11 September 2009

Perkhidmatan Jurubahasa Isyarat : Dulu dan kini..

1. Orang Pekak berkomunikasi menggunakan bahasa non verbal iaitu bahasa isyarat. Bahasa Isyarat Malaysia atau nama ringkasnya BIM telah menjadi bahasa rasmi orang Pekak di negara kita seperti yang termaktub dalam Akta OKU 2008.

2. Untuk intergrasi ke dalam masyarakat kita memerlukan jambatan komunikasi iaitu jurubahasa isyarat. Fungsi jurubahasa isyarat ialah menterjemahkan apa yang di cakapkan oleh orang mendengar ke bahasa isyarat dan apabila kita menjawab dalam bahasa isyarat, jurubahasa tersebut akan menterjemah isyarat kita kepada bahasa pertuturan. Dengan cara tersebut komunikasi dua hala dapat diwujudkan.

3.Siapakah jurubahasa isyarat yang pertama di negara kita? Tiada rekod yang mengesahkan individu menjadi jurubahasa isyarat yang pertama di Malaysia. Namun kita percaya apabila adanya orang Pekak, ibubapa, keluarga atau saudara mara atau sahabat handai orang Pekak bertindak sebagai jurubahasa isyarat atu penterjemah yang tidak bertauliah bagi membantu komunikasi orang Pekak tersebut dengan masyarkat sekeliling.

4. Pada awal tahun 1960 an, Encik Tan Yap seorang ahli farmasi dari Johor melibatkan diri dalam dunia orang Pekak dan menjadi jurubahasa isyarat di mahkamah. Beliau banyak membantu program Kelab Belia Orang Pekak yang dipimpin oleh Low Poh Wing sebagai jurubahasa isyarat. Tan Yap menguasai Bahasa Isyarat Amerika atau ASL yang dipelajari dari Gallaudet University dan mendapat lesen sebagai jurubahasa isyarat daripada Registry of Interpreter for the Deaf (RID), Amerika Syarikat.

5. Pada tahun 80an, semasa saya menjadi pemimpin di Kelab Pekak Kuala Lumpur yang beroperasi di YMCA Brickfields; Eddie Yuen Tong Ming, sahabat karib saya bertindak sebagai jurubahasa isyarat dan melalui perkhidmatan beliau saya dapat merancangkan pelbagai program Kelab Pekak Kuala Lumpur seperti Perlawanan Persahabatan Malaysia-Singapura di Singapura, Kem Kepimpinan Belia Pekak di PD yang pertama dan sebagainya. Perkhidmatan jurubahasa telah memudahkan perlaksanaan program komuniti Pekak, berkomunikasi dengan pihak atasan YMCA iaitu Encik Andy Chin, Programme Executive pada masa itu bagi mendapatkan sokongan.

6. Bagi kes polis dan mahkamah yang melibatkan orang Pekak, guru sekolah khas Pekak akan dijemput oleh polis atau makhamah untuk menjadi jurubahasa isyarat sebab tiada jurubahasa isyarat bertauliah pada masa itu. Sijil perguruan dan bekerja di sekolah Pekak telah menjadi lesen untuk menjadi jurubahasa bagi kes tersebut. Namun berlakunya masalah komunikasi dengan pesalah pekak yang tidak pernah bersekolah kerana ia menggunakan isyarat yang berbeza daripada yang digunakan oleh guru di sekolah iatu BMKT/KTBM.

7. Saya pernah menjadi jurubahasa isyarat kepada pesalah pekak yang tidak pernah bersekolah di kes polis dan mahkamah, cabaran berat ialah untuk membuat pesalah pekak tersebut memahami apa yang di dakwa terhadapnya.

8. Pada masa itu, ramai yang tidak faham fungsi jurubahasa isyarat dan kepentingannya untuk orang Pekak. Tiada latihan jurubahasa isyarat di anjurkan dan badan yang mentauliahkannya. Oleh itu sesiapa sahaja yang boleh menguasai isyarat akan menjadi jurubahasa isyarat tidak rasmi bagi kes-kes tertentu yang dipohon oleh orang Pekak. Namun jumlah mereka yang mampu berisyarat dan menjadi jurubahasa adalah kurang.
Kekurangan jurubahasa isyarat juga telah memaksa orang Pekak berurus dengan masyarakat melalui tulisan, membaca gerak bibir dan mimik. Kadang-kadang salah komunikasi menyebabkan menjadi bahan ketawa, perbudakkan dan bahan simpati.

9. Saya masih ingat, semasa saya berurusan tanpa jurubahasa, saya mempergunakan kebolehan pertuturan saya dan adakalanya saya dapat membaca rautmuka orang yang saya berbincang berkerut untuk memahami ungkapan saya kerana suara saya tidak bagitu jelas.

10. Saya pernah menggunakan kaedah bertulis tetapi bukan semua menunjukkan minat untuk berurusan cara ini sebab kesibukan mereka. Bahasa badan mereka dapat saya fahami, komunikasi tulisan adalah amat terhad dan merimaskan.

11. Apabila saya menggunakan perkhidmatan jurubahasa isyarat, komunikasi kelihatan lancar kerana saya dapat mengikuti perbincangan tetapi kesukaran tetap ada iaitu apabila saya ingin mentuturkan pendapat atau maklumbalas saya.

12. Oleh itu, jurubahasa isyarat bukan hanya menterjemahkan suara kepada isyarat tetapi juga menterjemahkan isyarat ke suara. Ini memerlukan kepakaran yang tinggi.

13. Kebetulan semasa saya menerajui Kelab Pekak pada awal tahun 80an, tiada program keagamaan untuk orang Pekak beragama Islam, terdapatnya orang Pekak mengikut ajaran bukan Islam di YMCA kerana kekosongan jiwa serta sikap ingin tahu. Aura kebangkitan Islam pada masa itu mulai sampai kepada orang Pekak sehingga adanya orang Pekak mengikuti ajaran Kumpuan Al-Aqram. Mereka pula pandai menimbulkan isu halal-haram kerana saya sebagai orang Islam dipertikaikan kerana beroperasi di tempat bukan Islam iaitu YMCA.

14. Bagi mengelakkan perkara buruk berlaku, saya terjumpa Syed dan isterinya Sharifah (bukan Pekak) di program Kelab Pekak. Beliau telah mendengar isu yang saya bangkitkan dengan minat dan kemudian membawa saya berjumpa Datuk Hamid Othman dan kemudian Datuk Yusoff Noor yang merupakan Pengarah Puat Islam pada masa itu. Kesempatan tersebut saya gunakan untuk memaklumkan keperluan orang Pekak mendapatkan ajaran agama Islam dan mereka bersetuju untuk menyokong memulakan program Kelas Bimbingan tersebut.

15. Tan Lee Bee akan diingati sebagai jurubahasa isyarat di Kelas Bimbingan Agama Islam Untuk Orang Pekak yang di Pusat Islam Malaysia pada awal 80an. Walaupun Lee Bee bukan orang Islam, namun pihak kita terpaksa menerimanya sebagai jurubahasa isyarat bagi membantu ustaz menyampaikan dakwah sehingga Khairunissa Kho mengambil alih. Isu jurubahasa isyarat dan isyarat yang tak sesuai untuk agama Islam pernah menjadi isu hangat dalam akhbar dan mendapat teguran daripada DYAM Sultan Selangor.

16. Sampai sekarang program tersebut masih di laksanakan, berkembang di seluruh negara dan aktiviti bertambah termasuk adanya jurubahasa isyarat.

17. Saya telah dilantik memimpin SHIMA sekarang KLSD pada tahun 1987, saya terpaksa mendapatkan bantuan guru sekolah Selangor School for the Deaf (SSD) sebagai jurubahasa isyarat. Mereka ialah Rose Ng, Tan Lee Bee, Khairunisa Khoo dan lain-lain untuk membantu saya dalam urusan rasmi selepas waktu sekolah atau waktu mereka yang terluang. Saya tidk mahu menggunakan tenaga mereka di waktu pagi kerana tidak mahu mengganggu tugas mereka menyampai ilmu kepada kanak-kanak Pekak.

18. Semasa saya menjadi guru sandaran di SRPK Kg Baru, Kuala Lumpur, Cikgu Hafizah menjadi jurubahasa dalam program XPCD Gunung Tahan dengan kerjasama Persatuan Mendaki Malaysia pada tahun 1989. Program tersebut adalah amat berjaya tetapi selepas itu hubungan kami terputus.

19. Bagi program antarabangsa, saya dilantik menjadi wakil WFD ke mesyuarat UNESCO Rantau Asia Pasifik pada tahun 1993 di Hanoi, Vietnam dan saya membawa Lucy Lim sebagai jurubahasa. Mesyuarat peringkat antarabangsa adalah menggunakan English yang tinggi dan saya menyuruh Lucy Lim menterjemahkannya ke Bahasa Melayu tetapi tidak dapat dibuat. Lucy Lim adalah masih baru dalam bidang ini dan bekerja di Pusat Maju Diri Y setelah bekerja dengan SSD.

20. Tidak dinafikan perkhidmatan jurubahasa isyarat telah banyak membantu komuniti kita untuk mendapatkan apa yang kita mahukan serta menjadi telinga dan suara kita.
Ketiadaan latihan telah menyebabkan salahlaku etika yang mengakibatkan keresahan dan tidak puashati orang Pekak, salah faham, permusuhan dan perkara yang luar batasan. Paling menydihkan timbul pula isu “tanpa jurubahasa orang pekak tak mampu maju”
Namun orang Pekak terpaksa bersabar atau menebalkan muka kerana keperluan komunikasi adalah penting bagi mereka.

21. Dari pengalaman buruk orang Pekak itu, KLSD merintis usaha menyediakan perkhidmatan jurubahasa isyarat untuk orang Pekak secara sepenuh masa pada tahun 1996. Norijan Yahya ialah jurubahasa isyarat pertama yang diambil bekerja dengan KLSD dan diikuti oleh Hafidah Awaluddin, Wan Zuraidah dan Tan Lee Bee.

22. Perkhidmatan yang di sediakan oleh KLSD telah menjadi popular kerana tidak mengenakan bayaran iaitu dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang hari kerja. Bagi perkhidmatan yang luar masa yang ditetapkan dan tempat yang melebihi 10 km dari pejabat KLSD, klien hendaklah bertanggungjawab untuk membayar kos pengangkutan dan juga token untuk jurubahasa isyarat.

23. Pelatih baru iaitu Siti Zubaidah, Rosmadi Darus, Hisham Alwi, Lydiawati, Jo Ong , Goh Soon Leng dan berapa orang lagi yang saya lupa namanya telah diterima bagi meramaikan perkhidmatan untuk orang Pekak.

24. Ambilan jurubahasa isyarat yang ramai tersebut telah memberikan implikasi kewangan kepada organisasi kami, oleh itu kami terpaksa turun padang untuk mencari dana membayar gaji. Pelbagai cara yang kami lakukan untuk mencari dana seperti menghantar surat memohon derma dari rumah kerumah sehingga pernah di kejar anjing, mengutip derma, jualan pakaian dan barang terpakai dan sebagainya.

25. Saya pernah memohon peruntukan daripada kerajaan tetapi mereka masih kurang jelas akan keperluan ini. Juga tiada skim jurubahasa isyarat dan dasar Jabatan Kebajikan Masyarakat hanya membantu OKU dan jurubahasa isyarat bukannya OKU. Hanya dapat sedikit sahaja.

26. Maka kita terpaksa berusaha sendiri, kita ke sana ke mari dan turun naik mencari sokongan dan bantuan. Kita terus mempromosikan jurubahasa isyarat dan menceritakan kesedihan komuniti kita tanpa komunikasi. Kita adakalanya terpaksa “main kotor” dengan menimbukan dasar-dasar kerajaan yang sedia ada yang tidak sampai kepada komuniti kita.

27. Alhamdulilah, perjuangan ikhlas kita berjaya juga akhirnya. Kita sekarang sudah mempunyai jurubahasa isyarat yang terlatih dan beretika, latihan sudah sampai peringkat diploma di sebuah universiti, IPTA di negara kita sudah mempunyai ‘in-house’ jurubahasa isyarat, hampir seluruh negara sudah mempunyai perkhidmatan tersebut. Walau masih banyak perkara yang perlu di bereskan seperti menubuhkan badan pentauliahan yang akan membuat penilaian atau pentaksiran kemahiran jurubahasa isyarat kita dan sebagainya, namun saya percaya menjelang 2020 komunikasi tanpa halangan akan menjadi kenyataan. Insyallah.

4 comments:

HISHAM said...

salam dato',

nak betulkan sikit. pelatih JBI nama Hisham tu bkn Hisham Alwi tapi Hisham Ellias.

Riesna Zasly said...

salam
saya ingin mengetahui tentang kursus bahasa isyarat untuk org pekak di ipoh... dimana harus mendapat bantuan... terima kasih

Anonymous said...

boss ah,

nama i SOO LENG tau, bkn SOON LENG

Saira said...

Salam , saya seorang jurubahasa ingin belajar bahasa isyarat, pernah mengikuti kursus asas b/isyarat di YMCA berkeinginan untuk belajar dengan mendalam b/isyarat. Dimana harus saya dapatkan bantuan. Saya berasal dari Penang. ( xzaaera@yahoo.com. Sekian dari saya Saira. T/kasih