03 September 2010

Buang bayi dan wanita Pekak.

Buang bayi adalah satu perbuatan yang amat kejam. Bayi ialah insan yang bernyawa seperti kita dan mempunyai hak untuk hidup. Perbuatan buang bayi sehingga mengakibatkan kematian adalah perbuatan yang sama dengan membunuh.

Cubalah kita melemaskan diri dalam air atau menutup saluran penafasan kita, apakah kita rasa? Kesakitan dan ketakutan. Kita rasa lega kerana dapat bernafas. Kita syukur dan sayangkan nyawa kita. Kita mengelakkan perbuatan yang bodoh seperti mencederakan diri atau membunuh diri. Hidup ini adalah terlalu indah untuk kita tinggalkan. Namun bagi pembuang bayi, manakah perginya rasa perikemanusiaan mereka? Apakah mereka tidak mempunyai otak dan perasaan?

Mengapa individu memberi peluang bayi membesar dalam kandungan dan memberikan nyawa tetapi selepas bayi itu dilahirkan kemudian di buang. Apakah faktornya?

Adakah orang Pekak terlibat dengan buang bayi?

Terdapatnya 3 kes yang di laporkan kepada saya, dua kes saya juga telah terlibat untuk menyelamatkan bayi. Kes pertama sebab cetek agama, seorang wanita Pekak telah mengandung tanpa ikatan perkahwinan. Saya mengenali lelaki Pekak yang melakukannya iaitu bekas anak murid saya semasa mengajar di sekolah rendah.

Wanita pekak itu menerima tekanan dari keluarga dan bapanya menyuruh wanita tersebut membuang bayi kerana tidak mahu mengaibkan keluarga. Bapanya seorang alim dan ahli parti agama. Tergamakkah beliau berbuat demikian? Apakah Islam mengajar kita membuang bayi demi hanya menjaga air muka keluarga?

Nasib baik ada insan wanita Pekak bukan Islam yang baik hati, mereka telah menyewa rumah yang jauh dari ibubapa wanita yang sedang mengandung tersebut. Wanita bukan Islam tersebut telah keluar bekerja untuk menyaranya, menjaga keselamatan dan memberikan kasih sayang sehingga menghadapi masalah kewangan. Wanita bukan Islam itu telah berjumpa kami untuk mendapatkan bantuan dan bermulanya kami dari MFD membantu mereka.

Sebagai bekas anak murid saya, sesi kaunseling adalah berjaya dan juga ibubapa lelaki itu memberikan sokongan. Akhirnya mereka berdua berkahwin secara sah dan melahirkan anak yang sihat.

Kes kedua, seorang wanita Pekak Cina yang mengandung tanpa berkahwin dan beliau telah berjumpa saya untuk pertolongan. Saya di beritahu lelaki Pekak tersebut cuba melakukan berbagai perkara untuk membunuh anak yang dikandung. Adakala menumbuk perut wanita tersebut dan adakala menolak wanita tersebut jatuh sehingga di langgar kenderaan; tetapi tuhan maha kuasa dan apa sahaja keadaan anak tersebut selamat. Saya telah menasihat wanita tersebut dan berjumpa lelaki Pekak itu serta membincang dan memberikan nasihat. Akhirnya anak itu dilahirkan dan membesar dijaga oleh wanita Pekak itu, diberikan pelajaran dan sekarang sudah bekerja.

Kes ketiga berlaku di selatan negara, walaupun saya tidak terlibat tetapi usaha dari seorang kakitangan saya telah membantu menyelamatkan nyawa. Kami memberikan tempat perlindungan dan mendapatkan bantuan sehingga mampu berdikari. Kawan saya yang tidak mempunyai anak ada meminta wanita Pekak tersebut menyerahkan bayi untuk di jaga tetapi wanita Pekak itu enggan menyerahkannya.

Ada dua kes lain berkaitan dengan wanita Pekak melahirkan anak tanpa berkahwin tetapi ibubapa pihak wanita tersebut telah menerimanya dan menjaga bayi tersebut tanpa menyerah ke rumah kebajikan atau orang lain.

Kesimpulannya, walaupun tuhan memberikan dugaan kepada orang Pekak dengan mencabut deria pendengaran kita, namun sifat perikemanusiaan kita masih belum di cabut. Syukur kerana sampai sekarang tiada wanita Pekak membuang bayi yang dilahirkan tanpa ikatan perkahwinan yang sah. Kehidupan kita tempuhi sekarang ada banyak kekurangannya, sebagai contoh pendidikan kita tidak berjaya, ajaran agama tidak sampai kepada kita, hidup kita penuh diskriminasi dan dipandang negatif oleh masyarakat sekeliling tetapi kita tidak sekejam sampai membuang bayi.

Juga ada beberapa ibu tunggal Pekak namun mereka tetap berusaha untuk mencari rezeki yang halal, mereka tidak terlibat dengan perbuatan yang melanggar undang-undang demi survial anak mereka. Ini adalah satu kekuatan orang Pekak yang saya saksikan sehingga kini.

Sepatutnya masyarakat sekeliling mempelajari kes yang dihadapi oleh orang Pekak. Ibubapa dan masyarakat sekeliling perlu memainkan peranan penting dalam mengelakkan buang bayi dengan memberikan nasihat dan motivasi. Menerima dengan pasrah akan berlakunya jika anak sendiri mengandung tanpa perkahwinan. Anggaplah itu kejadian yang diturunkan oleh tuhan sebagai peringatan sepertimana tuhan menjadikan kita menjadi Pekak. Bukannya kita mengugut, menyuruh buang bayi demi maruah kerana bayi itu adalah terjadi hasil daripada pertemuan 2 darah (AlQuran). Membunuh itu juga berdosa. Masyarakat sekeliling juga wajar jangan memendang serong, mengumpat dan sebagainya kerana perbuatan itu akan mengaibkan individu sehingga berlakunya buang bayi untuk menutup malu. 2 pihak yang terlibat perlu diperbetulkan dan bukannya meletakkan kesalahan kepada perempuan sahaja.

Berita buang bayi yang berluasa masa ini menjadi pengajaran kepada kita, kita wajar berusaha untuk mengelakkannya daripada berlaku. Pemimpin Pekak akan diberikan taklimat dan mempelbagaikan informasi bagi mencegahkan perbuatan yang kejam ini.

No comments: