29 December 2009

Sampai bila nasib kita terbela?

Mesyuarat Ahli Majlis OKU pada 21hb Disember 2009 yang lalu yang di pengerusikan oleh YB Datuk Seri Senator Shahrizat Abdul Jalil merupakan mesyuarat penutup bagi tahun 2009.

Mesyuarat kali ini saya ingin mendengar keputusan berkaitan dengan status BIM dari wakil KPM berkaitan dengan penggunaan BIM di sekolah-sekolah selari dengan Akta OKU 2008 yang dibangkitkan.

Malang sekali tiada pegawai atasan mewakil KPM kerana bercuti pada hari yang sama. Saya sedih kerana tidak dapat membahaskan isu tersebut kerana pegawai yang mewakili BPK merupakan pegawai picisan yang tidak tahu apa-apa berkaitan dengan isu tersebut.

Dalam hati saya berkata, mereka tidak serius dan tidak mengambil berat walhal sudah maklum bahawa mesyuarat tersebut diadakan. YB Menteri juga terkilan kerana ada agensi kerajaan memperlekehkan mesyuarat Ahli Majlis OKU kerana menghantar orang yang salah. Hal tersebut mendedahkan sikap sebenar pegawai BPK yang memandang remeh dengan mesyuarat Ahli Majlis OKU dan usaha-usaha untuk mempertingkatkan pendidikan bagi OKU.

Benarkah?

Para pegawai akan dengan gahnya mengumumkan bahawa mereka pakar dalam bidang orang Pekak dan idea mereka semua mesti betul, tetapi mereka memejamkan mata dan memekakkan telinga apabila setiap tahun keputusan peperiksaan awam pelajar pekak adalah amat mendukacitakan. Juga pelajar pekak tak tau membaca dan menulis pun tiada usaha untuk dibuat.

Mereka juga dengan tidak segan silu memberitahu BMKT/KTBM adalah kaedah sesuai untuk P&P di sekolah kerana bimbang penggunaan BIM akan menyebabkan pelajar menulis BM dengan lintang pukang tetapi sampai hari ini berapa ramai orang Pekak boleh menulis dengan teratur menggunakan kaedah BMKT/KTBM?

Adanya juga mereka menabik dada sebagai pakar BMKT/KTBM tetapi apabila di cabar menggunakan BMKT dalam mesyuarat mereka menikus.

Apa perlu bimbang atau malu kalau pelajar Pekak jadi bodoh atau tak tahu menulis serta membaca, kerana gaji tetap jalan dan semoga Allah halalkan rezeki.

Namun ada juga sekerat dua guru yang dedikasi membimbing pelajar Pekak dan pihak MFD amat menghargainya. Juga ada juga guru yang mahir dalam pendidikan Pekak di campak ke pendidikan buta atau bermasalah pelajaran. Terdapatnya guru lulusan universiti yang tiada kemahiran berBMKT/KTBM di tempatkan sekolah pekak dan belajar berisyarat dari Pelajar Pekak. Siapa guru, dia atau orang Pekak? Sistem pendidikan bagi pelajar pekak bagai caca marba?

Sikap mereka tak mahu hadir ke mesyuarat Ahli Majlis, tak ubah macam Ahli Parlimen BN yang tak mengambil berat akan saat genting meluluskan Bajet 2010 yang hampir menumbangkan Kerajaan BN.

YAB DSNajib mencadangkan KPI, kita sebagai NGO Pekak memang boleh menghantar aduan, memorandum, surat dan sebagainya kepada YB Menteri tetapi apakah YB Menteri akan di lucut jawatannya, pegawai yang tidak membuat kerja dengan baik akan di ambil tindakan?

Mengapa saya bising dalam hal ini? Jawapannya ialah pendidikan merupakan kunci utama pembangunan sosio-ekonomi orang Pekak. Berjayanya orang Pekak dalam pendidikan akan berjaya dalam kerjaya dan kehidupan. Negara kita memerlukan rakyat yang berilmu untuk bersama-sama membangunkan negara, kita orang Pekak juga tidak berkecuali.

Sampai bila nasib kita terbela?

28 December 2009

Mengapa mesti memperbodohkan orang Pekak?

Saya terbaca tulisan mengenai kata-kata Presiden (Amerika Syarikat), Abraham Lincoln, “Kamu boleh memperbodohkan orang sesekali sahaja, tetapi kamu tidak boleh memperbodohkan orang sepanjang masa." Lalu saya mengajak semua orang berfikir....

Apakah anda semua tahu setiap tahun majoriti pelajar Pekak gagal dalam akademik, gagal dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM serta tidak tahu membaca dan menulis?

Apakah anda tahu apabila orang Pekak gagal dalam peperiksaan telah menyusahkan mereka untuk mendapat pekerjaan yang lebih baik bagi mendapatkan kehidupan yang selesa?

Apakah anda tahu apabila orang pekak tidak pandai membaca dan menulis akan menyukarkan membantu anak mereka yang bukan Pekak dalam pelajaran, kerja-kerja sekolah, pendidikan agama?

Apakah anda tahu apabila orang Pekak yang rendah pendidikannya akan senang menjadi mangsa penipuan, diperbodohkan dan di pergunakan oleh orang lain untuk kepentingan sendiri?

Akibat ilmu pengetahuan tidak sampai kepada orang Pekak dan orang Pekak lambat untuk menilaikan baik buruknya sesuatu.

Mereka menjadi bodoh walau pun mereka bukan dilahirkan untuk menjadi bodoh.

Orang yang menjadi penyebab orang Pekak menjadi bodoh bukan orang yang pandai.

Orang yang mengambil kesempatan akan kebodohan orang Pekak adalah bukan orang yang bijak.

Anda boleh memperbodohkan mereka hari ini tetapi esok anda akan menerima akibatnya.

Untuk sesiapa yang berkenaan,ibubapa, keluarga, guru, para pemimpin marilah kita menghayati kata-kata tersebut. Kita hendaklah mempunyai niat yang jujur. Orang Pekak di negara kita memerlukan pembelaaan bukan di perbodohkan.

09 December 2009

Hari OKU 2009

Hari Orang Kurang Upaya di raikan seluruh dunia pada 3hb Disember setiap tahun. Sambutan tersebut bertujuan untuk mempromosikan kejayaan, kebolehan dan keperluan OKU.

Tahun ini sambutan Hari OKU di adakan pada 5hb Disember 2009 bertempat di Kompleks MAB, Brickfields, Kuala Lumpur. YB Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Menteri WKPM telah hadir untuk merasmikan serta menyampaikan anugerah. Sambutan kali ini adalah berbeza kerana dibuat di yang lapang tempat berbanding dengan tahun sebelumnya di buat di tempat tertutup seperti Times Square atau PWTC.

Saya telah mendapat maklum balas dari OKU bahawa sambutan kali ini masih belum mencapai matlamatnya kerana kumpulan sasar adalah masih kepada OKU, keluarga dan pekerja berkaitan dalam perkhidmatan OKU.

Beliau mencadangkan supaya sambutan Hari OKU di buat di tempat ramai orang awam datang contohnya di KLCC kerana dengan cara ini dapat menyampaikan kesedaran berkaitan OKU kepada orang awam.

Saya masih ingat pada tahun 98 MFD telah menganjurkan Hari Orang Pekak Antarabangsa di KLCC yang di rasmikan oleh YBhg Datuk Thurai, KSU Kempadu pada masa itu. Ramai pengunjung telah melawat ke gerai MFD termasuk belajar BIM, menonton persembahan orang Pekak, face painting dan kutipan derma.

Tahun ini Hari OKU telah menyampaikan anugerah OKU Cemerlang kepada 4 kategori kecacatan iaitu Buta, Anggota, Mental dan Pendengaran. Saya amat gembira kerana cadangan saya sejak bertahun-tahun kebelakang telah berhasil kerana saya mahu semua OKU mendapat peluang yang saksama. Ini adalah kerana anugerah Tokoh OKU yang sedia ada mempunyai syarat yang ketat dan akan menyukarkan sahabat OKU daripada kategori mental memenanginya.

Anugerah OKU Cemerlang di berikan kepada pemenang bersama trofi, sijil dan wang tunai sebanyak RM 3,000. Manakala untuk Tokoh OKU menerima wang tunai RM 10,000. Saya menerima anugerah Tokoh OKU pada tahun 2002 daripada YAB Tun Abdullah Badawi, Timbalan Perdana Menteri tetapi wang tunai pada masa itu ialah RM 800 sahaja.

Dengan adanya anugerah tersebut akan menaikkan semangat OKU supaya melibatkan diri dalam kerja pembangunan komuniti OKU peringkat negeri dan antarabangsa, berjaya dalam akademik dan mempunyai pekerjaan yang baik kerana ianya merupakan syarat penting untuk menerima anugerah tersebut.

Terdapat juga anugerah Pekerja OKU Terbaik di bawah Kementerian Sumber Manusia sempena Hari Pekerja dan juga ada lagi anugerah yang dikhaskan untuk OKU berjaya dalam pendidikan, agama dan sebagainya.

Jelas sekali negara kita tidak mengabaikan OKU dan cuba berbuat terbaik untuk mempertingkatkan taraf hidup kita supaya bersama-sama membangunkan negara.

Pemenang Anugerah OKU Cemerlang kategori pendengaran tahun ini ialah Encik Razani Ramli, Presiden Persatuan Orang Pekak Kelantan juga Timbalan Presiden MFD; beliau juga tuanpunya syarikat Razani Capital iaitu syarikat pembuatan perabot yang mengajikan pekerja OKU.