Bulan lepas saya telah menghadiri 3 mesyuarat penting peringkat kementerian berkaitan dengan transformasi pendidikan untuk orang Pekak.
Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) telah setuju membuang perkataan CALON KHAS pada sijil peperiksaan awam kerana terdapatnya calon OKU termasuk Pekak telah membuktikan mampu memperolehi keputusan yang terbaik. Perkataan CALON KHAS tersebut membawa kesan yang negatif kerana akan menyukarkan OKU mendapat tempat dalam pendidikan tinggi dan pekerjaan.
Saya telah menyokong keputusan LPM tersebut tetapi menekankan supaya calon Pekak wajib menduduki UJIAN LISAN melalui penggunaan bahasa isyarat tak kira KTBM atau BIM. Ini adalah kerana salah satu syarat untuk bekerja di jabatan kerajaan memerlukan lulus UJIAN LISAN dan sekiranya calon Pekak di kecualikan dari mengambil UJIAN LISAN akan menyukarkan peluang tersebut.
BIM telah diluluskan penggunaannya di sekolah-sekolah kerajaan, BIM di gunakan untuk semua subjek kecuali Bahasa Melayu dan Kod Tangan Bahasa Melayu (KTBM) masih digunakan untuk mengajar Bahasa Melayu.
BIK - Bahasa Isyarat Komunikasi iaitu subjek baru berkaitan dengan membimbing kemahiran komunikasi pelajar pekak akan di perkenalkan pada tahun 2011. BIK adalah campuran 2 isyarat iaitu BIM dan KTBM. Cara perlaksanaannya adalah belum di ketahui.
Walaupun masih belum jelas dengan BIK kerana tidak ada di mana-mana dunia dan rujukan namun saya memberikan sokongan kepada BIK kerana akan membantu peningkatan kemahiran pelajar pekak dalam komunikasi dan berinteraksi kerana pada masa ini cara komunikasi orang Pekak adalah tidak memuaskan.
Saya juga berharap BIK akan digunakan di UJIAN LISAN peringkat peperiksaan awam kerana UJIAN LISAN tersebut akan menggalakkan calon Pekak untuk berusaha lebih bagi mempertingkatkan kemahiran komunikasi, kefahaman dan pengetahuan am mereka.
Saya juga telah hadir ke roundtable meeting di PICC (Putrajaya) yang di pengerusikan oleh YB Tan Sri Ketua Pengarah. Mesyuarat tersebut berkaitan dengan pemansuhan UPSR/PMR. Saya telah mendapatkan input daripada guru sekolah Pekak terlebih dahulu dan menyampaikannya di mesyuarat tersebut.
Majoriti guru memberikan pandangan UPSR tidak perlu dimansuhkan kerana ianya adalah kayu pengukur dan sasaran pelajar dan guru di sekolah Pekak. Waimana UPSR perlu di buat dengan cara baru dan kajian perlu di buat.
Saya juga telah menambah supaya guru yang mengajar di sekolah Pekak perlu mempunyai kelulusan dalam menguasai bahasa isyarat bukan sahaja ijazah pendidikan khas seperti mana syarat mengajar di Australia, New Zealand, USA dan sebagainya.
Transformasi pendidikan tersebut adalah sangat di alukan, apabila pihak BPK menyebut BIM secara tidak langsung akan mengaitkan MFD. Untuk merealisasikan penggunaan BIM di sekolah seperti yang di persetujui, guru di sekolah Pekak perlu menguasai kemahiran BIM terlebih dahulu. Buat masa ini saya tidak tahu samaada pihak berkenaan telah atau merancang melatih guru kepada penguasaan BIM. Oleh itu MFD adalah sumber yang bertepatan dalam membantu guru menguasai BIM.
No comments:
Post a Comment