07 September 2010

Berita rogol dan jurubahasa isyarat

Saya telah membaca laporan berita mengenai seorang Pekak telah dijatuhkan hukuman kerana merogol.

Undang-undang tidak mengenal sesiapa. Hukuman tetap di jatuhkan, kecacatan diri bukan alasan untuk mendapatkan simpati bagi melepaskan diri. Harap berita ini akan menjadi pengajaran kepada generasi kita supaya menghormati undang-undang, juga kepada ibubapa dan guru dan ustaz atau ustazah dan juga teman agar membantu membimbing generasi kita untuk mengawal nafsu.

Namun keadilan undang-undang tersebut ada juga ruang untuk di pertikaikan, kita semua tahu ada laporan dalam akhbar tempatan mengenai pelajar Pekak di perkosa atau dicabul kehormatan oleh guru sendiri atau orang “normal” tetapi terlepas dari hukuman.

Sedih sungguh kerana guru memangnya orang berilmu kerana mempunyai ijazah dan dikurniakan akal oleh tuhan tetapi gagal memegang amanah untuk membimbing generasi kita. Juga orang "normal" yang buta hati mengambil kesempatan terhadap orang Pekak yang difikir tidak akan melawan. Tahukah perbuatan tersebut mengakibatkan ingatan yang buruk kepada mangsa dan harga diri yang jatuh kerana di ceritakan oleh teman, keluarga dan masyarakat sekeliling. Sudah lah mangsa itu pekak kini jatuh tertimpa tangga.

Apakah mereka yang berilmu dan “normal” tidak boleh berfikir sempurna? Jika tidak, jangan persalahkan kami orang Pekak yang selalu di labelkan sebagai kumpulan yang malas berfikir.

Isu terlepas hukuman ada berkaitan dengan proses pembicaraan di mahkamah. Hanya orang yang arif sahaja yang mampu mengikuti proses pembicaraan tersebut. Oleh itu, peranan guru pendidikan khas menjadi “jurubahasa isyarat” dalam kes berat di mahkamah yang melibatkan orang Pekak juga perlu di ambil kira. Apakah kelayakan dan tauliah guru tersebut sebagai “jurubahasa isyarat” untuk orang Pekak di kes mahkamah? Apakah isyarat “jurubahasa isyarat” itu difahami oleh pesalah atau klien pekak dan apakah “jurubahasa isyarat” tersebut faham apa yang diisyarat oleh pesalah atau klien pekak sebelum di terjemah kepada percakapan di mahkamah?

Elakkan anggapan menjadi penterjemah di mahkamah merupakan satu kerja yang kacang. Janganlah hanya untuk mendapatkan merit atau penghargaan tetapi ingatlah dosa yang bakal tertimpa kerana yang menjadi mangsanya ialah orang Pekak yang belum diketahui bersalah.

Di negara kita ada seorang dua yang diiktirafkan oleh mahkamah untuk berkhidmat sebagai jurubahasa isyarat dan juga MFD ada menyediakan jurubahasa isyarat yang berkelayakan dan terlatih dalam kes mahkamah.

No comments: