28 September 2009

Cerita Hari Raya 1.

Hari Sabtu 19hb September jam 3.00 petang saya dan keluarga bertolak menaiki kereta dari KL ke Sg. Tiang, Kedah. Sebelum itu saya sms kepada sahabat saya untuk mengetahui pergerakan trafik di PLUS dan dimaklumkan bahawa kesedakan dari Tapah ke Ipoh.

Dalam perjalanan selepas Tg. Malim, beberapa meter dihadapan saya tiba-tiba sebuah Proton Saga meluru keluar dari lorong laju masuk terus ke parit kecil dan terbalik 2 kali seperti filem Hollywood.

Saya memberhentikan kereta untuk membantu, seorang pemuda keluar terhoyong-hayang dan berdarah sedikit di hudung, dia selamat kerana beg udara dan tali keselamatan membantu. Harap semua kereta di negara ini diwajibkan mempunyai beg udara kerana ianya membantu mengurangkan kecederaan parah.

Kami meneruskan perjalanan dan berhenti di R&R Bukit Gantang untuk berbuka puasa dengan memakan buah-buahan kerana terlalu ramai orang di situ. Di Butterworth, jalan sesak dan kami mengambil jalan pintas melalui lebuhraya baru ke Sg. Dua. Berhenti makan char kuey tiau, yong tau foo, minum lin chee kang di R&R dekat Sg. Dua dan menyambungkan perjalananan.

Sebelum perjalanan seperti kebiasaan saya mengisi setengah tangki minyak (RM 55)supaya tidak terlalu berat dan memandu secara relaks iaitu dari 90 - 100 kmh. Walau pun meter jarak menunjukkan 300km tetapi masih ada minyak lagi iaitu tinggal 5% sahaja, kemudian saya keluar ke Sg. Petani (S) untuk mengisi minyak dan terus memandu ke Pendang dan sampai ke Sg. Tiang dengan selamat.

Semasa memandu dengan 3 anak bawah 11 tahun memerlukan perancangan supaya mereka tidak bosan, tidak selesa dan membuat hal. Kami sering berbicara cara memandu dengan selamat dan mengambil contoh kemalangan yang kami lihat. Juga kereta kami Honda CRV mempunyai pemain DVD dan cerita Tom and Jerry, Madagascar 2 membuat mereka tidak menjadi bosan.

Berbanding sebelum itu semasa bujang, saya balik kampung naik keretapi mel malam dan duduk atas lantai atau atas tangga. Sampai di Ipoh jam 2 pagi dan tidur di bangku yang penuh pijat di setesen semantara menunggu bas pertama ke Lumut jam 7.00 pagi di Medan Kidd.

Apabila saya berkahwin anak satu, kami pulang ke kampung menaiki bas Mara, sampai ke Alor Setar jam 4 - 5 pagi. Mau tak mahu terpaksa sambung naik teksi sapu ke Sg. Tiang habis RM 60 sekali perjalanan.

Sekarang, kemakmuran negara kita ini dapat di kongsi oleh semua termasuk OKU seperti saya. Walaupun bekerja bersama dengan NGO, namun masih dimurahkan rezeki serta dapat memberikan keselesaan kepada anak kami.

Terima kasih kerajaan Malaysia, jangan cakap saya mudah lupa.

18 September 2009

Dua Cerita.

Semalam saya cari akhbar yang menyiarkan berita gembira wira Deaflympic kita yang selamat pulang ke tanah air membawa pingat. Tak ada. Saya tanya kawan-kawan saya samaada berita tersebut keluar dalam tv atau akhbar. Jawapannya tak ada.

Saya masih ingat apabila ahli sukan cacat Malaysia yang pulang membawa pingat dari Paralimpic Beijing mendapat liputan di akhbar, tv. Ada VVIP tunggu mereka di KLIA.

Dua cerita yang berbeza. Nampaknya komuniti kita wajar bersatu, bekerja kuat supaya orang akan memandang, menghormati dan menyanjungi kita.

Tahniah wira Malaysia.

15 September 2009

Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Teman saya bertanya, “Li, ko balik kampung tak?”

“ Raya kat mana?”

“Aku nak datang ke rumah ko untuk raya boleh tak?”

“Li, Selamat Hari Raya. Maaf Zahir dan Batin”

Pabila raya menjelma, gurau senda mengungkap ayat seperti di atas, inilah agama ku indahnya menyatukan umat tanpa mengira warna di muka bumi ini.

Sebulan kita berpuasa, sebulan kita menahan diri menghadapi dugaan tetapi betapa indahnya sebulan kita dapat mengeratkan tali persaudaraan melalui sembahyang tarawikh dan program Ehya Ramadhan. Kita saling bertukar dari kad raya, sms, mms dan emel mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin dan hubungan kita bertambah erat lagi.

Tahun ini, bagi menghormati suara majoriti anak-anak saya, keluarga saya akan beraya di Sg. Tiang Kedah rumah isteri saya. Lepas itu kami akan ke Pulau Langkawi dan kemudian pulang ke KL selepas singgah di Sitiawan Perak kerana seorang anak perempuan saya akan menduduki PMR dan seorang lagi SPM.

“Selamat Hari Raya”

“Banyak buat kueh raya ke?”

“Ko masak apa raya ni?”

Selamat Hari Raya semua, maaf zahir dan batin.

14 September 2009

Pingat Kedua Malaysia

Pemain veteren Malaysia Thomas Teh dan Yeo Kok Fang telah kalah kepada pasangan Russia dalam pertandingan akhir badminton beregu dan memenangi pingat perak di Deaflympic 2009.

Kedudukan Malaysia naik ke tangga 40 dari 84 negara yang menyertai dengan memenangi 1 pingat perak dan 1 gangsa.

Pemain kita berjaya membawa balik pingat dari Deaflympic iaitu sukan yang teringgi bagi orang Pekak dan berjaya menaikkan nama negara. Tahniah.

Habuan (hadiah wang tunai) akan menunggu mereka sekembali ke Malaysia nanti dan harap tidak berlaku lagi peristiwa pemenang kita kempunan habuan daripada kerajaan Malaysia walaupun memenangi pingat dari Deaflympic Melbourne.

Informasi : P1 Wimax

Jumlah orang Pekak di Malaysia menggunakan webchat adalah tinggi, mereka menggunakan camfrog atau skype untuk berhubung satu sama lain. Namun talian broadband di negara kita adalah masih perlahan dan gambar webchat selalunya kabur atau pecah-pecah.

Untuk makluman, P1 wimax menyediakan perkhidmatan khas untuk OKU bagi menggunakan broadband. Dengan menggunakan wimax kita dapat melayari internet dengan lebih pantas dan juga menggunakan webchat dengan lebih jelas.

Jika berminat, anda perlu mendaftar terus di P1 P@ddock dan P1 PITSTOP yang berdekatan, sila tunjukkan IC dan Kad OKU. Pakej yang ditetapkan ialah RM 40 sebulan bagi 24 bulan kontrak dengan kelajuan muat turun 1.2mbbps dan muat naik 500 kbps.

Sebelum mendaftar sila dapatkan informasi samaada tempat anda di dalam rangkaian wimax. Jika tidak dalam rangkaian wimax, jangan melangganinya.

11 September 2009

Perkhidmatan Jurubahasa Isyarat : Dulu dan kini..

1. Orang Pekak berkomunikasi menggunakan bahasa non verbal iaitu bahasa isyarat. Bahasa Isyarat Malaysia atau nama ringkasnya BIM telah menjadi bahasa rasmi orang Pekak di negara kita seperti yang termaktub dalam Akta OKU 2008.

2. Untuk intergrasi ke dalam masyarakat kita memerlukan jambatan komunikasi iaitu jurubahasa isyarat. Fungsi jurubahasa isyarat ialah menterjemahkan apa yang di cakapkan oleh orang mendengar ke bahasa isyarat dan apabila kita menjawab dalam bahasa isyarat, jurubahasa tersebut akan menterjemah isyarat kita kepada bahasa pertuturan. Dengan cara tersebut komunikasi dua hala dapat diwujudkan.

3.Siapakah jurubahasa isyarat yang pertama di negara kita? Tiada rekod yang mengesahkan individu menjadi jurubahasa isyarat yang pertama di Malaysia. Namun kita percaya apabila adanya orang Pekak, ibubapa, keluarga atau saudara mara atau sahabat handai orang Pekak bertindak sebagai jurubahasa isyarat atu penterjemah yang tidak bertauliah bagi membantu komunikasi orang Pekak tersebut dengan masyarkat sekeliling.

4. Pada awal tahun 1960 an, Encik Tan Yap seorang ahli farmasi dari Johor melibatkan diri dalam dunia orang Pekak dan menjadi jurubahasa isyarat di mahkamah. Beliau banyak membantu program Kelab Belia Orang Pekak yang dipimpin oleh Low Poh Wing sebagai jurubahasa isyarat. Tan Yap menguasai Bahasa Isyarat Amerika atau ASL yang dipelajari dari Gallaudet University dan mendapat lesen sebagai jurubahasa isyarat daripada Registry of Interpreter for the Deaf (RID), Amerika Syarikat.

5. Pada tahun 80an, semasa saya menjadi pemimpin di Kelab Pekak Kuala Lumpur yang beroperasi di YMCA Brickfields; Eddie Yuen Tong Ming, sahabat karib saya bertindak sebagai jurubahasa isyarat dan melalui perkhidmatan beliau saya dapat merancangkan pelbagai program Kelab Pekak Kuala Lumpur seperti Perlawanan Persahabatan Malaysia-Singapura di Singapura, Kem Kepimpinan Belia Pekak di PD yang pertama dan sebagainya. Perkhidmatan jurubahasa telah memudahkan perlaksanaan program komuniti Pekak, berkomunikasi dengan pihak atasan YMCA iaitu Encik Andy Chin, Programme Executive pada masa itu bagi mendapatkan sokongan.

6. Bagi kes polis dan mahkamah yang melibatkan orang Pekak, guru sekolah khas Pekak akan dijemput oleh polis atau makhamah untuk menjadi jurubahasa isyarat sebab tiada jurubahasa isyarat bertauliah pada masa itu. Sijil perguruan dan bekerja di sekolah Pekak telah menjadi lesen untuk menjadi jurubahasa bagi kes tersebut. Namun berlakunya masalah komunikasi dengan pesalah pekak yang tidak pernah bersekolah kerana ia menggunakan isyarat yang berbeza daripada yang digunakan oleh guru di sekolah iatu BMKT/KTBM.

7. Saya pernah menjadi jurubahasa isyarat kepada pesalah pekak yang tidak pernah bersekolah di kes polis dan mahkamah, cabaran berat ialah untuk membuat pesalah pekak tersebut memahami apa yang di dakwa terhadapnya.

8. Pada masa itu, ramai yang tidak faham fungsi jurubahasa isyarat dan kepentingannya untuk orang Pekak. Tiada latihan jurubahasa isyarat di anjurkan dan badan yang mentauliahkannya. Oleh itu sesiapa sahaja yang boleh menguasai isyarat akan menjadi jurubahasa isyarat tidak rasmi bagi kes-kes tertentu yang dipohon oleh orang Pekak. Namun jumlah mereka yang mampu berisyarat dan menjadi jurubahasa adalah kurang.
Kekurangan jurubahasa isyarat juga telah memaksa orang Pekak berurus dengan masyarakat melalui tulisan, membaca gerak bibir dan mimik. Kadang-kadang salah komunikasi menyebabkan menjadi bahan ketawa, perbudakkan dan bahan simpati.

9. Saya masih ingat, semasa saya berurusan tanpa jurubahasa, saya mempergunakan kebolehan pertuturan saya dan adakalanya saya dapat membaca rautmuka orang yang saya berbincang berkerut untuk memahami ungkapan saya kerana suara saya tidak bagitu jelas.

10. Saya pernah menggunakan kaedah bertulis tetapi bukan semua menunjukkan minat untuk berurusan cara ini sebab kesibukan mereka. Bahasa badan mereka dapat saya fahami, komunikasi tulisan adalah amat terhad dan merimaskan.

11. Apabila saya menggunakan perkhidmatan jurubahasa isyarat, komunikasi kelihatan lancar kerana saya dapat mengikuti perbincangan tetapi kesukaran tetap ada iaitu apabila saya ingin mentuturkan pendapat atau maklumbalas saya.

12. Oleh itu, jurubahasa isyarat bukan hanya menterjemahkan suara kepada isyarat tetapi juga menterjemahkan isyarat ke suara. Ini memerlukan kepakaran yang tinggi.

13. Kebetulan semasa saya menerajui Kelab Pekak pada awal tahun 80an, tiada program keagamaan untuk orang Pekak beragama Islam, terdapatnya orang Pekak mengikut ajaran bukan Islam di YMCA kerana kekosongan jiwa serta sikap ingin tahu. Aura kebangkitan Islam pada masa itu mulai sampai kepada orang Pekak sehingga adanya orang Pekak mengikuti ajaran Kumpuan Al-Aqram. Mereka pula pandai menimbulkan isu halal-haram kerana saya sebagai orang Islam dipertikaikan kerana beroperasi di tempat bukan Islam iaitu YMCA.

14. Bagi mengelakkan perkara buruk berlaku, saya terjumpa Syed dan isterinya Sharifah (bukan Pekak) di program Kelab Pekak. Beliau telah mendengar isu yang saya bangkitkan dengan minat dan kemudian membawa saya berjumpa Datuk Hamid Othman dan kemudian Datuk Yusoff Noor yang merupakan Pengarah Puat Islam pada masa itu. Kesempatan tersebut saya gunakan untuk memaklumkan keperluan orang Pekak mendapatkan ajaran agama Islam dan mereka bersetuju untuk menyokong memulakan program Kelas Bimbingan tersebut.

15. Tan Lee Bee akan diingati sebagai jurubahasa isyarat di Kelas Bimbingan Agama Islam Untuk Orang Pekak yang di Pusat Islam Malaysia pada awal 80an. Walaupun Lee Bee bukan orang Islam, namun pihak kita terpaksa menerimanya sebagai jurubahasa isyarat bagi membantu ustaz menyampaikan dakwah sehingga Khairunissa Kho mengambil alih. Isu jurubahasa isyarat dan isyarat yang tak sesuai untuk agama Islam pernah menjadi isu hangat dalam akhbar dan mendapat teguran daripada DYAM Sultan Selangor.

16. Sampai sekarang program tersebut masih di laksanakan, berkembang di seluruh negara dan aktiviti bertambah termasuk adanya jurubahasa isyarat.

17. Saya telah dilantik memimpin SHIMA sekarang KLSD pada tahun 1987, saya terpaksa mendapatkan bantuan guru sekolah Selangor School for the Deaf (SSD) sebagai jurubahasa isyarat. Mereka ialah Rose Ng, Tan Lee Bee, Khairunisa Khoo dan lain-lain untuk membantu saya dalam urusan rasmi selepas waktu sekolah atau waktu mereka yang terluang. Saya tidk mahu menggunakan tenaga mereka di waktu pagi kerana tidak mahu mengganggu tugas mereka menyampai ilmu kepada kanak-kanak Pekak.

18. Semasa saya menjadi guru sandaran di SRPK Kg Baru, Kuala Lumpur, Cikgu Hafizah menjadi jurubahasa dalam program XPCD Gunung Tahan dengan kerjasama Persatuan Mendaki Malaysia pada tahun 1989. Program tersebut adalah amat berjaya tetapi selepas itu hubungan kami terputus.

19. Bagi program antarabangsa, saya dilantik menjadi wakil WFD ke mesyuarat UNESCO Rantau Asia Pasifik pada tahun 1993 di Hanoi, Vietnam dan saya membawa Lucy Lim sebagai jurubahasa. Mesyuarat peringkat antarabangsa adalah menggunakan English yang tinggi dan saya menyuruh Lucy Lim menterjemahkannya ke Bahasa Melayu tetapi tidak dapat dibuat. Lucy Lim adalah masih baru dalam bidang ini dan bekerja di Pusat Maju Diri Y setelah bekerja dengan SSD.

20. Tidak dinafikan perkhidmatan jurubahasa isyarat telah banyak membantu komuniti kita untuk mendapatkan apa yang kita mahukan serta menjadi telinga dan suara kita.
Ketiadaan latihan telah menyebabkan salahlaku etika yang mengakibatkan keresahan dan tidak puashati orang Pekak, salah faham, permusuhan dan perkara yang luar batasan. Paling menydihkan timbul pula isu “tanpa jurubahasa orang pekak tak mampu maju”
Namun orang Pekak terpaksa bersabar atau menebalkan muka kerana keperluan komunikasi adalah penting bagi mereka.

21. Dari pengalaman buruk orang Pekak itu, KLSD merintis usaha menyediakan perkhidmatan jurubahasa isyarat untuk orang Pekak secara sepenuh masa pada tahun 1996. Norijan Yahya ialah jurubahasa isyarat pertama yang diambil bekerja dengan KLSD dan diikuti oleh Hafidah Awaluddin, Wan Zuraidah dan Tan Lee Bee.

22. Perkhidmatan yang di sediakan oleh KLSD telah menjadi popular kerana tidak mengenakan bayaran iaitu dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang hari kerja. Bagi perkhidmatan yang luar masa yang ditetapkan dan tempat yang melebihi 10 km dari pejabat KLSD, klien hendaklah bertanggungjawab untuk membayar kos pengangkutan dan juga token untuk jurubahasa isyarat.

23. Pelatih baru iaitu Siti Zubaidah, Rosmadi Darus, Hisham Alwi, Lydiawati, Jo Ong , Goh Soon Leng dan berapa orang lagi yang saya lupa namanya telah diterima bagi meramaikan perkhidmatan untuk orang Pekak.

24. Ambilan jurubahasa isyarat yang ramai tersebut telah memberikan implikasi kewangan kepada organisasi kami, oleh itu kami terpaksa turun padang untuk mencari dana membayar gaji. Pelbagai cara yang kami lakukan untuk mencari dana seperti menghantar surat memohon derma dari rumah kerumah sehingga pernah di kejar anjing, mengutip derma, jualan pakaian dan barang terpakai dan sebagainya.

25. Saya pernah memohon peruntukan daripada kerajaan tetapi mereka masih kurang jelas akan keperluan ini. Juga tiada skim jurubahasa isyarat dan dasar Jabatan Kebajikan Masyarakat hanya membantu OKU dan jurubahasa isyarat bukannya OKU. Hanya dapat sedikit sahaja.

26. Maka kita terpaksa berusaha sendiri, kita ke sana ke mari dan turun naik mencari sokongan dan bantuan. Kita terus mempromosikan jurubahasa isyarat dan menceritakan kesedihan komuniti kita tanpa komunikasi. Kita adakalanya terpaksa “main kotor” dengan menimbukan dasar-dasar kerajaan yang sedia ada yang tidak sampai kepada komuniti kita.

27. Alhamdulilah, perjuangan ikhlas kita berjaya juga akhirnya. Kita sekarang sudah mempunyai jurubahasa isyarat yang terlatih dan beretika, latihan sudah sampai peringkat diploma di sebuah universiti, IPTA di negara kita sudah mempunyai ‘in-house’ jurubahasa isyarat, hampir seluruh negara sudah mempunyai perkhidmatan tersebut. Walau masih banyak perkara yang perlu di bereskan seperti menubuhkan badan pentauliahan yang akan membuat penilaian atau pentaksiran kemahiran jurubahasa isyarat kita dan sebagainya, namun saya percaya menjelang 2020 komunikasi tanpa halangan akan menjadi kenyataan. Insyallah.

09 September 2009

Deaflympic 2009 : Pingat Pertama Malaysia

Semalam saya menerima sms dari sahabat memaklumkan bahawa Malaysia telah mengutip pingat gangsa dalam acara bowling perseorangan. Saya membuka laman web dan telah mengesahkan bahawa Zaidi Awang pemain dari Kelantan telah menduduki tempat ketiga di belakang pemain USA dan Korea.

Tahniah Zaidi, saya masih ingat dia merupakan seorang Pekak yang pertama terpilih sebagai pemain remaja yang mewakili negara di kejohanan dalam dan luar negara pada tahun 80an.

Zaidi telah menyertai 2 edisi Deaflympic iaitu di Rom dan Melbourne tetapi gagal membawa pulang pingat.

Kejayaan Zaidi memenangi pingat untuk negara di Deaflympic 2009, merupakan satu contoh semangat tinggi beliau yang tidak kenal putus asa.

Tahniah.

Malaysia Boleh.

01 September 2009

Terima kasih 2.

Jam 3.45 saya baru menghantar posting bertajuk Merdeka. Kaunter pelawat blog saya ialah 5,000 hit. Terima kasih para pembaca.

Selamat berpuasa.

Merdeka!

Apakah orang Pekak memahami apakah maksud merdeka?

52 tahun negara kita merdeka, kita bangga kerana menjadi rakyat Malaysia kerana sekarang banyak yang orang Pekak perolehi.

Kita mempunyai Akta OKU 2008 dan Bahasa Isyarat Malaysia telah menjadi bahasa rasmi orang Pekak. Kita mempunyai Senator OKU, Ahli Majlis OKU untuk memastikan peruntukan dalam Akta OKU tersebut dipenuhi.

Kerajaan kita juga telah menubuhkan Jabatan Pembangunan OKU dibawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia serta menyediakan dasar dan pelan tindakan pembangunan OKU.

Sekarang peluang adalah terbuka luas, OKU boleh mendapatkan pendidikan tinggi di mana-mana universiti, kolej dan sebagainya. Bagi pelajar Pekak yang belajar disana, perkhidmatan jurubahasa isyarat juga disediakan.

Sekolah khas rendah adalah terbaik di rantau ini, ramai pelawat yang saya bawa melawat sekolah tersebut melahirkan rasa amat kagum dengan infrastrukturnya. Bagitu juga sekolah menengah vokasional kita. Kita juga mempunyai guru Pekak sendiri yang memikul tanggungjawab untuk mendidik generasi Pekak kita.

Peluang pekerjaan untuk orang Pekak boleh didapati di mana-mana, sama ada di sektor awam atau swasta. Jika kita mempunyai kelayakan kita bernasib baik mendapat pekerjaan yang baik dan sesuai untuk menjamin masa hadapan kita dan keluarga. Kita juga boleh menjadi peniaga yang berjaya.

Ramai orang Pekak juga mempunyai motorsikal, kereta, rumah, peralatan ICT dan harta. Makan dan pakaian pun berkualiti. Kita mempunyai wang dan pergi bercuti di luar dan dalam negara.

Apa yang kita peroleh adalah kerana kita tinggal di negara yang merdeka.

Terima kasih Malaysia.