06 October 2009

Mesyuarat Yang Menuju Kejayaan

Semalam saya dan Sariah Ibrahim telah mewakili MFD ke Mesyuarat Penyelarasan Perlaksanaan BIM-KTBM anjuran BPK di Putrajaya. Encik Bong selaku Pengarah BPK menjadi pengerusi mesyuarat dan dihadiri oleh 2 penceramah iaitu Cikgu Lah Pekak, Puan Sadiah Ahmad, wakil JKMM, guru-guru pakar termasuk Cikgu Teh dan juga Encik Tan Chin Guan wakil NSD yang juga pro pertuturan kiu.

Mesyuarat tersebut bertujuan untuk mendapatkan kata putus pendirian KPM terhadap BIM sebagai bahasa rasmi orang Pekak dalam Akta OKU 2008 yang saya bangkitkan dalam mesyuarat Majlis OKU yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Ini adalah kerana di sekolah menggunakan BMKT/KTBM dan tidak selari dengan kehendak Akta OKU 2008. Juga dokumen antarabangsa seperti UN Convention on the Right for Disabled Person, Salamanca Framework of Action UNESCO, BMF dan sebagainya menekankan penggunaan isyarat kebangsaan untuk pendidikan di sesebuah negera itu.

Kedua penceramah telah membentangkan kertas kerja masing-masing dan memberikan sokongan kepada BIM iaitu bahasa orang Pekak dan diikuti oleh para guru pakar iaitu Cikgu Kong, Cikgu Rahman, Cikgu Teh yang memaklumkan bahawa BIM sememangnya digunakan di sekolah-sekolah sejak lama bagi membantu P&P kerana kekurangan kosa isyarat dalam BMKT/KTBM.

Cikgu Kong juga telah memaklumkan dalam mesyuarat ini bahawa beliau telah membuat kajian mengenai BIM dan didapati BIM lebih baik berbanding BMKI/KTBM dan Cikgu Teh seorang guru pekak juga menyokong BIM dan BMKT/KTBM disatukan dan membangunkan isyarat-isyarat yang mempunyai maksud tertentu.

Mesyuarat ini telah membongkar di hadapan bos mereka bagaimana warga pendidikan khas secara tidak rasmi menggunakan BIM untuk membantu murid pekak kepada penguasaan Bahasa Melayu dan subjek lain dalam kelas walaupun mengikut dasar KPM kaedah yang digunakan untuk pendidikan khas ialah BMKT/KTBM.

Rumusan mesyuarat, ahli mesyuarat bersetuju menerima penggabungan BIM-BMKT/KTBM dan akan membentangkan kertas kerja yang lengkap berserta dokumen yang menyokong permohonan ke mesyuarat Bahagian Pengurusan yang di pengerusikan oleh Tan Sri KP KPM.

Apabila mesyuarat tersebut meluluskan permohonan kita, JK akan ditubuhkan untuk tujuan tersebut iaitu menambah, memurnikan isyarat, membangunkan modul dan sebagainya. Melibatkan orang Pekak dalam pembangunan isyarat juga diwajibkan sebab bahasa itu adalah kepunyaan mereka dan mereka mempunyai hak untuk membuat keputusan yang terbaik.

Bagi saya, mesyuarat ini adalah terbaik sekali dari siri mesyuarat-mesyuarat berkaitan dengan bahasa isyarat dan pendidikan khas dari sejak zaman Puan Hajjah Wan Khalthom, Pengarah Bahagian Sekolah sehingga sekarang. Encik Bong telah menunjukkan keprofesionalismnya dalam isu ini walaupun beliau bukan berlatarbelakang pendidikan khas.

Saya setuju dengan keputusan beliau dan seperti Cikgu Rahman, saya juga mahu keputusan mesyuarat ini di rekodkan sebab sebelumnya mesyuarat penting JPK tiada direkodkan atau menghantar minit mesyuarat kepada kami dan menyukarkan kami membuat rujukan atau susulan.

Ini merupakan langkah-langkah MFD memperjuangkan BIM; sebab BIM adalah bahasa yang yang menyatukan kita semua tanpa mengira keturunan dan agama.

No comments: