Kelmarin saya singgah bersarapan di MacDonald selepas membeli tiket penerbangan ke luar negara bulan depan. Saya terjumpa rakan Pekak lama sejak kami menyertai Kelab Pekak di YMCA pada tahun 80an. Sambil bekerja beliau berbual dengan saya mengenai banyak perkara.
Rakan saya yang memasuki umur 50an dan sudah 8 tahun bekerja di MacDonald, sebelum itu dia bekerja sebagai data entry clerk lebih 20 tahun iaitu kerja yang baik, gaji yang memuaskan serta suasana tempat kerja yang lebih selesa. Namun kegawatan ekonomi dunia telah menyebabkan syarikat tempat kerja ditutup dan dia hilang mata pencarian.
Suami rakan saya itu bekerja kilang dan mempunyai tanggungjawab untuk membiayai kos pendidikan anak tunggal mereka. Mereka pernah menghantar anak mereka belajar di UK dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat tinggi di dalam negara.
Mereka menyewa rumah kerana rumah yang mereka beli itu masih belum siap kerana projek terbengkalai, namun mereka terpaksa membayar pinjaman bank setiap bulan.
Rakan Pekak saya tidak memilih pekerjaan kerana dia tahu tahap pendidikan dan juga sudah berumur. Beliau mengambil keputusan bekerja di MacDonald untuk mendapatkan rezeki bagi membantu suami membiayai kos pembelajaran anak mereka.
Beliau tidak kesal kerana bekerja di MacDonald yang mana kerja tersebut berkaitan dengan penyajian makanan, membersih termasuk membersih tandas dan melayan pelanggan berbanding dengan kerja lama sebagai data entry clerk. Rakan saya itu adalah dalam kategori yang tahu bersyukur.
Beliau juga menceritakan pengalamannya memerhati generasi muda Pekak sekarang, menurut beliau generasi sekarang tidak tetap pendirian, tidak serius bekerja, suka ponteng kerja dan mengambil MC, bergaduh dan juga suka lompat kerja. Walau pun rakan Pekak saya hanya berpendidikan setakat LCE, dia dengan secara sinis berkata generasi muda sekarang adalah rendah pelajarannya kerana melihat cara berfikir walaupun mereka itu berpelajaran tinggi.
No comments:
Post a Comment