09 July 2012

Cadangan Transformasi Pendidikan


Saya telah diundang ke rundingan meja bulat transformasi pendidikan Negara di PWTC pada akhir bulan lepas. Rundingan meja bulat ini bertajuk pendidikan khas dan di hadiri oleh perwakilan dari NGO pelbagai kecacatan.

Seperti biasa saya mewakili kumpulan orang Pekak dan membangkitkan beberapa perkara iaitu :

1. Tiada tindakan yang ambil jika pencapaian pelajar pekak merosot.

Mengikut laporan LPM setiap tahun jumlah calon orang Pekak yang gagal di peperiksaan awam adalah tinggi, tetapi malangnya perkara ini di pandang sepi berbanding jika berlakunya kemerosotan peratusan kelulusan calon bukan pekak, riuh seluruh Negara dan pelbagai tindakan di ambil oleh pihak kementerian. Ini adalah tidak adilan yang jelas.


2. Kemahiran dalam penyampaian P&P.

Kaedah yang digunakan di sekolah pekak ialah Komunikasi Menyeluruh dan penggunaan BMKT dalam penyampaian pelajaran dan pembelajaran. Adalah pelik kerana tiada syarat dalam pendidikan guru  di Malaysia menjadikan BMKT sebagai subjek yang wajib lulus bagi membolehkan guru itu mengajar di sekolah pekak. Di luar negara iaitu Ausrtalia, New Zealand, UK, USA dan negera-negara maju, bahasa isyarat di jadikan subjek wajib dan mesti lulus sebelum mendapat tauliah menjadi guru di sekolah pekak.

Di negara kita tiada pakar BMKT dan menyebabkan tidak mampu membangunkan subjek pengajian BMKT sebagai subjek wajib lulus di peringkat universiti. Pada masa ini terdapatnya pensyarah yang mengajar BMKT di IPTA tetapi apakah pensyarah itu di iktiraf? Di iktiraf oleh siapa dan apa kelayakan mereka yang memberikan pengiktirafan tersebut kepada pensyarah itu?

Oleh itu guru yang tidak mahir dalam BMKT boleh menjadi salah satu punca kegagalan pelajar pekak kita dalam akademik.


3. Kurikulum yang tidak selaras.

Kurikulum kebangsaan atau arus perdana adalah wajib diikuti dan peperiksaan awam adalah berteraskan dari kurikulum kebangsaan.

Bagi pelajar pekak, mereka di berikan kurikulum pendidikan khas dan di ajar mengikut kemampuan mereka; tetapi di akhir tahun persekolahan pelajar Pekak menduduki peperiksaan awam dari kurikulum kebangsaan.

Ianya menjadi salah satu faktor kegagalan pelajar pekak kerana kurikulum pendidikan khas adalah tidak selaras dengan kurikulum arus perdana.

Jika mahu pelajar pekak mengikut kurikulum pendidikan khas perlunya mempunyai peperiksaan yang berteraskan pendidikan khas juga; tetapi apakah sijil yang di keluarkan tersebut memunyai nilai dalam pasaran?

Jangan kata mahu mengintergrasikan orang pekak tetapi perkara yang sedia ada adalah menyebabkan orang pekak terpisah dari pendidikan arus perdana.  

Oleh itu kami kata TIDAK kepada Kurikulum Pendidikan Khas tetapi menumpukan kemahiran guru dalam menguasai bahasa isyarat iaitu BIM.


4. Kegagalan BMKT

BMKT/KTBM di wujudkan bagi memenuhi keperluan system Komunikasi Menyeluruh yang menggantikan system oralisma pada tahun 79.  BMKT/KTBM bukannya bahasa dan ianya di canang dengan gahnya sebab mempunyai pakar bahasa yang tersohor pada masa itu.

Malangnya pakar bahasa itu bukan berlatarbelakang pendidikan orang Pekak dan juga bukan pakar dalam bahasa isyarat. Mereka semestinya faham bahawa se perkataan bahasa Melayu  membawa banyak maksud; semak dan semak ejaannya sama tetapi bunyi yang berbeza serta ada 2 maksud berlainan mengikut jalan ayat. Oleh itu isyarat juga berbeza mengikut ayat yang di sampaikan.

Menambah imbuhan dari kata akar juga membawa maksud yang berbeza, contohnya pulau adalah berbeza dengan maksud memulau atau di pulau.

Masuk 3 dekad BMKT/KTBM di gunakan, di murni tidak, di tambah tidak, dok tang tu jugak. Orang di sana masih di buai mimpi dengan senyum panjang kerana menerima kenaikan gaji.

MFD sedang bekerjasama dengan sebuah universiti untuk membangunkan BIM – Bahasa Isyarat Malaysia dan memperjuangkan supaya guru wajib mempunyai persijilan atau diploma atau sarjana dalam BIM sebelum diterima mengajar di sekolah-sekolah pekak.

5. Pendidikan Awal

Bagi anak “normal” atau bukan pekak adan menerima bahasa seawal beberapa minit selepas di lahirkan. Bayi Islam di azankan supaya syukur kepada illahi, di jaga, di timang, di dodoi dan di lagu untuk menidurkannya. Jelasnya bahasa itu di sampaikan seawalnya.

Tetapi bayi pekak tidak dapat menerima bahasa kerana lewat mengetahui kecacatannya. Juga tiada program pendidikan awal bagi bayi berumur 0 – 4 tahun dan siapakah bertanggung jawab untuk memberikan bahasa kepada bayi itu? Kementerian Kesihatan? Oh tidak mereka cadang implan, speech teraphy, alat pendengaran dan macam-macam model perubatan. Bayi itu bukan nak ubat tetapi bahasa.

Kementerian Wanita? Oh tidak mereka tiada kepakaran dan cadang rujuk kepada Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pelajaran menjawab Oh tiada dalam dasar Kementerian bagi penjagaan umur 0 – 4 tahun.

Semua orang lepas tangan dalam hal ini. Apakah ini  tahap kebijaksanaan orang kita.

02 July 2012

Sekadar berkongsi cerita

Pada 29 Jun 2012, semasa berjalan ke ruang pelepasan no B7 KLIA untuk menaiki pesawat MAS ke Miri; saya dan jurubahasa MFD telah ternampak individu yang tidak asing di Malaysia. Beliau ialah seorang pemaju yang paling berjaya di negara ini, diantara bilionair di Malaysia sedikit masa dulu, seorang dermawan dan seorang yang down to earth.

Saya menyapa dari jauh dan terus meluru kepada beliau yang sedang menikmati sarapan bersama PA yang setianya. Beliau bangun dan melangkah beberapa tapak kepada saya, kami bersalam dan berpelukan.

Kami berbual ringkas dan beliau menanya mengapa lama saya tidak datang berjumpa dengan beliau. Beliau memaklumkan kepada saya bahawa beliau akan ke luar negara dan memberikan tarikh untuk berjumpa sekembalinya nanti. Saya tidak dapat memberikan jawapan.

Beliau mengingatkan saya supaya jangan lupa hadir ke majlis sembahyang terawih di rumah beliau di bulan puasa ini dan PA beliau memberikan tarikh tersebut kepada saya. Tahun lepas saya tidak hadir seperti biasa ke majlis tahunan tersebut.

Saya amat terharu dengan sifat rendah hati dan kemuliaan hati beliau, walaupun sebagai orang terkaya dan di hormati di Malaysia, juga seorang yang lebih tua daripada saya. Saya merasakan saya di hormati dan di terima sebahagian daripada masyarakat walaupun saya ini seorang pekak dan hanya bekerja sebagai pemimpin NGO yang tidak seberapa.

Terima kasih Tan Sri Datuk Mustapha Kamal Abu Bakar.


22 June 2012

Apakah Murid Pekak Selamat Bersekolah Asrama di FSD?

Baru-baru ini saya menerima surat daripada pelajar Pekak dari FSD yang mendakwa mereka di aniaya guru serta di 'sex abuse' oleh kakitangan sekolah FSD.


Menurut surat tersebut, terdapatnya seorang Penolong Pengurusan Murid (PPM) yang amanahkan untuk membantu pelajar Pekak menguruskan diri telah mengambil kesempatan terhadap pelajar Pekak dengan melakukan perbuatan luar tabii terhadapnya. 

Pelajar tersebut melaporkan kepada Ketua Warden tetapi tidak di ambil berat dengan aduan tersebut dan pelajar tersebut kemudian memanjangkannya kepada PK HEM.  Namun kedua-dua pegawai sekolah tersebut tidak mengambil tindakan dan disebaliknya menuduh pelajar tersebut berbohong.

Pelajar tersebut menulis lagi, pada tengah malam Ahad 20 Mei 2012 dan pagi Isnin sekali lagi PPM yang sama telah mencabul kehormatan pelajar lelaki dan di saksikan oleh pelajar lain.

Pelajar yang menjadi saksi tersebut telah melapor kepada hal tersebut kepada pengetua. Hal tersebut telah sampai kepada pengetahuan Ketua Warden dan PK HEM, di maklumkan Ketua Warden telah mengugut saksi itu dan memberi amaran hendak menumbuk mereka dan di gantung sekolah.

Murid yang mengadu dalam surat tersebut menulis, Pengetua FSD tidak mempunyai kemahiran berBMKT mahupun BIM (bukan guru yang berlatarbelakang pendidikan khas jika tidak tahu berkomunikasi dengan pelajarnya sendiri), perjumpaan murid dan mangsa dibantu terjemahkan oleh guru yang lain dan berlakunya komunikasi yang tidak lancar, tidak adil dan manipulasi. 

Akibatnya mereka trauma dan secara spontan menulis surat kepada YAB Menteri dengan salinan kepada saya, harapan mereka ialah untuk mendapatkan pembelaan yang adil. Hal ini juga ada di bicarakan di Facebook dan mendedahkan perbuatan yang terkutuk di FSD bukan pertama kali berlaku.

Pada pendapat saya, Pengetua FSD wajar sekali bersikap adil terhadap pelajar dan melindungi serta menjaga keselamatan pelajarnya sepertimana dalam skop tugas seorang pengetua sekolah. Sekiranya pengetua FSD tidak tahu berkomunikasi dengan pelajarnya, meragui semasa soalsiasat, beliau wajar memberi hak kepada pelajarnya menggunakan perkhidmatan jurubahasa isyarat MFD yang beretika dan berkecuali. Jurubahasa isyarat MFD tersebut sedang bertugas di PUSKOM Pulau Pinang dibawah kelolaan Persatuan Orang Pekak Pulau Pinang (PDA). 

Saya berpendapat FSD tahu akan kewujudan perkhidmatan jurubahasa kerana semasa program Starkey Hearing Aid Foundation, PDA ada menjemput pelajar FSD menerima alat pendengaran.

Dengarlah dulu luahan hati pelajar tersebut seadil-adilnya, jika pelajar berbohong boleh di ambil tindakan tetapi jika perkara tersebut benar-benar berlaku, adalah satu kesalahan besar. Juga menjadi kesalahan lebih besar kerana bersubahat menganiaya pelajar OKU. Undang-undang Malaysia sedia ada dan hukuman tuhan bagi orang yang mempunyai agama juga ADA. Tidak kira pengetua, ketua warden, HEM, guru, pegawai JPN, BPK atau sesiapa yang bersubahat cuba menutup kes ini tidak akan selamat di dunia dan akhirat. 

Sekolah adalah tempat anak-anak suci untuk pekak atau bukan pekak mempelajari kehidupan dan di didik untuk menjadi orang yang berguna supaya sama-sama membangunkan negara kita. Oleh itu FSD bukannya tempat untuk individu melepaskan hawa nafsu dengan mengambil kesempatan terhadap kanak-kanak itu. Juga FSD dan sekolah Pekak yang lain bukannya tempat untuk kepentingan sendiri bagi mendapat elaun khas bulanan tetapi tidak jujur matlamatnya.







14 May 2012

Orang Pekak dan pembahasan di Facebook

Melalui Facebook telah menunjukkan peningkatan orang Pekak melibatkan diri dalam politik. Terdapatnya mereka menyokong kerajaan dan ada juga menyokong pembangkang. Baru-baru ini Bersih 3.0 juga telah mendedahkan sekumpulan orang Pekak juga terlibat memprotes.

Kemajuan ICT membuka peluang orang Pekak mendapat informasi di sekeliling. Orang Pekak telah mula memahami kebebasan bersuara dan menilaikan baik atau buruk. Ini merupakan satu perkembangan yang baik.

Pembahasan mereka melalui posting di Facebook secara tidak langsung membantu untuk meningkatkan kemahiran berBahasa Melayu atau Inggeris. Ada juga posting mereka terkeluar dari topik pembahasan kerana gagal memahami maksudnya.

Namun mereka berani mencuba, mereka tidak kisah jika tulisan mereka tidak mengikut susunan ayat yang betul. Yang penting mereka berpeluang untuk meluahkan pandangan mereka.

Mengapakah mereka gagal memahami tajuk dan gagal menulis dengan betul? Mengapa ayat yang mereka tulis tersebut lintang pukang? 

Apakah ianya mempunyai hubungkait dengan tidak keberkesanan kaedah Komunikasi Menyeluruh dan penggunaan Bahasa Malaysia Kod Tangan yang di gunakan di sekolah-sekolah Pekak di negara ini kerana gagal membimbing komuniti kita menguasai bahasa? 

Jika saya seorang Menteri Pelajaran, saya akan berasa malu kerana gagal membimbing orang Pekak yang juga rakyat Malaysia.

13 April 2012

SOPMA 2012

Akhirnya SOPMA 2012 atau Sukan Orang Pekak Malaysia telah selamat di langsungkan bertempat di Kuala Lumpur. Dapat khabar ianya menerima penyertaan yang paling tertinggi dalam sejarah kerana melibatkan pelajar sekolah, IPTA dan orang Pekak termasuk dari negara jiran iaitu Brunei dan Singapura.

Penyertaan tertinggi membuktikan orang Pekak amat mendahagai aktiviti dan mereka beramai-ramai memberikan sokongan kepada sukan rakyat ini. Selain dari bertanding, peserta juga dapat berjumpa sahabat lama dan baru; dan paling penting ialah kesinambungan budaya kita iaitu bahasa isyarat sebagai alat komunikasi.

Walaupun berlakunya pelbagai isu semasa penganjurannya seperti didedahkan di dada akhbar tempatan serta mendapat komen balas dari orang Pekak sekeliling melalui Facebook dan pertemuan, namun saya bangga kerana SOPMA berjaya menempuhi rintangan sehingga majlis penutupannya. 

3 Ahli Majlis MFD terlibat memberikan sokongan menjayakan SOPMA, ada mereka  mengetuai pasukan negeri mereka dan juga  memasuki pertandingan. Staf MFD termasuk Jurubahas Isyarat yang bertugas di PUSKOM juga membantu dalam persiapan pasukan negeri, mereka menggunakan kemudahan PUSKOM dan juga sumber kewangan persatuan mereka. 

Oleh itu anggapan MFD tidak membantu dan tiada perpaduan antara komuniti orang Pekak adalah salah. Kita adalah sama dalam satu komuniti walau berbeza ideologi dan saling menyokong satu sama lain.  Isu yang timbul dari kelemahan penganjurannya, MFD juga menerima tempiasnya.

Semasa saya berurusan di Johor Bahru pada minggu lepas, saya di maklumkan seorang Ahli Majlis MFD termasuk 3 orang Pekak telah kehilangan kerja kerana membantu dan menyertai SOPMA. Nampaknya cerita lama masih belum berubah, aktiviti sukan orang Pekak adalah teratas dari segalanya.