17 November 2008

Harapan, Kehendak dan Aspirasi Murid Pekak

Teks penuh ucapan saya semasa Persidangan Nasional Pendidikan Khas 2008 di Tg. Kling Melaka 11 November 2008

Martin Luther King seorang pejuang hak asasi kamu kulit hitam di USA pernah berucap “I have a dream” yang membawa mesej mahukan di masa depan orang kulit putih dan hitam akan hidup harmoni bersama-sama dan adil.

Ia juga membawa mesej kepada orang Pekak di sini bahawa kita juga mempunyai impian yang sama.

Orang Pekak sememangnya wujud bersama orang bukan Pekak semenjak kurun masehi. Kehadiran mereka dinyatakan dalam Kitab Perjanjian Lama Exodus 4:11 : Who hath made man’s mouth? Or who maketh the dumb, or deaf, or the seeing, or the blind? Have not I the Lord?

Juga dalam surah Al Baqarah, Ali Imran, Maryam, Yunus, Hud menyebutkan perkataan orang Pekak dan isyarat sebagai komunikasi.

Namun pada masa itu mereka hidup dalam situasi yang menakutkan. Mengikut Plutrach (c46-c120AD) The Elder di Sparta hanya membenarkan membela kanak-kanak yang sihat tetapi diarahkan membunuhnya jika didapati cacat. Terdapatnya rekod orang Pekak dan orang cacat menjadi mangsa.

Pada abad pertama (1st Century), buku Antiquitates Romance tulisan Dionysius dari Halicarnassus menceritakan The Elder Roman akan menghapuskan kanak-kanak yang dikesan cacat pada usia 3 tahun. Perbuatan ini adalah tidak bertamadun tetapi perlahan-lahan diberhentikan atas desakan kumpulan agama.

Orang Pekak mendapat nasib yang berbeza kerana pihak gereja telah memainkan peranan penting membela orang Pekak; di Sepanyol, Pedro Ponce De Leon (c 1520 – 1584) memberikan pendidikan kepada 2 orang adik-beradik Pekak pada tahun 1545. De Leon mengajar mereka bercakap dan bukannya melalui bahasa isyarat.

Kemudian Abe del Eppe seorang paderi Pekak membuka sekolah Pekak menggunakan bahasa isyarat pada tahun 1755.

Dari itu juga pengiktirafan terhadap orang Pekak dan bahasanya telah menwujudkan kehidupan yang harmoni. Sekolah pekak bertumbuh dengan banyak di Eropah. Orang Pekak menjadi pengetua, guru di sekolah tersebut.

Pada tahun 1880 Kongress Antarabangsa diadakan di Milan, Itali; berlakunya perancangan yang jahat dengan menjemput ramai penyokong oralism yang bertujuan untuk mengharamkan bahasa isyarat dan guru Pekak. Hasilnya mereka berjaya meluluskan resolusi kaedah oralisma dalam pendidikan kanak-kanak Pekak dan bahasa isyarat diharamkan.

Ianya dikenang sebagai tahun kegelapan orang Pekak yang mana sekolah Pekak yang menggunakan bahasa isyarat di tutup. Tenaga kerja dari pengetua sehingga tukang masak, tukang kebun telah hilang jawatan.

Semua sekolah menggunakan oralisma namun ianya tidak memberikan kesan yang memuaskan. Tidak semua kanak-kanak pekak mampu bertutur, membaca dengan baik. Orang Pekak melihat oralsima sebagai satu penderaan dan gagal.

Pengharaman bahasa isyarat tersebut juga tidak berjaya memberhentikan orang Pekak daripada menggunakan bahasa isyarat. Orang Pekak menggunakan bahasa isyarat secara bawah tanah dan sehingga berlakunya peristiwa Black Power di USA tahun 60an. Seluruh dunia telah menyaksikan atlet USA menunjukkan simbol Black Power selepas menerima pingat dan orang Pekak telah bangkit memperjuangkan hak berbahasa isyarat berasaskan Black Power.

Sehingga tahun 70an, oralisma telah memberikan jalan kepada penggunaan bahasa isyarat dalam pendidikan, secara halus ianya berselindung belakang nama Total Communication. Seluruh dunia juga telah beralih kepada TC termasuk di Malaysia pada tahun akhir 70an.

Tahun 1981 bermulanya kebangkitan penuntutan hak saksama oleh OKU apabila PBB telah menjadikan tahun tersebut sebagai Tahun OKU Antarabangsa. Di Perhimpunan Agung ke 48 pada 4 Mac 1994 telah meluluskan UN Standard Rules on Equalization of Opportunities for People with Disabilities sebagai garispanduan untuk membantu OKU mendapatkan hak yang saksama. Bahasa isyarat juga telah diberikan penekanan dalam pendidikan dan komunikasi bagi mendapat kehidupan yang lebih baik.

UNESCO pada 1994 juga telah mengeluarkan dokumen bernama Salamanca Framework of Action on Special Needs Education. Bahasa isyarat juga diiktirafkan sebagai kaedah P&P di sekolah-sekolah dan memberi nafas baru kepada orang Pekak.

Walagbagaimana pun halangan tetap ada kerana masih ada kumpulan yang tidak dapat menerima orang Pekak dan bahasa isyaratnya. Mereka telah menggerakkan usaha untuk menghidupkan oralisma dengan mencipta kaedah seperti cued speech, auditory verbal, pertuturan seperti speech theraphy.

Penemuan pencacar koklear yang bertujuan untuk membantu orang Pekak kembali mendengar dengan harapan orang Pekak akan dapat menggunakan bahasa majoriti iaitu bahasa verbal.

Paling menyedihkan usaha tersebut telah memecahbelahkan komuniti, mengelirukan pelbagai pihak serta menakutkan ibu bapa yang mempunyai anak Pekak, kumpulan tersebut menghebahkan iaitu sekiranya anak Pekak menggunakan bahasa isyarat mereka tidak mempunyai masa depan, tidak dapat mengaji AlQuran atau membantutkan pemikiran mereka.

Ugutan tersebut dianggap sebagai penghapusan etnik, atau language geneocide sebab pencacar koklear, cued speech, auditory verbal tersebut dilihat tidak menerima hak orang pekak untuk mempunyai bahasa sendiri.

Di Perhimpunan PBB pada 13 December 2006 telah diluluskan UN Convention on the Rights of Persons with Disabilities, yang bertujuan untuk memberikan hak kepada OKU. Kerajaan Malaysia yang telah menandatangan menyokong dokumen tersebut pada 8 Mac 2008 dengan harapan akan membantu OKU mendapat kehidupan yang lebih baik lagi.

Kita OKU di negara ini mempunyai sebab untuk rasa bersyukur kerana mempunyai peluang hidup yang lebih baik berbanding dengan OKU di negara luar. Kita mempunyai kerajaan yang prihatin, mengambil berat dan berusaha untuk memenuhi keperluan kami.

Bermula dengan dasar Jabatan Kebajikan Masyarakat iaitu agensi yang bertanggungjawab untuk menjaga hal ehwal OKU; JKM bertindak sebagai agensi yang menyokong, memberi bantuan kepada NGO kerana NGO memahami keperluan kumpulan sasar kerana JKM tiada mempunyai kepakaran dalam bidang yang luas tersebut dan bergantung pada NGO untuk melaksanakan program.

Melalui JKM, suara OKU dibawa sehingga peringkat tertinggi, kumpulan OKU telah berjaya mendapatkan persetujuan dari Majlis Penasihat Kebangsaan OKU untuk menderafkan AKTA OKU pada tahun 2001, setelah melalui pengkajian, pembahasan, pembengkelan yang lama akhirnya Akta tersebut telah di bacakan di Parlimen, dan luluskan pada sidang Parlimen pada 17 November 2007. Akta tersebut juga telah mendapat Perkenan Diraja pada 9 January 2008 sebagai Akta OKU 2008 atau Akta 685.

Bahasa Isyarat Malaysia telah diiktiraf sebagai bahasa rasmi orang Pekak dan secara tidak langsung akan menjadi bahasa penghantar dalam pendidikan orang Pekak.

Akta OKU 2008 juga telah membuka peluang pekerjaan yang luas lagi pun negara kita memerlukan tenaga kerja yang berkualiti untuk menuju kearah negara maju. Oleh itu, pendidikan ialah kunci kejayaan.

Namun sejak pendidikan khas dimulakan di negera kita, pencapaian akademik pelajar Pekak adalah kurang memberangsangkan. Setiap tahun keputusan peperiksaan awam mendedahkan majoriti pelajar Pekak tidak berjaya mendapat keputusan yang baik. Walaupun ada tetapi ianya boleh dibilang dengan jari.

Kita masih ingat, apabila keputusan peperiksaan awam pelajar bukan Pekak tidak memuaskan, ianya telah menjadi isu besar dan mendapat perhatian ahli politik, cendiakawan, termasuk YB Menteri dan kemudian mengambil tindakan susulan. Tetapi apabila kegagalan pelajar kita yang kritikal apakah isu tersebut mendapat perhatian?

Kegagalan pelajar Pekak dalam akademik selalu dihubungkait dengan kelemahan bahasa mereka. Terdapatnya kajian yang ditulis oleh guru Pekak menyatakan BIM di lihat sebagi punca permasalahan kanak-kanak Pekak gagal menguasai bahasa sebab BIM bukan bahasa.

Bagaimana boleh BIM dipersalahkan kerana secara rasmi BIM masih belum diterima dalam pendidikan. KTBM ialah kaedah yang telah ditetapkan tetapi KTBM amat terhad tanpa penambahan dan telah menjadi faktor BIM digunakan di sekolah-sekolah. Ianya dianggap melanggar dasar yang ditetapkan.

Apabila pelajar kita tidak berjaya dalam akademik, peluang untuk mendapat hidup yang terjamin adalah malap kerana hidup diluar ini memerlukan persaingan. Yang kuat akan menang yang lemah akan kalah.

Oleh itu, para pendidik orang Pekak wajar memahami bahawa orang Pekak juga manusia yang mempunyai tanggungjawab kepada diri keluarga dan bangsa tetapi jika keperluan akademik tersebut gagal, gagallah mereka dalam hidup.

Yang kita lihat kehebatan senario pendidikan khas di negara kita ialah infrastruktur sekolah Pekak yang hebat serta kelengkapan yang tidak ada di negara yang sedang membangun.
Disini saya sebagai ahli advokasi orang Pekak ingin mencadangkan :

1.Memahami orang Pekak, bahasa dan budayanya.
  • Persepsi umum terhadap orang Pekak : tiada bahasa, lemah bahasa, degil atau tak boleh belajar.
  • Memahami perbezaan bahasa isyarat dan bahasa pertuturan. Apakah itu cued speech, BMKT, BIM dan ASL.
  • Menyedari orang Pekak dan Kurang Pendengaran adalah kumpulan berkeperluan berbeza.

2.Memperkasakan Pendidikan Pekak
  • Kajian Aliza Alias UKM, punca kelemahan murid pekak mengeja dan berisyarat dikenal pasti iaitu strategi pengajaran guru, sikap dan tingkah laku pelajar semasa pengajaran, sikap dan persepsi guru terhadap pelajar, penggunaan kod tangan yang berbeza dan input lingusitik yang terhad sebelum pelajar menjejakkan kaki ke sekolah.
  • Pendidikan Awal memerlukan roleplay. Guru yakin, murid teruja. Dr. Mohd Hanafi Mohd Yasin menegaskan setiap guru yang mengajar pelajar pekak mesti mahir menggunakan isyarat BMKT semasa mengajar. Kemahiran guru berisyarat mempengaruhi pencapaian pelajar Pekak dalam semua mata pelajaran.

3. Kurikulum Prasekolah Pendidikan Khas perlu disemak semula

Objektif :
iv. Menguasai KTBM dengan betul.
v. Mengusasi kemahiran berkomunikasi melalui komunikasi menyeluruh
vi. Mempelajari Bahasa Inggeris selaras dengan kedudukan sebagai bahasa kedua.

ciri-ciri kanak-kanak pendidikan khas bermasalah pendengaran
• Kanak-kanak bermasalah pendengaran pada peringkat umur ini berada dalam tahap perkembangan kognitif peringkat praoperasi yang paling asas dan terlewat
• cara berkomunikasi kanak-kanak bermasalah pendengaran berbeza daripada kanak-kanak biasa iaitu menggunakan bahasa isyarat (KTBM) dan juga komunikais menyeluruh


4.Menghapuskan mentaliti khas
  • From Charity Basis to Right Basis. Bukan simpati tetapi empati. Punca utama sikap lewa.

5.Memperkasakan pendidikan intergrasi
  • Penyediaan Jurubahasa isyarat, guru resos
  • Membuka peluang

6.Menwujudkan Kolaborasi
  • Penambahan kosa isyarat
  • Penubuhan institutsi dan kajian

Persoalan sekarang, sekiranya ada pihak yang mempertikaikan, menolak AKTA OKU 2008 terserahlah, kami warga OKU bangga dengan keprihatinan kerajaan untuk mempertingkatkan kualiti hidup kami. Kami merasa bangga kerana usaha gigih untuk memartabatkan bahasa ibunda kami ke peringkat Parlimen bagi mewujudkan kesedaran dikalangan Ahli Perlimen telah berjaya.

Jika bahasa etnik Iban boleh diterima tanpa sebarang bantahan, mengapa pulak bahasa ibunda kami menjadi sasaran ketidak puasan hati warga bukan Pekak. Mengapa kami tidak boleh bersuara bagi menyatakan hak?

Harapan kami, terimalah bahasa kami, hormatilah budaya dan keperluan kami agar kita dapat bergading bahu demi kesejahteraan hidup generasi Pekak di masa akan datang.

3 comments:

Nipizan said...

Good speech brother!

Small step like this will lead to giant accomplishment.

Congratulations!

anakmami said...

Salam Bapak Sazali,

Bagus bapak, teruskan usaha semoga berjaya.

syuhadah_mohdzawi said...

satu penghormatan dari saya untuk En.sazali...
apa yg dibincangkan mmg realiti yg berlaku..