03 February 2011

Kuih bakul, kuih kapit dan Gong Xi Fa Cai

Saya dibesarkan di Batu 10, Lekir, Sitiawan, Perak. Orang Perak panggil Lekir - Lekio. Negeri Perak ialah negeri yang teramai penduduknya di Malaysia malah di dunia kerana penduduk tinggal di dinding dan dalam parit, ini lawak biasa kita tahu, sebab dinding bermakna daerah Dinding yang telah bertukar nama ke Manjong dan Parit ialah nama sebuah pekan yang terletak di tepi Sungai Perak dan yang terkenal dengan jambatan Bailey iaitu jambatan besi buatan tentera. Durian terbaik pada masa itu datangnya dari Parit dan kampung berdekatan iaitu Bota Kiri dan Bota Kanan.

Orang Parit mempunyai trade mark sendiri dan menjadi lelucuan iaitu "bio pape ase begaye" dan saya mempunyai saudara dari Parit.  Orang Batu 10 Lekio dan kampung berdekatan Sg. Tiram kebanyakannya orang Banjar, kebetulannya ayah saya juga keturunan Banjar dan sebelah emak saya keturunan Lubis/Nasution.

Di Batu 10, ada 2 keluarga Cina yang rapat dengan saya iaitu Kim Sooi dan Teck Heng. Kedua mereka membuka kedai runcit bersebelahan dan rumah kami adalah berdekatan. Setiap tahun sebelum perayaan Tahun Baru Cina, saya akan terhidu manisnya kuih kapit yang di bakar dengan sabut kelapa oleh isteri Kim Sooi dan saya menunggu seperti biasa mereka memberi kuih kapit dan kuih bakul kepada kami.

Kuih kapit isteri  Kim Sooi nipis, ranggup dan manis. Cair di mulut. Tak puas bila makan, kuih habis rasa nak minta lagi tapi malu. Jadi buat-buat tebal muka menzairah rumah Kim Sooi jumpa Ah Cheng teman rapat saya dan pekena kuih kapit. Biasalah sebab saya satu-satunya budak Pekak di kampong Batu 10. Glamour sikit.

Kuih bakul dulu-dulu berbeza dengan sekarang, biasanya isteri Kim Sooi berikan kami dalam kedaan panas-panas sebab baru di masak. Kalau tak sabar makan, habis jari dan pisau melekat kuih bakul, jadi kita jemur sehari dulu supaya keras sikit.

Kuih bakul boleh dimakan terus atau di potong bentuk kiub dan di masukkan ke dalam bubur iaitu paling saya sukai bubur cha cha, juga boleh di goreng seperti goreng pisang.

Sekarang semuanya menjadi kenangan dan sukar di cari ganti.....



Selamat Tahun Baru Cina - Kong Si Fat Choy - Gong Xi Fa Cai

No comments: