14 February 2011

Antara Jakun dan pekak

Saya masih ingat apabila Haji Yasin jiran depan rumah kami di Batu 10 Lekir membeli keret MG Sport warna merah dan memandunya ke keliling kampung; ramai budak-budak kampung mengerumuni kereta tersebut kerana tidak pernah melihat kereta tersebut apatah lagi tak berbumbung.

Pemuda-pemuda kampung menggelar menggelar budak-budak tersebut 'jakun' kerana tidak pernah melihat kereta tersebut kerana pertama kali di perkenalkan di kampung. Jakun pada kefahaman saya budak kampung, bererti bodoh dan 'ulu'. Saya tidak menyukai perkataan ulu kerana ianya membawa maksud mereka yang tinggal jauh di pendalaman seperti Sg. Tiram,  Parit Haji Dolah yang jauh di pendalaman, ketertinggalan dari pembangunan. Orang Batu 8 juga panggil budak Batu 10 budak ulu.

Panggilan jakun ialah satu sindiran dan tidak membawa perkara yang positif bagi manusia yang bertamadun.

Hari ini saya membaca Utusan Malaysia bertajuk Guna perkataan Jakun: Nik Aziz mohon maaf kepada Orang Asli. Syukur alhamdullilah  kerana ada orang sedar panggilan negatif itu tidak wajar kerana menyinggung perasaan manusia yang di cipta oleh Allah swt. 

Oleh itu, saya juga mahukan perkataan 'pekak' juga di hormati kerana ianya hanya berkaitan dengan insan ciptaan Allah swt yang tak dapat mendengar. Orang bukan pekak, menggunakan perkataan pekak atau tuli sebagai sindiran yang membawa maksud orang yang degil atau tak mengikut nasihat atau bodoh tak boleh belajar.

Orang pekak bukan degil. Hanya mereka tidak dapat mendengar dan tidak faham apa yang di sampaikan oleh orang yang boleh mendengar yang tidak tahu menggunakan komunikasi orang pekak iaitu bahasa isyarat.

Oleh itu elakkan menggunakan perkataan pekak untuk menyindir, memperli, memberikan maksud yang negatif kerana dalam Islam melarang umatnya membuat sesuatu yang melukakan hati orang lain.

No comments: