08 February 2012

Kenduri Kawin Dulu dan Sekarang

Bulan Januari saya telah pergi ke kenduri kawin 2 orang staf saya di Kuala Lumpur dan minggu lepas saya membantu majlis perkahwinan anak buah isteri saya di Sg. Tiang, Kedah.

2 majlis perkahwinan tersebut adalah berbeza kerana di Kuala Lumpur majlis makan di aturkan oleh katering manakala di Sg. Tiang di masak oleh kaum keluarga isteri saya. Majlis di Sg Tiang adalah sungguh memenatkan tetapi berasa amat puas kerana dapat mengeratkan kaum keluarga serta menghidupkan suasana gotong royong. Hidangan makan tengahari di Sg Tiang adalah istimewa kerana tukang masak di import dari Siam, kurma ayam ala Siam, sotong masak ala siam, ikan keli tumis ala siam, termasuk som tam, laksam, bubur labu pemanis mulut. Tak payah ke Siam jauh-jauh nak makan sedap-sedap.

Teringat semasa saya tinggal di Batu 10 Lekir dulu. Apabila ada majlis kawin kita akan beramai-ramai bergotong royong membantu tuan rumah. Sehari sebelum bersanding, 2 atau 3 batang pokok nyior atau pokok kelapa terlebih dahulu akan tumbang untuk dibuat kaki meja dan bangku makan. Papan di letak atas batang nyior tersebut dan di jadikan meja dan bangku. Kita tak gunakan khemah kanvas tetapi menggunakan buluh dan beratap nipah.

Batang nyior yang lebih di susun 4 segi sudut dan di tutup kain plastik di jadikan sinki untuk membasuh pinggan mangkuk. Batang anak pisang di campur serbuk pencuci bagi membersihkan pinggan mangkuk dari minyak.

Tempat makan lelaki dan perempuan adalah berbeza, orang lelaki makan di khemah yang ada meja dan bangku dan orang perempuan duduk bersimpuh di khemah atas tanah menggunakan tikar. Dinding khemah di buat dari daun kelapa yang tumbang tadi bagi mengelakkan orang bujang mengorat atau main mata dengan anak dara. Umbut kelapa yang manis di buat sayur masak lemak dengan udang kering.

Kenduri kawin di kampong biasanya tumbang seekor lembu ikut kemampuan keluarga. Subuh dah di sembelih lembu itu, tulang dan isi perut di buat sup untuk sarapan orang yang buat kerja menyiapkan masakan. Biasanya daging lembu di masak kari, rasa pedas apabila di makan campur umbut kelapa yang manis dengan sambal belacan masih teringat sampai hari ini.

Kita orang dulu-dulu lebih pandai berjimat. Satu barang pelbagai guna macam pokok kelapa sebatang tadi.  Orang kampung juga mempunyai semangat kerja sama dan tolong menolong, ada yang menyumbang beras, gula, garam dan juga kayu api. 

Saya juga menyumbang tenaga menghidang makanan, basuh pinggan dan apa kerja yang boleh di buat. Mana tahu dapat tengok anak dara yang manis tapi saham saya tak naik sebab saya budak Pekak seorang di kampong itu.

Malam sebelum bersanding ada buat kenduri bubur kacang dan bermarhaban. Saya suka mengikuti marhaban menggunakan kompang, seronok tengok pemain kompang merah padam muka serta nampak urat leher apabila menarik suara terlebih-lebih lagi apabila ada anak dara manis di dalam bilik. Kekadang saya curi-curi pukul kompang apabila pemain keletihan, selalunya kena tegur sebab pukulan sumbang. Apa boleh buat, aku ni Pekak kan?

Untuk jemput tetamu ada yang tak guna kad jemputan, memandai naik basikal dari rumah ke rumah menjemput secara mulut. Ini lagi rapat dan mesra. Ada  rumah orang kawin menjemput kugiran dari Sg. Tiram atau The Zurah dari Ipoh atau Senandung Irama dari Batu 8 sebagai tarikan. Seronok tengok penyanyi terkenal seperti Datuk Daud Kilau yang punyai pertalian darah dengan orang Sg. Tiram dan juga M Shariff yang terkenal dengan irama pop yeh yeh. Malam itu biasa tak ada jamuan makan, cukup dengan hiburan sahaja dan satu kampung akan berduyun datang menyaksikannya.

Sekarang semua itu hanya tinggal kenangan.

No comments: