14 October 2008

Lim Heng Tuck

Saya adalah salah seorang dari ahli komuniti Pekak yang menerima SMS laporan tak rasmi Mesyuarat Agung Persatuan Orang Pekak Kedah Darul Aman. SMS tersebut memaklumkan Lim Heng Tuck telah kalah semasa bertanding jawatan Presiden KDA baru-baru ini dan tersebar ke seluruh negara. Saya juga baca blog mydeaf dan Amir Hamidi yang mengesahkan berita tersebut.

Lim Heng Tuck ialah sahabat seangkatan saya yang membangunkan komuniti Pekak di negara kita. Saya mengenali beliau semasa terlibat dalam kegiatan sukan iaitu Kejohanan Antara Kelab Pekak dan juga sebagai pemain pertahanan pasukan bolasepak Pekak Kedah dan negara pada tahun akhir 80an dan 90an.

Beliau adalah salah seorang dari perwakilan dari Kedah bersama Chong Chooi Chu yang merupakan isterinya sekarang ke Mesyuarat Ketua-Ketua Orang Pekak Kebangsaan yang pertama di Pusat Belia Antarabangsa di Cheras pada tahun 1991.

Mesyuarat tersebut merupakan detik yang bersejarah kepada komuniti kita kerana ianya memulakan gerakan menubuhkan persatuan orang Pekak peringkat negeri di seluruh negara seperti yang ada sekarang.

Hubungan saya dengan beliau adalah amat akrab, setiap kali saya ke Alor Setar untuk urusan persatuan, Lim akan mengambil saya dari setesen bas, belanja saya makan di Restoran Badlishah dan tidur di rumah beliau.

Kami sama-sama menghidup semula persatuan orang Pekak di Kedah yang pada masa itu tidak aktif dengan mengganti kepada Persatuan Orang Pekak Kedah Darul Aman serta menyelesaikan kes penyelewangan wang oleh pegawai tertinggi persatuan lama yang mana Lim sendiri merupakan Bendahari persatuan tersebut.

Pada tahun 1993 semasa saya menjadi Presiden KLSD, saya telah merancang menghantar pasukan Malaysia ke Sofia, Bulgaria untuk menyertai World Games for the Deaf atau nama sekarangnya Deaflympic. Saya telah membuat temuduga terbuka sebagai pegawai yang akan ke Sofia.

Memandangkan tempat terhad, saya yang mengajar Lim untuk menempatkan dirinya dalam pasukan iaitu menawarkan diri sebagai jurubambar pasukan. Ahli panel temuduga telah bersetuju memilih beliau dan Syed Osman untuk menyertai pasukan Malaysia.

Perbuatan itu adalah salah kerana saya membantu beliau secara rahsia namun pelaburan saya adalah berbaloi kerana dia membuat kerja dengan baik dan melibat diri dalam pembangunan sukan orang Pekak sehingga kini.

Apabila saya menubuhkan MDSA (nama sekarang MSFD), Syed Osman Syed Hussein dilantik sebagai Presiden protem dan saya sebagai Setiausaha, Lim ialah AJK MDSA yang pertama.

Selepas MSFD diluluskan oleh Pendaftaran Pertubuhan pada tahun 1997, di Mesyuarat Agung pertama, saya menolak cadangan Lim Heng Tuck menamakan saya sebagai calon Presiden tetapi sebaliknya mencadangkan beliau sendiri sebagai Presiden. Saya memberikan alasan bahawa saya bukannya ahli sukan dan mahu menumpukan kepada MFD. Syed Osman tidak terpilih sebagai Presiden kerana beliau menghadapi masalah kewangan dan beliau akur dengan keputusan.

Saya terus membantu beliau membangunkan sukan orang Pekak seperti penganjuran Sukan Kebangsaan Orang Pekak, aktiviti sukan seperti sirikit badminton dan liga bolasepak, mendapatkan pengiktirafan Kerajaan Malaysia dan bantuan kewangan bagi menyertai APDG dan Deaflympik sehingga timbul bibit perpecahan antara saya dengan beliau selepas SKOP Langkawi.

Ianya berpunca daripada perbuatan individu yang pernah bekerja dengan saya. Saya dimaklumkan bahawa beliau tidak puashati penamatan kontrak dan secara terang-terang cuba membalas dendam terhadap saya dan mempergunakan Lim dan kawan-kawannya untuk menjatuhkan saya.

Saya juga pernah diingatkan oleh Syed Osman (Allahyarham) yang bertugas di MSFD mengenai tindak tanduk individu tersebut juga daripada rakan-rakan saya yang terdekat yang menasihati saya supaya berjaga-jaga kerana adanya konspirasi untuk menjatuhkan saya dengan apa cara pun.

Terbukti benar semasa AGM MFD, Lim walaupun sebagai pemerhati telah bertindak luar batasan dan mempertikaikan kedudukan saya sebagai Presiden dan Pengarah Eksekutif serta mengarahkan perwakilan KDA keluar. Saya mengenali beliau dan dia tak akan berbuat macam itu kecuali di hasut oleh orang lain. Insiden itu ada dirakam oleh staf MFD dan saya sendiri lihat betapa parah hasutan jahat individu tersebut.

Juga semasa Pusingan Kelayakan Bolasepak Asia Pasifik di Kuala Lumpur tahun 2002, MFSD secara rasmi tidak menyokong saya untuk menduduki JK APDSC, juga tidak mencadangkan JK baru dari Malaysia.

Namun pada hari pemilihan JK baru APDSC, tiba-tiba Lim menawarkan diri untuk menjadi JK APDSC apabila Saudi Arabia mencalunkan saya ke JK APDSC. Ianya bercanggah dari keputusan mesyuarat MSFD. Siapa yang mempengaruhi dia? Jika mengikut peraturan, penamaan tanpa borang sah serta kelulusan rasmi MSFD adalah tidak diterima tetapi saya tidak mahu merosakkan nama baik MSFD dan nama baik Lim di depan perwakilan luar negara. Saya mendiam diri walaupun saya sebagai Setiausaha APDSC mempunyai hak untuk menolak kerana penamaan kerana tidak mengikut peraturan.

Lim diterima sebagai JK APDSC dan saya dapat tahu kumpulan yang menghasut Lim tersebut telah meraikan kejayaan Lim dan kekalahan saya.

Tidak habis dari itu, nama baik saya juga diconteng di luar negara iaitu semasa di Deaflympic, Melbourne dan dimana-mana. Presiden APDSC juga ada berjumpa saya di luar negara dan menanya perhubungan saya dengan Lim. Di Malaysia juga dijadikan modal dan telah memalukan komuniti kita.

Lim Heng Tuck merupakan individu yang baik, tetapi oleh sebab beliau terlalu baik beliau mudah ditipu oleh orang. Saya tiada masalah dengan dia dan kami saling berhubung dan berkomunkasi bersama-sama. Saya pernah bersua dengan dia beberapa kali dan membincangkan mengenai gosip jahat dan dia menafikan dia mempunyai masalah dengan saya. Ya, kita tidak mempunyai masalah tetapi yang adapun hanya perkara remeh dan boleh diselesaikan.

Sebagai contoh apabila timbul kes Marzuki dan DSE telah merosakkan nama baik MSFD, Lim ada menghubungi saya untuk meminta bantuan. Dari itu juga saya telah membongkar banyak perkara dalam MSFD dan DSE. Antara contoh ialah penipuan, masalah peribadi EXCO, EXCO gagal bekerjasama, tiada dokumen seperti minit mesyuarat, berpuakan dalam MSFD; yang mana orang luar mengambil kesempatan.

Perkara tersebut merupakan virus utama yang menjatuhkan Lim seperti kita saksikan sekarang. Saya pernah saksikan Lim mengeluarkan arahan kepada EXCO dari keputusan mesyuarat yang saya hadir tetapi tiada EXCO yang melaksanakan.

Lim ada memberitahu saya yang dia amat menyesal apa yang telah berlaku, dia mengaku dia telah tersalah mengikut cakap orang yang dipercayainya. Lim juga ada mengingatkan saya supaya berjati-hati dengan individu tersebut.

Apakah Lim dipersalahkan dalam hal ini? Pada saya puncanya ialah perlu dipersalahkan. Sekiranya ada orang mahu membantu pembangunan sukan orang Pekak buatlah dengan jujur dan bukan untuk agenda lain. Bukannya mempergunakan Lim untuk menjatuhkan saya atau menggunakan Lim untuk kepentingan diri.

Malangnya Lim sudah jatuh semalam. Saya diberitahu air muka Lim adalah amat keciwa pada masa itu. Betapa tidak kerana segala usahanya membangunkan komuniti kita sekian lama tiba-tiba jatuh sekelip mata.

Sekarang orang yang menyebabkan kejatuhan Lim Heng Tuck apakah perasaan anda? Apakah anda tiada rasa bersalah, apakah anda rasa tidak berdosa? Kan kita ini insan tuhan dan mempunyai agama.

No comments: