28 September 2009

Cerita Hari Raya 1.

Hari Sabtu 19hb September jam 3.00 petang saya dan keluarga bertolak menaiki kereta dari KL ke Sg. Tiang, Kedah. Sebelum itu saya sms kepada sahabat saya untuk mengetahui pergerakan trafik di PLUS dan dimaklumkan bahawa kesedakan dari Tapah ke Ipoh.

Dalam perjalanan selepas Tg. Malim, beberapa meter dihadapan saya tiba-tiba sebuah Proton Saga meluru keluar dari lorong laju masuk terus ke parit kecil dan terbalik 2 kali seperti filem Hollywood.

Saya memberhentikan kereta untuk membantu, seorang pemuda keluar terhoyong-hayang dan berdarah sedikit di hudung, dia selamat kerana beg udara dan tali keselamatan membantu. Harap semua kereta di negara ini diwajibkan mempunyai beg udara kerana ianya membantu mengurangkan kecederaan parah.

Kami meneruskan perjalanan dan berhenti di R&R Bukit Gantang untuk berbuka puasa dengan memakan buah-buahan kerana terlalu ramai orang di situ. Di Butterworth, jalan sesak dan kami mengambil jalan pintas melalui lebuhraya baru ke Sg. Dua. Berhenti makan char kuey tiau, yong tau foo, minum lin chee kang di R&R dekat Sg. Dua dan menyambungkan perjalananan.

Sebelum perjalanan seperti kebiasaan saya mengisi setengah tangki minyak (RM 55)supaya tidak terlalu berat dan memandu secara relaks iaitu dari 90 - 100 kmh. Walau pun meter jarak menunjukkan 300km tetapi masih ada minyak lagi iaitu tinggal 5% sahaja, kemudian saya keluar ke Sg. Petani (S) untuk mengisi minyak dan terus memandu ke Pendang dan sampai ke Sg. Tiang dengan selamat.

Semasa memandu dengan 3 anak bawah 11 tahun memerlukan perancangan supaya mereka tidak bosan, tidak selesa dan membuat hal. Kami sering berbicara cara memandu dengan selamat dan mengambil contoh kemalangan yang kami lihat. Juga kereta kami Honda CRV mempunyai pemain DVD dan cerita Tom and Jerry, Madagascar 2 membuat mereka tidak menjadi bosan.

Berbanding sebelum itu semasa bujang, saya balik kampung naik keretapi mel malam dan duduk atas lantai atau atas tangga. Sampai di Ipoh jam 2 pagi dan tidur di bangku yang penuh pijat di setesen semantara menunggu bas pertama ke Lumut jam 7.00 pagi di Medan Kidd.

Apabila saya berkahwin anak satu, kami pulang ke kampung menaiki bas Mara, sampai ke Alor Setar jam 4 - 5 pagi. Mau tak mahu terpaksa sambung naik teksi sapu ke Sg. Tiang habis RM 60 sekali perjalanan.

Sekarang, kemakmuran negara kita ini dapat di kongsi oleh semua termasuk OKU seperti saya. Walaupun bekerja bersama dengan NGO, namun masih dimurahkan rezeki serta dapat memberikan keselesaan kepada anak kami.

Terima kasih kerajaan Malaysia, jangan cakap saya mudah lupa.

No comments: