02 July 2012

Sekadar berkongsi cerita

Pada 29 Jun 2012, semasa berjalan ke ruang pelepasan no B7 KLIA untuk menaiki pesawat MAS ke Miri; saya dan jurubahasa MFD telah ternampak individu yang tidak asing di Malaysia. Beliau ialah seorang pemaju yang paling berjaya di negara ini, diantara bilionair di Malaysia sedikit masa dulu, seorang dermawan dan seorang yang down to earth.

Saya menyapa dari jauh dan terus meluru kepada beliau yang sedang menikmati sarapan bersama PA yang setianya. Beliau bangun dan melangkah beberapa tapak kepada saya, kami bersalam dan berpelukan.

Kami berbual ringkas dan beliau menanya mengapa lama saya tidak datang berjumpa dengan beliau. Beliau memaklumkan kepada saya bahawa beliau akan ke luar negara dan memberikan tarikh untuk berjumpa sekembalinya nanti. Saya tidak dapat memberikan jawapan.

Beliau mengingatkan saya supaya jangan lupa hadir ke majlis sembahyang terawih di rumah beliau di bulan puasa ini dan PA beliau memberikan tarikh tersebut kepada saya. Tahun lepas saya tidak hadir seperti biasa ke majlis tahunan tersebut.

Saya amat terharu dengan sifat rendah hati dan kemuliaan hati beliau, walaupun sebagai orang terkaya dan di hormati di Malaysia, juga seorang yang lebih tua daripada saya. Saya merasakan saya di hormati dan di terima sebahagian daripada masyarakat walaupun saya ini seorang pekak dan hanya bekerja sebagai pemimpin NGO yang tidak seberapa.

Terima kasih Tan Sri Datuk Mustapha Kamal Abu Bakar.


22 June 2012

Apakah Murid Pekak Selamat Bersekolah Asrama di FSD?

Baru-baru ini saya menerima surat daripada pelajar Pekak dari FSD yang mendakwa mereka di aniaya guru serta di 'sex abuse' oleh kakitangan sekolah FSD.


Menurut surat tersebut, terdapatnya seorang Penolong Pengurusan Murid (PPM) yang amanahkan untuk membantu pelajar Pekak menguruskan diri telah mengambil kesempatan terhadap pelajar Pekak dengan melakukan perbuatan luar tabii terhadapnya. 

Pelajar tersebut melaporkan kepada Ketua Warden tetapi tidak di ambil berat dengan aduan tersebut dan pelajar tersebut kemudian memanjangkannya kepada PK HEM.  Namun kedua-dua pegawai sekolah tersebut tidak mengambil tindakan dan disebaliknya menuduh pelajar tersebut berbohong.

Pelajar tersebut menulis lagi, pada tengah malam Ahad 20 Mei 2012 dan pagi Isnin sekali lagi PPM yang sama telah mencabul kehormatan pelajar lelaki dan di saksikan oleh pelajar lain.

Pelajar yang menjadi saksi tersebut telah melapor kepada hal tersebut kepada pengetua. Hal tersebut telah sampai kepada pengetahuan Ketua Warden dan PK HEM, di maklumkan Ketua Warden telah mengugut saksi itu dan memberi amaran hendak menumbuk mereka dan di gantung sekolah.

Murid yang mengadu dalam surat tersebut menulis, Pengetua FSD tidak mempunyai kemahiran berBMKT mahupun BIM (bukan guru yang berlatarbelakang pendidikan khas jika tidak tahu berkomunikasi dengan pelajarnya sendiri), perjumpaan murid dan mangsa dibantu terjemahkan oleh guru yang lain dan berlakunya komunikasi yang tidak lancar, tidak adil dan manipulasi. 

Akibatnya mereka trauma dan secara spontan menulis surat kepada YAB Menteri dengan salinan kepada saya, harapan mereka ialah untuk mendapatkan pembelaan yang adil. Hal ini juga ada di bicarakan di Facebook dan mendedahkan perbuatan yang terkutuk di FSD bukan pertama kali berlaku.

Pada pendapat saya, Pengetua FSD wajar sekali bersikap adil terhadap pelajar dan melindungi serta menjaga keselamatan pelajarnya sepertimana dalam skop tugas seorang pengetua sekolah. Sekiranya pengetua FSD tidak tahu berkomunikasi dengan pelajarnya, meragui semasa soalsiasat, beliau wajar memberi hak kepada pelajarnya menggunakan perkhidmatan jurubahasa isyarat MFD yang beretika dan berkecuali. Jurubahasa isyarat MFD tersebut sedang bertugas di PUSKOM Pulau Pinang dibawah kelolaan Persatuan Orang Pekak Pulau Pinang (PDA). 

Saya berpendapat FSD tahu akan kewujudan perkhidmatan jurubahasa kerana semasa program Starkey Hearing Aid Foundation, PDA ada menjemput pelajar FSD menerima alat pendengaran.

Dengarlah dulu luahan hati pelajar tersebut seadil-adilnya, jika pelajar berbohong boleh di ambil tindakan tetapi jika perkara tersebut benar-benar berlaku, adalah satu kesalahan besar. Juga menjadi kesalahan lebih besar kerana bersubahat menganiaya pelajar OKU. Undang-undang Malaysia sedia ada dan hukuman tuhan bagi orang yang mempunyai agama juga ADA. Tidak kira pengetua, ketua warden, HEM, guru, pegawai JPN, BPK atau sesiapa yang bersubahat cuba menutup kes ini tidak akan selamat di dunia dan akhirat. 

Sekolah adalah tempat anak-anak suci untuk pekak atau bukan pekak mempelajari kehidupan dan di didik untuk menjadi orang yang berguna supaya sama-sama membangunkan negara kita. Oleh itu FSD bukannya tempat untuk individu melepaskan hawa nafsu dengan mengambil kesempatan terhadap kanak-kanak itu. Juga FSD dan sekolah Pekak yang lain bukannya tempat untuk kepentingan sendiri bagi mendapat elaun khas bulanan tetapi tidak jujur matlamatnya.







14 May 2012

Orang Pekak dan pembahasan di Facebook

Melalui Facebook telah menunjukkan peningkatan orang Pekak melibatkan diri dalam politik. Terdapatnya mereka menyokong kerajaan dan ada juga menyokong pembangkang. Baru-baru ini Bersih 3.0 juga telah mendedahkan sekumpulan orang Pekak juga terlibat memprotes.

Kemajuan ICT membuka peluang orang Pekak mendapat informasi di sekeliling. Orang Pekak telah mula memahami kebebasan bersuara dan menilaikan baik atau buruk. Ini merupakan satu perkembangan yang baik.

Pembahasan mereka melalui posting di Facebook secara tidak langsung membantu untuk meningkatkan kemahiran berBahasa Melayu atau Inggeris. Ada juga posting mereka terkeluar dari topik pembahasan kerana gagal memahami maksudnya.

Namun mereka berani mencuba, mereka tidak kisah jika tulisan mereka tidak mengikut susunan ayat yang betul. Yang penting mereka berpeluang untuk meluahkan pandangan mereka.

Mengapakah mereka gagal memahami tajuk dan gagal menulis dengan betul? Mengapa ayat yang mereka tulis tersebut lintang pukang? 

Apakah ianya mempunyai hubungkait dengan tidak keberkesanan kaedah Komunikasi Menyeluruh dan penggunaan Bahasa Malaysia Kod Tangan yang di gunakan di sekolah-sekolah Pekak di negara ini kerana gagal membimbing komuniti kita menguasai bahasa? 

Jika saya seorang Menteri Pelajaran, saya akan berasa malu kerana gagal membimbing orang Pekak yang juga rakyat Malaysia.

13 April 2012

SOPMA 2012

Akhirnya SOPMA 2012 atau Sukan Orang Pekak Malaysia telah selamat di langsungkan bertempat di Kuala Lumpur. Dapat khabar ianya menerima penyertaan yang paling tertinggi dalam sejarah kerana melibatkan pelajar sekolah, IPTA dan orang Pekak termasuk dari negara jiran iaitu Brunei dan Singapura.

Penyertaan tertinggi membuktikan orang Pekak amat mendahagai aktiviti dan mereka beramai-ramai memberikan sokongan kepada sukan rakyat ini. Selain dari bertanding, peserta juga dapat berjumpa sahabat lama dan baru; dan paling penting ialah kesinambungan budaya kita iaitu bahasa isyarat sebagai alat komunikasi.

Walaupun berlakunya pelbagai isu semasa penganjurannya seperti didedahkan di dada akhbar tempatan serta mendapat komen balas dari orang Pekak sekeliling melalui Facebook dan pertemuan, namun saya bangga kerana SOPMA berjaya menempuhi rintangan sehingga majlis penutupannya. 

3 Ahli Majlis MFD terlibat memberikan sokongan menjayakan SOPMA, ada mereka  mengetuai pasukan negeri mereka dan juga  memasuki pertandingan. Staf MFD termasuk Jurubahas Isyarat yang bertugas di PUSKOM juga membantu dalam persiapan pasukan negeri, mereka menggunakan kemudahan PUSKOM dan juga sumber kewangan persatuan mereka. 

Oleh itu anggapan MFD tidak membantu dan tiada perpaduan antara komuniti orang Pekak adalah salah. Kita adalah sama dalam satu komuniti walau berbeza ideologi dan saling menyokong satu sama lain.  Isu yang timbul dari kelemahan penganjurannya, MFD juga menerima tempiasnya.

Semasa saya berurusan di Johor Bahru pada minggu lepas, saya di maklumkan seorang Ahli Majlis MFD termasuk 3 orang Pekak telah kehilangan kerja kerana membantu dan menyertai SOPMA. Nampaknya cerita lama masih belum berubah, aktiviti sukan orang Pekak adalah teratas dari segalanya.





12 March 2012

Soalan ke Parlimen


Saya telah di minta memberikan point penting untuk pembentangan soalan ke sesi parlimen yang terbaru ini dan saya menyiapkannya seperti di bawah ini  (semoga mendapat perhatian dan tindakan):

1. Pendidikan

Mengikut laporan terbaru Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA 2010), bahagian Meningkatkan Pencapaian Pelajar cuma melaporkan isu pelajar bermasalah pembelajaran tetapi tiada laporan mengenai Pelajar Kurang Upaya Pendengaran (PKU).

PKU menggunakan bahasa non verbal dalam P&P kerana mereka tidak dapat mendengar dan Bahasa Isyarat Malaysia telah dijadikan bahasa rasmi orang Pekak dalam Akta 685 (Akta Orang Kurang Upaya 2008)

Bagaimanakah pendirian Kementerian Pelajaran terhadap Bahasa Isyarat Malaysia sekiranya digunakan di sekolah-sekolah?

Adakah guru-guru yang bertugas di sekolah Pekak mendapat latihan kemahiran penguasaan bahasa isyarat yang diiktiraf daripada mana-mana IPTA sebelum dihantar bertugas ke sekolah Pekak?

Laporan keberkesanan Program LINUS (Literasi dan Numerasi) untuk PKU tidak di laporkan tetapi laporan peperiksaan awam calon PKU di peringkat UPSR adalah tidak memuaskan.

2. Komunikasi

Di dalam Akta 685 (Akta Orang Kurang Upaya 2008) No.30, menegaskan keperluan akses tanpa halangan orang kurang upaya kepada maklumat, komunikasi dan teknologi.

Orang pekak ialah kumpulan ‘visual oriented’ dan bergantung kepada TV dan internet untuk mendapatkan maklumat. Namun jika sehari kita duduk di hadapan TV menonton semua rancangan TV tempatan termasuk TV berbayar, majoriti rancangan yang disiarkan tidak dapat di ikuti oleh orang pekak kerana ketiadaan sarikata.

Walaupun RTM melalui Berita Perdana jam 8:00 malam ada menyediakan sisipan bahasa isyarat untuk keperluan orang Pekak tetapi amat menyedihkan kerana gambar tersebut terlalu kecil dan tidak dapat di ikuti sepenuhnya. Pembaca berita bergilir-gilir seramai 3 orang berbanding dengan seorang jurubahasa isyarat dan elaun jurubahasa isyarat tersebut adalah tidak setimpal dengan pembaca berita.

Di Thailand, sisipan bahasa isyarat di sediakan di sepanjang sesi sidang parlimen untuk memberi peluang orang Pekak menilai pemimpin yang mereka pilih.

Seperti keperluan dalam Akta 685, semua rancangan TV di wajibkan mempunyai sarikata atau caption bagi membolehkan semua warganegara termasuk orang pekak mendapat maklumat tanpa diskriminasi. Sarikata atau caption tersebut hendaklah dalam bahasa yang disampaikan (sarikata Bahasa Melayu bagi rancangan berbahasa Melayu dan sarikata English bagi rancangan berbahasa Inggeris).

Dengan cara ini dapat membantu penonton mempertingkatkan tahap literasi mereka melalui pembacaan sarikata dan mendengar. Orang Pekak juga mendapat hak mereka ketika mengikuti rancangan bahasa Melayu yang mempunyai sarikata dalam Bahasa Melayu; kerana orang Pekak bukan mahir dalam berbahasa Inggeris jika disediakan sarikata bahasa Inggeris.

Sebagai contohnya, di Jepun dan China, sarikata rancangan TV mereka adalah dalam bahasa mereka sendiri dan disebabkan itu jumlah rakyat yang suka membaca adalah sangat tinggi.

Berbanding Malaysia, seperti yang diumumkan oleh YB Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, tahap peratusan rakyat Malaysia suka membaca adalah rendah. Oleh itu dengan adanya konsep membaca dan mendengar yang disebutkan secara langsung dapat menanam semangat membaca terutama kepada kanak-kanak.

Kanak-kanak pekak juga akan dapat manfaat dari konsep tersebut dan mengkukuhkan bahasa mereka di peringkat awal melalui menonton dan membaca sarikata rancangan Upin dan Ipin dan pelbagai rancangan kanak-kanak.

Berkaitan dengan komunikasi menggunakan telefon bimbit, orang Pekak juga adalah pelanggan kepada syarikat telco di negara ini. Orang pekak menggunakan sms untuk berkomunikasi dengan kawan, keluarga, majikan dan masyarakat sekeliling. Orang Pekak majoritinya menggunakan 3G dan ‘video call’ untuk berkomunikasi dalam bahasa isyarat bagi komunikasi 2 hala berbanding dengan sms iaitu komunikasi sehala.

Di bawah Akta SKMM, Telco wajib menyediakan perkhidmatan yang adil kepada pelanggannya. Pelanggan Pekak membayar harga yang sama dengan orang lain tetapi tidak mendapatkan hak mereka dan menikmati keistimewaan yang di sediakan iaitu voice mail, call waiting, panggilan murah antarabangsa dan termasuk peraduan ‘Talk Time’.

Orang Pekak juga dinafikan hak untuk membuat panggilan ke talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan termasuk toll free line untuk membeli perkhidmatan. Semasa mereka memandu di lebuh raya, mereka tidak dapat menggunakan telefon kecemasan yang disediakan di tepi lebuhraya untuk mendapatkan bantuan walaupun telah membayar harga tol yang sama dengan pengguna lain.