24 October 2008

Sukan Kebangsaan Orang Pekak

1. Saya amat bersedih apabila aktiviti yang sangat penting bagi komuniti kita iaitu Sukan Kebangsaan Orang Pekak atau nama ringkasnya SKOP tidak dianjurkan mengikut jadual. Masalah dalaman MSFD merupakan sebab utama ianya tidak dapat dilaksanakan.

2. SKOP sangat penting bagi komuniti kita kerana ianya merupakan satu peluang untuk mengeratkan perpaduan antara orang Pekak dari seluruh negara setiap kali kita menyertainya. Kita dapat berjumpa kawan lama dan baru di SKOP juga bibit cinta dan perkahwinan antara orang Pekak adalah dari SKOP.

3. SKOP merupakan satu aktiviti yang sihat untuk kita, apabila kita dimaklumkan SKOP akan dianjurkan, orang Pekak akan berkumpul membuat latihan bagi menempatkan diri dalam pasukan negeri masing-masing. Ada yang membuat latihan lebih daripada 3 bulan dan ada juga membuat latihan pendek iaitu sebulan.

4. SKOP memberi peluang kepada orang Pekak menjadi pemimpin melalui memikul tanggungjawab menguruskan pasukan iaitu sebagai pegawai bolasepak, olahraga, badminton dan sebagainya. Pegawai itu akan menubuh JKnya dan melantik kepten pasukan. Pasukan tersebut akan mencadangkan apa yang diperlukan seperti pakaian sukan, beg, perkakas, elaun dan sebagainya untuk disampaikan kepada EXCO Persatuan. Dari itu timbul persefahaman antara kita dan mempamerkan kepimpinan yang baik.

5. Semasa SKOP kita akan dapat melihat kemahiran tuan rumah mengurus SKOP dengan memasukkan pelbagai aturcara baru, idea baru dan sebagainya, SKOP adalah meningkat dari masa ke semasa.

6. Objektif SKOP selalunya tercapai iaitu memberikan peluang kepada orang Pekak mengurus dan membangkitkan kesedaran umum, sebagai bukti orang Pekak akan bekerjasama dengan agensi kerajaan, persatuan sukan dan masyarakat sekeliling dalam penganjurannya.

7. Secara tidak langsung mereka pegawai sukan negeri, persatuan sukan serta mereka yang terlibat akan memahami budaya kita, cara kita walau pada mulanya menerima kejutan budaya kerana pertama kali mereka melibatkan diri dengan orang Pekak. Pada akhirnya kita menjadi kawan dan menyokong kita.

8. Pasukan negeri yang menyertainya juga menunjukkan kemampuan mereka menghantar pasukan yang besar dan kuat, kita dapat melihat pelbagai bentuk pakaian seragam sukan dari pelbagai negeri. Yang tercantik dan terbaik menunjukkan kemahiran pengurusan pasukan itu.

9. Orang Pekak amat bangga dengan SKOP kerana kita sendiri yang menguruskannya serta memastikan kesinambungannya. Ianya adalah berbeza dengan sukan untuk orang cacat yang lain kerana orang bukan cacat yang menguruskannya.

10. Orang Pekak sangat menyayangi SKOP, pada awalnya mereka sanggup mengeluarkan duit sendiri untuk membeli pakaian, tambang bas atau membayar yuran penyertaan menyertai SKOP kerana Persatuan negeri tiada sumber kewangan.

11. Orang Pekak juga membuat kutipan derma untuk membantu persatuan negeri menghantar pasukan ke SKOP dan itu menunjukkan betapa kuatnya sokongan orang Pekak kepada SKOP.

12. Ada juga orang Pekak akan berhenti kerja kerana tak dapat cuti untuk menyertai SKOP, dan ada juga majikan marah kepada Persatuan kerana orang Pekak akan meminta cuti beramai-ramai pada masa yang sama. Terdapatnya production line terpaksa ditutup kerana pekerja tersebut lari ke SKOP walau pun tak diberikan cuti.

13. Tetapi sekarang SKOP telah mendapat sokongan kerajaan, SKOP di Kelantan kerajaan Malaysia telah memberikan RM 100,000 kepada tuan rumah untuk penganjurannya. MSFD pada masa itu menguruskan pembayaran penganjuran dan berjaya menjimatkan wang untuk program lain.

14. Juga ada jabatan peringkat negeri memberikan bantuan kewangan kepada pasukan negeri untuk menyertai SKOP. Orang Pekak tak perlu mengeluarkan wang atau mengutip derma lagi.

15. SKOP di Langkawi menerima peruntukan RM 150,000, berbeza dengan situasi Kelantan, MSFD tidak menguruskannya tetapi diberikan kesemua peruntukan kepada tuan rumah atas desakan Presiden MSFD. Saya ada di mesyuarat tersebut yang mana Presiden MSFD mengugut untuk keluar.

16. Masalah dalaman MSFD telah menyebabkan SKOP tak dapat diadakan pada setiap 2 tahun selepas Langkawi walaupun KLSD memohon menjadi tuanrumah dengan acara kecil sebab mahu menjaga kesinambungan SKOP sebagai sukan dwitahunan.

17. SKOP di Perak diadakan 3 tahun selepas Langkawi, terlalu banyak perkara berlaku dan pihak MSFD terpaksa tunduk kepada tekanan persatuan berkaitan dengan yuran. SKOP Perak telah memisahkan semangat perpaduan orang Pekak, pegawai-pegawai MSFD menginap di hotel dan peserta menginap di asrama sekolah. Lazimnya kita tinggal bersama-sama, makan bersama-sama dan ianya mengeratkan hubungan kita.

18. Tahun ini sepatutnya tahun SKOP, Terengganu menjadi tuan rumah tetapi sehingga hari ini tiada kata putus. Saya ada menyarankan supaya SKOP diadakan juga di Terengganu tahun ini sebelum AGM MSFD, saya cadangkan memasukkan acara kecil iaitu olahraga, badminton, futsal sahaja. Saya masih berharap dengan barisan baru MSFD meneruskan SKOP apa cara pun.

19. Saya akan menulis mengenai sejarah SKOP kemudian.

1 comment:

Deaf My Advertising said...

SOPMA ( sombong orang pekak makin atas ) vs skop ( selalu kuat orang pekak ).....