? Tanpa komunikasi tersebut juga menjuruskan permasalahan baru bagi anak-anak CODA - Childern of Deaf Adult.

Ada CODA tidak menerima ibubapa mereka Pekak kerana malu, menyuruh ibubapa pulang dan jangan menghantar mereka ke pintu sekolah adalah biasa berlaku.

Ada CODA meninggalkan sahaja ibubapa mereka apabila sudah mampu berdikari.

Oleh itu, Iskandar membuat hidup saya lebih bererti. Beliau akan memastikan kesinambungan budaya, amalan hidup orang Pekak serta bahasa isyarat agar tidak terpupus di muka bumi ini.
Beliau akan membawa cerita indah kita dan nilai-nilai murni orang Pekak sejak turun menurun.
Berdoalah kita agar masih ada lebih ramai orang seperti Iskandar dilahirkan di milineum yang bakal memupuskan generasi kita. Pencacar koklear, oralisma, diskriminasi bahasa isyarat dan pelbagai bentuk yang di maksudkan geneocide orang Pekak.

Astagfirullah alazim.

No comments: