10 March 2011

Jawapan Untuk Puan Nor Shahidah



1.   Saya angkat topi kepada warga pendidikan khas kerana amat menyokong penggunaan BMKT/KTBM sebagai kaedah P&P di sekolah pendidikan khas pekak demi membantu kanak-kanak Pekak menguasai Bahasa Melayu. Namun setiap tahun  LPM melaporkan keputusan peperiksaan awam calon Pekak adalah tidak membanggakan, apakah ianya menjadi bukti yang kukuh kaedah BMKT/KTBM yang digunakan di sekolah khas kita adalah gagal?

2.   Saya amat menyanjungi para pendidik termasuk puan yang telah mengabadikan diri selama 18 tahun kepada murid sekolah khas pekak tetapi saya ingin tahu hasil kejayaan puan membimbing mereka untuk menjadi rujukan. Saya amat berasa kecil hati apabila kemerosotan keputusan STPM 2010 ada pihak KPM membuat arahan supaya mengkaji punca kemerosotannya tetapi jika calon pekak merosot keputusannya apakah kajian juga di buat?

3.   Puan mendakwa kelemahan penguasaan bahasa oleh murid pekak adalah kerana tiada cukup bahan bacaan atau alat mengajar untuk murid Pekak. Dakwaan tersebut bermakna selama 18 tahun orang Pekak di abaikan dalam mendapat pendidikan yang sempurna. Ianya boleh menjadi bukti jelas Kementerian Pelajaran kita tidak mengambil berat dengan isu ini.

4.   Saya menyambut baik Transformasi Pendidikan yang dicadangkan kerana juga merangkumi di pendidikan khas. Saya difahamkan pihak KPM membuat dasar baru, menambah bahan bacaan untuk murid pekak, mencadangkan BIK tetapi jangan lupa untuk mempertingkatkan kemahiran guru. Perkara tersebut tidak dapat di capai selagi guru tidak mahir dalam bahasa isyarat bagi komunikasi dan menyampaikan ilmu. Jika sekolah Cina mensyaratkan guru mempunyai penguasaan Bahasa Mandarin layak mengajar di sekolah mereka, sekolah pekak juga wajib mensyaratkan guru mempunyai kemahiran dalam BKMT/KTBM/SEE/ASL dan sebagainya sebelum diterima mengajar di sekolah pekak.

5.    Puan memberitahu tidak tahu apa itu SEE (Sign Exact English),  sekiranya puan tidak tahu di sepanjang 18 tahun bekerja di bahagian pendidikan khas telah membuka pekung di dada Kementerian Pelajaran Malaysia yang gagal menyampaikan ilmu berkaitan dengan orang Pekak termasuk apa itu SEE.

6.   SEE adalah sama dengan BMKT tetapi orang sana walau pun bukan Islam tidak menggunakan perkataan KOD kerana tahu manusia di sana tidak berkomunikasi dengan kod, tetapi orang kita sini mendewakan KOD contohnya Bahasa Melayu KOD Tangan atau KOD Tangan Bahasa Melayu. 

7.   SEE menggunakan kata akar daripada ASL dan membuat tambahan seperti ‘..s’, ‘…ed’, ‘…ing’, dan sebagainya mengikut tatabahasa Bahasa Inggeris. BMKT/KTBM menggunakan kata akar isyarat mana?

8.   Untuk makluman BIM di lancar secara rasmi pada tahun 2000 berbandingkan BMKT/KTBM pada tahun 80an. BIM tidak pernah masuk ke sekolah secara RASMI malahan dilarang penggunaannya kerana bertentangan dengan dasar di sekolah kerajaan. Saya tahu arahan supaya dengar sahaja tapi jangan ikut apabila saya dijemput memberikan penerangan mengenai BIM. Saya juga tahu ada guru menggunakan BIM secara bawah tanah kerana BMKT/KTMB tidak mencukupi kosa isyarat. Saya amat takut sekiranya ada guru menyokong BIM, prestasinya mungkin akan diturunkan kerana melanggar dasar dan menyebabkan guru hilang semangat mengajar. Akibatnya pelajar pekak kerugian.

9.   Oleh itu, elakkan trend mempersalahkan BIM yang menyebabkan pelajar Pekak gagal membaca dan menulis dalam Bahasa Melayu. Mana aci?

10. Dakwaan BIM itu bahasa pasar secara jelas dilihat sebagai memperlekehkan  penasihat undang2 yang melakarkan Akta OKU yang mana mengiktirafkan BIM sebagai bahasa rasmi orang Pekak; memperlekehkan juga YB Ahli-ahli Parlimen, para Menteri termasuk Menteri Pelajaran yang bersama-sama meluluskan AKTA OKU 2008  di Parlimen yang dibaca dua kali, yang juga di perkenan oleh YANG DI PERTUAN AGUNG.

11. Pengiktirafan BIM adalah seperti dalam dokumen UNESCO Salamanca Framework of Action dan juga UNCRPD yang mana Malaysia telah menerima, mengiktiraf, meratifikasikan. Mengapa masih ada orang kita yang tidak bersetuju?

12. Dakwaan ramai orang Pekak tidak mempunyai pekerjaan dan menganggur adalah tidak benar. Jika BENAR gurulah bertanggungjawab kerana gagal membimbing orang pekak berjaya dalam akademik. Kelulusan akademik adalah kunci untuk mendapat pekerjaan yang baik.



No comments: