28 April 2010

Apakah Orang Pekak Tidak Minat Menjadi Pemimpin

Kejayaan MFD seperti yang saya terangkan melalui tulisan sebelumnya, adalah tidak dinafikan ianya hasil usaha orang Pekak yang menjadi pemimpin persatuan negeri masing-masing.

Sejarah telah membuktikan melalui usaha pemimpin orang Pekak seperti Lam Beng Heng, Low Poh Wing, Razani Ramli, Lim Heng Tuck, Quay Chiew Hun, Teh Kean Hoe, Hassan Johar dan beberapa pemimpin Pekak terawal yang menubuhkan persatuan orang pekak peringkat negeri telah membawa kepada penubuhan MFD.

Semua pemimpin tersebut adalah daripada latarbelakang yang berbeza, majoriti dari mereka adalah mendapat pendidikan tahap sekolah menengah sahaja. Mereka juga tiada latar belakang kepimpinan. Namun kekurangan tersebut tidak menjadi penghalang untuk menubuhkan MFD dan MSFD serta membawanya ke puncak kejayaan seperti yang kita lihat sekarang.

Melihat kelonggaran syarat kepimpinan yang sedia ada iaitu tidak memerlukan kelulusan tinggi, telah menanamkan minat belia Pekak untuk menjadi pemimpin.Sebagai bukti hingga sekarang majoriti pemimpin MFD dari seluruh negara adalah terdiri mereka yang di bawah 50 tahun, hanya saya, Chung Khim Cheong dan Hassan Johar sahaja yang berumur atas 50 tahun.

Kita juga tidak kurang pemimpin pelapis, MFD telah menubuhkan Unit Belia Pekak peringkat kebangsaan dan negeri. MFD juga telah kebebasan kepada mereka untuk menentukan hala tujuan mengikut keperluan mereka. Hasilnya pemimpin muda tersebut yang dibawah umur 35 tahun telah berjaya menganjurkan program tahunan yang mendapat sambutan besar iaitu Kejohanan Futsal Belia Pekak Kebangsaan dan Kem Belia Pekak Kebangsaan.

Bagi memainkan peranan wanita serta menggalakkan mereka terlibat dalam persatuan serta memperjuangkan hak mereka, MFD telah menubuhkan semula Kelab Wanita Pekak di seluruh negara dan membantu mereka merancangkan pelbagai program.

Oleh itu, dakwaan individu bahawa orang Pekak masa ini tidak minat menjadi pemimpin adalah salah. Orang Pekak boleh dibentuk menjadi pemimpin. Mereka wajar sekali diberikan peluang, di bimbing bukan di halang atau di matikan minat mereka.

No comments: