30 July 2010

AGM KLSD dan isu keluar daripada gabungan MSFD

Sementara menunggu keputusan pemilihan EXCO KLSD 2010 – 2012 di Mesyuarat Agung Dwi Tahunan ke 14 KLSD baru-baru ini, Encik Azhar Timbalan Presiden KLSD telah mengumumkan mengenai keputusan KLSD keluar daripada gabungan MSFD. Berita itu adalah tidak mengejutkan dan diterima oleh ahli yang hadir.

Mengikut sejarah, KLSD semasa di pimpin oleh saya telah memainkan peranaan penting dalam pembangunan sukan orang Pekak di Malaysia. Melalui KLSD, Malaysia menjadi ahli gabungan CISS kerana tiada persatuan sukan kebangsaan orang pekak pada masa itu. KLSD juga berjaya membuka peluang kepada orang Pekak menyertai kejohanan peringkat antarabangsa yang mana buat pertama kalinya telah menghantar pasukan badminton ke World Deaf Games di Sofia, Bulgaria pada tahun 1993.

KLSD juga wajar dikenang kerana membawa pembaharuan kepada program sukan dan pembangunan orang pekak di rantau Asia dan Pasifik. Mengikut tradisinya Asia Pacific Games for the Deaf (APDG) dan Mesyuarat Perwakilan WFD RSA/P diadakan di negara yang sama dan masa yang sama.

Melalui pengalaman saya semasa menyertai aktiviti di Seoul, Korea pada tahun 1992; mesyuarat perwakilan WFD RSA/P tidak mendapat sambutan kerana semua orang tertumpu kepada sukan APGD.

Oleh itu pada tahun 1996 Malaysia menjadi tuan rumah kepada kejohanan 5th APGD; KLSD sebagai penganjur telah membuat keputusan yang drastik dengan mengasingkan 2 program tersebut. Hasilnya sekarang dua aktiviti besar untuk orang Pekak Asia dan Pasifik dapat di uruskan dengan baik serta mendapat penyertaan yang amat menggalakkan.

Memandangkan keperluan sebuah persatuan sukan kebangsaan yang mewakili Malaysia ke CISS (sekarang ICSD), KLSD telah menggerakkan usaha menubuhkan persatuan negeri untuk memenuhi syarat ROS. Berkat usaha dan sokongan KLSD pada 1997 MSFD dan MFD dilahirkan dengan 8 ahli gabungan persatuan negeri.

Oleh itu keluar daripada gabungan MSFD yang mana KLSD telah usahakan adalah satu keputusan yang amat berat dan mengambil masa. Sebab utama keluar dari MSFD adalah MSFD gagal dalam banyak perkara dalam pembangunan sukan dan menjaga kebajikan persatuan gabungan yang merupakan tulang belakang MSFD.

Walaupun KLSD mempunyai 4 perwaklian dalam MSFD bagi sessi 1998 - 2010 iaitu Encik Lim Anuar selaku Setiausaha Agung MSFD, Encik Tan Kim Huat, Bendahari, serta 2 orang JK iaitu Puan Kala dan Encik Hisham Khailani; namun masih gagal untuk mempengaruhi keputusan.

Akhirnya, EXCO KLSD melalui mesyuarat rasmi mereka telah membuat keputusan untuk keluar dari gabungan MSFD hasil persepakatan dengan persatuan yang lain selepas mesyuarat Ahli Majlis MFD di Pulau Pinang baru-baru ini.

Surat KLSD menerangkan sebab-sebab keluar dari gabungan telah dihantar kepada MSFD tetapi sehingga Mesyuarat Agung KLSD ke 14 ini tiada jawapan rasmi daripada MSFD; kecuali ringkasan keputusan mesyuarat Khas MSFD yang boleh di baca dalam blog Amir Hamidi Abdul Manan mantan SUA MSFD yang masih aktif membantu MSFD.

Encik Tan Kim Huat, Bendahari MSFD juga ahli KLSD telah dijemput untuk berkongsi informasi mengenai perkara yang berlaku kepada MSFD sehingga KLSD membuat keputusan keluar dari gabungan. Diantara soalan yang dikemukakan oleh ahli KLSD ialah :

1. janji MSFD akan memberikan bantuan sebanyak RM 2,000 kepada AGnya sebagai bantuan menyertai Sukan Orang Pekak Malaysia di Terengganu.
2. ketiadaan laporan SKOP di Pulau Langkawi, Ipoh dan Terengganu.
3. Pertukaran nama SKOP kepada SOPMA tanpa merujuk KLSD

Saya juga telah terlibat dengan sesi soal jawab tersebut, diantara soalan saya ialah apakah punca MSFD yang dibangunkan bersama telah bergolak dan menghadapi masalah.

Encik Kim Huat mempersalahkan kes pecah amanah yang berlaku menjadi penyebab yang membuat MSFD menghadapi maslah yang kronik. Ianya telah membuka kelemahan pengurusan MSFD, kes tersebut tidak akan berlaku sekiranya EXCO MSFD menjaga MSFD dengan baik dan tidak membuat keputusan yang silap sehingga MSFD menghadapi masalah yang amat berat.

Berkaitan dengan nama SOPMA, Encik Kim Huat menerangkan EXCO MSFD akur bahawa pertukaran tersebut adalah menyalahi peraturan kerana tidak dibawa ke Mesyuarat Agung MSFD. Oleh itu nama SKOP adalah masih sah digunakan. Apa bentuk tindakan yang akan dibuat oleh MSFD adalah masih kabur kerana tiada kata putus akan mengadakan AGMnya pada tahun ini kerana masalah laporan kewangan.

Soalan mengapa SKOP tidak di adakan setiap 2 tahun juga tidak terjawab kerana melalui blog Amir Hamidi yang merupakan sebagai ‘jurucakap’ MSFD ada mengumumkan penundaan SKOP di Melaka ke tahun 2011 bukannya tahun 2010 yang mengikut jadual.

Kegagalan EXCO MSFD menguruskan MSFD dengan baik telah membawa kepada keruntuhan organisasi sukan terbesar di negara ini. Ketiadaan pemimpin yang berwibawa bukan alasan kerana MSFD mempunyai calang-calang pemimpin seperti Kamarzaman Harun seorang usahawab selaku Presiden MSFD merupakan orang berpengalaman yang pernah menjadi Pengerusi International Conference on Bilingualism on Deaf Education di PWTC pada tahun 1996, Pengerusi AP Deaf Youth Camp 1999, Pengurus Kontinjen Pasukan Malaysia ke Deaflympic Rome; juga Lim Anuar Pengarah Seni LUCT, juga dibantu oleh Amir Hamidi yang merupakan pemegang sarjana MA.

Apakah berlaku kepada MSFD? Mana salah silapnya?

Sesi soal jawab terpaksa di tamatkan kerana diminta oleh majoriti ahli KLSD yang tak mahu perdebatan yang panjang. Saya mengambil kesempatan dengan memberikan pesanan terakhir iaitu pemimpin sukan orang Pekak perlu lebih pro aktif; mereka perlu turun ke akar umbi dan menubuhkan persatuan sukan peringkat negeri sehingga tertubuhnya organisasi sukan peringkat kebangsaan di bawah PJS. Perkara ini pernah saya lakukan pada tahun 90an.

No comments: