13 June 2011

Jawapan kepada Amir Hamidi

Dongeng :

Saya tidak tahu apa yang tersirat dalam pandangan beliau berkaitan dengan tajuk di blognya  "dongeng kegagalan pelajar pekak". Definasi dongeng dalam wikipedia  ialah "Dongeng Melayu ialah cerita rekaan bertujuan sebagai bahan pengajaran kepada kanak-kanak dengan perspektif yang positif dan juga membantu ibu bapa mendidikan anak-anak mereka dengan sopan-santun dan juga adat resam." 

Apakah Amir setuju dengan tulisan dongeng saya sebagai rekaan untuk mengingatkan semua pihak supaya tidak berulang lagi kegagalan pelajar kita?

Atau  apakah tulisan saya yang mengambil fakta daripada keputusan peperiksaan awam yang di keluarkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia itu yang membuktikan majoriti calon Pekak gagal adalah dongeng (cerita tidak berasas) juga?

Kekebalan atau tidak boleh di kritik:

Apabila saya dan MFD di kritik, di fitnah dengan fakta yang salah oleh blogger Pekak yang lain, saya tidak melatah mahupun mempertahankan diri. Ini adalah kerana saya menyokong dan menggalakkan kebebasan bersuara. Kalau ikut nafsu diri saya hentam balik dan mengakibatkan blogger itu dapat malu atau mengadu kepada SKMM untuk diambil tindakan, mudah sahaja. Yang penting saya menjaga tulisan saya kerana saya percaya pembaca akan dapat menilaikan cara pemikiran saya, sikap saya, kepimpinan saya, rasionalism saya atau apa-apa sahaja.

Jika tulisan saya merapu, nanti pembaca akan mengingatkan saya supaya "jangan lupa makan ubat".

Dalam posting terbaru, saya hanya mengingatkan MSFD/MSDeaf supaya membuat kerja sebab komuniti kita memerlukan aktiviti; lagi pun peluang untuk mendapatkan bantuan atau sokongan dari Kerajaan adalah terbuka luas. Ambillah peluang itu, "Rakyat di dahulukan, pencapaian di utamakan", sebagai bukti MFD tidak pernah gagal mendapat bantuan dan sokongan kerajaan kecuali isu lain.

Tetapi malangnya ingatan saya kepada MFD/MSDeaf di balas dalam blog Amir dan membuat saya tersentak apakah MSDeaf sebuah organisasi yang tidak boleh di sentuh, ditegur dan dikritik?

Ahli Majlis Paralimpik Malaysia : 

Saya secara rasminya di calonkan oleh MSFD sebagai wakilnya ke Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), MSFD mempunyai kuasa untuk memecat saya, menyuruh saya berhenti jika tidak puashati dengan prestasi saya supaya memberikan laluan kepada orang lain. Sampai hari ini MFSD belum hantar surat rasmi kepada saya dan saya terus berbakti seperti biasa. Saya mempunyai prinsip iaitu jika diberikan amanah saya akan melaksanakannya, saya tak mahu menjadi pengecut dan meninggalkan tugas separuh jalan.

Jika tidak mahu saya menjadi Ahli Majlis MPM, MSFD hantarlah surat rasmi kepada saya dan saya akan mengundurkan diri supaya memberikan peluang kepada orang lain.

Jika anda tak setuju saya menghentam MSFD/MSDeaf di blog,  anda juga telah menghentam saya di blog anda berkaitan dengan isu Ahli Majlis MPM. Nampaknya kita seri.








09 June 2011

Kalau hendak seribu daya, kalau tak hendak seribu dalih.

Saya sangat bersyukur kerana organisasi orang Pekak yang bergabung dengan MFD telah melaksanakan pelbagai usaha untuk mencapai matlamat organisasi masing-masing iaitu mempertingkatkan taraf hidup dan menyediakan perkhidmatan kepada orang Pekak. Usaha murni mereka selalunya membuahkan kejayaan dan menambahkan minat orang Pekak berpersatuan dan menjadi pemimpin.

Kesedaran sebagai pemimpin organisasi mulai menampakkan peningkatan di kalangan orang Pekak. MFD sebagai pemimpin juga melibatkan diri membantu, menyokong dan membimbing organisasi tersebut serta membentuk kepimpinan.

Menjadi pemimpin bukan datang dengan sendirinya, mereka di pilih melalui cara demokrasi mengikut peraturan organisasi tersebut iaitu di cadang dan di undi; bagi yang mendapat undi terbanyak akan dilantik ke jawatan tertentu. 

Orang Pekak juga bijak memilih dan tahu hak mereka, tahu yang mana baik atau buruknya siapa pemimpin yang akan dipilih atau tidak dipilih.

Ingatan kepada semua, menjadi pemimpin bukan bertujuan untuk menjadi glamour, mendapat kuasa atau untuk menjatuhkan orang lain atau mendapat peluang untuk diri sendiri. 

Kita dilantik sebagai pemimpin ialah satu amanah dari orang Pekak miskin, buta huruf dan memerlukan bantuan untuk meneruskan hidup yang penuh cabaran ini.

Oleh itu, apabila sudah diberikan amanah kita hendaklah jujur melaksanakan tanggungjawab kita. Sebagai pemimpin kita juga hendaklah berpegang kata orang tua "kalau hendak seribu daya, kalau tak hendak seribu dalih". Janganlah kita hendak menutup kelemahan kita dengan sejuta alasan.








07 June 2011

Cabaran Membangunkan Komuniti Orang Pekak di Malaysia

Dimana-mana di dunia ini orang Pekak memerlukan sebuah organisasi untuk menjaga kebajikan, memperjuangkan hak dan menyediakan perkhidmatan untuk komuniti orang Pekak negara itu agar selari dengan pembangunan negara mereka. 

Di Malaysia juga tidak di nafikan penglibatan organisasi orang Pekak telah membantu mengubahkan taraf hidup orang Pekak menjadi lebih baik. 

Penubuhan pergerakan orang Pekak bermula pada awal tahun 1964, orang Pekak yang miskin, buta huruf kerana ketertinggalan pendidikan dan tertindas merupakan kumpulan pertama penubuhan organisasi. Mereka perlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan yang serba kekurangan kerana ibubapa mereka juga tergolong dari orang miskin. Pada masa itu mempunyai anak Pekak adalah menjadi beban kepada mereka. Dari itu lahirlah pergerakan orang Pekak yang pertama.

Pada masa itu juga, tiada tempat mengadu, tiada tempat untuk beraktiviti, tiada peluang untuk memperbaiki diri dan situasi ekonomi negara kita adalah tidak bagitu bagus. Oleh itu orang Pekak memberikan kepercayaan kepada organisasi untuk membantu kebajikan mereka dan melaksanakan program kesinambungan budaya komuniti ini.

Untuk menguruskan organisasi tersebut memerlukan satu tanggungjawab yang besar dan mencabar. Berbanding dengan organisasi lain, mereka percaya dengan syarat mempunyai pendidikan tinggi, kekuatan wang ringit dan pengaruh akan membantu kelancaran pembangunan komuniti sasaran tersebut. 

Bagi penubuhan organisasi orang Pekak di Malaysia pada peringkat awal, kita tiada 3 syarat tersebut di atas tetapi hanya mempunyai 2 perkara penting iaitu kejujuran dan semangat. Bayangkan orang kita yang miskin, buta huruf dan tertindas; apakah gamaknya kita mahu menipu mereka? Apakah kita tidak mempunyai sifat perikemanusiaan untuk mengambil duit yuran mereka yang terhasil dari titik peluh mereka atau mempergunakan mereka untuk kepentingan diri sendiri?

Kesusahan itu di rasai dan diingati oleh para pemimpin orang Pekak peringkat awal dan ianya menjadi satu semangat serta azimat untuk memperjuangkan keperluan orang Pekak di negara kita.

Alhamdullilah, berkat usaha ianya berhasil. Suara kita di dengar dan di terima. Jika dibandingkan dengan tahun 70an, sekarang orang Pekak mempunyai pekerjaan baik dan memandu kereta sendiri untuk menyertai aktiviti yang dilaksanakan oleh persatuan mereka. Kehidupan kita adalah lebih baik lagi.

Orang Pekak merupakan nadi pergerakan organisasi, kerana tanpa ahli organisasi tersebut tidak boleh berfungsi. Mereka merupakan aset yang perlu di jagai. Ingatlah penubuhan organisasi kita bermula dari orang pekak yang miskin, buta huruf dan tertindas. Jangan sekali kita menipu mereka dan mengabaikan mereka.

Bagi generasi Pekak yang sedang menikmati kemakmuran negara ini melalui perjuangan oleh orang Pekak miskin, buta huruf dan tertindas. Berbaktilah dan meneruskan perjuangan kita yang belum selesai.






06 June 2011

SUKMA, Sukan Paralimpik dan SOPMA.

MFD telah menerima undangan daripada Jabatan Belia Sukan bagi mengadakan Kursus Asas Bahasa Isyarat Malaysia untuk staf mereka sebagai persediaan penganjuran Sukan Paralimpik yang akan di adakan selepas SUKMA 2011.

Bertempat di Hotel Grand Continental,  Pulau Langkawi dari 2 hingga 4hb Jun 2011, Kursus tersebut di sertai oleh seramai 36 peserta dari seluruh negara. Kursus selama 3 hari 2 malam tersebut di bimbing oleh Zaine Bujal, Fakrul Azman dan Abdul Rahman.

Dari apa yang saya ketahui, Kerajaan Malaysia memang serius membantu, menyokong dan memberikan peluang kepada rakyat tidak mengira bukan cacat atau cacat mencebur diri dalam bidang sukan.

SUKMA 2010 dan Sukan Paralimpik sudah berlalu tahun lepas di Melaka, sekarang SUKMA 2011 sedang berlangsung di KL dan diikuti Sukan Paralimpik selepas SUKMA.

Mana perginya SKOP atau SOPMA? MSFD yang di berikan amanah untuk pembangunan sukan orang Pekak tidak di ketahui secara rasmi hidup atau matinya.

Organisasi sukan baru iaitu MSDeaf (bukan Mohamad Sazali Deaf) sudah berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan (PJS) bagi melarikan diri dari sumpahan atau mengelakkan sejarah hitam MSFD dan masih juga sepi tanpa berita. Berapa kali saya ke KLSD di San Peng, pejabat MSFD yang bersebelahan KLSD adakalanya beroperasi secara tertutup tetapi telah di tutup sampai hari ini.

Di saat ini peluang terbuka luas tetapi malangnya apakah MSFD atau MSDeaf masih di buai mimpi. Apakah MSFD atau MSDeaf menutup sebelah mata permohonan komuniti Pekak yang memerlukan aktiviti bagi mengelakkan masalah sosial yang meningkat di kalangan belia?

Belia tanpa aktiviti boleh menyebabkan perpecahan komuniti kita. Semakin lama mereka duduk tanpa aktiviti, semakin banyak mereka mencipta aktiviti baru yang luar dari batas kesopanan dan kesusilaan. Mereka juga akan menjadi kilang fitnah dan membentuk sikap benci-membenci sesama sendiri. Akibatnya padah menanti kita.

Kepada pemimpin di MSFD atau MSDeaf, jika anda rasa tidak mampu memikul tanggungjawab atas sebab kesibukan tugas atau atas tanggungjawab lain atau apa-apa sejuta alasan. Cadangan saya, serahkan tanggungjawab itu kepada orang lain untuk menguruskannya.

01 April 2011

Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA)

Salam sejahtera.

Saya ada menerima surat peringatan daripada ROS (Pendaftar Pertubuhan) untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan sebelum 31 Mac 2011 ini. Dalam peraturan MFD ada menyatakan mengadakan mesyuarat agung dalam bulan Mac. Pihak MFD sebenarnya sudah bersedia kerana Laporan Tahunan Kewangan MFD sudah siap dan berada dalam tangan juru audit MFD untuk di sahkan. Laporan Tahunan MFD juga sedang di siapkan oleh Setiausaha Kehormat MFD yang baru.

Saya juga terkejut kerana telah menerima peringatan dari pada ROS perkara yang sama untuk Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA). Saya ragu-ragu kerana sehingga hari itu belum menerima pengesahan kelulusan pendaftaran PRISMA.

Saya telah menghubungi ROS dan telah diberitahu untuk mengambil sijil pendaftaran dari pejabat Shah Alam. Lalu saya menghubungi Aqlam selaku Yang Di Pertua Protem PRISMA dan beliau bergegas mengambil sijil tersebut.

Sah sudah PRISMA di tubuh sebagai sebuah organisasi yang berdaftar setelah lama menunggu. Saya menceritakan secara ringkas penubuhannya di sini. 

MFD ialah sebuah organisasi yang paling berjaya pada masa itu dan aktivitinya selalu mendapat perhatian dan sokongan dari banyak pihak. Sebagai organisasi yang memperjuangkan kepeluan orang Pekak dan pada masa itu timbul masalah sosial di kalangan komuniti Pekak beragama Islam yang perlu ditangani.

Oleh itu, MFD telah menganjurkan beberapa program agama Islam yang berjaya seperti Seminar Isu, Keperluan Orang Pekak Islam yang di anjurkan setiap tahun. Dari kejayaan itu pihak JAKIM dan agensi agama Islam peringkat negeri telah mengenali MFD dan menyokong projek yang dicadangkan oleh MFD.

Namun telah menerima bantahan ahli Pekak bukan Islam kerana mahukan MFD berkecuali dalam aktiviti agama. 

Untuk menjaga hati orang Pekak bukan Islam, pada 22 Oktober 2005 sempena bulan puasa beberapa pemimpin orang Pekak negeri iaitu Aqlam, Razani, Ismail Muda, Azhar, Khairun Cagunathan telah membincangkan penubuhan sebuah organisasi untuk mewakili orang Pekak Islam bertempat di Pusat Islam Malaysia, Kuala Lumpur.

Semua telah bersetuju dan menubuhkan jawatan kuasa penaja, Aqlam telah dilantik sebagai Yang Di Pertua dan saya sebagai Setiausaha Kehormat. Kami juga telah mendermakan duit dari poket sendiri untuk memulakan kerja. 

Demi menjaga perpaduan orang pekak, didalam peraturan PRISMA di bahagian keahlian di letak ayat : "Ahli yang layak menganggotai persatuan hendaklah menjadi ahli Persatuan yang bergabung dengan MFD (Ahli Gabungan MFD) terlebih dahulu."

Ianya adalah kerana bagi mengelakkan orang Pekak berpecah belah dan menggalakkan berpuak. Contohnya jika seseorang dari KL ingin menjadi ahli PRISMA, wajib mempunyai keahlian KLSD terlebih dahulu.

Yuran keahlian juga murah iaitu RM 5 bagi seumur hidup.

Sekarang dengan adanya PRISMA akan memikul tanggungjawab untuk membantu membimbing komuniti Pekak kepada ajaran agama Islam yang suci. Juga tinggi harapan untuk mengurangkan masalah sosial dikalangan orang Pekak kerana terabai dalam bimbingan agama sejak di lahirkan.

Sama-samalah kita menyokong PRISMA.