29 December 2009

Sampai bila nasib kita terbela?

Mesyuarat Ahli Majlis OKU pada 21hb Disember 2009 yang lalu yang di pengerusikan oleh YB Datuk Seri Senator Shahrizat Abdul Jalil merupakan mesyuarat penutup bagi tahun 2009.

Mesyuarat kali ini saya ingin mendengar keputusan berkaitan dengan status BIM dari wakil KPM berkaitan dengan penggunaan BIM di sekolah-sekolah selari dengan Akta OKU 2008 yang dibangkitkan.

Malang sekali tiada pegawai atasan mewakil KPM kerana bercuti pada hari yang sama. Saya sedih kerana tidak dapat membahaskan isu tersebut kerana pegawai yang mewakili BPK merupakan pegawai picisan yang tidak tahu apa-apa berkaitan dengan isu tersebut.

Dalam hati saya berkata, mereka tidak serius dan tidak mengambil berat walhal sudah maklum bahawa mesyuarat tersebut diadakan. YB Menteri juga terkilan kerana ada agensi kerajaan memperlekehkan mesyuarat Ahli Majlis OKU kerana menghantar orang yang salah. Hal tersebut mendedahkan sikap sebenar pegawai BPK yang memandang remeh dengan mesyuarat Ahli Majlis OKU dan usaha-usaha untuk mempertingkatkan pendidikan bagi OKU.

Benarkah?

Para pegawai akan dengan gahnya mengumumkan bahawa mereka pakar dalam bidang orang Pekak dan idea mereka semua mesti betul, tetapi mereka memejamkan mata dan memekakkan telinga apabila setiap tahun keputusan peperiksaan awam pelajar pekak adalah amat mendukacitakan. Juga pelajar pekak tak tau membaca dan menulis pun tiada usaha untuk dibuat.

Mereka juga dengan tidak segan silu memberitahu BMKT/KTBM adalah kaedah sesuai untuk P&P di sekolah kerana bimbang penggunaan BIM akan menyebabkan pelajar menulis BM dengan lintang pukang tetapi sampai hari ini berapa ramai orang Pekak boleh menulis dengan teratur menggunakan kaedah BMKT/KTBM?

Adanya juga mereka menabik dada sebagai pakar BMKT/KTBM tetapi apabila di cabar menggunakan BMKT dalam mesyuarat mereka menikus.

Apa perlu bimbang atau malu kalau pelajar Pekak jadi bodoh atau tak tahu menulis serta membaca, kerana gaji tetap jalan dan semoga Allah halalkan rezeki.

Namun ada juga sekerat dua guru yang dedikasi membimbing pelajar Pekak dan pihak MFD amat menghargainya. Juga ada juga guru yang mahir dalam pendidikan Pekak di campak ke pendidikan buta atau bermasalah pelajaran. Terdapatnya guru lulusan universiti yang tiada kemahiran berBMKT/KTBM di tempatkan sekolah pekak dan belajar berisyarat dari Pelajar Pekak. Siapa guru, dia atau orang Pekak? Sistem pendidikan bagi pelajar pekak bagai caca marba?

Sikap mereka tak mahu hadir ke mesyuarat Ahli Majlis, tak ubah macam Ahli Parlimen BN yang tak mengambil berat akan saat genting meluluskan Bajet 2010 yang hampir menumbangkan Kerajaan BN.

YAB DSNajib mencadangkan KPI, kita sebagai NGO Pekak memang boleh menghantar aduan, memorandum, surat dan sebagainya kepada YB Menteri tetapi apakah YB Menteri akan di lucut jawatannya, pegawai yang tidak membuat kerja dengan baik akan di ambil tindakan?

Mengapa saya bising dalam hal ini? Jawapannya ialah pendidikan merupakan kunci utama pembangunan sosio-ekonomi orang Pekak. Berjayanya orang Pekak dalam pendidikan akan berjaya dalam kerjaya dan kehidupan. Negara kita memerlukan rakyat yang berilmu untuk bersama-sama membangunkan negara, kita orang Pekak juga tidak berkecuali.

Sampai bila nasib kita terbela?

1 comment:

anakmami said...

Salam Datuk Sazali,

Syabas!!!! Terus dedahkan sikap hipokrit org2 kat KPM. Celikkan mata OP2 sekelian... If boleh lapor kat PM Dato Najib yg slogannya 'RAKYAT DIDAHULUKAN' OP pun rakyar Malaysia juga..... Apa dok tunggu lagi buatle petisen minta OP semua sign dan hantar kat PM Dato Najib.