29 October 2010

Masih ada diskriminasi?

Bendahari MFD telah forwardkan saya berita akhbar tempatan mengenai seorang Pekak tak pulang rumah kerana kecewa tidak dapat lesen memandu (klik di sini) .

Sukar sungguh kita orang Pekak mahu meneruskan kehidupan. Akademik kita gagal, kerja setakat kilang. Kilang jauh dari rumah kena naik basikal atau bas loncat-loncat (tukar tukar bas). Hujan panas berembun, kalau sampai lambat kena pecat. Balik malam buta buat OT sebab duit tak cukup, dalam gelap gulita kena patuk ular, rompak atau ragut atau kena langgar kereta.

Oleh itu nak pergi kerja naik motorsikal supaya dapat bantu naikkan produkitivi tempat kerja dan juga dapat elaun OT lebih untuk ibubapa atau anak beranak. Tapi lesen memandu punya hal, suruh pi jumpa doktor periksa telinga kena minta cuti dan potong gaji. Kena keluar duit bayar tambang pi hospital jauh dari rumah, hari ini tempah tarikh bulan depan buat ujian. Tunjuk kad OKU kepada JPJ pun tak laku, buang karan saja JKMM buat kad OKU.

Lepas itu pi kursus memandu 6 jam wajib tapi tanpa jurubahasa isyarat, apa boleh masuk otak? Panggil jurubahasa isyarat pun kena selok kocek sendiri untuk bayar upah kerana kursus hujung minggu.

Duduk ujian undang-undang gagal 5 kali atau 10 kali, depan komputer pun tak erti, siapa peduli. JPJ tetap masuk duit penalti. Tapi orang tua dan orang asli dapat lesen sebab JPJ buat khas, siapa tak sakit hati?

Last-last bawa motorsikal tanpa lesen sebab mahu hidup untuk makan dan makan untuk hidup, bukan merempit. Bila polis atau JPJ tahan terus jadi perit.... huhuhuhu....

Oh Malaysia ku.....

27 October 2010

Cerita Survival Hidup Orang Pekak

Kelmarin saya singgah bersarapan di MacDonald selepas membeli tiket penerbangan ke luar negara bulan depan. Saya terjumpa rakan Pekak lama sejak kami menyertai Kelab Pekak di YMCA pada tahun 80an. Sambil bekerja beliau berbual dengan saya mengenai banyak perkara.

Rakan saya yang memasuki umur 50an dan sudah 8 tahun bekerja di MacDonald, sebelum itu dia bekerja sebagai data entry clerk lebih 20 tahun iaitu kerja yang baik, gaji yang memuaskan serta suasana tempat kerja yang lebih selesa. Namun kegawatan ekonomi dunia telah menyebabkan syarikat tempat kerja ditutup dan dia hilang mata pencarian.

Suami rakan saya itu bekerja kilang dan mempunyai tanggungjawab untuk membiayai kos pendidikan anak tunggal mereka. Mereka pernah menghantar anak mereka belajar di UK dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat tinggi di dalam negara.

Mereka menyewa rumah kerana rumah yang mereka beli itu masih belum siap kerana projek terbengkalai, namun mereka terpaksa membayar pinjaman bank setiap bulan.

Rakan Pekak saya tidak memilih pekerjaan kerana dia tahu tahap pendidikan dan juga sudah berumur. Beliau mengambil keputusan bekerja di MacDonald untuk mendapatkan rezeki bagi membantu suami membiayai kos pembelajaran anak mereka.

Beliau tidak kesal kerana bekerja di MacDonald yang mana kerja tersebut berkaitan dengan penyajian makanan, membersih termasuk membersih tandas dan melayan pelanggan berbanding dengan kerja lama sebagai data entry clerk. Rakan saya itu adalah dalam kategori yang tahu bersyukur.

Beliau juga menceritakan pengalamannya memerhati generasi muda Pekak sekarang, menurut beliau generasi sekarang tidak tetap pendirian, tidak serius bekerja, suka ponteng kerja dan mengambil MC, bergaduh dan juga suka lompat kerja. Walau pun rakan Pekak saya hanya berpendidikan setakat LCE, dia dengan secara sinis berkata generasi muda sekarang adalah rendah pelajarannya kerana melihat cara berfikir walaupun mereka itu berpelajaran tinggi.

19 October 2010

Bajet 2011 : Dana Pencen Swasta

Saya amat menyambut baik akan pengumuman YAB Perdana Menteri Malaysia juga Menteri Kewangan mengenai pelaksanaan Dana Pencen Swasta pada tahun depan dalam usaha menjaga kebajikan rakyat seiring mencapai ekonomi berpendapatan tinggi. Dana itu akan memberi manfaat kepada pekerja sektor swasta dan mereka yang bekerja sendiri.

Pada masa ini, jumlah orang Pekak yang bekerja dengan kerajaan dan akan menikmati pencen selepas bersara nanti adalah tidak ramai. Majoriti orang Pekak terpaksa bekerja di bahagian swasta kerana tidak mempunyai kelulusan akademik yang ditetapkan oleh SPA/JPA.

Kumpulan ini belum di ketahui apakah cabaran hidup mereka selepas bersara wajib dan apakah pengalaman hidup mereka tanpa wang pencen. Orang bukan Pekak selepas pencen boleh meneruskan hidup dengan bekerja sebagai pegawai keselamatan, berniaga dan sebagainya tetapi bagaimana orang Pekak pula? Orang Pekak memang tak boleh kerja sebagai pengawal keselamatan.

Saya ada berjumpa dengan beberapa orang kawan Pekak yang tidak bekerja kerana sudah tua. Semasa muda mereka bekerja sebagai buruh binaan kerana tidak ada kelulusan akademik dan mendapat gaji mengikut hari, kawan saya itu menjual minyak urut dan mengambil upah mengurut orang untuk mencari sesuap nasi. Juga ada yang terpaksa mencari besi buruk atau barang lusuh untuk di jual.

Ada juga orang Pekak telah menghabiskan wang KWSP dengan membeli rumah, kereta atau barang yang mewah kerana tidak pernah memegang wang yang banyak seumur hidup. Mereka ini juga tidak menerima konsultasi mengenai penjimatan wang KWSP.

Oleh itu pengumuman YAB Perdana Menteri adalah sangat di alu-alukan, masa adalah belum terlambat untuk berbuat sesuatu.

Harap mereka yang bekerja di kerajaan sana, jangan lupa pekerja swasta kerana kerajaan mengambil cukai dari syarikat atau gaji dari pihak swasta untuk membayar gaji, elaun, pencen pekerja kerajaan dan pembangunan negara.

Jangan lupa rumah yang kita tinggal dengan selesa sekarang dan jalan yang kita lalui sama ada dengan motorsikal atau kereta adalah hasil penat lelah pekerja swasta yang sanggup berhujan panas.

Oleh itu sudah sampai masa rakyat pekerja swasta mendapat perhatian yang setimpalnya.

11 October 2010

Memartabatkan Bahasa Isyarat - Satu Kejayaan

Saya pernah menulis mengenai memartabatkan bahasa isyarat di blog saya pada 6hb April 2010 (klik di sini) dan berkongsi maklumat mengenai ICED - Inernational Conference on Education for the Deaf yang akan berlangsung di Vancouver, Canada.

Untuk pengetahuan semua, pada tahun 1880 persidangan antarabangsa telah berlangsung di Milan Itali untuk membincangkan pendidikan untuk orang pekak.

Persidangan tersebut telah meluluskan resolusi yang menjejaskan pendidikan dan kehidupan orang pekak di seluruh dunia. Diantara Resolisi tersebut ialah :

- Membuang (remove) penggunaan bahasa isyarat daripada program pendidikan di seluruh dunia.
- Mengeluarkan orang pekak dalam melibatkan diri membuat polisi, perancangan
- Mencegah orang pekak dari melibatkan diri dalam membuat keputusan peringkat kerajaan, menyekat peluang pendidikan dan pekerjaan.

Hasil dari ICED berlangsung pada 18 - 22hb Julai 2010 iaitu selepas 130 tahun peristiwa hitam di Milan, akhirnya pada pendidik dan ahli akademik seluruh dunia bersetuju dengan penggunaan bahasa isyarat dalam pendidikan orang Pekak dan berasa kesal serta menolak resolusi Milan tersebut. Sejarah hitam tersebut perlu diingati dan dijadikan iktibar kepada semua serta menwajibkan semua program pendidikan menerima dan menghormati semua bentuk bahasa dan komunikasi. Baca di sini - sila klik.

Informasi resolusi tersebut dalam isyarat antarabangsa (bukan bahasa isyarat antarabangsa) juga boleh di dapati dari Vimeo (klik di sini)

Harap semua pejuang bahasa isyarat, para pembuat polisi dan sesiapa yang melibatkan diri dalam dunia Pekak, sila meneliti informasi tersebut dan jadikan rujukan perjuangan anda.

09 October 2010

UPSR kekal, PMR diganti penilaian sekolah mulai 2016: Muhyiddin


Tadi saya terbaca berita mutakhir di Berita Harian Online berkaitan dengan tajuk di atas. UPSR kekal dengan penambahbaikan (sila klik di sini).

Terima kasih kepada semua guru yang terlibat kerana memberikan input yang amat berharga. Pandangan mereka telah saya sampaikan di rundingan meja bulat yang mana saya telah diundang dan di berikan peluang untuk bercakap. Saya telah mengambil kesempatan berucap di peristiwa yang bersejarah tersebut menggunakan BIM dengan terjemahan suara oleh jurubahasa.

Yang paling membanggakan di hari yang bersejarah itu ialah tahap kesedaran tinggi MOE akan keperluan orang wakil Pekak, mereka memberikan penghormatan dan mengaturkan tempat duduk saya berdepan dengan tempat duduk jurubahasa isyarat.

Rundingan meja bulat tersebut di pengerusikan oleh Tan Sri Alimuddin, turut hadir ialah Tokoh Pendidikan iaitu Tan Sri Arshat, VC UiTM, tokoh akademik, ahli politik YB Tony Phua, pemimpin belia dan sebagainya.

08 October 2010

Kearah Transformasi Pendidikan Untuk Pelajar Pekak

Bulan lepas saya telah menghadiri 3 mesyuarat penting peringkat kementerian berkaitan dengan transformasi pendidikan untuk orang Pekak.

Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) telah setuju membuang perkataan CALON KHAS pada sijil peperiksaan awam kerana terdapatnya calon OKU termasuk Pekak telah membuktikan mampu memperolehi keputusan yang terbaik. Perkataan CALON KHAS tersebut membawa kesan yang negatif kerana akan menyukarkan OKU mendapat tempat dalam pendidikan tinggi dan pekerjaan.

Saya telah menyokong keputusan LPM tersebut tetapi menekankan supaya calon Pekak wajib menduduki UJIAN LISAN melalui penggunaan bahasa isyarat tak kira KTBM atau BIM. Ini adalah kerana salah satu syarat untuk bekerja di jabatan kerajaan memerlukan lulus UJIAN LISAN dan sekiranya calon Pekak di kecualikan dari mengambil UJIAN LISAN akan menyukarkan peluang tersebut.

BIM telah diluluskan penggunaannya di sekolah-sekolah kerajaan, BIM di gunakan untuk semua subjek kecuali Bahasa Melayu dan Kod Tangan Bahasa Melayu (KTBM) masih digunakan untuk mengajar Bahasa Melayu.

BIK - Bahasa Isyarat Komunikasi iaitu subjek baru berkaitan dengan membimbing kemahiran komunikasi pelajar pekak akan di perkenalkan pada tahun 2011. BIK adalah campuran 2 isyarat iaitu BIM dan KTBM. Cara perlaksanaannya adalah belum di ketahui.

Walaupun masih belum jelas dengan BIK kerana tidak ada di mana-mana dunia dan rujukan namun saya memberikan sokongan kepada BIK kerana akan membantu peningkatan kemahiran pelajar pekak dalam komunikasi dan berinteraksi kerana pada masa ini cara komunikasi orang Pekak adalah tidak memuaskan.

Saya juga berharap BIK akan digunakan di UJIAN LISAN peringkat peperiksaan awam kerana UJIAN LISAN tersebut akan menggalakkan calon Pekak untuk berusaha lebih bagi mempertingkatkan kemahiran komunikasi, kefahaman dan pengetahuan am mereka.

Saya juga telah hadir ke roundtable meeting di PICC (Putrajaya) yang di pengerusikan oleh YB Tan Sri Ketua Pengarah. Mesyuarat tersebut berkaitan dengan pemansuhan UPSR/PMR. Saya telah mendapatkan input daripada guru sekolah Pekak terlebih dahulu dan menyampaikannya di mesyuarat tersebut.

Majoriti guru memberikan pandangan UPSR tidak perlu dimansuhkan kerana ianya adalah kayu pengukur dan sasaran pelajar dan guru di sekolah Pekak. Waimana UPSR perlu di buat dengan cara baru dan kajian perlu di buat.

Saya juga telah menambah supaya guru yang mengajar di sekolah Pekak perlu mempunyai kelulusan dalam menguasai bahasa isyarat bukan sahaja ijazah pendidikan khas seperti mana syarat mengajar di Australia, New Zealand, USA dan sebagainya.

Transformasi pendidikan tersebut adalah sangat di alukan, apabila pihak BPK menyebut BIM secara tidak langsung akan mengaitkan MFD. Untuk merealisasikan penggunaan BIM di sekolah seperti yang di persetujui, guru di sekolah Pekak perlu menguasai kemahiran BIM terlebih dahulu. Buat masa ini saya tidak tahu samaada pihak berkenaan telah atau merancang melatih guru kepada penguasaan BIM. Oleh itu MFD adalah sumber yang bertepatan dalam membantu guru menguasai BIM.