15 June 2010

Kerajaan mahu laksana Dasar Bahasa Ibunda Pelajar di semua sekolah kebangsaan

Saya terbaca laporan terkini akhbar Berita Harian hari ini bertajuk Kerajaan mahu laksana Dasar Bahasa Ibunda Pelajar di semua sekolah kebangsaan, ini merupakan satu berita baik bagi orang Pekak. Bahasa ibunda orang pekak ialah bahasa non verbal iaitu bahasa isyarat.

Bagi orang Pekak di negara ini, kita tidak perlu bimbang kerana BIM telah diiktiraf sebagai bahasa rasmi orang Pekak dalam Akta OKU 2008. Oleh itu menjadikan bahasa ibunda orang pekak sebagai salah satu mata pelajaran di sekolah-sekolah adalah tepat dan sangat di sokong. Mempelajari BIM akan memberi peluang kepada orang Pekak menguasai bahasa ibundanya kerana dengan mempunyai bahasa ibunda akan memboleh orang Pekak menguasai bahasa kedua iaitu Bahasa Melayu, bahasa ketiga iaitu English dan sebagainya.

BIK (bahasa isyarat komunikasi yang menggunakan KTBM dan BIM) akan dijadikan sebagai mata pelajaran di sekolah-sekolah khas pada tahun 2011.

Persoalannya sekarang ialah, pengumuman Menteri Pelajaran juga Timbalan Perdana Menteri Malaysia adalah tidak selari dengan keputusan BPK berkaitan dengan BIK yang sangat jelas bukannya bahasa ibunda orang Pekak.

2 comments:

Unknown said...

Memerlukan guru-guru berpengalaman dalam bahasa inggeris melalui BIM untuk mengajar pelajar-pelajar pekak dan bisu.. Sekarang ada kelemahan pelajar-pelajar terutama bahasa inggeris.

Teh's said...

Saya ingin memberikan sedikit penjelasan tentang BIK - bahasa isyarat komunikasi.

BIK dirancangkan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) atas kesedaran bahawa KTBM kurang berkesan dalam komunikasi. Sebenarnya, pandangan yang dikemukakan Tuan Presiden MFD, Mohd. Sazali selama ini dijadikan pertimbangan utama. Justeru itu, bahasa isyarat yang digunakan itu menekankan keberkesanan dalam komunikasi - iaitu maksud dapat disampaikan dengan berkesan. BIK yang digunakan dalam sekolah terutamanya berdasarkan BIM, sesetengah isyarat tangan dalam KTBM juga digunapakai kerana isyarat itu sama dalam BIM dan KTBM.

Dalam perancangan pengajaran bahasa isyarat sebagai satu mata pelajaran, BIM yang bagaimana hendak diikuti merupakan persoalan penting. Seperti dapat kita perhatikan, BIM yang digunakan oleh orang pekak yang berpelajaran seperti Sazali dan Amir berlainan dengan BIM yang digunakan oleh kebanyakan orang pekak yang tidak berpendidikan (perbezaannya khususnya dari segi sistem bahasa). Dalam sekolah juga, dapat kita perhatikan bahawa murid-murid bijak (dalam pelajaran) kurang faham akan isyarat tangan murid-murid di kelas belakang. Ini kerana bahasa isyarat yang digunakan oleh mereka berbeza. (bukankah mereka juga menggunakan BIM?)

Dalam pengajaran di sekolah, bahasa isyarat yang diajar diharapkan mempunyai sistem tertentu supaya lebih berstandard dan dapat digunakan dalam penyampaian ilmu. Bahasa isyarat yang berstandard itu, diharapkan menyerupai BIM yang digunakan oleh Mohd. Sazali dan JBI terlatih dalam pelbagai aktiviti formal. Bahasa isyarat ini dinamakan sebagai BIK dengan tujuan menekankan keberkesanan dalam komunikasi dan ini berbeza dengan KTBM yang langsung tidak mengambil peduli aspek keberkesanan komunikasi. Sebaliknya, hanya menekankan ketepatan dalam pengujaran bahasa Melayu.

Saya dapati BPK memang bersungguh-sungguh hendak menjadikan bahasa isyarat sebagai satu mata pelajaran supaya dapat membantu meningkatkan pencapaian murid pekak. - ini juga hasil daripada perjuangan Tuan Presiden MFD selama ini. Justeru itu, saya cadang supaya MFD tidak berpandangan negatif. Sebaliknya, cuba membantu.

Sesungguhnya, MFD dapat membekalkan banyak bantuan dalam pengajaran bahasa isyarat yang berstandard (BIM atau BIK - kalau Sazali tak suka nama BIK, namakan BIM sajalah).

Sebagai contoh, saya pernah lihat rakaman contoh penggunaan BIM di PUSKOM. Rakaman video itu memberikan penerangan tentang gaya hidup sihat. Pengisyarat memberikan penerangan dalam BIM dengan penuh bergaya. Pada pendapat saya, itulah contoh BIM berstandard (atau BIK)yang baik. Saya cuba minta menyalin contoh itu supaya dapat diperlihatkan kepada guru dan pelajar yang lain. Walau bagaimanapun, pegawai PUSKOM memberitahu saya bahawa pihak MFD dah mengambil balik CD itu.(mungkin hak cipta dipelihara dan tidak dibenarkan disalin?)

Sesungguhnya, dalam melaksanakan bahasa isyarat sebagai suatu mata pelajaran, pihak BPK, BPKhas dan sekolah amat memerlukan bahan-bahan contoh yang sesuai. Rakaman video yang disebutkan di atas merupakan salah satu contoh yang baik untuk mempelajari bahasa isyarat kerana video itu juga memperlihatkan BIM digunakan dalam penyampaian ilmu.

Saya cadang supaya pihak MFD merakam video-video contoh dalam pelbagai bidang ilmu untuk disebarluas ke semua sekolah.

Apabila pihak BPK, BPKhas dan guru-guru sekolah dapat melihat lebih banyak contoh dan biasanya isyarat yang digunakan, tentu bentuk bahasa isyarat ini dapat digunapakai dan disebarluas. Ini lebih baik daripada hanya menuduh-nuduh BIK itu bukan bahasa isyarat.

BPK, BPKhas dan guru-guru sekolah sanggup menerima BIM tetapi MFD perlu jelaskan apakah BIM yang hendak diajar - khususnya dari segi sistem bahasa isyarat itu. (Memang MFD telah menerbitkan beberapa buku BIM, tetapi buku-buku itu cuma memperlihatkan isyarat-isyarat tangan dari segi kosa kata dan tidak memperlihatkan sistem bahasa)