20 January 2012

Peluang Pekerjaan Untuk Orang Pekak di Agensi Kerajaan

Menurut laporan LPM yang terbaharu seramai 128 calon Pekak menduduki SPM dan 77% dari mereka gagal dalam subjek Bahasa Melayu. 

Ujian Lisan adalah di kecualikan kepada calon Pekak tetapi JPA meletakkan syarat menwajibkan kepujian dalam Bahasa Melayu serta lulus Ujian Lisan untuk diterima ke jawatan di agensi kerajaan.

Sijil Khas Politeknik dan sijil-sijil khas yang diberikan kepada orang Pekak tidak diiktiraf oleh JPA.

Pembuat polisi secara terang-terang tidak bijak membuat keputusan dan mangsanya ialah orang Pekak yang ditutup peluang mendapat pekerjaan di agensi kerajaan. Hairan bin ajaib siang-siang mereka menutup peluang tetapi mempromosikan quota pekerjaan 100:1.

Saya telah membangkitkan isu ini di mesyuarat Ahli Majlis OKU dan di sokong oleh wakil dari pejabat Peguam Negara.  

19 January 2012

Hadiah Tahun Baru 2011 Yang Mengeciwakan

Tahun baru 2012 di sambut dengan gembira dengan pelbagai azam baru. Namun dalam sebulan Januari ada 2 berita yang mengeciwakan dan memalukan komuniti kita.

Berita dari akhbar KOSMO, remaja bisu, pekak 21 tahun di dakwa mencuri motorsikal (klik di sini).

Berita dari akhbar Utusan Malaysia, pemuda bisu 20 tahun di dakwa rompak berkumpulan (klik disini).

Apakah salah silapnya sehingga mereka berani berbuat demikian? Apakah tindakan kita?

02 July 2011

Agenda Pembangunan Sukan Melalui Penyatuan Komuniti.


Apabila kita di lantik sebagai pemimpin orang Pekak (OP) kita hendaklah selalu berbicara mencari jalan dan peluang demi pembangunan komuniti OP selari dengan wawasan negara; agar OP menikmati  hasil kesejahteraan negara dan berkongsi kemewahan secara samarata dengan rakyat yang lain.

Jika kita lihat, jumlah OP di Malaysia adalah kecil iaitu 40,000 yang mendaftar dengan JKMM hingga akhir bulan Disember 2010 dan melalui jumlah itu menjadi satu kerja mudah untuk melaksanakan apa yang kita hasratkan dalam pembangunan komuniti kita.

Sebagai pemimpin, adalah kewajiban saya membuka mulut, menulis dan  berisyarat untuk  menarik perhatian orang sekeliling demi pembangunan komuniti OP, biasanya apabila saya membuka mulut, menulis dan berisyarat mereka memandang secara positif dan juga negatif.

Apa-apa pun sahaja, terpaksa saya menerima hakikat hasil perbuatan saya. Saya di cop sebagai orang yang memerlukan rawatan, saya dilabelkan suka membidas, saya dicadangkan undur diri demi kepimpinan melalui teladan dan paling akhir ini saya di anugerahkan gelaran pemimpin paling bising dalam satu ceramah yang di terjemahkan sebagai satu debat.

Dalam tulisan saya sebelumnya saya sudah menyatakan saya tidak akan melatah, tetapi kali ini saya menulis berkaitan dengan isu pembangunan sukan yang merupakan salah satu komponen penting dalam pembangunan komuniti kecil kita dan mengharapkan penamatan pertelingkahan.

Harapnya para pembaca, orang Pekak, pemimpin dan sebaginya memahami apa yang saya sampaikan di tulisan ini dan marilah kita bersama-sama bersatu, sokong-menyokong  usaha pembangunan komuniti OP melalui sukan.

Semasa ceramah sukan anjuran Puskom KL di KLSD bulan lepas, saya di jemput oleh Sdr Pong untuk menjawab dan menerangkan beberapa soalan yang dibangkitkan oleh beliau sendiri dan juga para peserta; termasuk Sdr Muthu pelajar Universiti MM.

Saya hanya menanya 2 soalan sahaja dan mencadangkan pihak MSDeaf mengambil tindakan dan bukan menjawab di ceramah itu kerana ianya berkaitan dengan peraturan yang ditetapkan oleh Pendaftar Pertubuhan. Justeru itu di anggap bising adalah kurang tepat.

Soalan pertama saya ialah berkaitan dengan MSFD kerana MSFD adalah kepunyaan semua seperti di nyatakan oleh Sdr Kamarzaman, dalam penerangan oleh Sdr Pong sebelumnya mengatakan MSDeaf secara automatik mengambil alih tempat MSFD. Saya menyoal ikut peruntukan peraturan yang manakah MSDeaf mengambil alih MSFD? Apakah status MSFD sekarang? Di bubar? Mengikut peraturan MSFD, jika MFSD di bubar hendaklah mendapat persetujuan 2/3 daripada ahli. Saya mencadangkan supaya di panggil semua ahli yang menghidup MSFD untuk membuat keputusan samaada hendak dibubar atau tidak dan menyerahan semua aset MSFD kepada kumpulan sasar mengikut peraturan MSFD. Apabila MSFD telah dibubarkan dengan menjelaskan segala hutangnya barulah MSDeaf mengambil alih.

MSFD perlu menghantar surat rasmi kepada semua persatuan yang menghidupkan MSFD tidak mengira yang sudah keluar atau belum untuk hadir ke EGM Khas MSFD. Dengan cara teratur ini akan mengelakkan di ambil tindakan oleh ROS seperti mana berlaku kepada persatuan yang lain.

Soalan kedua saya berkaitan keahlian MSDeaf, sampai hari ini hanya PSDeaf yang telah di luluskan pendaftaran oleh PJS yang bergabung dengan MSDeaf seperti di nyatakan oleh Sdr Pong. MSDeaf tanpa ahli gabungan akan mengagalkan SOPMA, wakil negeri juga akan sukar menyertai SOPMA sebab tiada badan sukan peringkat negeri yang akan menguruskannya. SOPMA tak boleh dilaksanakan sebab tiada wakil negeri!!!! (Barulah saya faham mengapa sedang menunggu ilham dari langit.) Oleh itu untuk meneruskan matlamat pembangunan sukan, saya mencadangkan supaya pemimpin MSDeaf membuat promosi dan pergi ke negeri-negeri membimbing menubuhkan persatuan sukan negeri.

(MFD tidak ada masalah untuk bekerjasama, kita ada PUSKOM yang lengkap dengan keperluan, ada penyelaras yang boleh diarahkan membuat kerja dan boleh membantu menubuhkan persatuan peringkat negeri. Sebagai contoh, Puskom Kelantan melalui Facebook saya, telah meminta kebenaran untuk mengadakan penerangan sukan oleh MSDeaf.)

Saya (sudah lama) mencadangkan demi mengkukuhkan perpaduan (surat saya kepada Setiausaha Agung MSFD bertarikh 2 Januari 2004 yang di bincangkan di mesyuarat MSFD terakhir bagi saya); iaitu orang Pekak yang ingin menjadi ahli persatuan sukan di wajibkan mempunyai keahlian yang sah dengan persatuan orang  pekak negeri terlebih dahulu; contohnya ahli KLSD secara sah layak menjadi ahli Peratuan Sukan Orang Pekak KL sepertimana yang dicadangkan oleh Sdr Aqlam dan PRISMA sebagai contoh. Dengan cara ini akan menguatkan perpaduan orang Pekak dalam negeri, jika tiada peraturan macam itu akan menyebabkan kedua persatuan itu akan mengalami masalah ahli kerana jumlah orang Pekak adalah sedikit.

Saya ada memberikan beberapa contoh dan mengingatkan semua (terlebih-lebih kepada Sdr. Kamarzaman) bahawa kitalah (sebagai pemimpin) yang akan menanggung dosa jika kita menggalakkan perpecahan dalam masyarakat kita.

Dua perkara tersebut saya cadangkan supaya pihak MSDeaf mengkajikanya.

Berkenaan jawapan saya penyertaan atlit Pekak di Kejohanan Paralimpik ASEAN,  bermula soalan yang dibangkitkan oleh Sdr Ibdhi mengapa MSFD gagal melaksanakan program mengikut jadual dan mengapa orang Pekak tidak di undang dalam Sukan Paralimpik. Saya di minta menjawab dan jawapan saya Sukan Paralimpik peringkat kebangsaan masih menjemput orang Pekak sehingga kini,  secara spontan juga saya memaklumkan bahawa saya ada mencadangkan orang Pekak di berikan peluang menyertai Paralimpik ASEAN, saya boleh mengusulkan kepada pegawai tertinggi Paralimpik ASEAN untuk memasukkan kategori orang Pekak. Permohonan ini hendaklah dibuat secara rasmi dari badan yang bergabung dengan MPM iaitu MSFD.

Untuk makluman saya selaku penasihat MSFD ada mencadangkan secara rasmi kepada MSFD melalui surat bertarikh 2 Januari 2004 dalam para i iaitu MSFD hendaklah menulis surat kepada MPM bagi memohon memasukkan 3 acara iaitu olahraga, boling dan badminton dalam sukan SEA Games  di Filipina tahun 2004 (maksudnya kejohanan Paralimpik ASEAN selepas SEA Games).

Pemimpin MSDeaf perlu mengambil tindakan yang serius dalam peluang ini jika benar-benar ingin mencapai matlamat sukan berprestasi tinggi seperti dalam pelan tindakan MSDeaf.

Oleh itu, sebagai penutup bicara ini, terletaklah kepada pemimpin MSDeaf yang telah di amanahkan untuk melaksanakan agenda pembangunan sukan orang Pekak di Malaysia seperti yang di uar-uarkan. Sebab itu dalam tulisan saya terdahulu, jika pemimpin MSDeaf tidak dapat menlaksanakan pelan tindakan yang ditetapkan DICADANG diberikan kepada orang lain yang boleh melaksanakannya (saya tak bermaksud menyuruh pemimpin MSDeaf letak jawatan), jangan di peramkan pelan tindakan yang hebat tersebut.

Pertelagahan, perdebatan tidak menguntungkan kita. Jom kita mulakan sesuatu yang baru. Berilah peluang kepada orang Pekak kita mengikuti aktiviti sukan yang menyihatkan. 

17 June 2011

Antara sikap dan kemahiran bahasa isyarat.

SIKAP :

Laporan kegagalan calon Pekak dalam peperiksaan awam oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) menggerakkan hati saya membuat undian di laman facebook saya (www.facebook.com/mfdpresident) untuk mendapatkan pandangan umum.

Majoriti yang membuat undian telah memilih guru tidak mahir berbahasa isyarat sebagai faktor utama kegagalan pelajar Pekak dalam akademik. Namun ada yang tidak bersetuju. Cikgu Teh dari FSD ada memberikan fakta lain iaitu sikap guru ialah fakta utama yang boleh membantu orang Pekak berjaya dalam pelajaran. (Harap betulkan fakta ini kalau salah.)

Kenyataan Cikgu Teh boleh membahayakan keadaan kerana berdasarkan laporan LPM tadi akan mendedahkan sikap sebenar guru. Apakah majoriti guru yang mengajar pelajar Pekak tidak mempunyai sikap yang baik, gagal mengikut Ikrar Guru dan menjadi punca kegagalan pelajar kita?

Sekiranya ia benar akan mengaitkan pengajian peringkat sijil, diploma, ijazah perguruan yang sedia ada kerana gagal membentuk sikap positif kepada guru yang mengajar orang Pekak. Pengajian tersebut perlu di baik pulih, di transformasikan atau di reformasikan.

KEMAHIRAN BERBAHASA ISYARAT :

Saya amat menekankan kepada kemahiran berbahasa isyarat menjadi faktor utama untuk membantu pelajar Pekak berjaya dalam akademik. Dalam temubual saya dengan guru yang mengajar di sekolah Pekak di Australia, New Zealand, UK, USA yang datang melawat ke MFD, mereka memaklumkan kepada saya bahawa guru wajib mengambil subjek bahasa isyarat dan lulus sebelum mengajar di sekolah Pekak.

Di negara tadi, subjek bahasa isyarat di peringkat universiti diajar oleh orang Pekak sendiri. Hasilnya membantu peningkatan kemahiran berbahasa isyarat, membangkitkan kesedaran dan menanamkan nilai positif kepada bakal guru tersebut. Ini adalah kerana orang Pekak sebagai tuan punya bahasa merupakan guru paling layak untuk membimbing bahasa tersebut dan menilaikan kemahiran pelajarnya.

Kemahiran berbahasa isyarat tersebut bukan sahaja menyampai ilmu tetapi membantu melicinkan komunikasi dua hala, berdiskusi dan membincang, serta memotivasikan pelajar Pekak sebab mereka merupakan kanak-kanak mentah yang memerlukan sokongan dan bimbingan.

Hal tersebut adalah berbeza dengan situasi di Malaysia. 

Berkaitan dengan kemahiran berbahasa isyarat, saya dimaklumkan dalam program pengajian pendidikan khas peringkat universiti di negara kita,  subjek KTBM/BMKT ada di ajar kepada calon guru. Persoalannya apakah kelayakan pensyarah tersebut mengajar subjek BMKT/KTBM? Sejauhmana kemahiran pensyarah yang mengajar subjek tersebut? Siapa yang menilaikan kepakarannya kerana tiada pengajian subjek KTBM/BMKT di universiti?

Selina Ooi ada menulis komen dalam diskusi facebook saya, guru yang tak pandai berisyarat boleh belajar daripada murid pekak mereka. Perkara ini adalah cerita yang biasa kita terima. Lucunya, siapa guru, siapa yang terima gaji?  Murid pekak tidak layak mengajar guru bahasa isyarat kerana mereka sendiri belum mahir dalam berbahasa isyarat, memahami istilah Bahasa Melayu dan membuat isyarat berkaitan dengan perkataan.

Akibatnya terdapat pelbagai isyarat isyarat baru yang dicipta oleh murid pekak dan guru yang berbeza di seluruh negara; yang kemudian di panggil dialek sesuatu negeri.

Satu dialog dengan YB Timbalan Menteri Pelajaran akan di adakan di waktu yang mendekat. Sesiapa yang mempunyai idea yang lebih baik adalah di persilakan menghantar komen kepada blog ini.


13 June 2011

Jawapan kepada Amir Hamidi

Dongeng :

Saya tidak tahu apa yang tersirat dalam pandangan beliau berkaitan dengan tajuk di blognya  "dongeng kegagalan pelajar pekak". Definasi dongeng dalam wikipedia  ialah "Dongeng Melayu ialah cerita rekaan bertujuan sebagai bahan pengajaran kepada kanak-kanak dengan perspektif yang positif dan juga membantu ibu bapa mendidikan anak-anak mereka dengan sopan-santun dan juga adat resam." 

Apakah Amir setuju dengan tulisan dongeng saya sebagai rekaan untuk mengingatkan semua pihak supaya tidak berulang lagi kegagalan pelajar kita?

Atau  apakah tulisan saya yang mengambil fakta daripada keputusan peperiksaan awam yang di keluarkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia itu yang membuktikan majoriti calon Pekak gagal adalah dongeng (cerita tidak berasas) juga?

Kekebalan atau tidak boleh di kritik:

Apabila saya dan MFD di kritik, di fitnah dengan fakta yang salah oleh blogger Pekak yang lain, saya tidak melatah mahupun mempertahankan diri. Ini adalah kerana saya menyokong dan menggalakkan kebebasan bersuara. Kalau ikut nafsu diri saya hentam balik dan mengakibatkan blogger itu dapat malu atau mengadu kepada SKMM untuk diambil tindakan, mudah sahaja. Yang penting saya menjaga tulisan saya kerana saya percaya pembaca akan dapat menilaikan cara pemikiran saya, sikap saya, kepimpinan saya, rasionalism saya atau apa-apa sahaja.

Jika tulisan saya merapu, nanti pembaca akan mengingatkan saya supaya "jangan lupa makan ubat".

Dalam posting terbaru, saya hanya mengingatkan MSFD/MSDeaf supaya membuat kerja sebab komuniti kita memerlukan aktiviti; lagi pun peluang untuk mendapatkan bantuan atau sokongan dari Kerajaan adalah terbuka luas. Ambillah peluang itu, "Rakyat di dahulukan, pencapaian di utamakan", sebagai bukti MFD tidak pernah gagal mendapat bantuan dan sokongan kerajaan kecuali isu lain.

Tetapi malangnya ingatan saya kepada MFD/MSDeaf di balas dalam blog Amir dan membuat saya tersentak apakah MSDeaf sebuah organisasi yang tidak boleh di sentuh, ditegur dan dikritik?

Ahli Majlis Paralimpik Malaysia : 

Saya secara rasminya di calonkan oleh MSFD sebagai wakilnya ke Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), MSFD mempunyai kuasa untuk memecat saya, menyuruh saya berhenti jika tidak puashati dengan prestasi saya supaya memberikan laluan kepada orang lain. Sampai hari ini MFSD belum hantar surat rasmi kepada saya dan saya terus berbakti seperti biasa. Saya mempunyai prinsip iaitu jika diberikan amanah saya akan melaksanakannya, saya tak mahu menjadi pengecut dan meninggalkan tugas separuh jalan.

Jika tidak mahu saya menjadi Ahli Majlis MPM, MSFD hantarlah surat rasmi kepada saya dan saya akan mengundurkan diri supaya memberikan peluang kepada orang lain.

Jika anda tak setuju saya menghentam MSFD/MSDeaf di blog,  anda juga telah menghentam saya di blog anda berkaitan dengan isu Ahli Majlis MPM. Nampaknya kita seri.