28 October 2008

Selamat Deepavali

1. Deepavali bermaksud pesta cahaya, ianya melambangkan kejayaan kebaikan yang mengalahkan kejahatan. Di Malaysia, Deepavali ialah cuti umum dan warga Malaysia berbilang kaum menziarah sahabat yang meraikan Deepavali.

2. Tahun ini, saya dan keluarga telah pergi ke rumah sahabat saya yang juga EXCO KLSD di Batang Kali untuk meraikan Hari Deepavali. Anak-anak saya amat gembira kerana dapat bersama-sama dengan saya dan kami menaiki komuter KTM dari Sg. Buluh ke Batang Kali.

3. Menaiki komuter KTM adalah sangat selesa berbanding dengan masa dahulu yang mana saya berebut-rebut dan berdiri berasak-asak menaiki bas untuk ke destinasi.

4. Saya berhubung sms dengan sahabat saya kedudukan saya dan berasa amat bersyukur kerana teknologi ini dapat membantu komunikasi orang Pekak.

5. Sampai ke Batang Kali, sahabat saya sudah sedia menanti dan membawa kami kerumahnya dengan kereta Proton Waja. Saya bangga kerana sahabat saya mampu memiliki rumah teres 2 tingkat yang berharga RM 100,000 lebih. Ianya melambangkan orang Pekak berjaya dalam hidup kerana berusaha walau pun sahabat saya ini tidak mempunyai sijil SPM atau ijazah.

6. Ramai sahabat Pekak berbilang bangsa hadir bersama-sama meraikan Deepavali di rumah tersebut dan kami berbual-bual banyak perkara. Sahabat saya juga menghantar tetamunya balik ke setesen KTM Batang Kali setelah selesai.

7. Hampir jam 7.00 petang, kumpulan akhir seramai 11 orang sampai ke setesen Batang Kali; walaupun mahu menamatkan open housenya jam 6.00 petang sahabat saya membuat 2 kali trip untuk membawa mereka ke rumahnya. Semangat Deepavali sahabat saya adalah tinggi.

8. Jam 8.45 malam kami berkumpul di setesen KTM Sg. Buluh dan berkonvoi ke rumah salah seorang EXCO KLSD di Subang. Kami menghadapi kesukaran untuk mencari rumahnya kerana berada di kawasan perumahan baru.

9. Kami menghantar SMS untuk mendapatkan petunjuk jalan ke rumahnya tetapi tidak ada jawapan. Kami faham dia sibuk melayan tetamu dan berusaha mencari sendiri.

10. Kami menghabis banyak masa untuk mencari rumahnya yang terletak di dalam kawasan perumahan elite tapi masih tak jumpa. Tiba-tiba terima sms dari tuan rumah mengatakan open house sudah tutup. Kami menjadi lebai malang, letih dan lapar.

11. Ada dua generasi orang pekak, generasi lama dan baru. Generasi lama lebih memahami dan bertolak ansur tetapi generasi baru adalah berbeza.

Selamat Hari Deepavali daripada Sazali dan keluarga.

No comments: